Paradoks Pembangunan & Urbanisasi
Setiap tindakan pembuatan atau pembangunan sesuatu oleh manusia adalah juga sebuah tindakan yang memusnahkan sesuatu yang lain. Paradoks inilah yang sedang menghantui nadi pembangunan dan kemajuan mana-mana bandaraya. Dalam setiap derap langkah urbanisasi yang kita raikan, tersembunyi kehilangan ruang, legasi, dan yang lebih kritikal, kehilangan identiti itu sendiri.
Kes atau isu Kampung Sungai Baru menjadi hasil kepada urbanisasi. Sebuah mikrokosmos yang mencerminkan pertembungan antara imperatif pembangunan material dan tuntutan pemeliharaan warisan spiritual dan budaya.
Konteks Historis & Perundangan
Secara historisnya, Kampung Sungai Baru bukanlah sebuah anomali urban. Kewujudannya diabsahkan dalam kerangka perundangan sebagai sebahagian daripada Kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS). Ia adalah sebuah ‘socio-legal construct’ yang direka untuk memastikan keberadaan komuniti Melayu di pusat graviti ekonomi negara. Kampung Sungai Baru dan Kampung Baru bukan sekadar penempatan, tetapi sebuah pernyataan sosio-politik yang tersemat dalam geografi kota Kuala Lumpur.
Analisis Konflik: Pertembungan Maqasid & Muamalat
Konflik di Kampung Sungai Baru berpunca daripada tafsiran yang berbeza terhadap konsep ‘pembangunan’. Dari perspektif perancangan bandar konvensional, ia dilihat sebagai proses ‘urban renewal’. Namun, dari kacamata Fiqh, ia menyentuh beberapa prinsip fundamental.
Pertama, isu pampasan yang tidak setara secara langsung mencabar salah satu daripada lima objektif utama Syariah, iaitu Hifz al-Mal (pemeliharaan harta). Apabila pengambilan tanah dilakukan di bawah nilai pasaran sebenar, ia boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk ‘ghasab’ atau perampasan hak secara terpaksa.
Kedua, ia melanggar kaedah fiqh yang masyhur: ‘La darar wa la dirar’ iaitu tidak boleh memberi mudarat dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan. Kemuḍaratan (darar) yang dialami penduduk—bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga penempatan semula sosial—harus ditimbang dengan teliti dari sudut maslahah ‘ammah atau kepentingan awam yang ingin dicapai. Persoalannya, adakah maslahah sebuah entiti komersial boleh mengatasi mafsadah atau kerosakan yang menimpa sebuah komuniti yang telah lama berakar?
Intervensi Institusi Raja: Peranan Ulil Amri
Intervensi Institusi Raja dalam isu ini tidak boleh dilihat sebagai sekadar reaksi emosional. Ia adalah manifestasi peranan Ulil Amri sebagai penjaga amanah dan penimbang tara keadilan. Titah DYMM Sultan Selangor berfungsi sebagai satu mekanisme ‘check and balance’, memastikan bahawa logik ekonomi pembangunan tidak beroperasi dalam sebuah vakum moral dan keadilan, selari dengan tuntutan siyasah syar’iyyah.
Peranan ini berakar umbi dalam tanggungjawab Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri, yang menjadikan baginda kustodian utama kepada Maqasid al-Shariah. Apabila sesebuah projek pembangunan berisiko mencabuli objektif-objektif utama Syariah, khususnya Hifz al-Mal (pemeliharaan harta), Hifz al-Din (pemeliharaan agama), dan Hifz al-Nafs (pemeliharaan nyawa dan kesejahteraan masyarakat), maka intervensi Ulil Amri bukan sahaja wajar, tetapi menjadi satu kewajipan. Titah baginda adalah sebuah tindakan proaktif untuk mengharmonikan antara tuntutan pembangunan fizikal dengan imperatif pemeliharaan nilai-nilai Syariah yang lebih fundamental.
Dalam landskap pentadbiran moden yang sering didominasi oleh naratif teknokratik dan justifikasi berasaskan data ekonomi, Institusi Raja berfungsi sebagai kompas moral. Ia menyuntik semula dimensi etika dan spiritual ke dalam proses pembuatan dasar. Intervensi ini adalah aplikasi praktikal bagi kaedah Fiqh Tasarruf al-imam ‘ala al-ra’iyyah manutun bi al-maslahah, yang bermaksud “Tindakan seorang pemimpin terhadap rakyatnya bergantung pada maslahah (kepentingan terbaik untuk rakyat)”. Ini menegaskan bahawa sebarang keputusan pembangunan, walaupun didorong oleh potensi keuntungan ekonomi, pada akhirnya harus tunduk kepada ujian maslahah yang lebih besar untuk rakyat.
