“Musuh kepada musuhku adalah kawanku”….
Selesai membaca Zionisme, Iran dan Arab: Membongkar Akar Konflik” hasil analisis terbaharu bekas wartawan Utusan Melayu, Mohd Nasaie Ismail memberikan saya kepada satu kesimpulan tepat terhadap andaian sebelumnya, iaitu untuk menjamin kestabilan geopolitik Timur Tengah khususnya, dan dunia amnya, Israel wajib dilenyapkan kewujudannya dengan apa cara sekali pun.
Walaupun tindakan itu tidak mudah, kerana selagi Amerika Syarikat mengambil sikap untuk mempertahankan kewujudan negara haram Israel, masih ada harapan bahawa kebrutalan pejuang-pejuang Zionis ditamatkan segera dalam keadaan sekarang mereka sedang mengalami imej terburuk dan menuju kepada isolasi.
Sebelum tercetusnya serangan balas pada 7 Oktober 2023, Israel mempunyai sahabat yang ramai terutama dalam kalangan negara-negara Eropah. Setelah terdedah keganasan dan mitos “mempertahankan diri” hanyalah sebuah doktrin yang sengaja direka untuk menatijahkan kolonialisme moden, Israel telah mengalami masalah moral yang cukup hina.
Bahkan, beberapa buah negara Eropah yang menjadi sekutunya sejak sekian lama sudah mula memberikan tekanan, termasuk ada yang bertegas akan laksanakan keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa ( ICJ, November 2024) bersedia “menangkap” Benjamin Netanyahu jika menjejak kaki ke negaranya.
Selain itu, suara-suara lantang bergema di Sweden, Denmark, Sepanyol, Perancis dan Itali untuk menyemak kembali hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel. Bukan itu sahaja yang mereka akan lakukan, bahkan Itali sudah menyatakan hasratnya untuk tidak lagi menjual senjata dan komponennya kepada Israel setelah tanpa ada asas yang kukuh, Israel melakukan serangan ke atas Iran pada 13 Jun 2025.
Berdasarkan alur sejarah, Israel tidak pernah berhenti untuk melaksanakan cita-cita yang dicetuskan oleh seorang lelaki Yahudi yang agnostik, Dr Theodore Herzyl. Herzyl menggunakan arus nasionalisme Eropah yang marak membakar semangat perkauman untuk membangkitkan kesedaran bahawa hanya dengan tertubuhnya sebuah negara Yahudi, masalah yang dihadapi oleh Yahudi akan selesai.
Kesemuanya dirangkumkan dalam tulisan kecilnya, Der Judenstat yang mendapat sokongan aktivis Yahudi yang bersidang pada tahun 1897. Sejak itu, Yahudi yang bergerak sebagai World Zionist Organisation (WZO) tidak pernah berhenti merangka strategi, melobi dan melaksanakan cita-citanya walaupun terpaksa membunuh orang-orang Yahudi sendiri.
Kemuncaknya, apabila terbitnya Deklarasi Balfour (1917) yang menjadi rangka dasar penjarahan kuasa-kuasa barat untuk memuktamadkan negara haram Palestin. Sebelumnya, Perancis dan Britain membuat perjanjian sulit, yang dikenali sebagai Skyes-Picot Agreement (1916) merangka pelan pembahagian kawasan wilayah kekuasaan Daulah Uthmaniyyah.
Namun, kesemuanya tidak mudah berlaku sekiranya tidak terjadi Perang Dunia I. Dalam banyak catatan, penyebab utama meletusnya Perang Dunia I adalah kerana hasrat dua kuasa kolonial terbesar Eropah mahu menguasai Timur Tengah, sebagai laluan strategik untuk menguasai negara-negara sebelah timur. Hal yang pertama yang mesti mereka lakukan ialah melumpuhkan kekuasaan Uthmaniyyah.
Ketika itu Uthmaniyyah menjalin kerjasama dengan Jerman. Setelah mengumpulkan kekuatan dan manipulasi nasionalisme, Britain berjanji untuk memberikan kemerdekaan kepada Arab Saudi sekiranya negara itu menyokong.
Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, Arab Saudi yang sudah lama ingin membebaskan diri daripada kuasa Uthmaniyah, memberikan laluan kepada British untuk sebagai pengkalan tentera atau tapak serangan ke atas Istanbul. (Eugene Rogan, The Fall of the Ottomans: The Great War in the Middle East 1914-1920, 2015).
Sejarah itu sudah terakam dengan baik dalam beberapa dokumen, dan kini, sejarah juga telah dan sedang ditulis semula oleh Zionis untuk menjelaskan kepada dunia bahawa “tanah jajahan” yang mereka dapat dan tubuhkan negara haram Israel (1948) adalah hak mereka yang telah dijanjikan oleh Tuhan beribu tahun silam.
Mereka kembali ke tanah air itu, dan mereka mempertahankannya dengan nyawa, manipulasi, agitasi dan segala macam tindakan yang ganas walaupun tidak dibenarkan oleh nilai kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa. Israel cukup kenal kerana sejak penubuhannya, Amerika Syarikat akan mendokong dan mempertahankannya sebagai tindakan yang wajar.
Sejak penubuhannya, Amerika Syarikat sudah lebih 500 kali menggunakan kuasa veto bagi menghalang sebarang tindakan dan kecaman ke atas Israel di platform antarabangsa. Hal itu menyebabkan ada cadangan agar PBB mengkaji semula peruntukan kuasa veto yang diberikan ke atas lima buah kuasa besar: Amerika Syarikat, Britain, Perancis, China dan Rusia.
Ini kerana Amerika Syarikat telah menyalahgunakan kuasa veto atas kepentingan Israel walaupun negara haram itu terbukti melakukan jenayah yang cukup besar ke atas penduduk Palestin. Sebagaimana kita tahu, PBB ditubuhkan pada tahun 1947 menggunakan asas Liga Bangsa-Bangsa yang dipelopori oleh Britain, Perancis dan Sepanyol sejak Perjanjian Perdamaian Paris 1919.
Ia mendapat sokongan kuat Amerika Syarikat walaupun tidak menyertainya. Antara tahun 1919 hingga 1939, sejumlah 63 buah negara menganggotainya, dan ini menjadikan Amerika Syarikat semakin berpengaruh dalam percaturan politik antarabangsa.
Setelah itu, ia digantikan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (1947) selepas Perang Dunia II, di mana Amerika Syarikat dilihat sebagai sebuah kuasa yang paling berpengaruh sehingga membolehkannya mendapat kuasa veto bersama-sama Britain, Perancis, Rusia dan China. Amerika Syarikat menawarkan lokasi sebagai ibu pejabat PBB. (Rujuk: https://www.bharian.com.my/…/reformasi-kuasa-veto-di…)
Nasaei sudah menulis tiga buah buku mengenai pergolakan dan konflik yang berlaku di Palestin. Dalam bukunya yang pertama, Hari-Hari Akhir Israel di Bumi Palestin (2024), Nasaie yakin negara Palestin merdeka akan muncul walaupun dianggap sebagai “cahaya dihujung terowong”. Buku itu turut memberikan gambaran sejarah dan susur galur kejahatan Israel sejak mereka berjaya “merampas” Palestin.
Buku kedua, Arus Politik Palestin (2024) memberikan kita gambaran perubahan dan proses politik yang berlaku sejak negara haram Israel ditubuhkan. Ia turut merungkaikan kejahatan Israel yang akan membunuh sesiapa sahaja yang menjadi pejuang atau memimpin pembebasan Palestin walaupun terpaksa lakukan di luar wilayah yang didudukinya. Ia membawa kita memahami mengapa Hamas menjadi tumpuan dan harapan rakyat Palestin.
Sebelumnya, PLO menjadi harapan untuk memerdekakan Palestin. Selepas Perjanjian Oslo (1993), PLO menjadi “tangan kanan” Israel, menyebabkan Hamas muncul sebagai sebuah harapan baharu. Menerusi Fatah, sayap politik PLO yang diberikan kuasa autonomi, Israel cuba mengawal dan mengunci sebarang tindakan untuk menuntut atau berjuang bagi kemerdekaan Palestin.
Sebaliknya, Fatah yang diberikan kuasa mentadbir melalui Pihak Berkuasa Palestin (PA) ikut menyekat sebarang usaha pembebasan Palestin daripada cengkaman Israel. Kisah itu terakam dengan baik dalam buku Ben Ehrenreich, The Way to the Spring: Life and Death in Palestine (2007) dan juga Thomas Suarez, Palestine Hijacked: How Zionism Forged An Apartheid State From River to Sea (2023).
Israel membunuh pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Teheran (Julai 2024), dan dua puluh tahun sebelumnya (2004), Hamas kehilangan dua orang pengasasnya, Sheik Ahmad Yassin (22 Mac) dan Dr Abdul Aziz Rantisi (17 April). (Dr Hafidzi Mohd Noor, Palestin: Kemenangan Yang Dekat, 2024). Setelah meninggalnya Ismail Haniyeh (31 Julai 2024), Yahya Sinwar pula dibunuh dengan menggunakan serangan dron (16 Oktober 2024). Pembunuhan dua orang tokoh Hamas itu mengingatkan kita sejarah yang sama dua puluh tahun berselang.
Kesemuanya itu menggambarkan strategi perang Israel, yang cukup yakin dengan membunuh para pemimpin, Hamas akan lumpuh. Sayangnya, sejak PLO (Pertubuhan Pembebasan Palestin) menjadi gerakan yang ditakuti, kemudian PFLP (Barisan Rakyat Untuk Pembebasan Palestin) dan kini Hamas (Gerakan Perjuangan Islam, Harakat al-Muqawamah al-Islamiyyah), Israel belum mampu menghapuskan semangat dan perjuangan membebaskan Palestin.
PFLP (yang ikut bergabung dengan PLO pada suatu ketika cukup terkenal dengan tindakan beraninya, merampas pesawat penumpang. Ia bukan sekali, tetapi dua kali. Ia turut menjadikan Leila Khalid sebagai ikon wanita pemberani. (Sarah Irving, Leila Khalid: Icon if Palestinian Liberation, 2012). PFLP merupakan pertubuhan pembebasan Palestin yang dipengaruhi oleh sosialisme ditubuhkan oleh George Habash, seorang penganut Kristian.
(Bersambung)
KAMARUN KH
_____________________________________________________________________________________________________
Perhatian sebentar…
Kami berusaha gigih menyebarkan ilmu dan menyediakan bahan bacaan bermanfaat secara percuma untuk semua lapisan masyarakat. Usaha ini akan terus diteruskan selaras dengan misi kami memperkasa pengetahuan dan kefahaman ummah.
Namun, menyediakan bacaan dan program ilmu secara percuma memerlukan kos yang berterusan. Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan dan dikembangkan.
Tidak seperti organisasi besar yang dibiayai pihak berkepentingan, PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA (OMIW) berdiri secara bebas, demi memastikan setiap perkongsian ilmu kekal bersih daripada pengaruh politik atau agenda tertentu.
Kini, kami memerlukan sokongan anda. Walaupun kami memahami tidak semua berkemampuan, sumbangan sekecil RM1 pun amat bermakna. Dengan sokongan anda, lebih ramai akan mendapat manfaat daripada program dan bahan bacaan percuma yang kami sediakan.
Salurkan sumbangan anda ke:
PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA
No. Akaun: 8602859886 (CIMB BANK)
Sokongan anda adalah pelaburan untuk manfaat ilmu yang berkekalan. Terima kasih kerana bersama kami dalam perjuangan ini.
Recent Comments