Ketika Benjamin Netanyahu berjalan menuju ke pentas untuk berucap, sekumpulan wakil negara-negara Islam mengambil keputusan berjalan keluar sehingga menimbulkan sedikit kekecohan.

Sebelumnya, ketika nama Benjamin Netanyahu disebut, para perwakilan memekik benci, atas alasan Perdana Menteri Israel itu tidak sepatutnya diberikan peluang berucap.

Lebih memalukan ialah berlakunya tunjuk perasaan yang membanjiri sepanjang jalan di bandar raya New York membantah kehadiran Benjamin Netanyahu.

Dalam perjalanannya ke New York, Netanyahu terpaksa melalui perjalanan yang jauh daripada kebiasaan. Jet yang membawanya ke New York mengambil jalan di luar ruang udara Sepanyol (maksudnya, Eropah) kerana merasa takut ditangkap oleh pihak berkuasa Sepanyol. Sepanyol bukan sahaja mendokong Palestin bahkan cukup keras memberikan pandangannya terhadap genosid yang dilakukan atas arahan Benjamin Netanyahu terhadap rakyat Palestin.

Peristiwa yang cukup memalukan itu berlaku pada Jumaat, 26 September 2025 di Perhimpunan Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York. Ia berlaku di tengah-tengah sokongan masyarakat dunia terhadap pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Susulan kejadian itu, pengerusi persidangan mengambil inisiatif untuk menenangkan keadaan. Namun, inisiatif tersebut tidak berjaya menghentikan keputusan perwakilan negara yang bencikan tindakan genosid Israel daripada meneruskan tindakan keluar dewan.

Mereka membuat keputusan yang memalukan Israel sebagai tindakan untuk memberitahu kepada masyarakat antarabangsa bahawa pemimpin yang memang diakui telah melakukan genosid sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai.

Israel tidak boleh dipercayai kerana tindakan ganasnya di luar batasan kemanusiaan dan hukum antarabangsa. Israel hanya lebih mementingkan keinginan besarnya agar dapat menguasai seluruh bumi Palestin dengan apa cara sekalipun walaupun tindakan tersebut adalah kejam dan melanggar hukum antarabangsa. Ia adalah langkah awal kepada Israel Raya (the Greater Israel) atau Kingdom of Zion.

Para perwakilan sedia memahami, dengan mengambil tindakan keluar dewan persidangan sebagai langkah yang wajar. Mereka keluar kerana tidak mahu mendengar pembohongan dan penipuan Netanyahu, yang bukan sahaja ingin membenarkan tindakan ganasnya bahkan sedang menukarkan fakta sejarah sehingga kebenaran tidak selalunya benar seandainya tidak berpihak kepada Israel.

Sehingga 23 September 2025, terdapat 151 buah negara telah menyatakan pendirian mengiktiraf kewujudan negara Palestin dan dalam masa yang sama, China mendesak agar Majlis Keselamatan PBB mengeluarkan Israel sebagai negara ahli.

Di tengah-tengah sokongan antarabangsa itulah Benjamin Netanyahu mengeluarkan kenyataan balas bahawa “tidak ada negara Palestin, yang ada hanyalah negara Israel”. Kenyataan sombong dan gila itu dianggap sebagai tindakan yang tidak boleh dimaafkan oleh masyarakat antarabangsa.

Israel seterusnya terpukul malu apabila enam negara Eropah yang sejak tahun 1948 mengiktiraf kewujudan negara haram Israel mengambil keputusan bersetuju sebuah negara merdeka bernama Palestin dizahirkan segera.

Israel menjadi lebih malu apabila Britain dan Perancis menyokong penubuhan negara Palestin walaupun kedua kuasa besar itulah yang menjadi pemula yang gigih untuk menzahirkan sebuah negara haram Yahudi menerusi Perjanjian Sykes-Picot (1916) dan Deklarasi Balfour (1917).

Britain dan Perancis berhasrat untuk membuka kedutaan mereka di Palestin manakala Palestin akan dibenarkan mendirikan kedutaan di negara terbabit. Rakyat Britain sebahagiannya menyambut keputusan Perdana Menterinya dan menyifatkan sebagai titik pemansuhan Deklarasi Balfour yang berusia lebih satu kurun atau abad (108 tahun).

