Suatu waktu dahulu, pemimpin PAS tidak suka Putrajaya, lalu dikatakan akan melelongnya jika parti itu menang.

Kali ini, ceritanya lain pula, PAS cuba berkali-kali untuk menawan Putrajaya, dan beberapa hari lalu, semasa bermuktamar, PAS berharap akan tiba masanya menawan Putrajaya.

Tentunya, PAS sudah banyak berubah. PAS berubah daripada sebuah parti yang kurang mendapat perhatian, menjadi sebuah parti yang cukup ghairah untuk berkuasa.

Kalau dahulu, PAS hanya bercakap mengenai aspirasi menegakkan sebuah negara Islam, kini PAS seolah-olah tidak lagi mengungkapkan pelbagai warna politik, lebih berstrategi untuk mengharungi budaya politik Islam.

Kecenderungan PAS sudah mula menunjukkan bahawa politik itu sebagai alat untuk mendapatkan kuasa. Dengan hanya mengeluarkan kenyataan retorik negara Islam, PAS bermetamorfosis bersama istilah “kembali kepada Islam” setelah tersedar bahawa sebelumnya tidak selari kenyataan dan tindakan.

Setelah terperangkap dengan RUU 355, PAS pada muktamarnya yang terbaharu kembali menegaskan bahawa aspirasi itu akan diteruskan sekiranya berkuasa. Namun, rakyat Malaysia mula senyum kambing, kerana tidak mahu disergah sebagai “kenyataan setan” tatkala mengkritiknya.

Sebab rakyat Malaysia tahu, Presidennya bukan mahu menjawab dengan jelas soalan yang ditanya, tetapi mengilas seumpama seekor ular tedung kehilangan pasangan.

Contoh terbaharu ialah jawapan Presiden PAS ke atas para pemudanya sendiri dalam ucapan penutup Muktamar ke-71 yang diadakan di Alor Setar semalam (16 September 2025). Pemuda meluluskan usul tentang keperluan PAS untuk memilih calon PM untuk mewakili PN pada pilihan raya ke-16.

Pemuda turut mencadangkan agar Tuan Ibrahim, namun beliau menolaknya. Presiden juga menolak, atas alasan “tidak layak” atas faktor usia dan kesihatan. Presiden mencadangkan agar calon yang bakal dipilih ialah mereka yang berumur di bawah 70 tahun dan tidak berpenyakit (sihat).

Ramai yang membayangkan, dalam tiga orang Naib Presiden, semuanya berusia di bawah 70 tahun. Namun, calon yang pernah ditonjolkan pada suatu ketika, ialah MB Terengganu dan beliau merupakan tokoh yang termuda dalam barisan Naib Presiden PAS.

Beliau juga ada kualiti sebagai pemimpin, berbanding dua Naib Presiden yang lain, Nik Amar Abdullah dan Idris Ahmad. Samsuri tidak banyak melontarkan kenyataan- kenyataan “merapu” sejak dilantik sebagai Naib Presiden dan MB Terengganu.

Jika kriteria itu diterima sebagai takat ukur penentuan, secara langsungnya PAS mahukan PN memilih bakal calon yang lebih muda. Ini bermakna, PAS jelas menolak pencalonan Muhyiddin yang sudahpun lanjut usia, jauh melepasi ukur maksimum yang ditetapkan. Ia menjadi isyarat yang tidak boleh diabaikan.

Apatah lagi dalam Bersatu sendiri “arus bawah’ sedang mengatakan Muhyiddin sepatutnya perlu berundur kerana kepimpinannya tidak menjanjikan optimisme untuk parti.

Ada yang mengatakan, PAS tidak sepatutnya kemukakan calonnya buat masa sekarang, tetapi PAS ikut menyelar Bersatu bila parti itu secara terbuka memutuskan Muhyiddin sebagai calon PM jika gabungan PN menang.

Kritikan itu sedikit reda apabila Muhyiddin mengumumkan soal siapa yang akan dipilih sebagai calon PM mewakili PN akan dibincangkan dalam Majlis Tertinggi PN yang dijangka berlangsung minggu ini.

Dalam masa yang sama, PAS akan mengemukan senarai pilihannya setelah membuat tapisan daripada berlori-lori calonnya yang layak. Khabarnya, calon yang layak ialah bukan calon yang hanya tahu hadir mesyuarat atau bermuktamar dengan menaiki kapal terbang. Maknanya, PAS mahukan calon yang sangat bersifat tradisional, dan tidak suka menonjol diri dan suka mendesak.

