Baru-baru ini, Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW) telah memberi khidmat kepada jemaah Tabligh dari Kuala Lumpur yang berkampung di Rumah Ngaji Wan Jah Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan.

Sepanjang berada di sini selama tiga hari, mereka telah mengadakan majlis ta’lim, majlis khatam al-Quran, solat hajat serta ziarah. Jemaah ini merupakan jemaah 40 hari, dan semoga usaha dakwah yang murni ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

Apabila kita menyebut ‘Jemaah Islam’, ada yang terus teringat ABIM, ada yang terbayang IKRAM, ISMA, PEMBINA, atau Jemaah Tabligh. Ada juga yang skeptikal dan bertanya; ‘Apa yang mereka buat sebenarnya?’, ‘Betulkah mereka beri manfaat?’.

Hakikatnya, jemaah Islam di Malaysia lahir dengan niat yang sama: mahu membawa ummah kembali kepada Allah SWT, dan mahu menegakkan Islam dalam masyarakat. Tetapi realitinya, perjalanan itu tidak mudah. Mereka berdepan dengan pelbagai cabaran, lebih-lebih lagi di zaman moden ini.

Kita perlu mengenali sifat-sifat jemaah Islam sebenar berpandukan Al Quran dan Sunnah seperti berikut. Jemaah itu ditubuhkan untuk menggalas tanggungjawab kefarduan berdakwah dan bukan ditubuhkan akibat tidak puas hati dengan jemaah Islam yang sedia ada. Menjadikan Al Quran dan Sunnah sebagai perlembagaan dan matlamat utamanya adalah keredhaan Allah SWT. Jemaah juga seharusnya bercita-cita menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Ia mesti dipimpin secara tersusun mengikut hierarki jawatan dengan mentaati kepimpinan yang terlantik mengikut prioriti jawatan mereka. Keanggotaan terbuka kepada sesiapa sahaja yang mampu untuk mengikut tatacara berjemaah dan tidak kepada golongan tertentu sahaja. Jemaah perlu menyasarkan dakwah kepada seluruh lapisan masyarakat baik kaya atau miskin, berpelajaran mahupun tidak dan tidak bersikap selektif.

Dakwah itu juga merangkumi seluruh aspek kehidupan yang tidak hanya terhad pada satu aspek sahaja. Ahli-ahlinya pula perlu bersikap teguh, fundamental dan tidak mengubah dasar Islam sesuka hati walaupun kepimpinan, organisasi dan strategi bertukar ganti. Bersifat fleksibel dan progresif. Sentiasa memperbaharui pendekatan selari dengan peredaran masa.

Sejarah jemaah Islam di Malaysia bermula sejak tahun 70-an, apabila kesedaran Islam mula bangkit di kampus universiti. Dari situlah lahir Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), dipelopori anak muda yang mahu menentang sekularisme dan membina masyarakat madani berasaskan Islam.

Kemudian muncul pula IKRAM, yang lahir daripada jaringan aktivis dakwah dan pendidikan. Fokus mereka: membina tarbiah, keluarga Islam, dan masyarakat seimbang antara duniawi dan ukhrawi.

ISMA pula menekankan soal identiti, Melayu dan Islam — mempertahankan aqidah umat, mengangkat isu ummah, dan melawan arus liberalisme yang semakin kuat.

Sementara itu, PEMBINA tampil di universiti sebagai wadah anak muda, melatih generasi baru dalam kepimpinan, tarbiah, dan dakwah.

Dan ada juga gerakan yang lebih senyap seperti Jemaah Tabligh — yang fokusnya bukan politik atau wacana, tetapi menghidupkan iman melalui usaha fardi: solat berjemaah, zikir, dakwah dari rumah ke rumah.

Cabaran yang dihadapi Jemaah Islam hari ini boleh dikatakan agak besar. Pertama, adalah wujudnya cabaran persepsi. Ramai umat Islam yang ada tanggapan salah tentang jemaah Islam, ada yang menuduh mereka ekstremis, ada yang kata mereka konservatif, ada juga yang menuduh mereka hanya alat politik. Stereotaip ini menjadikan dakwah mereka sukar diterima oleh sebahagian masyarakat.

Kedua, adalah cabaran persaingan naratif. Dalam dunia media sosial, suara jemaah Islam sering tenggelam dengan hiburan, budaya pop, dan ideologi lain. Anak muda lebih mudah percaya TikTok daripada halaqah ilmu.

Ketiga, iaitu cabaran dalaman. Kadang-kadang perbezaan pendekatan antara jemaah sendiri menimbulkan perpecahan, sedangkan musuh sebenar di luar lebih besar.

Keempat, adalah cabaran global. Isu Islamophobia, liberalisme, dan sekularisme memberi kesan langsung kepada umat Islam di Malaysia. NGO dakwah terpaksa berjuang bukan sahaja di medan tempatan, tapi juga dalam konteks dunia moden.

Namun, di sebalik cabaran, masih ada sinar. Contohnya, Jemaah Tabligh yang mengadakan Ijtima’ Syura Alami 2025 di MAEPS Serdang pada 15 hingga 17 Ogos. Perhimpunan ini menghimpunkan ribuan peserta dari seluruh dunia. Bukan sekadar perhimpunan, tetapi majlis syura yang membincangkan hala tuju dakwah global.

Ia bukti bahawa dakwah masih hidup, walaupun sering diperlekeh. Bahawa usaha mendekatkan umat dengan Allah masih mampu menyatukan manusia merentasi bangsa dan negara.”

Jemaah Islam bukanlah sempurna. Mereka punya kelemahan, salah strategi, malah kadang-kala tersalah langkah. Kadang-kala juga terpalit dengan permainan politik, hingga terlupa matlamat asal mereka. Namun tidak boleh dinafikan, tanpa kewujudan Jemaah Islam, dalam apa jua bentuk – NGO, Yayasan atau Persatuan – suara dakwah yang terlahir dari jemaah ini tetap relevan dalam kebisingan dunia moden.

Cabaran dakwah bukan hanya diharungi NGO, bukan hanya tugas ABIM, IKRAM, atau Jemaah Tabligh. Ia sebenarnya adalah amanah setiap Muslim.

Allah berfirman: ‘Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.’ – (Ali Imran: 104)

Translate »