Tamparan yang cukup hebat itu menyaksikan bahawa Netanyahu hanya bercakap ketika kerusi perwakilan hampir kosong dan perwakilan Amerika Syarikat yang mendengarnya adalah dalam kalangan diplomat junior. Amerika Syarikat tidak menghantar wakil tetap mereka, sebaliknya menggantikan dengan diplomat yang sangat junior.

Ketika berucap, Netanyahu memuji tindakan Amerika Syarikat yang sentiasa menyokong Israel dalam apa situasi pun. Namun dalam kenyataan yang lain, Donald Trump yang melakukan lawatan ke Arab Saudi memberikan kata dua bahawa Washington tidak akan mendokong Israel yang berhasrat untuk menakluki Tebing Barat.

Kepada masyarakat Arab, jaminan Trump itu menunjukkan perubahan besar dasar Amerika Syarikat terhadap Israel yang terus ingin menjadikan seluruh wilayah Palestin di bawah jajahannya. Amerika Syarikat dikatakan sanggup berbuat demikian kerana semakin terasa tempias pemulauan masyarakat antarabangsa terhadap Washington.

Bagaimanapun, masyarakat antarabangsa sedikit sangsi dengan jaminan Trump itu, kerana Trump seringkali tidak menepati janji dan berbohong setiap kali cuba memenangkan dirinya sebagai seorang diktator yang diperlukan oleh rakyat Amerika Syarikat dan dunia.

Dalam masa yang sama, Trump dikatakan memberikan “lampu hijau” untuk Israel memulakan langkah ke Taiwan sebagai strategi jangka panjang untuk mempengaruhi China. Taiwan akan dijadikan buffer state atau zon penampan, dan juga pengkalan tentera utama Amerika Syarikat setelah Afghanistan enggan berbuat demikian.

Masyarakat Korea Selatan seringkali menyatakan kemarahannya dan mendesak agar pengkalan tentera yang ada di sana ditamatkan segera. Rakyat Korea Selatan melihat kehadiran Amerika Syarikat sebagai pengawal keselamatan negaranya sudah tidak diperlukan lagi. Ia berkaitan dengan hasrat Amerika Syarikat untuk terus kekal sebagai adikuasa tunggal walhal geopolitik dunia sedang menuju kepada kestabilan wilayah, kerjasama antara negara dan dasar berkecuali, dunia pelbagai kutub (multipolar).

Amerika Syarikat yang menaruh harapan terhadap slogan Make America Great Again (MAGA) sebenarnya makin tidak mampu dan slogan itulah juga yang menjadikan Amerika Syarikat seumpama negara pengemis (pariah state). MAGA juga tidak mampu melawan BRICS, dan BRICS menjadi semakin tidak boleh diugut oleh Trump walaupun cuba mengenakan tarif timbal balik yang tinggi ke atas eksport barangan negara anggota dan penyokongnya.

Kekukuhan dolar tidak dapat dipertahankan dan pengenyahan dolar (dedolarization) dalam transaksi perdagangan semakin meluas. Ia menjadi lebih sukar kerana Amerika Syarikat memiliki hutang sebanyak 37 trilion dolar. Sebahagian negara yang membeli bon tersebut sudah mula bercadang untuk menjualnya, walaupun belum matang. China sudah beberapa kali menjualnya sebagai tindakan mengehadkan kuasa dolar dan juga memberikan amaran kepada Trump.

Dalam situasi geopolitik yang dilihat begitu cenderung mengangkat China sebagai kuasa ekonomi baharu, Amerika Syarikat dikatakan tidak mampu mencari solusi untuk bangkit mempertahankan dunia satu polar yang hanya berjaya dikecapi sepanjang tiga dekad lalu, iaitu selepas berakhirnya Perang Dingin, yakni setelah Tembok Berlin diruntuhkan (1989).

Memasuki Abad ke-21, peranan Amerika Syarikat sebagai polis dunia menjadi sedikit demi sedikit pudar kerana tindakannya sendiri yang mempertahankan keganasan Israel dan kesombongannya untuk menentukan arus politik global. Juga suka menyakat negara lain berkembang maju dengan mengenakan sekatan ekonomi apabila enggan tunduk.

