Beberapa hari lalu, sejumlah 150 buah negara telah menetapkan pendirian, mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara. Namun, Donald J Trump, Presiden Amerika Syarikat yang terkenal “angkat bakul sendiri” kekal untuk tidak mengiktiraf Palestin, dan digunakan kuasa veto yang diperuntukkan untuk menolaknya.

Apa erti semuanya kepada “negara Palestin”? Ia tidak memberikan apa-apa kuasa, kecualilah mendapat pengiktirafan moral daripada 150 buah negara yang mahukan Palestin menjadi sebuah negara. Hakikatnya, tidak ada proses penguatkuasaan yang berlaku, yang adanya Israel kekal menjadi bangsa penjajah kejam dengan sokongan tanpa belas kasihan oleh Amerika Syarikat. Sebab itulah dengan angkuhnya Perdana Menteri Israel mengatakan, tidak wujud konsep “dua negara”.

Konsep “dua negara” awalnya merupakan langkah penyelesaian yang dikatakan strategi menang-menang untuk dua negara mengenai konflik Israel-Palestin. Ia hanyalah satu pendekatan yang bersifat retorik, kerana Israel selama-lamanya tidak mengiktiraf Palestin manakala Palestin tidak mahukan Israel berada di tanah leluhur mereka.

Strategi “dua negara” itulah juga membolehkan Israel terus melakukan keganasan, kerana setiap kali perundingan dibuat, ada hal yang tidak boleh dikompromi. Misalnya, perihal hak rakyat Palestin yang diusir untuk kembali ke leluhurnya. Israel tetap tidak membenarkannya. Israel mencari alasan untuk tidak bersetuju. Antaranya ialah, bukan Israel yang menghalau rakyat Palestin, tetapi rakyat Palestin sendiri secara sukarela meninggalkan kampung halamannya.

Israel cuba mewajarkan setiap tindakan kekerasan yang mereka lakukan. Sejak tahun 1948, Israel tidak pernah mengakui bahawa keganasan, rampasan tanah, pemusnahan kediaman dan pembunuhan kejam oleh tentera dan peneroka Yahudi haram adalah satu kesalahan. Sebaliknya, Israel berkeras menyatakan kekerasan yang berlaku kerana orang Yahudi melakukannya demi keselamatan dan pertahankan hak mereka.

Apa sebenarnya hak mereka? Berdasarkan sejarah sejak Yahudi membentuk ideologi zionis dan menterjemahkan keputusan untuk menubuhkan sebuah negara Yahudi, tidak pernah ditentukan garis antara hak dan batil. Sebaliknya, pertubuhan Yahudi mendakwa, Palestin adalah “tanah yang dijanjikan” maka mereka berhak untuk pulang, memiliki dan menduduki seluruh tanah itu.

Mitos “tanah yang dijanjikan” dieksploitasi walaupun sejarah turut merakamkan bahawa sebahagian besar orang Yahudi telah melarikan diri secara sukarela sejak lebih 3,000 tahun. Mereka menetap di kebanyakan buah negara Eropah, tetapi, menuntutnya kembali setelah idea negara Yahudi muncul pada tahun 1897, ekoran meletusnya nasionalisme Eropah yang bermula pada akhir Abad ke-17.

Mereka yang menentang hasrat itu, digelar anti-semitik, sedangkan makna Semitik yang asal diselewengkan dengan penuh muslihat dan tipu daya. Secara asasnya, semitik itu merupakan satu rumpun bahasa yang berasal dan digunakan di Timur Tengah. Ia meliputi bahasa Arab, Ibrani, Aramia dan Akkadia. Ini bermakna, menurut istilah pengguna atau mereka yang menggunakan bahasa Arab adalah termasuk dalam rumpun Semitik.

