Bantuan kepada rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) perlu diinstitusikan seperti amalan negara berkebajikan, dan tidak dijadikan modal politik oleh mana-mana kerajaan.

Mengulas Belanjawan 2026 yang dibentangkan di Parlimen semalam, bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berpendapat bahawa bantuan kerajaan Madani masih dilihat sebagai kesinambungan kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan semasa pentadbiran Najib Razak.

“Ini tak boleh jadi modal politik lagi. Ia sama – setiap kerajaan akan mempertahankannya (program kebajikan). Isunya ialah kerajaan mana yang berjaya menambah baik inisiatif bantuan tersebut.

Buat masa sekarang, sistem bantuan tunai kita belum diinstitusikan lagi,” katanya dalam program audio siar Yang Berhenti Menteri malam tadi.

Institusikan agar lebih mudah dan adil

Rafizi menjelaskan bahawa penginstitusian inisiatif bantuan seperti STR dan SARA akan membolehkan pengagihan dilakukan dengan lebih mudah dan tersusun.

Beliau memberikan contoh institusi pendidikan — di mana ibu bapa tidak perlu memohon untuk membolehkan anak bersekolah, sebaliknya cukup dengan proses pendaftaran.

“Setakat ini STR atau SARA masih dilihat sebagai kesinambungan BR1M. Selepas ini, kalau kerajaan bertukar, inisiatif itu akan diberi nama lain pula.

Tapi kalau diinstitusikan, siapa yang layak akan tetap menerima bantuan walau kerajaan bertukar,” katanya.

“Jauhi amalan lama, rakyat beratur”

Rafizi turut mengkritik pengumuman kerajaan yang mahu bantuan awal persekolahan diagihkan secara tunai kepada ibu bapa oleh guru, dan tidak disalurkan melalui akaun.

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai satu langkah mengundur yang akan menambah beban kerja guru yang sepatutnya menumpukan perhatian kepada pendidikan murid.

“Mungkin ada ahli politik yang fikir cara itu bagus sebab boleh naikkan populariti, tapi bagi cikgu, mereka tentu marah sebab tugas cikgu ialah mengajar — bukan jadi ‘pegawai kebajikan’,” katanya.

Rafizi menambah, kerajaan Madani perlu melangkah ke depan dengan pendekatan baharu bagi memenangi pilihan raya, bukan mengulangi gaya lama seperti era Najib yang berpegang kepada prinsip “cash is king”.

“Saya rasa kerajaan Datuk Seri Anwar ini patut jauh ke depan lagi — jauhi gaya lama yang rakyat kena beratur ambil bantuan,” katanya.

RM150 bantuan persekolahan secara tunai

Semalam, ketika pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 akan disalurkan secara tunai kepada ibu bapa di sekolah.

Seramai 5.2 juta murid sekolah kerajaan akan menerima manfaat itu, dengan implikasi kewangan RM800 juta.

Rafizi: PTPTN bakal hadapi risiko hutang meningkat

Dalam pada itu, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR turut menegur pengumuman kerajaan berhubung pendidikan percuma PTPTN, yang disifatkannya berisiko memburukkan lagi kedudukan kewangan institusi tersebut.

Beliau mendedahkan bahawa PTPTN kini berdepan hutang berjumlah RM41 bilion yang dijamin kerajaan.

“Masalah hutang PTPTN RM41 bilion tak selesai lagi. Ia umpama ambil duit dari poket kiri masuk ke poket kanan.
Kalau tak berhati-hati, masalah PTPTN yang sedia ada akan semakin membengkak,” katanya.

Rafizi menegaskan, kerajaan perlu mengambil pendekatan menyeluruh dalam menangani isu pendidikan tinggi agar ia tidak sekadar menjadi langkah kosmetik atau populis.

“Saya gemar kepada pendekatan menyeluruh… kalau tidak, ia hanya sekadar pengumuman populis. Itu yang kita bimbang dengan PTPTN,” katanya lagi.

Disusun daripada laporan asal di malaysiakini.com

Translate »