Malah, tindakan ini merupakan satu kesinambungan legasi sejarah institusi Kesultanan Melayu itu sendiri. Sejak zaman berzaman, Sultan adalah payung negeri yang menjadi pelindung kepada agama Islam dan orang Melayu. Intervensi dalam isu kontemporari seperti pembangunan Kampung Sungai Baru adalah terjemahan moden bagi peranan tradisional tersebut. Ia membuktikan bahawa Institusi Raja kekal relevan sebagai benteng terakhir yang mempertahankan kontrak sosial historis antara pemerintah dan rakyat, memastikan nasib komuniti tidak dikorbankan di atas altar pembangunan yang tidak berpaksikan keadilan.
Analogi Sejarah: Precedent Kes Abdullah Hukum
Untuk meramal masa hadapan, kita sering kali perlu meneliti sejarah. Kes Kampung Abdullah Hukum menjadi sebuah ‘historical precedent’ yang signifikan. Transformasinya menjadi KL Eco City adalah contoh sempurna bagaimana sebuah ruang komuniti bertukar menjadi ruang komoditi dan komersil. Hasilnya bukan sekadar perubahan fizikal, tetapi sebuah dislokasi sosio-budaya di mana social fabric komuniti asal telah terlerai sepenuhnya, dan digantikan dengan hutan konkrit semata.
Menuju Paradigma Pembangunan Beridentiti
Di sinilah kita perlu memperkenalkan semula sebuah paradigma yang lebih holistik. Sarjana agung Ibn Khaldun telah mengemukakan konsep Umran, yang sering diterjemah sebagai pembangunan peradaban. Umran atau ‘Ilm al-Umran melangkaui pembangunan fizikal semata-mata; ia merangkumi kepaduan sosial (asabiyyah), kemajuan spiritual, dan keharmonian budaya. Ia adalah antitesis kepada paradigma pembangunan neo-liberal yang seringkali mengukur kejayaan hanya melalui KDNK dan indeks pasaran saham.
Ke Arah Fiqh Pembangunan Malaysia
Justeru, kes Kampung Sungai Baru memaksa kita untuk bergerak melangkaui perdebatan pampasan semata-mata. Ia menggesa kita untuk merangka sebuah kerangka kerja, sebuah fiqh pembangunan yang tidak hanya sah di sisi undang-undang sivil, tetapi juga teguh berlandaskan prinsip keadilan Syariah dan bijaksana dalam meraikan ‘uruf atau adat setempat.
Pembangunan sejati bukanlah tentang berapa tinggi bangunan yang mampu kita bina, tetapi berapa utuh jati diri yang mampu kita pelihara.
Catatan: Penulis Khas
_____________________________________________________________________________________________________
Perhatian sebentar…
Kami berusaha gigih menyebarkan ilmu dan menyediakan bahan bacaan bermanfaat secara percuma untuk semua lapisan masyarakat. Usaha ini akan terus diteruskan selaras dengan misi kami memperkasa pengetahuan dan kefahaman ummah.
Namun, menyediakan bacaan dan program ilmu secara percuma memerlukan kos yang berterusan. Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan dan dikembangkan.
Tidak seperti organisasi besar yang dibiayai pihak berkepentingan, PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA (OMIW) berdiri secara bebas, demi memastikan setiap perkongsian ilmu kekal bersih daripada pengaruh politik atau agenda tertentu.
Kini, kami memerlukan sokongan anda. Walaupun kami memahami tidak semua berkemampuan, sumbangan sekecil RM1 pun amat bermakna. Dengan sokongan anda, lebih ramai akan mendapat manfaat daripada program dan bahan bacaan percuma yang kami sediakan.
Salurkan sumbangan anda ke:
PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA
No. Akaun: 8602859886 (CIMB BANK)
Sokongan anda adalah pelaburan untuk manfaat ilmu yang berkekalan. Terima kasih kerana bersama kami dalam perjuangan ini.
Recent Comments