Namun, Israel mengehadkan maknanya. Hanya mereka yang menggunakan bahasa Ibrani (Hebrew) dan dilahirkan sebagai orang Yahudi sahaja yang dinamakan bangsa Semitik. Oleh kerana itu, Anti-Semitik bererti Anti-Yahudi. Itulah juga etos kehidupan mereka, sehingga tidak membenarkan orang Yahudi berkahwin dengan bukan Yahudi, termasuk dengan mereka yang beragama Kristian. Namun, konsep Anti-semitik tidak lagi dikaitkan secara terikat dengan agama Yahudi, tetapi disimpulkan sebagai Anti-Israel.

Setelah memulakan langkah untuk mendirikan negara haram untuk orang Yahudi bermula pada akhir Abad ke-19, keturunan Yahudi yang mendorongnya, kebanyakannya adalah mereka yang tidak memahami secara mendalam mengenai agama Yahudi, sanggup melakukan apa sahaja muslihat. Mereka bukan sahaja menipu, bahkan cuba memberikan tekanan kepada kebanyakan elit politik yang berkuasa, dengan harapan mendapat sokongan dan bantuan untuk menyelesaikan masalah orang Yahudi yang hidup dalam diaspora dan tidak bernegara di seluruh pelosok dunia.

Penipuan demi penipuan mereka lakukan. Pelbagai tindakan dan peristiwa sejarah mereka eksploitasikan, walaupun pada faktanya tidak benar atau hanya separuh benar. Di celah-celah “garis kelabu” itulah mereka menuntut dan terus mendesak sehingga akhirnya tertubuhnya negara haram Israel, bukan negara Yahudi sebagaimana yang diputuskan pada persidangan pertama Yahudi di Basel, Switzerland pada tahun 1897.

Mereka membina sebuah falsafah perjuangan yang kekal, iaitu menghapuskan setiap orang yang mereka gelar Anti-Semitik,.walaupun keturunan Palestin adalah juga merupakan kelompok Semitik. Ini kerana, keturunan Palestin menggunakan bahasa Arab, dan tidak beragama Yahudi. Sebahagian besarnya beragama Islam dan sebahagian kecil adalah beragama Kristian.

Semuanya mereka bantai, bunuh dan halau dengan kejamnya. Rumah-rumah dibakar dan dirampas..sumur air diracuni dan disimen agar mereka melarikan diri.kerana tidak ada sumber air yang menjadi nadi kehidupan. Tanah-tanah.milik petani mereka bakar pokok-pokok yang ditanam dan dirampas manakala perkampungan mereka dikawal, dibina tembok dan disekat daripada menjalankan aktiviti, yang akhirnya mereka duduki seolah-olah itu adalah kepunyaan mutlak mereka. Pelbagai tipu muslihat mereka lakukan, dengan tujuan ialah menjarah dan memilikinya.

Rentetan kisah duka Palestin yang berlanjutan sejak tertubuhnya negara haram Israel itulah yang telah membawa kepada ketidakstabilan politik antarabangsa dan terserlah peranan Amerika Syarikat sebagai penggalak genosid. Sejak tertubuhnya negara haram Israel, Amerika Syarikat tidak pernah tidak menggunakan kuasa veto untuk membatalkan apa sahaja keputusan yang tidak menguntungkan Israel.

Namun, penipuan dan kekejaman yang berlaku sudah tidak boleh ditepis dengan mudah. Amerika Syarikat semakin kehilangan cengkaman dan tidak lagi boleh “mengawal” beberapa buah negara sekutunya. Sebaliknya, semakin banyak negara sekutu Amerika Syarikat semakin berani untuk menolak Israel sehingga ada negara yang sanggup memutuskan hubungan diplomatik, perdagangan dan membantu Palestin. Inikah yang sedang ditunjukkan oleh 150 buah negara yang menjadi anggota PBB.

