Menurut Ustaz Zakaria, gurunya itu merupakan salah seorang murid Tok Selehor.

Beliau menceritakan bahawa kedatangan orang untuk mendengar pengajian Kitab Hikam yang diajar oleh Tok Selehor, yang dijadualkan pada hari Selasa, telah memenuhi perkarangan pondok Tok Selehor sejak hari Isnin petang lagi.

Kedatangan itu bermula dengan orang-orang luar yang tinggal jauh dari daerah-daerah lain, termasuk dari wilayah Pattani, Narathiwat dan sebagainya. Mereka bermalam di sekitar pondok Tok Selehor.

Diceritakan suasana ketika itu seolah-olah seperti pasar malam pada zaman kita, dengan pelbagai jualan makanan dan minuman disediakan bagi kemudahan orang luar yang datang bermalam di sana.

Sebaik sahaja pengajian di surau Tok Selehor bermula, perkarangan surau dipenuhi lautan manusia.

Ada yang sanggup memanjat pokok kelapa di sekeliling surau, walaupun bangunan surau tersebut mempunyai dua tingkat.

Begitulah keadaan mereka kerana ingin mendengar suara Tok Selehor membaca Kitab Hikam serta melihat wajah beliau, walaupun dari jarak jauh.

 Demikianlah minat dan kasihnya mereka terhadap Tok Guru yang menjadi idola mereka.

Selanjutnya, Ustaz Zakaria menceritakan lagi kisah kehebatan Tok Selehor yang dipetik daripada cerita Tuan Guru Haji Nik Usman, Imam Masjid Kampung Amir.

Kisah itu berlaku semasa Ustaz Zakaria memondok dengan Tuan Guru Haji Husin di Pondok Kampung Amir, Besut.

Kata Tuan Guru Haji Nik Usman:
“Aku ingin mendengar pengajaran Kitab Hikam yang diajar oleh Tok Selehor kerana ada orang mengatakan ia sangat menarik. Lalu aku pergi ke Selehor melalui jalan pantai, iaitu melalui pantai Bachok, dengan berjalan kaki.

Sebaik sahaja sampai ke pondok Tok Selehor, masuk sahaja waktu Subuh, aku terus menunaikan solat di belakang. Aku langsung tidak berpindah dari tempat duduk itu kerana takut tidak mendapat tempat tersebut ketika Tok Selehor mengajar pada pukul 10 pagi.

Apabila beliau mula mengajar, setiap huraian yang disampaikan benar-benar menusuk hati. Aku menangis seperti budak-budak. Setelah aku sedar, aku berasa malu kerana tangisan itu dilihat oleh orang ramai.”

Catatan: Ibnu Majid

_____________________________________________________________________________________________________

Perhatian sebentar…

Kami berusaha gigih menyebarkan ilmu dan menyediakan bahan bacaan bermanfaat secara percuma untuk semua lapisan masyarakat. Usaha ini akan terus diteruskan selaras dengan misi kami memperkasa pengetahuan dan kefahaman ummah.

Namun, menyediakan bacaan dan program ilmu secara percuma memerlukan kos yang berterusan. Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan dan dikembangkan.

Tidak seperti organisasi besar yang dibiayai pihak berkepentingan, PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA (OMIW) berdiri secara bebas, demi memastikan setiap perkongsian ilmu kekal bersih daripada pengaruh politik atau agenda tertentu.

Kini, kami memerlukan sokongan anda. Walaupun kami memahami tidak semua berkemampuan, sumbangan sekecil RM1 pun amat bermakna. Dengan sokongan anda, lebih ramai akan mendapat manfaat daripada program dan bahan bacaan percuma yang kami sediakan.

Salurkan sumbangan anda ke:
PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA
No. Akaun: 8602859886 (CIMB BANK)

Sokongan anda adalah pelaburan untuk manfaat ilmu yang berkekalan. Terima kasih kerana bersama kami dalam perjuangan ini.

Translate »