KUALA LUMPUR – Susulan tindakan biadap rejim Israel yang memintas serta menghalang misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju ke Gaza, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan untuk melaksanakan Solat Hajat serta bacaan Qunut Nazilah di seluruh masjid dan surau di bawah seliaan mereka.
Langkah ini diambil bagi mengajak seluruh masyarakat Islam untuk bersama-sama memohon pertolongan Allah SWT agar misi kemanusiaan berkenaan mendapat perlindungan, keselamatan serta keberkatan, khususnya buat para sukarelawan yang terlibat termasuk rakyat Malaysia yang berada di atas kapal flotilla tersebut.
Sehubungan itu, pihak berkuasa agama mengesyorkan agar semua Jabatan Agama Islam Negeri turut mengambil langkah yang sama, menganjurkan Solat Hajat dan bacaan Qunut Nazilah, agar umat Islam di seluruh negara dapat bersama-sama menzahirkan solidariti.
Seruan turut diperluaskan kepada semua Jabatan Agama Islam Negeri-negeri agar mengambil langkah yang sama dengan mengadakan Solat Hajat, bacaan Qunut Nazilah, berhubung isu Palestin. Tindakan ini diyakini mampu menggembleng kekuatan spiritual umat Islam seluruh negara dalam menzahirkan sokongan kepada misi Global Sumud Flotilla serta perjuangan rakyat Palestin secara menyeluruh.
Umat Islam di Malaysia diajak untuk menjadikan saat ini sebagai ruang memperkukuhkan ikatan ukhuwah dengan saudara seagama di Palestin, yang setiap hari berdepan dengan penindasan, kezaliman serta penghapusan hak asasi oleh rejim Zionis. Walaupun jarak memisahkan, doa yang ikhlas dan munajat bersama mampu menjadi sumber kekuatan rohani buat mereka di medan perjuangan.
Marilah kita bersama-sama bermohon kepada Allah SWT agar pasukan Global Sumud Flotilla yang membawa misi bantuan dan mesej kemanusiaan dan keadilan ini terus dipelihara daripada segala ancaman serta halangan. Semoga rakyat Palestin sentiasa diberikan perlindungan, kekuatan iman serta keteguhan dalam menegakkan kebenaran dan mempertahankan tanah air mereka yang diberkati.
Sesungguhnya, sokongan dan doa umat Islam di seluruh dunia merupakan senjata paling ampuh untuk membangkitkan semangat juang rakyat Palestin, selain menzahirkan mesej bahawa mereka tidak pernah berjuang sendirian.
Marilah seluruh umat Islam tanpa mengira tempat untuk sama-sama memohon perlindungan Allah SWT agar misi Global Sumud Flotilla berjalan lancar, serta mendoakan keselamatan para sukarelawan khususnya rakyat Malaysia yang terlibat. Pada masa sama, doa turut dipanjatkan agar rakyat Palestin terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menempuh ujian penjajahan yang berlarutan.
omiw.com.my
Recent Comments