Britain, Sepanyol, Perancis, Norway dan India sudah berpaling tadah, tidak seiring pandangan dengan keputusan Washington. Keputusan ini menjadikan Amerika syarikat semakin dibenci dan Israel semakin dijauhi. Namun, Amerika Syarikat tidak pernah bertolak ansur, biarpun rakyatnya sendiri membantah. Amerika Syarikat sedang meneruskan skrip “bahasa diplomasi”nya walaupun terasa benar bohong dan sangat tidak adil.

Kita boleh analisis dan perhatikan faktanya, termasuklah apa yang diucapkan oleh Donald J Trump dalam perutusannya di PBB terbaharu, yang digambarkan sebagai ‘teruk dan menjengkelkan”. Trump mengkritik logistik PBB ketika persidangan tersebut kerana beliau alami gangguan “kerosakan eskalator” dan lebih memalukan ialah pendirian para sekutunya, yang tidak lagi sehaluan, kecuali Singapura, Jepun, Korea Selatan dan Argentina

Singapura, Korea Selatan, Jepun, Agentina dan beberapa buah negara yang tidak menyokong Palestin sebagai sebuah negara nampaknya cukup takut. Mereka takut akan dikenakan tindakan oleh Washington kerana beberapa sebab, termasuk tekanan ekonomi dan keselamatan. Jepun dan Korea Selatan merupakan “tangan kanan” Amerika Syarikat di Asia, yang menjadi benteng sejak dua negara itu dijadikan pengkalan utama tentera selepas Perang Dunia II. Asalnya, sebagai langkah pembendungan komunisme daripada China, Rusia dan Korea Utara, yang mereka bina melalui doktrin Perang Dingin.

Singapura, sebagaimana yang diketahui adalah negara pulau yang sangat bergantung kepada Amerika Syarikat. Bahkan Singapura dilihat sebagai lokasi gerakan perekonomian utama Yahudi di Asia Tenggara. Singapura membangunkan ketumbukan tentera dan sistem pertahanannya berdasarkan nasihat, panduan dan kepakaran teknikal Israel. Singapura belajar daripada Israel.

Jika Israel dilingkungi oleh negara-negara Arab, Singapura pula cukup takut dengan “Malay Belt” kerana tetangganya adalah Indonesia, Malaysia dan yang dikatakan, boleh mengancamnya bila-bila masa. Singapura membina kekuatan, bahkan secara logiknya, cukup menguasai bidang ketenteraan, maritim dan ruang udara. Ekonomi Singapura menjadi begitu makmur, sehingga mendapat kedudukan terbaik didunia walaupun tidak mempunyai sebarang sumber mineral dan hasil hutan.

China, Rusia, Britain dan Perancis buat pertama kalinya dengan jelas memberikan perakuan Palestin sebagai sebuah negara. Empat negara itu adalah pemilik kuasa veto, hanya Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto untuk menggagalkan resolusi tersebut. Ia bukan sahaja sebuah keangkuhan, bahkan menjadi satu bentuk keputusan yang sangat tidak beradab.

Donald J Trump terus memberikan signal, selagi Israel tidak berjaya menakluki dan menduduki sepenuhnya bumi Palestin, serta masih ada penduduk ketirisan Arab-Palestin, selagi itulah akan dibenarkan untuk mengganas. Sebab itulah Israel tidak akan bersetuju selama-lamanya konsep penyelesaian dua negara. Israel hanya akan bersetuju jika hanya ada negara Israel, dan Palestin hilang sepenuhnya.

Menariknya lagi, walaupun Itali tidak menyokong Palestin sebagai sebuah negara merdeka, kerajaan Itali mengambil keputusan untuk menghantar kapal perangnya bagi melindungi Sumud Global Flotila ke Gaza yang sedang memasuki Laut Mediteranean. Selepas Itali, Sepanyol membuat keputusan yang sama. Keputusan dua kerajaan tersebut menggambarkan kesepaduan mereka dalam memperkatakan kekejaman yang dilakukan oleh Israel, yakni melangkaui batas kemanusiaan.