China muncul dengan memperkasakan ekonomi domestik dan menjadi pembekal hampir kesemua barangan yang diperlukan oleh masyarakat dunia. China menawarkan harga yang lebih murah dan dalam masa yang sama meningkatkan kualiti produknya. Ketika ini, China tidak lagi bergantung kepada teknologi dan kepakaran barat, bahkan telah melangkah lebih terkehadapan daripada Amerika Syarikat dan dunia barat sendiri.

Misalnya dalam teknologi kecerdasan buatan (AI), tekstil, besi keluli, kenderaan elektrik dan pembangunan infrastruktur mega (pengangkutan, pelabuhan dan pembinaan). Lebih menarik lagi ialah China menguasai 80 peratus bahan mineral dunia (nadir bumi, rare earth element) yang sangat diperlukan dalam industri teknologi tinggi, termasuk pembuatan bateri kereta, telefon dan bahan utama semikonduktor.

Kesemua faktor ini akan mempengaruhi perubahan regim geopolitik antarabangsa, yang tentunya akan memberikan tekanan kepada Amerika Syarikat sendiri. Tekanan yang sedang Amerika Syarikat hadapi ialah sikapnya terhadap Israel, dan tempias pemulauan antarabangsa ke atas beberapa dominasi produk jenama Amerika Syarikat. McDonald, Pizza Hut dan KFC menjadi contoh daripada gerakan BDS – Boycott, Divestment and Sanction. Beberapa dana pelaburan telah ketepikan pelaburan mereka je atas syarikat-syarikat yang ada kaitannya dengan Israel.

Pemulauan masyarakat antarabangsa terhadap Starbucks misalnya sedang memberi kesan yang sangat besar, bahkan bakal berhadapan dengan penggulungan perniagaan jika kekal mendokong Israel. Ketika ini, perniagaan Starbucks mengalami kerugian berturut-turut sejak boikot itu dilancarkan (2023). Di Amerika Syarikat dijangka akan menutup sebahagian besar premis perniagaannya, dan seramai 900 kakitangan akan diberhentikan.

Microsoft juga terkesan daripada hubungan kerjasama teknologinya dengan Israel. Microsoft sudah mengambil tindakan untuk memutuskan kerjasama dalam pembekalan teknologi (cloud dan AI) kepada Israel, yang terbukti digunakan oleh IDF untuk melakukan genosid dan serangan brutal yang melanggar batas kemanusiaan dalam konflik di Gaza.

Microsoft “ketakutan” kerana saingan teknologi yang besar daripada China. China pula sedang berusaha menolak tekanan Amerika Syarikat dan tidak gentar dengan ancaman. Sebaliknya China cukup bersedia untuk bertindak balas, menyahkan sebarang teknologi yang dijadikan oleh Amerika Syarikat sebagai “komoditi” dan menekannya agar tunduk. Pemimpin China sudah bertegas bahkan menyindir bahawa “dunia akan terus maju tanpa Amerika Syarikat.”

Benarlah seperti apa yang dibimbangkan oleh Samuel P Huntington, masa depan Amerika Syarikat akan dicabar dengan kebangkitan peradaban Timur (Teori Pertembungan Peradaban, Clash of Civilisation, 1995). Jika peradaban Islam mereka berjaya lakukan (pelecehan) bersandarkan “perang keganasan” dan Islamofobia, kini China diserang dengan “perang perdagangan” dan kuat kuasa tarif timbal balas.

Itali merupakan salah sebuah daripada sepuluh negara yang tidak bersetuju Palestin sebagai sebuah negara, tetapi sudah membuat ketetapan tidak lagi akan menjual senjata dan peralatan perang kepada Israel. Rakyat Itali sedang memberikan tekanan kepada Perdana Menteri’, Giorgia Meloni agar segera membuat keputusan mendokong Palestin atas dasar kemanusiaan.

Meloni bakal berhadapan dengan situasi yang lebih teruk jika enggan menerima desakan rakyatnya, juga mungkin akan kehilangan kuasa yang diraihnya sejak tahun 2022. Ketika rakyat Itali berdemonstrasi, Itali mengambil keputusan untuk menghantar kapal perangnya bagi melindungi Global Sumud Flotilla (GSF).