Dalam ucapan penutup, Presiden PAS membuat tafsiran sedikit pedas kepada golongan muda dalam parti agar lebih berhati-hati, tidak menunjukkan emosi yakni terlalu bersemangat.

Sifat itu katanya, tidak akan membangunkan sifat terpuji, kerana dalam keadaan gopoh ia akan mudah dipengaruhi oleh setan. Pemuda PAS mestilah berhati-hati, menyusun perjuangan dengan bijak, Presiden PAS berpantun:

“Dari Kuala Muda pergi ke Ipoh

Berbekal ketupat pergi ke Pangkor

Orang muda memang gopoh

Dah nak melompat nanti tersungkur”.

Pantun itu tidak dapat dibalas kerana selepas ucapan itu, Muktamar ke-71 melabuh tirai. Tetapi tidak bermakna pemuda PAS tidak ada jawapannya, ia akan dibincangkan sesama mereka untuk seketika sebelum menyusun semula strategi untuk menyatakannya pada muktamar tahun hadapan.

Ertinya, belum lagi sempat melompat, akibat gopoh akan menyebabkan tersungkur. Ia benar kerana semasa muda, Presiden PAS pernah tersungkur. Dia tersungkur dengan idealisme politiknya yang cukup sekterian pada tahun 1980-an, walaupun gelombang di permukaan dilihat kuat dan berpengaruh.

Ada badai lebih besar menerpa, PAS tidak mampu menang bergaya pada beberapa siri pilihan raya yang diadakan selepasnya. Pernah pada suatu ketika PAS meletakkan sasaran untuk memerintah Malaysia menjelang tahun 2000.

PRU ke-10 (1999) walaupun mengeksploitasi hebat pemecatan Anwar, PAS kecundang. Hanya menang 27 kerusi Parlimen. PAS kuasai DUN Terengganu, tetapi kemudiannya berjaya dirampas kembali oleh BN pada PRU ke-11 (2004). Ia menjadi bertambah “lara” kerana PRU ke-11 hanya menang 7 kerusi Parlimen akibat Gelombang Biru dan pengaruh Mr Clean (faktor Abdullah Ahmad Badawi).

Hadi juga memberikan isyarat, isyarat berdasarkan pengalamannya sendiri yang hanya mampu bertahan selama sepenggal sebagai MB Terengganu kerana “gopoh”. Akibat gopoh, menutup premis tadika dan tabika yang didirikan di atas tanah kerajaan negeri, menukarkan JKKK kepada JSR, menyerang Wisma Darul Imam pada malam sebaik sahaja diisytiharkan menang dan mendakwa menemui wang berguni-guni yang belum sempat dibawa lari (sembunyi bawah meja), akhirnya menimbulkan kebangkitan Gelombang Biru yang cukup kuat.

Gelombang Hijau lemah dan tidak bermaya. Maka, itulah yang dirintis untuk menaikkan semula kadar tiupan angin, untuk menggelombangkan samudera politik dengan terbentuknya Pakatan Rakyat, boleh menerima DAP.

Gelombang itu memberikan sedikit kejayaan bagi PAS pada PRU ke-12, dengan kemenangan 23 kerusi dan seterusnya 35 kerusi pada PRU ke-13 (2013). Namun, oleh kerana PAS mula rasa “tertipu”, PAS mengambil keputusan keluar daripada Pakatan Rakyat dan berusaha membentuk gagasan ketiga untuk keluar sebagai “king maker”.

Namun, PRU ke-14 (2018) hanya menang 18 kerusi, menyusut dan dilihat cukup bersejarah, bertanding lebih 100 kerusi hanya menang 18 kerusi.

Takdir menentukan, PH tidak lama berkuasa, akhirnya ditumbangkan akibat Langkah Sheraton, dan kata Tuan Ibrahim, “macam kiamat”, ada 18 kerusi hari kerajaan, yang ada kerusi lebih banyak tidak jadi kerajaan. Karma itu nampak kembali kepada PAS, ada 49 kerusi tidak berada dalam kerajaan sedangkan yang ada kerusi lebih kecil ada dalam kerajaan.

Dalam usianya yang sudah menjangkau 78 tahun, Hadi cuba memberikan nasihat agar seluruh ahli PAS kekal setia kepada parti, dan meyakini bahawa PAS akan menang sebagaimana dijanjikan oleh Allah SWT, apabila masanya tiba.

Tetapi, Hadi tidak memberikan apa yang akan dibuat untuk membolehkan PAS menang dan menawan Putrajaya. Dalam sejarah Islam, ada kisah seumpama itu, dan itulah yang mungkin ingin dijentik oleh Presiden PAS.

Ketika Rasulullah SAW, ada yang mahukan Ali bin Abi Talib diangkat sebagai pengganti. Ketika itu, Ali masih muda, dan dikatakan calon paling layak. Ali terpaksa menunggu selama puluhan tahun untuk menjadi Khalifah, namun takdir menentukannya.

Ada intrig politik dalam pemikiran umat Islam, tetapi Aku tetap bersabar sehinggalah masanya sampai. Tetapi, Ali berhadapan dengan cabaran dari dalam umat islam sendiri. Akhirnya Ali terbunuh dan kemudian terlepaslah jawatan khalifah setelah putera Ali menyerahkan kuasa kepada Muawiyyah.

Sejak itu, muncul sistem politik berbentuk dinasti dan monarki. Perpecahan umat Islam menjadi semakin ketara dan kini masih belum boleh bersatu, masing-masing dengan pemahaman sekte dan falsafah politik tersendiri.

Begitu juga keadaan di Malaysia. Parti-parti politik orang Melayu tidak menunjukkan usaha untuk bersatu dengan ikhlas, ia hanyalah muncul sebagai retorik yang terdengar indah tetapi hakikatnya saling memusnahkan.

Setakat yang diberitahu, PAS yakin akan menang 80 kerusi dalam PRU akan datang. Berdasarkan rekod penyertaan PAS dalam PRU sejak tahun 1959, keputusan PRU ke-15 boleh dianggap sebagai kemuncak kejayaan. PAS mampu menang 43 kerusi dan menjadi parti tunggal yang terbanyak di Dewan Rakyat.

Namun apa yang jelas setelah Dewan Rakyat bersidang sudah lebih dua tahun, kualiti kepimpinan yang ditunjukkan oleh wakil rakyat belum mencapai tahap yang meyakinkan, masih terlalu banyak onar dan kadangkala butirannya sangat tidak bernas.

Begitu juga dengan kualiti perbahasan yang dibuat oleh Presiden PAS sendiri yang kadangkala dijayakan kurang rajin hadir dalam sidang Dewan Rakyat. Ia hanya masih berkisar pada olahan-olahan yang cukup retorik, berhujah sebagai pembangkang hanya semata-mata nak tunjukkan sifat membangkang.

Rakyat sekarang bukan seperti rakyat yang Haji Hadi berjaya pengaruhi dengan ucapan-ucapan “mengecam” dan menawarkan syurga seperti tahun-tahun jiwanya yang bergelora dengan “negara Islam” dan budaya taghut.

Zaman kini, setiap keburukan tidak lagi dapat disorok dibawah karpet dan kesalahan beragama seseorang bukan sekadar berjubah dan berketayap. Rakyat melihat apa yang pemimpin lakukan, kerana sudah terlalu banyak janji pilihan raya terkubur dalam angan-angan sebaik sahaja berkuasa.

Bila janji dituntut, pelbagai alasan diberikan dengan menyalahkan pihak musuh, kononnya apa yang menggagalkan adakah sabotaj daripada pihak lawan, termasuk kerajaan pusat yang menyekat perbelanjaan.

Rakyat yang bijak mencari maklumat, akhirnya sedar bahawa dakwaan ada sabotaj sebenarnya berlaku dari dalam pengurusan sendiri. Bila dapat bayaran wang ihsan, ia tidak dimanfaatkan dengan baik kepada rakyat. Ia digunakan untuk kepentingan parti, menyalurkan beberapa ringgit dalam bentuk bantuan tertentu.

Sebab itulah bila menang, cuba nafikan pernah berjanji untuk memberi sagu hati balik mengundi. Ada wakil rakyat kata, bersabarlah, tunggu peruntukan dari pusat, permohonan sudah dibuat.

Dalam muktamar kali ini cukup memberikan maklumat bahawa untuk mempertahankan setiap kawasan Parlimen yang dimenangi, memerlukan belanja RM 1 juta, termasuk untuk belanja kempen. Itu kata salah seorang panglima perang PAS yang kekal dipilih sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Sanusi Mohd Nor, MB Kedah.

Untuk melaksanakan harapan dan aspirasi itu, ahli PAS setiap bahagian perlu mempergiatkan kutipan derma, yang menangnya PAS cukup terkenal dengan istilah “Tin Milo.”

