Oleh: Ibnu Majid
Apabila sesebuah entiti politik memilih untuk menjenamakan diri mereka dengan nama suci “Al-Islam”, mereka berhadapan dengan realiti yang sangat pahit. Strategi untuk menyatukan umat Islam dibawah satu perjuangan bersama, sebenarnya merupakan serampang dua mata.
Di satu sisi, label ini mungkin memberikan mereka kelebihan moral di mata penyokong dan ummah keseluruhannya. Namun di sisi yang lebih kritikal, label ini meletakkan Islam di kandang pesalah, jika parti tersebut gagal berfungsi.
Dunia hari ini saling berkait rapat. Apabila sebuah parti yang membawa nama Islam mempamerkan kelemahan, korupsi, atau ketidakcekapan pentadbiran, kesannya bukan hanya dirasai di peti undi tempatan. Gegaran itu dirasai merentas benua.
Musuh-musuh Islam di peringkat global sentiasa memerhati. Media antarabangsa dikawal kuasa hegemoni dunia menunggu kesilapan. Masyarakat bukan Islam global tidak membezakan antara Parti dan Agama. Bagi mereka, jika Parti Islam gagal mengurus, maka Islam itu sendiri yang mundur. Jika pemimpin Parti Islam itu kasar dan memfitnah, mengkafir sesama sendiri, maka Islam itu secara automatik adalah agama kebencian.
Justeru kegagalan parti bukan sekadar liabiliti politik tetapi menjadi Liabiliti Teologi. Ia memberi peluru percuma kepada musuh untuk menyerang kesucian agama ini, hanya kerana kelemahan tangan manusia yang mengangkat panji tersebut.
Bahagian 1: Semiotik “Halal” & Fitnah Kepada Agama
Semiotik memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia, terutama sekali di dalam era di mana optiks adalah segala-galanya hari ini. Bayangkan sebuah restoran yang memaparkan logo HALAL yang besar dan terang di pintu masuknya. Maka secara langsung logo itu merupakan janji kepada status halal restoran, dan juga jaminan kualiti. Tetapi, apabila pelanggan masuk, mereka mendapati makanannya basi, pekerjanya tidak beradab, dapurnya kotor, dan harganya melampau.
Siapakah mangsa sebenar dalam situasi ini? Sudah tentu pelanggan itu tadi, tetapi Konsep Halal itu sendiri tercemar dan tercedera. Tindakan restoran itu telah mencemarkan kesucian logo tersebut, menyebabkan orang luar memandang sinis kepada perkataan atau logo HALAL.
Begitulah realitinya. Apabila sesebuah parti memonopoli jenama Islam, tetapi pemimpinnya gagal mempamerkan Akhlak Islam, sebaliknya mengangkat kata-kata kesat atau Fahisyah, fitnah Qazaf, dan mengamalkan takfir terhadap saudara seagama, maka parti itu berubah menjadi fitnah terhadap agama.
Bahagian 2: Dikotomi Wasilah dan Ghayah (Mitos Kesucian Parti)
Di sinilah perlu melakukan pembetulan teologi yang serius. Umat Islam sedunia perlu memisahkan antara yang Quddus (Suci) dan yang Bashar (Manusiawi). Para Ulama Usul Fiqh menggariskan perbezaan antara Wasilah iaitu cara atau kenderaan dan Ghayah iaitu tujuan atau matlamat akhir.
Islam adalah Ghayah, tujuan akhir kita yang maksum dan sempurna. Parti politik hanyalah Wasilah, salah satu daripada ribuan kenderaan ijtihad manusia untuk mencapai tujuan tersebut. Perlembagaan parti, keputusan mesyuarat jawatankuasa pusat, dan strategi pilihan raya, semua ini adalah produk akal manusia yang terdedah kepada silap dan salah. Ia tidak setaraf dengan Wahyu.
Sebagai contoh di Indonesia, skandal parti politik yang dahulunya diangkat sebagai simbol ‘Dakwah’ dan berakar dari gerakan Tarbiyyah, Partai Keadilan Sejahtera (PKS), pernah gegar dengan skandal rasuah import daging lembu yang melibatkan presiden partinya sendiri.
Kesannya sangat tragis. Anak muda di sana bukan sekadar marah kepada PKS, tetapi mula sinis dengan slogan ‘Parti Dakwah’. Apabila identiti Islam yang sepatutnya melambangkan amanah dicemari korupsi, ia membunuh kepercayaan (trust deficit) terhadap institusi agama Islam.
Maka, apabila kenderaan itu rosak atau enjinnya semput, atau pemandunya dilamun kuasa, adalah menjadi tuntutan agama untuk kita menegur pemandu itu atau menukar kenderaan tersebut. Menegur entiti politik yang gagal berfungsi bukan bererti kita membenci Islam. Sebaliknya, kita mengkritik kerana kita mahu kenderaan yang membawa panji suci ini bergerak dengan cemerlang, bukan tersadai di tepi jalan.
