Dalam melaksanakan peringatan kelahiran Nabi Muhammad SAW, Tok Selehor turut memperkenalkan kaedah berselawat berlagu atau dikenali sebagai selawat berzanji, berdasarkan nama pencipta kaedah tersebut, Syeikh Ja‘far al-Barzanji bin Hasan bin Abdul Karim (1690–1766M).
Syeikh Ja‘far berasal dari sebuah tempat di Kurdistan, iaitu Barzinji. Pada awalnya, susunan selawat ini dikenali dengan judul ‘Iqd al-Jawahir dan ditulis dalam bahasa Arab, yang membawa maksud ‘kalung permata’.
Bait-bait penulisan tersebut disusun berdasarkan sejarah Nabi Muhammad SAW, bermula dari kelahiran baginda hingga kewafatannya. Ia merupakan satu usaha untuk meningkatkan kecintaan umat Islam serta penghayatan yang lebih mendalam, tulus dan jujur terhadap Rasulullah SAW.
Menurut Haji Abdul Kadir, setiap tahun sebaik sahaja tiba bulan Rabiulawal, Tok Selehor akan mengadakan majlis Maulidur Rasul secara besar-besaran selama tiga hari dan tiga malam berturut-turut.
Salah satu pengisian utama majlis ini ialah menjamu para tetamu dengan ‘gulai kawah’, dan pada kemuncaknya diadakan upacara paluan rebana besar secara beramai-ramai.
Di Malaysia, sambutan Maulidur Rasul dikatakan secara rasminya hanya dilaksanakan oleh kerajaan selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Ini bermakna Tok Selehor merupakan perintis kepada sambutan Maulidur Rasul secara besar-besaran lebih 30 tahun sebelum upacara tersebut diterima sebagai salah satu perayaan rasmi negara.
Biarpun sambutan yang diperkenalkan oleh Tok Selehor pada peringkat awal menerima tentangan daripada beberapa pihak yang menganggapnya sebagai bida‘ah, hakikatnya amalan tersebut tidak bersifat memuja atau melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Ia berpaksikan penghormatan terhadap Rasulullah SAW sebagai pemimpin, pembawa cahaya dan insan teladan paling sempurna yang pernah dilahirkan.
Selain menyambut ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW secara besar-besaran dan mengamalkan selawat berzanji, Tok Selehor turut memulakan satu transformasi yang dilihat berani ketika memperingati satu lagi peristiwa besar dalam Islam, iaitu Israk dan Mikraj.
Dalam sambutan Israk dan Mikraj, Tok Selehor kebiasaannya akan memulakan penceritaan tentang bagaimana Nabi Muhammad SAW bertemu Allah SWT untuk menerima amanah besar sebagai pemimpin umat. Beliau turut mengisahkan bagaimana perintah menunaikan solat diterima sebagai satu kewajipan yang mesti dipatuhi oleh setiap orang mukmin.
Cara Tok Selehor mengungkapkan kisah tersebut berjaya memberikan kesedaran kepada khalayak yang mendengar. Hasilnya, ada dalam kalangan mereka yang mula insaf, rajin mengerjakan amal ibadat, dan ada juga yang meninggalkan pelbagai amalan budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments