Pendedahan bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri ke-8, Datuk Dr Marzuki Mohamad jelas membuktikan bahawa kerjasama dengan PAS dalam PN bukan biasa-biasa. Ia adalah kerjasama luar biasa kerana calon PAS yang bertanding atas logo PN dibiayai oleh Bersatu.
Ini menunjukkan Bersatu masih ada wang yang banyak (jumlah besar) walaupun sebelumnya dikatakan tidak berwang kerana akaun parti dibeku dan untuk membayar gaji pekerja pun sukar.
Ketika itu, PAS ikut memberikan rangsangan untuk membantu Bersatu sebagai memenuhi moral bekerjasama dalam satu pasukan. Hakikatnya, bukan PAS yang mendanai Bersatu, Bersatu yang mendanai PAS.
Ia berlaku kerana sebelum PRU ke-15, akaun parti dibeku atas dakwaan sumber kewangan parti diperoleh secara tidak sah, yakni dikatakan ada unsur-unsur salah guna kuasa berdasarkan peruntukan dibawah akta yang digunakan oleh SPRM.
Tentu banyak wang telah dilaburkan oleh Bersatu sehingga PAS mampu menang besar, kemenangan yang bermakna dalam sejarah parti itu terbabit dengan pilihan raya sejak tahun 1959.
Sebelumnya, pada PRU ke-13, PAS didakwa turut menerima sejumlah RM90 juta wang daripada 1MDB yang kini masih belum selesai proses pendakwaan salah guna kuasa.
Sarawak Report menjadi whistle blower yang mendedahkan penerimaan tersebut, namun PAS pada muka mengemukakan proses undang-undang ke atas pemiliknya, seorang wanita warganegara Britain yang lahir di Sarawak, Clare Rewcastle Brown.
Bagaimanapun, PAS di pertengahan jalan menarik balik saman itu dan membayar sebanyak RM 1.4 juta untuk penyelesaian di luar mahkamah. Awalnya, PAS mendakwa ada potensi untuk menang saman fitnah tersebut.
Apabila PAS menarik balik kes terbabit, parti itu sebenarnya bukan menang kes saman fitnah. PAS mungkin takut lebih banyak maklumat terdedah kepada umum, kerana pemilik Sarawak Report dikatakan cukup bukti untuk tujuan tersebut, apa yang ditulisnya adalah fakta.
Sebaliknya, PAS membuat kenyataan bahawa tidak sanggup menanggung kos guaman yang tinggi, kerana ia berlaku di England yang semua tahu, bayaran guaman adalah cukup tinggi.
Dr Marzuki mendedahkan pembabitan Bersatu dalam membiayai kos pilihan raya umum lalu adalah sebagai reaksi terhadap kenyataan MB Kedah bahawa bagi mengurus dan mempertahankan kerusi yang dimenangi, PAS perlukan belanja sebanyak RM 1 juta bagi setiap kerusi Parlimen yang dimenanginya.
Tentunya, jumlah itu termasuk untuk membayar sagu hati kepada perantau yang pulang mengundi. Kita tahu, fenomena ini cukup bingit selepas PRU ke-15, bahkan MB Kedah tidak segan mengakui bahawa ada di antara perantau merajuk bila tidak dibayar balik kos pulang ke kampung untuk mengundi. Ia berbeza dengan pengundi DAP, yang sanggup pulang ke kampung dengan perbelanjaan sendiri walaupun berada di luar negara.
Kisah seorang ADUN di Terengganu juga cukup menarik. Beliau mengharapkan perantau yang pulang ke kampung semasa hari mengundi perlu bersabar. “Tunggu sedikit masa lagi,” katanya, “peruntukan belum sampai, permohonan telah dihantar kepada kerajaan pusat”.
Ada pula wakil-wakil “berteriak” sana sini bahawa Kerajaan Persekutuan “kejam” kerana tidak menyalurkan peruntukan kepada pembangkang. “Kami perlukan wang”, bentaknya, “nak bayar sewa pejabat, sagu hati kenduri, sagu hati ziarah kematian dan orang sakit.”
Kos yang terpaksa dibayar ialah pengurusan kempen, termasuk keperluan logistik seperti mencetak bendera parti, operasi bilik gerakan dan juga perbelanjaan petugas. Ini bermakna, PAS mungkin tidak akan mampu bertanding lebih banyak kerusi dalam PRU akan datang jika tidak ada sumber kewangan.
Sasaran PAS untuk PRU 16 adalah menang 80 kerusi, iaitu meningkat sebanyak 37 kerusi Parlimen daripada PRU ke-15. Ini menunjukkan aspirasi besar PAS, melonjak sebanyak 87 peratus.
Tentunya untuk mendapat 80 kerusi Parlimen, PAS akan meminta lebih 100 kerusi untuk ditandingi dalam PRU akan datang. Sesuatu hal cukup besar bila memikirkan dalam PN ada pelbagai parti, setiap parti mungkin ada mimpi untuk bertanding sama.
Ertinya, Bersatu juga ingin bertanding lebih daripada jumlah kerusi yang dimenanginya, terutama untuk membalas dendam ke atas wakil rakyatnya yang berpaling tadah dan menyokong kerajaan Madani.
Keseluruhan jumlah kawasan Parlimen yang akan dipertandingkan ialah 222, iaitu 166 (termasuk WP Labuan 1, Putrajaya 1 dan WP Kuala Lumpur, 11) manakala Sabah, 25 dan Sarawak, 31.