Namun, kapal yang tiba itu tidak akan menjadi pengawal, hanya sekadar memberikan bantuan jika ada kecemasan berlaku apabila Israel bertindak ganas. Sekali lagi rakyat Itali bangkit membantah, mereka turun ke jalan raya mendesak agar Meloni membuat pendirian tegas, mendokong Palestin dan menjadi pelindung kepada GSF yang semakin hampir dengan Gaza.

Secara umumnya, kebangkitan masyarakat dunia mendokong kemerdekaan Palestin akan menjadikan Israel dan Amerika Syarikat semakin dipulau. Rakyat Amerika Syarikat sudah menunjukkan protes mereka ke atas sikap dan pendirian Washington, dan Trump sedang dimalukan oleh pengundinya sendiri.

Dalam satu pungutan pendapat awam terbaharu, 80 peratus menyatakan Trump tidak seharusnya diberikan Anugerah Nobel Perdamaian 2025 atas pelbagai alasan. Trump bukanlah seorang layak untuk bercakap mengenai perdamaian kerana seluruh tindakannya mengarah kepada keganasan, kekerasan dan gila perang.

Alasan yang cukup menyekat ialah sokongannya ke atas Israel dalam genosid. Selagi Israel tidak berhenti, selagi itulah Trump dikatakan tidak layak dipertimbangkan. Trump dikatakan sedang tersepit.

Sebaliknya, rakyat Amerika syarikat lebih bersedia untuk mencalonkan semula bekas presidennya, Barrack H Obama bagi menggantikan Trump, dan kemungkinan kembali sebagai calon Demokrat dalam pilihan raya Presiden akan datang (November 2028).

Britain pula sedang mencadangkan agar bekas Perdana Menteri, Tony Blair diangkat sebagai Pengarah Pemulihan Palestin bagi tempoh peralihan, yakni tempoh yang diperlukan sebelum Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara. Arab Saudi sudah pun menyatakan sokongannya dan mengumumkan dana sebanyak USD 90 juta sebagai dana awal.

Tentunya, hal yang menjadikan Israel tidak “cukup dana” ialah tuntutan kemusnahan yang sudah dilakukannya sejak tahun 1948, selain mendapat pertimbangan Mahkamah Keadilan Antarabangsa agar tanah-tanah yang dirampas dikembalikan. Dalam tempoh yang lain, Palestin akan segera menuntut agar sempadannya dikembalikan sebagaimana dipersetujui oleh PBB pada tahun 1948.

Setakat ini Trump masih belum mengumumkan secara terperinci apakah yang dimaksudkan dengan 21 perkara rundingan damai Israel-Palestin, yang bakal berlaku sebelum hujung tahun ini. Masyarakat antarabangsa sedang menunggu butiran terbabit dan dalam masa yang sama tidak akan berhenti mendesak agar Israel hentikan keganasan, genosid dan memperakui bahawa Benjamin Netanyahu dihukum sebagai penjenayah perang, yang tidak boleh dimaafkan walaupun ada seribu alasan.

KAMARUN KH

_____________________________________________________________________________________________________

Perhatian sebentar…

Kami berusaha gigih menyebarkan ilmu dan menyediakan bahan bacaan bermanfaat secara percuma untuk semua lapisan masyarakat. Usaha ini akan terus diteruskan selaras dengan misi kami memperkasa pengetahuan dan kefahaman ummah.

Namun, menyediakan bacaan dan program ilmu secara percuma memerlukan kos yang berterusan. Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan dan dikembangkan.

Tidak seperti organisasi besar yang dibiayai pihak berkepentingan, PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA (OMIW) berdiri secara bebas, demi memastikan setiap perkongsian ilmu kekal bersih daripada pengaruh politik atau agenda tertentu.

Kini, kami memerlukan sokongan anda. Walaupun kami memahami tidak semua berkemampuan, sumbangan sekecil RM1 pun amat bermakna. Dengan sokongan anda, lebih ramai akan mendapat manfaat daripada program dan bahan bacaan percuma yang kami sediakan.

Salurkan sumbangan anda ke:
PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA
No. Akaun: 8602859886 (CIMB BANK)

Sokongan anda adalah pelaburan untuk manfaat ilmu yang berkekalan. Terima kasih kerana bersama kami dalam perjuangan ini.

Translate »