Allahuakbar! Apa dah nak jadi dengan generasi muda sekarang? Pertanyaan itu tidak dapat dijawab dengan PASTI, salahnya di mana dan kenapa semakin brutal anak-anak sekolah sekarang.
Belum reda kisah kematian Zara Qairina (13 tahun pada 17 Julai 2025)) yang dikatakan dibuli di asrama sebuah sekolah menengah agama di Sabah, muncul pula kejadian rogol bergilir-gilir (2 Oktober 2025, jam 2.50 petang) oleh empat pelajar lelaki (tingkatan lima, 17 tahun) ke atas seorang pelajar perempuan ( tingkatan tiga, 15 tahun) di sebuah sekolah di Melaka.
Hari ini, muncul satu lagi berita sedih, pelajar perempuan tingkatan tiga (16 tahun, pelajar peralihan) maut ditikam melibatkan pelajar tingkatan satu (14 tahun, pelajar peralihan) di sebuah sekolah di Bandar Utama, Damansara. Kejadian berlaku di sekitar jam 9.10 pagi dan menurut laporan, kejadian itu berlaku di dalam tandas sekolah.
Ketika kes Qairina berlaku, KPM mengambil keputusan menempatkan sementara guru-guru yang diharapkan menjaga pelajar termasuk warden asrama ke JPN Sabah. Selain itu, muncul cadangan untuk memasang CCTV di seluruh premis sekolah dan bangunan asrama. Apakah kali ini muncul pula cadangan untuk memasang mesin pengimbas di pintu masuk sekolah memandangkan kejadian terbaharu membabitkan senjata tajam?
Ketika isu Zara panas, muncul desakan agar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meletakkan jawatan atas dakwaan gagal membangunkan ekosistem pendidikan yang selamat di sekolah. Begitu juga ketika kejadian rogol bergilir-gilir oleh empat orang pelajar tingkatan lima, ia menjadi hangat apabila pelajar berkaitan itu dibenarkan mengambil peperiksaan SPM yang dijangka akan diadakan awal November nanti.
Tindakan awal KPM ialah menggantung sekolah empat pelajar yang disyaki terbabit. Dalam peraturan, walaupun seseorang pelajar itu bersalah, dibuang sekolah mereka tidak boleh dinafikan untuk mengambil peperiksaan, tidak sama dengan peraturan universiti. Peraturan universiti, bila seseorang pelajar itu dibuang atau dipecat, secara automatik tidak dibenarkan mengambil peperiksaan. Ini kerana dalam peraturan universiti, jika seseorang pelajar tidak lagi berstatus pelajar, atau tidak hadir kuliah dan tutorial untuk sesuatu tempoh, ia boleh disekat daripada mengambil peperiksaan di akhir semester.
Seperti dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, empat orang pelajar itu tidak disekat daripada mengambil peperiksaan SPM, tetapi tidak dibolehkan diambil di sekolah terbabit. Jika pelajar berkenaan berada di penjara, maka mereka akan menjalani peperiksaan di penjara. Kita patut tahu, di penjara ada Sekolah Dalam Penjara, begitu Sekolah Dalam Hospital. Ini bermakna, seseorang tidak dihalang untuk mendapatkan pendidikan, biarpun berada dalam penjara akibat perlakuan jenayah ataupun berada di hospital akibat berhadapan dengan keuzuran diri.
Namun, yang memilukan setiap daripada kita ialah bagaimana jenayah semakin berkembang dalam kalangan remaja atau pelajar sekolah, di dalam persekitaran sekolah. Suatu ketika dahulu, kita gempar apabila berlaku pelbagai bentuk samseng dan gangsterisme dalam kalangan remaja sekolah, ia berlaku di luar sekolah. Keadaan ini semakin mencorakkan emosi setiap daripada kita, sekolah menjadi kawasan atau persekitaran yang tidak lagi selamat, kerana bukan sahaja kes buli meningkat, kes kematian turut berlaku.
Bagi sesetengah keluarga, sekolah tidak lagi dipercayai sebagai tempat belajar yang selamat. Tetapi, bagi kebanyakan daripada kita akan tetap menghantar anak-anak sekolah dengan rasa bimbang dan cukup resah setiap hari. Kita resah kerana “pegar makan padi”; pengawal keselamatan yang sepatutnya menentukan “sekolah selamat” sanggup bersengkongkol “mencabul” seorang pelajar perempuan tahun tiga (9 tahun), di Rembau, Negeri Sembilan. Sepasang kekasih, pegawai keselamatan tersebut sudah didakwa di mahkamah.
Guru juga berbuat demikian, walaupun hanya segelintir. Tetapi, segelintir itulah yang merosakkan imej dan ekosistem sekolah yang selamat. Ada juga dakwaan, oleh kerana guru-guru cukup terbeban dengan tugas di luar. bilik darjah, menyebabkan mood sebagai seorang pendidik telah menurun. Juga kerana tekanan yang diterima, termasuk sikap ibu bapa yang lebih “dominasi” termasuk dalam pengajaran dan pembelajaran telah menimbulkan rasa bosan. Begitu juga dengan penerapan disiplin dan amalan baik, dipandang serong oleh ibu bapa yang merasaka dirinya “cukup pandai”. Ia menjadi salah satu sebab kenapa ramai guru mohon bersara awal, “tidak lagi berminat”.