Sumud Global Flotila disertai oleh 600 sukarelawan kemanusiaan daripada lebih 40 buah negara. Mereka menaiki 53 buah kapal membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan untuk masyarakat Gaza yang dikepung oleh Israel. Walaupun diancam oleh ugutan dan dron Israel, setakat ini mereka masih tidak gentar untuk terus memasuki perairan Gaza setelah beberapa misi kemanusiaan sebelumnya dihalang secara brutal oleh tentera Israel.

Paling kejam ialah Flotila yang diadakan pada tahun 2010. Rombongan kemanusiaan itu diserang di perairan antarabangsa dan kapal-kapal yang membawa bantuan ditunda ke pelabuhan Ashdod. Dalam serangan itu, seramai sembilan orang sukarelawan terbunuh (8 adalah dari Turki) dan puluhan orang tercedera. Serangan itu dinamakan Sea Breeze Operation. Ia telah menyebabkan berlakunya ketegangan dengan Turki. Turki ada hubungan diplomatik dengan Israel.

Kali ini, Israel akan mendapat malu yang besar sekiranya kekerasan yang sama digunakan. Berdasarkan laporan terakhir, Israel telah menggunakan dron untuk menakut-nakut para sukarelawan dan turut menembak ke arah kapal menggunakan “stun grenade”. Setakat ini, belum ada kematian berlaku walaupun beberapa orang cedera dan beberapa buah kapal mengalami kerosakan. Bagi menjamin keselamatan perjalanan konvoi tersebut, Itali dan Sepanyol bersedia menghantar kapal perangnya sebagai “benteng” serangan ganas dron dan tentera Israel.

Cukup melucukan apabila Donald J Trump cuba menjustifikasikan tindakannya agar berjaya meraih Hadiah Nobel Keamanan pada tahun ini. Ia lucu kerana secara zahirnya Trump bukanlah tokoh politik yang benar-benar mahu mencipta keamanan dunia, sebaliknya dilihat cukup tegar dengan tindakan ganas dan pembuli. Trump yang mendakwa telah berjaya mengamankan tujuh konflik atau perang, sebenarnya tidak melakukannya.

Semua orang tahu, konflik Kemboja-Thailand bukan diselesaikan oleh Trump begitu juga dengan konflik di dua buah negara Afrika. Trump juga gagal menamatkan perang Ukraine walaupun memberikan harapan sebelumnya akan selesai dalam tempoh sebulan setelah kembali berkuasa. Tetapi, Trump membuat tuntutan bahawa inisiatif yang dilakukannya telah berjaya menamatkan tujuh peperangan. Trump sebenarnya telah berjaya mewujudkan suasana perang tanpa rasional ke atas Iran kerana ikut menyerang dan membenarkan Israel menyerang pada pertengahan Jun lalu.

Satu lagi kenyataan Trump yang tidak seharusnya dibuat terhadap PBB ialah “all they seem to do is write strongly worded letter and then never follow up that letter up. It’s empty words and empty words don’t solve war.” Benar, PBB tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan apa pun keputusan yang dibuat, kalaupun keputusan itu diterima secara konsensus.

PBB bukanlah sebuah negara. PBB adalah sebuah badan yang dianggotai oleh hampir semua negara yang berdaulat, yang hanya berfungsi sebagai platform mencari kata sepakat terhadap sesuatu perkara. Pelaksanaannya tetap bergantung kepada negara berkaitan, sama ada secara bersendirian mahupun dengan kerjasama negara lain.

Jika sesuatu keputusan itu dibatalkan atas ego kuasa besar yang ada kuasa veto, maka ia tidak akan menjadi satu bentuk keputusan yang wajib dipatuhi. Inilah yang Amerika Syarikat lakukan lebih 520 kali, menggunakan kuasa veto untuk menghalalkan keganasan dan kebrutalan tindakan Israel. Sebab itulah Israel semakin bongkak dan dilihat kebal terhadap undang-undang antarabangsa dan hukum kemanusiaan.

Namun, kali ini ada sentakan yang berbeza. Walaupun Amerika Syarikat dan beberapa negara membuat keputusan menentang Palestin sebagai sebuah negara merdeka, Israel mula resah. Rakyat Israel sudah mengeluarkan kenyataan tidak akan mengunjungi mana-mana negara yang mengiktiraf Israel, dan tentunya, rakyat Islam mula merasai takut untuk melancong ke luar negara.

Ada beberapa negara mula memikirkan untuk melakukan sekatan ekonomi ke atas Israel selain menguruskan hubungan diplomatik. Ini bermakna Israel semakin mendekati kepada pemulauan yang lebih besar dan ketara berbanding sebelum mendapat petunjuk sebagai pelaku genosid. Hakikatnya, pemulauan ini akan menjadikan ekonomi Israel semakin merudum manakala Amerika Syarikat hilang daya saingnya di peringkat global.

Tanda-tanda kehilangan itu semakin jelas, bahkan dalam negara sendiri Trump gagal menurunkan inflasi. Trump sedang berbohong, kadar inflasi sedang turun walhal rakyat Amerika Syarikat semakin hilang keyakinan. Mereka menganggap Trump sebagai seorang tokoh diktator dan pembohong terbesar abad ke-21 bersama-sama Benjamin Netanyahu.

Walaupun Palestin tidak dapat dizahirkan sebagai sebuah negara merdeka dalam tempoh terdekat, ia akan membawa kepada kemenangan awal dari segi moral masyarakat antarabangsa. Dan, tentunya, proses untuk Free Palestine yang benar-benar muktamad masih lagi panjang, selagi Israel belum berjaya dilenyapkan sama ada oleh tindakan konsensus masyarakat antarabangsa atau oleh balasan Tuhan di atas kejahatan serta keangkuhannya, sebagaimana lenyapnya peradaban besar dalam sejarah manusia. Misalnya, peradaban Maya, Mesopotamia, Rom dan lenyapnya kaum Aad, Thamud dan pengikut Nabi Nuh AS yang ingkar.

Seperti kata seorang aktor British yang cukup sinonim dengan drama William Shakespeare, Walter Charles Dance: Even if (the Gaza War) stopped tomorrow, there would not peace…. until the Balfour Declaration is unpicked”. maksudnya jelas, keamanan tidak akan tercapai selagi Deklarasi Balfour tidak dibatalkan dan Amerika Syarikat terus membaluti keganasan Israel.

KAMARUN KH

_____________________________________________________________________________________________________

Perhatian sebentar…

Kami berusaha gigih menyebarkan ilmu dan menyediakan bahan bacaan bermanfaat secara percuma untuk semua lapisan masyarakat. Usaha ini akan terus diteruskan selaras dengan misi kami memperkasa pengetahuan dan kefahaman ummah.

Namun, menyediakan bacaan dan program ilmu secara percuma memerlukan kos yang berterusan. Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan dan dikembangkan.

Tidak seperti organisasi besar yang dibiayai pihak berkepentingan, PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA (OMIW) berdiri secara bebas, demi memastikan setiap perkongsian ilmu kekal bersih daripada pengaruh politik atau agenda tertentu.

Kini, kami memerlukan sokongan anda. Walaupun kami memahami tidak semua berkemampuan, sumbangan sekecil RM1 pun amat bermakna. Dengan sokongan anda, lebih ramai akan mendapat manfaat daripada program dan bahan bacaan percuma yang kami sediakan.

Salurkan sumbangan anda ke:
PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA
No. Akaun: 8602859886 (CIMB BANK)

Sokongan anda adalah pelaburan untuk manfaat ilmu yang berkekalan. Terima kasih kerana bersama kami dalam perjuangan ini.

Translate »