Kita mesti hentikan budaya mensucikan tokoh politik agamawan seolah-olah mereka adalah wakil Tuhan yang tidak boleh disentuh.
Bahagian 3: Audit Kompetensi & Perbandingan Muhammadiyah
Apabila berbincang tentang Itqan atau kompetensi dan pembangunan institusi, retorik hanyalah retorik jika tidak diukur dengan data.. Ia juga berkaitan dengan Tekad Politik atau Political Will.
Sejarah moden telah mengajar kita pedihnya kegagalan ini, dengan kejatuhan Ikhwanul Muslimin (Muslim Brotherhood) di Mesir. Mereka memiliki jaringan usrah yang paling kemas di dunia, selaras dengan kader yang paling setia. Namun, apabila diberi mandat memerintah pasca Arab Spring, mereka gagal menguruskan ekonomi dan gagal menyatukan birokrasi negara.
Slogan ‘Al-Islam Huwa Al-Hal’ (الإسلام هو الحل) atau Islam adalah Penyelesaian nampak gah di poster demonstrasi, namun ia tidak mampu menurunkan kadar inflasi atau memperbaiki infrastruktur jika tidak disusuli dengan kepakaran. Akhirnya, kegagalan kerajaan dilihat sebagai kegagalan ideologi Islam itu sendiri.
Menyedihkan juga jika kita lihat pada pembangunan institusi intelektual dan kesihatan, di Asia Tenggara. Di mana Hospital Pakar Islam bertaraf dunia atau universiti Islam yang menjadi rujukan kaum Muslimin di Nusantara, yang dibina atau disokong parti politik Islam?
Jangan pula mengatakan ianya mustahil. Persyarikatan Muhammadiyah, sebuah NGO besar di Indonesia telah membuktikan sebaliknya. Mereka tiada kuasa mengeluarkan cukai, tiada kuasa eksekutif negeri. Mereka hanyalah NGO Islam.
Tetapi hari ini, Muhammadiyah memiliki lebih 160 universiti atau pusat pengajian tinggi, dan ratusan Hospital di seluruh Indonesia. Bagaimana sebuah NGO boleh membangunkan tamadun, sedangkan sebuah parti politik yang berkuasa masih bergelut dengan isu air bersih? Jika fokus parti politik itu sendiri adalah untuk bekerja membangunkan umat, dan tidak sibuk mencipta alasan dan retorik politik, maka Allah SWT akan memberkati usaha murni ini.
Bahagian 4: Psikologi “Pengorbanan” (Opium Rakyat)
Dan apabila kegagalan ini tidak dapat disembunyikan lagi, maka senjata psikologi terakhir dikeluarkan – Doktrin Pengorbanan. Rakyat bawahan dididik dengan dogma bahawa kesusahan hidup adalah satu bentuk “Ujian Keimanan”, satu pengorbanan wajib.
Rakyat disuruh bersabar dan berkorban demi perjuangan. Bukankah ini satu bentuk manipulasi agama? Dalam Sirah Nabawiyyah, pemimpinlah yang sepatutnya berkorban untuk kesenangan rakyat. Bukan rakyat dipaksa menderita untuk menanggung ketidakcekapan pemimpin!
Kegelisahan Saidina Umar Al-Khattab RA sehingga tidak tidur lena, kerana takutkan hisab Allah SWT. Kata beliau: “Jika seekor kambing tergelincir di Iraq kerana jalan rosak, aku takut Allah akan menyoalku kenapa tidak meratakan jalan itu.”
Itulah Standard Kepimpinan Islam sebenar. Menggunakan istilah-istilah “Pengorbanan”, “Redha” dan “Ujian” untuk menutup kegagalan menyediakan Fardu Kifayah adalah satu bentuk kezaliman spiritual.
Epilog: Tajdid Pemikiran (Bebaskan Islam dari Kotak Parti)
Maka umat Islam seluruh dunia perlu melakukan Tajdid dalam cara melihat dan meneliti politik. Penjenamaan Islam bukan perisai untuk menutup kelemahan, tetapi sebenarnya adalah beban amanah dan tanggungjawab yang sangat berat, malah sepatutnya mencerminkan kualiti kepimpinan.
Berhentilah mencipta alasan dan tingkatkan kualiti bekerja kerana ummah, atau sekurang-kurangnya berhenti memfitnah nama suci Islam dengan kegagalan. Cinta kepada agama Islam, Rasulullah dan sesama Muslim, sepatutnya lebih daripada cinta terhadap mana-mana organisasi. Bebaskanlah Islam dari kotak sempit kepartian dan ketaksuban.
Recent Comments