Dalam kes bunuh di sebuah sekolah Bandar Utara, suspek dikatakan kecewa apabila pelajar wanita berkenaan menolak cinta pada malam sebelumnya (https://www.buletintv3.my/…/kes-tikam-pelajar-polis…/…)
Akibat kecewa, suspek dikatakan membawa pisau ke sekolah untuk mengancam mangsa, namun kerana cinta tetap ditolak berlakulah tragedi di dalam bilik tandas. Berdasarkan cerita para pelajar, beberapa orang yang mendengar jeritan itu kemudiannya bergegas mencari guru disiplin.
Guru disiplin itu akhirnya terpaksa memecah pintu bilik tandas dan suspek kemudiannya berjaya keluar. Dilaporkan juga suspek kemudian membawa pisau dan baju yang ada kesan darah masuk ke sebuah kelas lain (kelas tingkatan satu) tetapi para pelajar tidak diapa-apakan. Beberapa orang guru kemudiannya mula berusaha membantu dan abang suspek berjaya merampas sebilah pisau (khabarnya seperti pisau Rambo), serta ditenangkan. (https://malaysiagazette.com/…/ibu-bapa-cemas-gambar…/)
Sekali lagi ibu bapa mula mempersoalkan tahap disiplin di sekolah, bahkan ada pelbagai persoalan yang mula kedengaran cukup menarik dan sangat bijak, yang wajib dilaksanakan oleh KPM. Namun, sayang lebih ramai yang cuba menuding jari, kelemahan pengurusan sekolah dan sebagainya. Ramai yang tidak melihat, apakah faktor yang membantu perlakuan sebegitu berlaku kepada para pelajar, dan sejauhmanakah berkesan serta apa pula kesilapan ibu bapa secara signifikan dengan krisis tersebut?
Menuding jari memang “cukup mudah” tetapi setiap ibu bapa haruslah melihat berapa banyakkah saham yang dilaburkan untuk membentuk perilaku pelajar, terutama ketika anak-anak berada di fasa remaja. Kita tahu, fasa remaja adalah fasa perubahan yang cukup mencabar, fasa yang penuh imajinasi dan gelojak emosi. Ia bermula dengan tahap akil baligh, dan pada tahap ini mereka mencari makna keseronokan, yang pada era digital ini cukup mudah dilihat, di dengar dan ditonton, kesemuanya membawa kepada kepetualangan nafsu.
Di sinilah sepatutnya setiap daripada ibu bapa wajib memahami perubahan diri seorang anak, mereka bukan lagi sentiasa kecil atau kanak-kanak. Pada fasa ini, anak sudah mula menunjukkan kecenderungan yang berbeza, dan lebih menyanjungi teman sebaya atau kawan-kawan. Mereka lebih mudah mempercayai sesama sendiri, termasuklah dalam persekitaran perubahan diri. Ibu bapa kadangkala leka, masih mengekalkan cara mendidik kanak-kanak kecil.
Anak-anak remaja rasa cukup bersalah terhadap apa yang dilihat sebagai kesalahan oleh orang tua. Atas sebab itulah remaja mencari “teman” yang dapat memahami atau rakan yang ada persamaan himpitan psikologi. Sebaliknya, pernah menyembunyikan apa yang dilakukan kerana takut dengan hukuman oleh orang tuanya sendiri.
Seperti kata para pakar yang faham psikologi tingkahlaku anak yang sedang berkembang, seharusnya ibu bapa tidak kerap melakukan tindakan menghukum, ia wajar menjadikan anak sendiri sebagai “kawan” dan penasihat yang baik, bukan mengherdik atau memperlekehkan setiap kesalahannya.
Ibu bapa perlu berpesan tanpa jemu, mengingatkan anak-anak kerana setiap tindakan ada akibatnya, yang boleh jadi buruk atau baik. Tanamkan dalam jiwa setiap daripada anak remaja, apa yang hendak dilakukan, fikirkan akibatnya dan babitkan orang lain. Dari situlah rasa hormat akan muncul, rasa kecewa tidak akan bertukar ganas dan setiap keputusan itu harus jujur.
Sekiranya tidak kesampaian, bersabarlah kerana kesabaran itulah sebenarnya sebuah kemenangan besar akan muncul, bahkan lebih baik daripada apa yang berlaku ketika ditolak.
Apa pun mekanisme yang akan dilaksanakan, disiplin yang ketat, kawalan digital mahupun kembalikan hukuman rotan, ia hanyalah satu bentuk kawalan luaran. Kawalan dalaman (jiwa dan diri) inilah yang menjadi pagar yang mampu memugarkan diri daripada terjerumus ke dalam gejala yang sedang berlaku. Tidak ada gunanya setiap daripada kita berkeluh kesah, menyebabkan pilu yang terasa kerana kita sebenarnya menjadi sebahagian daripada situasi itu.
Sebagai ahli masyarakat, kita tidak mengambil sikap menuding jari, tapi mulakan langkah secara sedar untuk membina jiwa anak-anak kita sendiri, agar hitam putih kehidupan itu benar-benar menjadi tembok penghalang. Kita sebenarnya yang menjadi acuan karakter remaja masa kini dan masa hadapan. Negara amat memerlukan generasi muda yang tinggi sahsiahnya, bukan mereka yang bercelaru bersiasah.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments