Mendapat khabar, tiga daripada lebih empat puluh buah kapal yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) telah berjaya dipintas dan kesemuanya penumpangnya dibawa ke pelabuhan Israel.
Setakat jam 6 pagi tadi (2 Oktober 2025, waktu Malaysia) seramai 13 sukarelawan dari Malaysia telah ditahan dan bakal dipenjarakan di Israel sebagaimana dilaporkan oleh mereka yang terbabit dalam misi bantuan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.
Sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai lebih 200 orang daripada 37 buah negara yang menyertai GSF telah ditahan oleh Israel. Presiden Columbia, Gustavo Pedro mengambil tindakan tegas mengusir semua diplomat Israel di negara itu dan memutuskan semua bentuk hubungan.
Beliau menyifatkan tindakan Israel itu sebagai “jenayah antarabangsa terbaharu”. Dalam misi kali ini, dua rakyat Columbia telah ditahan. Gustavo yang berhaluan kiri pada tahun lalu membuat keputusan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel tetap membenarkan empat orang diplomatnya menyambung tugas di Bogota.
Pada hujung bulan lalu, Trump membatalkan visa diplomatik ke atas Gustavo setelah pemimpin itu mengecam Washington berkaitan dasar menyokong Israel dan terbabit hadir dalam satu tunjuk perasaan pro Palestin di New York City di tengah-tengah majlis perhimpunan PBB.
Salah seorang sukarelawan Malaysia, Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga merayu kerajaan agar segera berusaha menyelamatkan para sukarelawan.
Sejak misi GSF memasuki zon kuning, mereka telah diancam oleh kapal-kapal milik tentera Israel walaupun sukarelawan tidak melakukan sebarang bentuk provokasi dan melanggar peraturan antarabangsa.
Sejumlah besar kapal yang menyertai misi itu telah berjaya ditahan oleh IDF. Antaranya ialah lima buah kapal ditahan itu melibatkan 13 orang sukarelawan daripada Malaysia. Menerusi media sosial, mereka berkongsi maklumat bahawa pihak tentera Israel melakukan pelbagai provokasi dan arahan agar kesemua misi terbabit tidak meneruskan pelayaran ke Gaza, walaupun ketika itu ia masih dalam perairan antarabangsa.
Tindakan Israel itu jelas melanggar peraturan maritim antarabangsa kerana memasuki perairan Gaza bukan bererti menceroboh Israel. Secara legalnya, Israel tidak berhak mengawal Gaza kerana ia bukanlah secara sah berkuasa ke atas wilayah Israel.
Israel tetap menganggap setiap inci bumi Gaza adalah di bawah kawalannya dan kerana itu, setiap tindakan untuk sampai ke Gaza dengan apa cara sekalipun adalah “satu bentuk pelanggaran” terhadap undang-undang Israel, satu bentuk undang-undang rimba yang tidak berperikemanusiaan.
Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada pagi ini (2 Oktober 2025) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel di atas penahanan dan sekatan yang dilakukan kerana GSF disertai oleh orang awam yang tidak membawa sebarang senjata, mereka hadir untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan, bukan bertujuan membantu Hamas berperang.
Walau apa pun tujuannya, Israel tetap menghalanginya dengan menggunakan hujah para sukarelawan ikut membawa senjata dan memberikan sokongan kepada Hamas. Bagi Israel, setiap inci bumi Palestin tidak boleh diganggu atau dimasuki oleh sesiapa tanpa persetujuan Israel walaupun bukan haknya yang mutlak.
Kata Anwar Ibrahim ” Saya mengutuk sekeras-kerasnya pemintasan Israel terhadap GSF.
“Kapal-kapal ini membawa orang awam yang tidak bersenjata dan bekalan kemanusiaan bagi menyelamatkan penduduk Gaza, namun mereka disambut dengan intimidasi dan paksaan.
“Dengan menyekat misi kemanusiaan, Israel menunjukkan penghinaan sepenuhnya bukan sahaja terhadap hak rakyat Palestin tetapi juga hati nurani dunia.”
Sebelum itu, Anwar berjanji akan memohon bantuan masyarakat antarabangsa, termasuk rakan-rakan daripada Eropah untuk mengambil tindakan, atau membantu jika misi kemanusiaan yang disertai oleh lebih 43 buah negara dikenakan tindakan atau sekatan oleh Israel.
Misi GSF kali ini digerakkan secara berkoordinasi oleh sukarelawan Malaysia dan disertai oleh lebih 600 sukarelawan untuk menembusi ‘kepungan Israel” terhadap Gaza.
Sejak konflik Gaza-Israel berlaku, dan kini berlarutan selama dua tahun, lebih 65,000 orang rakyat Palestin terkorban, kebanyakannya adalah orang awam, kanak-kanak, wanita dan warga emas. Ribuan bangunan dibedil dengan senjata buatan Amerika dan beberapa buah negara Eropah.
Siri serangan ganas dan membabi buta tanpa henti itu telah menyebabkan Gaza berada dalam situasi krisis kemanusiaan yang parah. Dianggarkan lebih dua juta orang kehilangan tempat tinggal dan kanak-kanak akan membesar dalam keadaan kekurangan zat makanan manakala sektor perubatan turut lumpuh tanpa bekalan ubat-ubatan dan peralatan.
Israel turut membunuh sesiapa sahaja termasuk paramedik dan tindakan pembunuhan kejam itu telah dilabelkan sebagai genosid. Israel yang mendakwa mempunyai pasukan askar yang paling bermoral di dunia telah mencalarkan sendiri dakwaannya itu apabila melakukan pelbagai halangan dan sekatan ke atas pelbagai misi kemanusiaan ke Gaza.
Masyarakat antarabangsa bukan sahaja mengecam keganasan Israel, bahkan semakin berani dan lantang menyatakan pendirian terhadap hak Palestin sebagai sebuah negara, dan di pentas antarabangsa. Israel semakin dipulau sehingga ketika Benjamin Netanyahu menuju ke pentas untuk berucap, lebih 77 perwakilan antarabangsa keluar dewan. Ia melambangkan bantahan dan amaran ke atas Israel yang dianggap kebal dan sukar mematuhi peraturan antarabangsa.
Kejadian yang memalukan itu berlaku pada Persidangan Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-80 di New York pada 26 September 2025. Para perwakilan membincangkan status Palestin sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat. Sehingga kini, lebih 139 buah mengiktiraf Palestin, dan Israel semakin kehilangan sahabat antarabangsanya.
Ketika ucapan itu berlangsung, dewan persidangan kelihatan hampir kosong dan misi GSF telah pun berada di pertengahan jalan menuju ke Gaza. Misi itu bermjla pada akhir September dan dijangka sampai ke Gaza sebelum cukup dua tahun serangan balas Israel ke atas Gaza.
Dua buah lagi kapal yang dinaiki oleh sukarelawan berjaya ditahan oleh Israel iaitu kapal Alma dan Sirius. Sukarelawan Malaysia yang menaiki kapal Alma ialah Musa Nuwayni, Illylia Balqis dan Sul Aidil manakala sukarelawan di atas kapal Sirius ialah Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli.
Selain itu, PU Rahmat dilaporkan turut ditahan oleh Israel bersama-sama seorang tokoh hak asasi antarabangsa, Greta Thunberg. Greta merupakan aktivis alam sekitar wanita dari Sweden yang berusia 22 tahun.
Kesemua kapal-kapal yang berjaya dipintas oleh Israel itu berlaku di Zon R3, yakni di kedudukan zon merah pertama sebelum sampai ke pantai Gaza. Menurut undang-undang maritim, 100 batu nautika daripada pantai sesebuah negara dikelasifikasikan sebagai zon yang menjadi milik sesebuah negara. Dalam kes ini, zon yang dikawal (zon merah) oleh Israel secara haram dibahagikan kepada tiga, dan R1 adalah zon yang sangat hampir (sekitar 20 atau 30 batu nautika) daripada pantai.
Misi kemanusiaan ke Gaza melalui jalan laut dimulakan pada tahun 2008, yakni setelah Israel melakukan serangan bertubi-tubi ke atas Gaza akibat Hamas telah memenangi Pilihan Raya Palestin pada tahun 2006. Walaupun pemerhati antarabangsa menyifatkan pilihan raya tersebut sempurna dan sah berdasarkan prinsip demokrasi, Israel dan Amerika Syarikat tidak mengiktiraf kemenangan Hamas.
Dua negara tersebut dan disokong oleh sekutunya kecewa kerana parti tajaan mereka, Fatah hanya mampu menguasai 41 peratus undi, terutama di Tebing Barat. Hamas menang majoriti dengan 51 peratus undi menyebabkan Palestin terbelah dua. Gaza dikuasai Hamas dan Tebing Barat oleh Fatah, yang membentuk Pihak Berkuasa Palestin melalui Perjanjian Oslo 1993.
Israel kekal berusaha untuk menghapuskan Hamas, Dan terus bertekad melumpuhkannya dengan apa cara sekali pun. Dengan kecekapan Mossad, beberapa orang pemimpin Hamas berjaya dibunuh oleh Israel walaupun di luar negara seperti yang berlaku ke atas Ismail Haniyeh pada tahun 2024 lalu.
Sejarah kejam Israel ke atas misi kemanusiaan ke Gaza ditandai dengan terbunuhnya Rachel Corrie, sukarelawan wanita daripada Amerika Syarikat pada 16 Mac 2003. Rachel Corrie dilanyak oleh jentolak askar Israel di Rafah.
Peristiwa itu menghidupkan misi bantuan melalui jalan laut (2008) dan pada tahun 2010, satu konvoi antarabangsa yang dikenali Flotila Freedom Gaza (atau Mavi Marvara) dilaksanakan dari Turki dan disertai oleh sukarelawan antarabangsa, termasuk Malaysia.
Bagaimanapun, konvoi itu diserang menjelang pagi di laut antarabangsa (31 Mei 2010) dan semua kapal yang menyertainya ditunda ke pelabuhan Ashdod. Dalam serangan fajar itu, seramai 9 orang sukarelawan ditembak mati oleh pasukan elit tentera Israel yang menggunakan helikopter.
Selebihnya ditahan dan tragedi itu menyebabkan hubungan diplomatik Israel dengan Turki tegang, kerana lapan orang sukarelawannya terbunuh. Dalam serangan tersebut, 80 orang sukarelawan cedera di tembak oleh tentera Israel.
Kali ini, sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan bertambah besar dan dalam perjalanan mereka dikawal oleh dua buah kapal tentera Itali dan Sepanyol. Bagaimanapun, setelah memasuki Zon Kuning (300 batu nautika daripada pantai Gaza), dua buah kapal itu tidak lagi bertindak sebagai pengawal.
Menurut laporan, ia disambung oleh kapal tentera Turkiye (Turki). Dalam serangan ketika berada di R3, tidak diketahui sama ada kapal tentera Turkiye itu masih bersama atau tidak.
Jumaat lalu, seluruh masjid di Wilayah Persekutuan telah mengadakan sembahyang sunat hajat bagi mendoakan keselamatan para sukarelawan ke Gaza. Orang ramai juga digalakkan untuk melakukan hal yang sama dan diminta untuk membaca Qunut Nazilah agar segala sekatan dan halangan dipermudahkan.
Sebagai umat Islam yang cintakan kedamaian, sepatutnya terus kekal berdoa agar semua sukarelawan yang sedang ditahan dan masih dalam perjalanan ke Gaza terus cekal dan diselamatkan daripada segala musibah, walaupun kita sedar, tentera Israel adalah pasukan tentera yang paling tidak bermoral di dunia dan gila membuat keputusan tanpa belas kasihan.
Ya Allah selamatkanlah mereka. Berikan mereka perlindungan dan jauhilah mereka dari seksaan ganas Israel. Walaupun mereka dianggap gagal, hati dan semangat mereka cukup kuat di jalan-Mu, Ya Allah, untuk menaburkan kasih sayang-Mu kepada seluruh alam.
KAMARUN KH
Recent Comments