Prof Dr Nevzat Tarhan, setelah sekalian lama menggeluti dunia akademik sebagai pakar psikiatri menjelaskan: Saya cukup terkesima ketika mengetahui bahawa di Amerika buku-buku karya Rumi masuk ke dalam daftar buku puisi bestseller dan buku-buku tersebut rata-rata diberi judul dengan “meditasi Rumi”.

“Menurut saya, merebaknya kegandrungan [perasaan cinta atau sayang yang mendalam kepada seseorang atau sesuatu] terhadap karya-karya Rumi dewasa ini kerana masyarakat pelan-pelan menyedari betapa buruknya pola hidup materialistik yang sangat berkembang pesat di tengah masyarakat.

“Di samping itu, saya juga menyedari hal lain yang menjadi penyebab keterikatan bangsa Amerika terhadap karya-karya Rumi. Dalam aspek filosofi, misalnya, pembentukan negara Amerika Syarikat boleh dikesan adanya pengaruh Rumi meskipun hal tersebut sangat susah ditelisik [dikesan] sumber-sumbernya secara ilmiah.

“George Washington adalah pengasas dan pemimpin Amerika Syarikat yang mempunyai kesedaran falsafah yang kuat. Buku monumentalnya berjudul 110 Rules of Civility and Decent Behavior in Company and Conversation yang terbit pada tahun 1937. Jika dibaca secara mendalam, terdapat asas-asas pemikiran dan kematangan spiritual yang boleh dikaitkan dengan pengaruh Rumi…

“Misalnya, George Washington mendefinisikan ‘hati nurani’ dengan mengungkapkan bahawa “hati nurani adalah percikan-percikan api dan refleksi dari cahaya suci di langit yang sinarnya menyinari dunia kesejatian dan isi hati kita.” Definisi tersebut jelas tidak akan pernah kita temukan dalam literatur-literatur kapitalisme.”

(Nevzat Berat Tarhan, Terapi Masnawi: Ledakan Energi Positifmu Bersama Jalaludin Rumi, terjemahan bahasa Indonesia oleh Ridho Assidicky, Ummahati Solihin dan Bernardo JE Sucipto daripada bahasa Turki, Mesnevi Terapi, Jakarta: PT Qaf Media Kreativa, 2016, hal.7-8).

Penyembunyian sedemikian bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam kalangan hati budi manusia, termasuk masyarakat barat. Sejarah telah membuktikan bahawa Islam telah banyak mempengaruhi corak hidup dan pemikiran, kerana ketika masyarakat barat berada dalam “kegelapan”, dunia Islam berjaya membangunkan persekitaran intelektual yang akhirnya menjadikan dunia barat kembali menemui akar pemikirannya yang telah lama hilang.

Beberapa kajian ilmiah yang dilakukan, menunjukkan banyak idea pemikiran dan kaedah pembuktian semesta, daya fikir (intelektual) ilmuan Islam cukup berpengaruh sehingga mencetuskan pelbagai teori ilmu yang semakin kita banggakan berjaya mengubah cara kita berfikir. Misalnya, kajian Dr Mahmud Hamdi Zaqzuq menemukan pengaruh Imam al-Ghazali terhadap skeptisisme Rene Descartes (bapa falsafah moden) cukup kuat, walaupun tidak diakui pernah membaca al-Munqidz min al-Dhalal. (Mahmud Hamdi Zaqzuq, Al-Manhaj al-Falsafi Baina al-Ghazali wa Dikart, Kairo: Maktabah al-Anglu al-Mishriyyah. Terjemahan Indonesia oleh Ahmad Rofi’ Utsmani, Al-Ghazali: Sang Sufi Sang Filosofi, Bandung: Penerbit Pustaka, 1987).

Contoh kedua ialah kajian M Amin Abdullah, perbandingan falsafah etika antara Imam al-Ghazali dan Immanuel Kant sebagai tesis ijazah kedoktoran di Universiti Teknikal Timur Tengah, Turki pada tahun 1987-1988. Ia kemudiannya diterbitkan dengan judul The Idea of Universality of Ethical Norms in Ghazali and Kant, Istanbul: Turkiye Diyanet Vakfi. Edisi terjemahan bahasa Indonesia diusahakan oleh Drs Hamzah, M. Ag., Antara Al-Ghazali dan Kant: Filsafat Etika Islam, Bandung: Penerbit Mizan, 2002.