Ertinya, untuk menang sebanyak 80 kerusi Parlimen, PAS memerlukan lebih RM 80 juta. Sedikit sebanyak ia mengingatkan rakyat Malaysia akan dakwaan oleh Sarawak Report bahawa PAS pernah menerima dana sebanyak RM 90 juta dan kerana itulah pada PRU ke-14 menjadi sejarah PAS meletakkan calon yang cukup besar. PAS ketika itu berhasrat menjadi “king maker”.

Optimisme PAS tidak menemui kejayaan, hanya kejang 18 kerusi. Ia menunjukkan sekiranya PAS bertanding secara solo, ia tidak mungkin akan meraih kemenangan besar kecuali di dua buah negeri di Pantai Timur dan sebuah negeri di Utara.

Untuk memenangi negeri-negeri Pantai Barat dan Selatan, tidak mudah bagi PAS. Di Perlis, jika tidak berlaku keretakan sakan UMBI, PAS tidak mungkin berjaya menang dan dapat menguasai DUN tersebut.

Pada PRU ke-16, PAS berhasrat untuk menguasai DUN Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan muktamar tahun hadapan akan berlangsung di Pulau Pinang sebagai isyarat menggempur penguasaan DAP.

Sama ada PAS berjaya menggapai ke puncak lebuh tinggi, yakni menang 80 kerusi Parlimen ia sangat bergantung kepada kemampuan gabungan PH-BN untuk bersolidariti.

Sejak PH dan BN menjalin kerjasama politik, bukan dalam konteks tahalluf siyasi yang pernah dibuat oleh PAS semasa dalam Pakatan Rakyat, ia menunjukkan cukup sukar untuk PAS menang di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan,.apatah lagi di Pulau Pinang.

Tetapi jika BN benar-benar berpecah – MCA dan MIC – ia akan menguntungkan DAP, PAS belum boleh melihatnya sebagai cukup potensi. Sebabnya, dua parti yang ada buat masa ini, Bersatu dan Gerakan tidak mampu bertahan bahkan cukup sukar untuk menambah jumlah kerusi.

Gerakan di Pulau Pinang masih tidak mampu menggegar, bahkan kemunculannya kadangkala seumpama “datang tidak diundang, pulang tidak dihalau”. Ini kerana komposisi pengundi lebih banyak menunjukkan majoriti bukan Melayu, hanya ada beberapa kawasan sahaja adakah majoriti Melayu.

Tentunya, PAS akan berhadapan dengan pertembungan yang lebih besar daripada parti yang berteraskan orang Melayu. PAS tidak berupaya menang di kawasan majoriti bukan Melayu, atau kawasan di mana pengundi bukan anekayu menjadi faktor pemutus.

Di Selangor mungkin ada sedikit harapan, tetapi tidak mudah untuk apa-apa pecahkan penguasaan PH jika parti itu bertanding secara solo. Sebab itulah PAS tidak berani mendesak Bersatu dalam beberapa perkara, walaupun ada keinginan besar untuk melakukannya.

Itulah juga merupakan “azimat” apabila Setiausaha Agung PAS mengatakan, PAS pernah menolak untuk menguasai PN, kerana hormati kedudukan Muhyiddin.

Tetapi, itu dulu, sekarang PAS sudah bersedia untuk melakukannya. Ertinya, PAS memang mahukan PN dikuasai olehnya, dan meletakkan posisi Bersatu di tempatnya sekarang.

PAS akan menjadi lebih hegemoni, dan tentunya, Bersatu tidak lagi dapat menentukan arah dan haluan PN secara maksimum sebagaimana sekarang. Ia seolah-olah mengulangi apa yang berlaku di Nenggiri, Bersatu kena akur dengan kehendak PAS, termasuklah menggunakan cengkerangnya.

Tahun depan, Muktamar PAS akan berlangsung di Pulau Pinang, menurut Presiden PAS akan cuba memberikan isyarat bahawa “kubu DAP” itu akan dapat diruntuhkan.

Namun, apakah PAS yakin cabarannya benar-benar akan membawa tuah sebagaimana pernah Sanusi harapkan agar “Pulau Pinang kembali kepada Kedah”. PAS ada sejarahnya di Pulau Pinang, kerana PAS ditubuhkan di Butterworth pada 1951.

PAS mahukan sejarah penubuhannya menjadi titik balik yang menunjukkan ia mampu menggugat walaupun setelah lama berlalu. Ia bangkit dengan semangat baharu dan optimisme yang melangkaui kerangka rasional dan hujah ilmiah.

Sebabnya, politik itu “terkamil” kuat antara sejarah, dan kadangkala dengan pandangan “di luar lori”.

KAMARUN KH

Translate »