Tentunya, kalau dilihat kedudukan tersebut, PAS cukup mengharapkan kerusi di Semenanjung berbanding Sabah dan Sarawak. Setakat ini, PAS belum terbukti mampu menang walaupun satu kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.
Ia sedikit berbeza dengan Bersatu. Sebelum dilanda gelombang perpecahan, Bersatu menguasai Sabah. Tetapi, untuk kali ini, Bersatu akan berhadapan laluan sukar untuk menang kerusi Parlimen di Sabah, ia akan ditentang hebat oleh GRS dan BN.
Untuk Sarawak, Bersatu juga tidak mempunyai potensi yang menyerlah kerana jika dilihat daripada prestasi sebelumnya, ia sangat kerdil untuk melawan arus politik yang muncul melalui GPS..
Berdasarkan senario itu, kita akan melihat bahawa antara PAS dan Bersatu akan terus bertelingkah sesama sendiri setelah muncul pengakuan bahawa parti itu bersedia menerajui kepimpnan PN, yang sebelumnya ditolak sebagai satu bentuk rasa hormat buat Tan Sri Muhyiddin.
Nampaknya, jika PAT BERSATU menimbulkan kegaduhan soal calon PM, maka kali ini Muktamar PAS di Alor Setar mencetuskan kegaduhan soal wang. Kegaduhan soal wang ini cukup mendedahkan bahawa PAS adalah parti yang tidak berterima kasih kerana Bersatu cukup kasihan membantu sehingga boleh menang 43 kerusi.
PAS juga dilihat sebagai parti yang sangat memerlukan wang, dan kerana wang parti itu sanggup bekerjasama. Jika tidak ada wang, PAS mungkin tidak memberikan kerjasama. Di situ membawa kepada sebuah andaian, kalau hanya untuk bekerjasama tanpa “hulur” ia hanya membuang masa.
Faktor wang juga dikatakan PAS akhirnya bermain “dua kolam” sebagai strategi politik. Jika UMNO mampu menawarkan. “wang”, PAS mungkin kekal dalam Muafakat Nasional. Disebabkan, UMNO tidak ada kuasa, bererti tidak ada “wang” untuk ditawarkan dan peluang itu diambil oleh Bersatu telah membuka ‘laluan wang” buat PAS.
Sebab itulah dalam PRU ke-15, begitu mewah kelihatan bendera, persiapan dan kelengkapan yang dipamerkan sepanjang kempen. Dalam sesetengah kawasan, bendera PN cukup menguasai hampir menenggelamkan bendera BN dan PH yang ikut bertanding.
Masakan tidak, PAS menerima wang daripada UMNO untuk jadi dirinya sebagai “kingmaker” sekiranya tidak ada keputusan majoriti mudah dalam PRU ke-14. Sayangnya, PAS dan UMNO sama-sama tumbang sehingga tercetus apa yang dinamakan sebagai Muafakat Nasional.
Nampaknya, kelibat PAS dengan dana politik akan terus menjadi beban sejarah yang tidak mudah dilupakan, termasuklah pelaburan untung besar oleh sebuah koperasi yang ditubuhkan oleh PAS pada tahun 1990-an.
Pendeposit tidak mendapat balik wang, tetapi PAS hanya sekadar memberikan jawapan, ia sesuatu yang silap apabila koperasi silap melabur. Namun, tindakan kesilapan itu tidak dibuat, pendeposit terus mengharapkan wangnya dipulangkan. ( https://provolution.wordpress.com/…/14/kohilal-oh-kohilal/).
Nampaknya perang dana ini akan menjadi lebih besar apabila Pengarah Pilihan Raya PAS bertanya, kepada siapa duit itu disalurkan. Sanusi turut meminta Dr Marzuki memberikan butiran lengkap (terperinci) mengenai dana yang dikatakan telah membantu PAS menang 43 kerusi Parlimen dalam PRU lalu.
Apa pun perkembangan selanjutnya, ia cukup jelas dakwaan bahawa PAS sebenarnya tidak akan bekerjasama sekiranya tidak menguntungkannya, termasuk untuk mendanai pilihan raya. Jika hanya bersandarkan kutipan derma (tin Milo), tidak cukup untuk PAS “mengepak sayap cukup lebar dalam setiap pilihan raya umum yang disertainya beberapa tahun kebelakangan.
KAMARUN KH
_____________________________________________________________________________________________________
Perhatian sebentar…
Kami berusaha gigih menyebarkan ilmu dan menyediakan bahan bacaan bermanfaat secara percuma untuk semua lapisan masyarakat. Usaha ini akan terus diteruskan selaras dengan misi kami memperkasa pengetahuan dan kefahaman ummah.
Namun, menyediakan bacaan dan program ilmu secara percuma memerlukan kos yang berterusan. Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan dan dikembangkan.
Tidak seperti organisasi besar yang dibiayai pihak berkepentingan, PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA (OMIW) berdiri secara bebas, demi memastikan setiap perkongsian ilmu kekal bersih daripada pengaruh politik atau agenda tertentu.
Kini, kami memerlukan sokongan anda. Walaupun kami memahami tidak semua berkemampuan, sumbangan sekecil RM1 pun amat bermakna. Dengan sokongan anda, lebih ramai akan mendapat manfaat daripada program dan bahan bacaan percuma yang kami sediakan.
Salurkan sumbangan anda ke:
PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA
No. Akaun: 8602859886 (CIMB BANK)
Sokongan anda adalah pelaburan untuk manfaat ilmu yang berkekalan. Terima kasih kerana bersama kami dalam perjuangan ini.
Recent Comments