Menurut Haidar Bagir, Rumi adalah seorang Muslim yang cukup terkenal sepanjang sejarah Islam dan merupakan seorang ahli sufi terhebat. Syair-syair Rumi yang mendendangkan ajaran spiritual ketuhanan dikatakan sebagai “Al-Quran dalam bahasa Parsi” yang berjaya meletakkan “ilham idea mistiknya dalam bahasa itu. Masnawi adalah karya yang paling banyak dibaca setelah al-Quran dan hadis” (Haidar Bagir, Love Like Rumi, Bandung: NuBook, 2015, hal.vii-viii).

Kalau Rumi diminati kerana puisi-puisinya yang menggetarkan “ilham spiritual”, al-Ghazali menjadi daya penyuluh keimanan yang tidak pernah kering daripada perbincangan dan pemenuhan spiritual kerana kedua-duanya menulis berdasarkan dari lubuk hati yang terdalam dengan ilmu-ilmu Islam yang cukup tinggi. Cuma, al-Ghazali tidak banyak menulis dalam bentuk puisi, tetapi tidak bermakna beliau tidak cenderung ke arah itu. Bahkan dalam hampir kesemua kitab-kitabnya, al-Ghazali banyak memetik puisi-puisi yang pernah hadir dalam khazanah ilmu dan kajiannya.

Kitab Ihya’ Ulumuddin karangan al-Ghazali merupakan refleksinya terhadap pengalaman pengetahuannya dan solusi kepada masalah yang dihadapi oleh umat Islam. Begitu juga dengan Matsnawi yang ditulis oleh Rumi, setelah dirinya berhadapan dengan pengalaman batin dan rasa tidak puas terhadap pengetahuan yang dimilikinya, sehingga beliau melakukan kembara untuk berguru dengan beberapa orang ahli sufi besar. Ia berbeza dengan al-Ghazali.

Al-Ghazali meninggalkan kemasyhuran yang diraihnya sebagai pengajar dan pentadbir di Madrasah Nizamiyyah dan berkelana untuk mengatasi keraguan dan kemelut jiwa yang dihadapinya. Akhirnya, dalam proses pencarian itulah lahirnya magnum opus Ihya’ Ulumuddin yang sampai kini menjadi kitab yang paling banyak dibaca dan dikaji oleh seluruh dunia. Dalam dunia intelektual, al-Ghazali dianggap sebagai peletak kaedah ilmiah dan dalam kalangan umat manusia dikenali sebagai reformis. Magnum opus Rumi, Matsnawi lahir selepas dirinya bermusafir ke beberapa kota untuk menuntut ilmu tasawuf daripada beberapa orang guru.

Di Damaskus, Rumi tinggal selama antara empat hingga tujuh tahun dan bertemu kali pertama dengan Syamsudin Tabriz. Sebelum kembali ke Konya, Rumi singgah di Wasatiyyah, dan berguru dengan Sayyid Burhanuddin. Rumi diperintah untuk berpuasa selama tiga period (120 hari, setiap period mengambil masa 40 hari). Dia hanya dibenarkan membawa “sekendi dan dua atau tiga keping roti Jelai”. (Syamsudin Ahmad al-Aflaki, Tebaran Hikmah: Hikayat-Hikayat di Seputar Jalaludin Rumi, terjemahan dari Legend of the Sufis: Selection From Manaqib al-Arifin oleh Ilyas Hasan, Bandung: Penerbit al-Bayan, 1992, hal.40).

KAMARUN KH

_____________________________________________________________________________________________________

Perhatian sebentar…

Kami berusaha gigih menyebarkan ilmu dan menyediakan bahan bacaan bermanfaat secara percuma untuk semua lapisan masyarakat. Usaha ini akan terus diteruskan selaras dengan misi kami memperkasa pengetahuan dan kefahaman ummah.

Namun, menyediakan bacaan dan program ilmu secara percuma memerlukan kos yang berterusan. Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan dan dikembangkan.

Tidak seperti organisasi besar yang dibiayai pihak berkepentingan, PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA (OMIW) berdiri secara bebas, demi memastikan setiap perkongsian ilmu kekal bersih daripada pengaruh politik atau agenda tertentu.

Kini, kami memerlukan sokongan anda. Walaupun kami memahami tidak semua berkemampuan, sumbangan sekecil RM1 pun amat bermakna. Dengan sokongan anda, lebih ramai akan mendapat manfaat daripada program dan bahan bacaan percuma yang kami sediakan.

Salurkan sumbangan anda ke:
PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA
No. Akaun: 8602859886 (CIMB BANK)

Sokongan anda adalah pelaburan untuk manfaat ilmu yang berkekalan. Terima kasih kerana bersama kami dalam perjuangan ini.

Translate »