Beza antara menteri agama dulu dan sekarang. Bezanya, seorang pensyarah akan sentiasa bersyarah berdasarkan teori yang kadangkala tidak berpijak pada dasar dan realiti masyarakat, ia seumpama akar kiambang. Seorang pengamal undang-undang, akan cuba memahami akarnya sehingga mampu sampai ke dasar, bukan indah dilihat kelompok kiambang yang tersusun di tasik atau lombong, yang mekar berbunga.
Penyingkiran Dr Naim turut dikatakan atas sebab gagal menangani permasalahan politik yang dimunculkan oleh sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan politik Islam, iaitu PAS. Dalam banyak situasi, PAS sebagai sebuah parti pembangkang lebih mudah membuat sesuatu dakwaan, tetapi sebagai seorang Menteri, beliau mesti berhati-hati untuk bertindak. Ini kerana, seorang menteri mewakili kerajaan manakala sebuah parti politik tidak mewakili kerajaan. Jadi, antara kerajaan dan parti politik ada cara yang berbeza melihat kepada sesuatu perkara, kerana ada prosedur yang perlu diikuti.
Pola yang sama kita temui ketika PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan pada era Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaacob. Misalnya, ketika dalam pembangkang cukup lantang bercakap mengenai penjualan nombor ramalan (judi). Tetapi ketika berada dalam kerajaan tidak membantah bila bilangan cabutan khas nombor ramalan ditingkatkan kepada 22 kali setahun.
Dr Naim mungkin belajar daripada kes bagaimana JAKIM akhirnya kalah dalam kes penyitaan buku-buku yang berfahaman liberal yang diharamkan pada suatu ketika. JAKIM juga belajar bagaimana keputusan undang-undang yang menyebelahi Nik Elin dan anak perempuannya yang mencabar 16 perkara dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang disifatkan oleh Setiausaha Agung PAS sebagai “Black Friday” ( 9 Februari 2024).
16 perkara itu diputuskan terbatal kerana ia melangkaui dan sudah dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia sebagai peruntukan yang tidak boleh diadakan dalam mana-mana undang termasuklah undang-undang Islam. Ini kerana Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara.
Kekalahan kerajaan Kelantan di bawah pimpinan PAS itu menjadi “peluru” yang mengkritik “sumbangan” Menteri Agama, yang dibingkaikan sebagai “tidak menyokong”. Sedangkan, Enakmen terbabit dikatakan bertujuan untuk memperkasakan undang-undang Islam dan hanya untuk umat Islam, maka muncullah dakwaan bahawa Mahkamah Syariah dan Peguam Syariah “akan menganggur”. Hanya menunggu kes-kes yang berkaitan dengan penceraian dan pembahagian pusaka (faraid). Peraturan Jenayah tidak dibolehkan lagi didakwa berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah, ia akan ditentukan oleh undang-undang sivil.
Di situlah letaknya suatu bentuk konflik, bahkan ia menjadi semakin keliru apabila muncul cadangan agar mana-mana restoran yang menyatakan “No Pork No Lard” ikut mempamerkan Sijil Halal. Polemik menjadi suatu bentuk herdikan politik, sehingga Dr Naim ikut dikaitkan sebagai “pelaksana dasar yang lemah” setelah “tunduk” dengan tekanan politik daripada sebuah parti politik yang majoriti ahlinya bukan Melayu dan bukan Islam, yang menjadi sebahagian daripada komponen Kerajaan Madani.
Peluru itu terus ditembak kepada Dr Naim, namun tidak kedengaran jawapan yang menarik daripada Timbalan Menteri yang dikatakan cukup berpengetahuan dengan syariah dan pernah dilantik sebagai penasihat di beberapa organisasi dan kerajaan negeri.
Sebab itu ada pandangan bahawa “grand design” sengaja dilakukan bagi membolehkan Dr Zulkifli dilihat mampu menangani persoalan hal ehwal agama Islam lebih baik dan berkompeten daripada Dr Naim. Itu sudah lama dijangka, kerana Dr Zulkifli mempunyai penyokong yang boleh berteriak di media sosial untuk mengangkat posisinya sebagai seorang yang relevan dan mampu membawa aspirasi Kerajaan Madani.
Apabila Dr Zulkifli dilantik, ada pujian melangit di atas perubahan pengurusan hal ehwal Islam, kerana beliau “bukan kaleng-kaleng”, seolah-olah ingin menggambarkan bahawa Dr Naim “menteri cap ayam” dalam istilah sinis loghat Terengganu. Kaleng bermaksud “tin yang nipis” dan apabila dirangkaikan kepada ungkapan “bukan kaleng-kaleng” ia membawa maksud “bukan calang-calang”.
Tentunya, hebat sungguh Dr Zulkifli di mata pendokong atau pengampunya, ada pengalaman sebagai pensyarah, penasihat, aktivis masyarakat, menulis lebih 30 tajuk buku dan pelbagai lagi, tetapi, sayangnya setelah sebulan memegang tampuk kuasa, belum kedengaran idea besarnya bagaimana menterjemah dan membumikan prakarsa gagasan Madani.
Semuanya sudah dirangka, dibentuk acuannya akan diubah sebagaimana sifatnya seorang ahli akademik. Kita sering mendengar bila sesuatu hal atau perkara dibingkaikan secara ilmiah, ada frasa “academic exercise”. Dalam realiti kehidupan, latihan ilmiah sebegitu tidak pernah menjadi. Ia hanya sebagai kerangka pemikiran yang dibentuk untuk sebuah sintesis, bukannya formula kesempurnaan yang jitu dan tuntas.
Kita dengar ucapan dan wawasan awalnya, tetapi ia hanya sekadar kerangka yang masih bersifat kognitif, belum membumi. Kita mungkin akan kempunan sekali lagi dengan terjemahan Rahmatan lil ‘Alamin yang pernah digabungkan oleh bekas Menteri Agama pada suatu ketika. (22 bulan belum menetas, masih dalam proses mengeram).
Gagasan itu tidak turun ke dasar “tasik kehidupan awam”, hanya ada dalam konsepsi yang indah dan menawan seumpama rumpun kiambang di permukaan air tasik. Itulah yang mungkin kita belajar, apabila yang mahir berteori melihat setiap yang ada dalam bingkai teori, bukan sebagai terjemahan yang tuntas dan membumi. Bila dikritik, dijawabnya sinis “saya bukan bodoh” dan “tidak dilayan” sebarang komen media sosial.
Seperti seorang yang gemar kepada idea besar, sentiasa meninggalkan idea kecil kerana idea kecil itu adalah ‘kaleng” walhal yang kecil itulah yang menanjak dah cukup memasak bumi. Jadi, kalau tidak mengambil kira “yang kecil-kecil”, tentunya “bukan kaleng-kaleng” akan kekal sebagai sebuah pemikiran yang tidak bermakna. Intelektual sebegitulah dianggap cukup membosankan, cerdik dan keberpengetahuannya tidak memandaikan bangsa dan mencerdikkan orang ramai untuk bermadani yang sesungguhnya pada jiwa, raga dan usaha.
Sebulan sudah, belum lagi kedengaran membumi, hanya sekadar “mahu buat” dan jadikan Islam yang Rahmah. Bagaimana rahmahnya Islam belum muncul sebagai kerangka yang jelas, yang ada adalah iltizam untuk menenggelamkan bingkai yang sudah disediakan sebelumnya, hendak diruntuhkan semuanya seperti sebuah binaan baharu, yang belum tentu benar-benar bernuansa inklusif.
KAMARUN KH
Recent Comments