Harga Sebuah Kemajuan

Setiap kali kita melihat bangunan-bangunan baru dibina, pernahkah kita terfikir, apakah yang terpaksa dikorbankan untuknya? Inilah persoalan yang sedang bermain di Kuala Lumpur sekarang. Di sebalik kemajuan kota yang kita banggakan, ada ruang, sejarah, dan paling penting, jati diri kita yang mungkin sedang terhakis sedikit demi sedikit.

Isu Kampung Sungai Baru adalah cerminan pergolakan ini. Ia adalah pertarungan antara kehendak untuk membangun secara material dengan amanah kita untuk menjaga warisan rohani dan budaya bangsa.

Sejarah & Amanah Kampung Sungai Baru

Untuk faham isu ini, kita kena tahu bahawa Kampung Sungai Baru ini bukanlah penempatan setinggan. Ia adalah tanah yang sah di sisi undang-undang dan diiktiraf sebagai Kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS). Kewujudannya adalah bukti dan pernyataan sosio-politik bahawa orang Melayu telah lama bertapak di tengah-tengah pusat ekonomi negara kita.

Isu ini mula menjadi tegang sekitar tahun 2016, apabila sebuah projek pembangunan semula dicadangkan. Selama beberapa tahun, proses rundingan berjalan antara pemaju dan penduduk.

Memang benar, majoriti penduduk terutamanya penghuni flat telah bersetuju untuk berpindah setelah ditawarkan pakej pampasan. Namun, masih ada sebahagian pemilik rumah teres yang tidak bersetuju. Bantahan mereka bukan kosong. Mereka berhujah pampasan yang ditawarkan terlalu rendah berbanding nilai sebenar tanah Kuala Lumpur, dan mereka juga bimbang tentang kehilangan warisan dan komuniti yang telah terbina sekian lama.

Titik penentu yang menukar segalanya berlaku pada 21 Jun 2021. Apabila rundingan menemui jalan buntu, kerajaan telah menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960. Ini adalah langkah yang sangat drastik.

Proses yang sepatutnya bersifat sukarela kini bertukar menjadi satu pengambilan secara paksa. Akta ini selalunya digunakan untuk projek kepentingan awam seperti pembinaan lebuh raya atau hospital, tetapi kali ini ia digunakan untuk memberi laluan kepada sebuah projek komersial swasta.

Dari sinilah perjuangan penduduk memasuki fasa baharu. Mereka membawa kes ini ke mahkamah, namun pada masa yang sama, proses pengusiran tetap dijalankan. Kemuncaknya adalah pada 11 September 2025 yang lalu, di mana kita telah melihat babak-babak yang menyedihkan, pertembungan antara penduduk dan pihak berkuasa, tangkapan, dan rumah-rumah pusaka dirobohkan di hadapan mata pemiliknya. Inilah realiti pahit yang sedang mereka hadapi.

Polemik Politik

Malangnya, di dalam setiap isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu dan Islam, pasti akan ada pihak-pihak yang cuba menangguk di air yang keruh. Isu Kampung Sungai Baru yang sepatutnya menjadi wacana tentang hak, keadilan, dan warisan, telah dicemari oleh anasir-anasir politik yang hanya mementingkan undi dan populariti.

Kita dapat lihat dengan jelas bagaimana sesetengah ahli politik muncul, bukan untuk mencari solusi, tetapi untuk menjadi ‘hero’ tempelan. Mereka meniupkan api sentimen, menuduh bangsa lain sebagai punca, dan melaga-lagakan sesama kita. Mereka menggunakan kesusahan penduduk sebagai pentas drama politik mereka, tanpa benar-benar peduli tentang nasib jangka panjang komuniti tersebut. Perjuangan suci penduduk telah dibajak untuk dijadikan modal meraih pengaruh.

Lebih berbahaya lagi, ada pihak-pihak yang sengaja memutar-belitkan isu ini menjadi isu perkauman. Mereka cuba menggambarkan seolah-olah ini adalah satu lagi cubaan kaum lain untuk merampas hak Melayu. Naratif beracun seperti ini amat memudaratkan. Ia bukan sahaja mengalih perhatian kita daripada isu sebenar, iaitu soal keadilan pampasan dan tadbir urus pembangunan, tetapi ia juga merobek fabrik sosial masyarakat kita yang berbilang kaum.

Ingatlah, musuh sebenar dalam isu ini adalah kezaliman, ketidakadilan, dan kerakusan. Apabila kita membiarkan diri kita dihasut oleh sentimen perkauman, kita sebenarnya telah tewas dalam perjuangan yang lebih besar, iaitu perjuangan untuk membina sebuah Malaysia yang adil dan harmoni untuk semua. Jangan biarkan tragedi Kampung Sungai Baru menjadi bara yang menyalakan api perpecahan dalam negara kita.

Peranan Sultan Sebagai Payung Negeri

Apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bersuara dalam isu ini, ia bukanlah sekadar pandangan biasa. Sebagai Ulil Amri (pemimpin) dan Ketua Agama Islam, Tuanku sedang menjalankan amanah besar untuk menjadi penjaga dan penimbang tara keadilan.

Kompas Moral: Dalam dunia moden yang hanya mementingkan keuntungan dan data ekonomi, Institusi Raja bertindak sebagai kompas moral, yang menyuntik kembali nilai-nilai etika dan kerohanian dalam setiap keputusan.

Menjaga Kepentingan Rakyat: Tuanku memastikan logik keuntungan tidak mengatasi prinsip keadilan. Ini selari dengan ajaran Islam bahawa tindakan seorang pemimpin itu mestilah berdasarkan kepentingan terbaik untuk rakyatnya.

Legasi Sejarah: Inilah peranan Sultan-sultan Melayu sejak zaman-berzaman, iaitu menjadi payung yang melindungi agama Islam dan orang Melayu. Tindakan ini membuktikan Institusi Raja sentiasa relevan dalam mempertahankan nasib rakyat.

Peringatan dari Sejarah: Nasib Kampung Abdullah Hukum

Kalau kita nak tahu apa yang boleh terjadi, kita hanya perlu lihat sejarah. Contoh paling ketara adalah nasib Kampung Abdullah Hukum. Dahulunya sebuah perkampungan Melayu yang hidup, kini ia telah bertukar menjadi KL Eco City, sebuah hutan konkrit. Ruang komunitinya telah menjadi ruang komersial. Ikatan kemasyarakatan dan silaturrahim penduduk asalnya telah terlerai. Adakah ini masa depan yang kita inginkan?

Jati Diri Lebih Tinggi dari Bangunan

Kesimpulannya, isu Kampung Sungai Baru ini jauh lebih besar daripada sekadar soal pampasan. Ia memaksa kita untuk berfikir secara mendalam: Pembangunan macam manakah yang benar-benar kita mahukan untuk negara kita?

Pembangunan yang sejati bukanlah diukur pada berapa tinggi bangunan yang mampu kita bina, tetapi pada berapa teguh dan utuhnya jati diri bangsa yang mampu kita pelihara.

Catatan: Ibnu Majid

Translate »