Pengkalan Kubor, Tumpat – Pada 16 Ogos 2025, Surau Tok Guru Pulau Ubi, Kg Telaga Lanas telah mengadakan Kuliah Dhuha mingguan yang merupakan sebahagian daripada Program OMIW. Kuliah ini berlangsung setiap hari Sabtu, bermula jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi, dan mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat.
Kuliah disampaikan oleh Ustazah Aminah Mohd Shauki yang membawakan kupasan daripada Hadith 40 Imam Nawawi. Beliau memiliki tauliah mengajar yang diiktiraf oleh Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Dengan kelayakan ini, para jemaah tidak perlu bimbang tentang kesahihan ilmu yang disampaikan.
Pada minggu ini, hadith pertama dibincangkan iaitu mengenai kepentingan niat dalam setiap amalan. Beliau berjaya menyampaikan kuliah dengan gaya yang jelas, mudah difahami.
Niat adalah teras segala amalan. Amalan baik mesti disertakan niat yang baik. Amalan yang buruk atau amalan yang baik tetapi dijalankan tidak mengikut aturan syara’, tidak membawa apa-apa faedah walaupun dilakukan dengan niat yang baik. Demikian juga amalan baik jika diniatkan bukan kerana Allah, seumpama kerana riya’, menunjuk-nunjuk atau kerana suatu tujuan duniawi, maka ia tidak memberikan apa-apa faedah.
Program ini dianjurkan sebagai salah satu usaha memperkukuh penghayatan ilmu Islam dalam kalangan masyarakat. Tujuannya untuk menekankan kepentingan mendekatkan diri dengan ilmu agama, selain menjadikan surau sebagai pusat ilmu dan pertemuan masyarakat.
Kuliah ini dihadiri kira-kira 25 orang muslimat dari kampung sekitar Kg Telaga Lanas. Kehadiran mereka yang ramai mencerminkan minat masyarakat setempat terhadap program keilmuan sebegini.
Ramai dalam kalangan jemaah menyatakan rasa syukur dan berharap agar program seumpama ini akan terus diadakan bagi memberi manfaat berterusan kepada penduduk kampung. Mereka menyatakan harapan agar program ini dapat diteruskan secara konsisten, sekali gus menjadi medan pengajian ilmu yang bermanfaat untuk masyarakat.
Secara keseluruhannya, program OMIW yang dianjurkan ini bukan sahaja berjaya menarik perhatian masyarakat, malah telah menyemarakkan semangat cintakan ilmu dan ukhuwah dalam kalangan jemaah Surau Tok Guru Pulau Ubi.
Recent Comments