Nampaknya “kebencian” terhadap menteri yang datangnya daripada Parti Keadilan Rakyat, tulang belakang pentadbiran kerajaan madani menggeletak. Tiga menteri didesak meletakkan jawatan, kerana isu kematian seorang remaja perempuan berusia 13 tahun pada 18 Julai lalu.

Perdana Menteri, yang juga “pemilik” dan “pemutus dasar ” dalam PKR sudah didesak meletakkan jawatan melalui Himpunan Turun Anwar yang berlaku pada 26 Julai 2025 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Menurut laporan pihak polis, kehadiran peserta himpunan seramai 18,000 orang membuat desakan agar PMX segera meletakkan jawatan. Pokok pangkalnya adalah kemelut politik yang mereka ciptakan untuk menggambarkan kerajaan madani gagal.

Realitinya, PMX tidak jatuh kerana desakan tersebut. Kumpulan pendesak yang ditunjangi oleh parti pembangkang “malu” kerana keesokan PMX berjaya menyelesaikan konflik yang lebih besar, iaitu antara Kemboja dan Thailand. Mereka juga dilihat kurang keazaman politik berhemah untuk membawa undi percaya atau tidak percaya di Dewan RAKYAT, yang sepatutnya menjadi platform yang sah menurut undang-undang. Mereka berhelah, ia boleh dilakukan jika undi diadakan secara sulit, bukan dengan undi belah bahagi atau dengan cara mengangkat tangan.

Apabila buli dijadikan isu, ekoran kematian seorang pelajar perempuan di asrama sekolah menengah agama di Sabah, tiga menteri ditekan agar meletakkan jawatan, kesemuanya adalah daripada PKR. Mereka ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Kesihatan, Dr Zulkifly Ahmad; dan Menteri Dalam Negeri, Saifudin Nasution Ismail. Ia mengembalikan ingatan kita kepada apa yang berlaku pada tahun 2019/2020, ketika kerajaan dikuasai oleh Pakatan Harapan, yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad, yang akhirnya hilang sokongan majoriti.

Namun, dalam situasi sekarang, belum ada petunjuk dari dalam bahawa kerajaan madani akan goyah, sebagaimana goyahnya PH pada akhir tahun 2019 setelah lebih setahun mentadbir. Belum ada kaji selidik yang membuktikan bahawa semua menteri daripada gabungan PH-BN-GPS-GRS mencapai prestasi tahap keseluruhan 55 peratus. Sebelumnya, PH dikatakan hanya mampu melaksanakan kurang 40 peratus manifesto pilihan raya umum ke-12 (2098) untuk tahap psikologi, 100 hari pertama.

Dalam tinjauan pendapat tersebut, semua menteri daripada DAP dan PKR mencapai “paras lulus” dan paling mengecewakan prestasi PM ketika itu cukup rendah, seolah-olah terhapusnya aura kebijaksanaan dan kecekapan pengalaman selama 22 tahun sebagai PM 4. Bahkan pencapaian PM 7 berbaring Timbalannya, Presiden PKR ketika itu jauh lebih cemerlang. Namun, rumusan tersebut tidak menjadikannya sebagai faktor kenapa PH hilang kuasa, berlaku peralihan kuasa secara tebuk atap.

Kali ini, momentum merasakan ramai menteri PKR tidak kompeten. Ia semakin diperkatakan sehingga penjual ikan di Teluk Bayu, Pulau Pinang pun berani bercakap secara terbuka, walhal beberapa hari lalu, PMX mengumumkan akan mendirikan sebuah pasar moden di Sg Batu, di mana Teluk Bayu adalah sebahagian daripada mukim Teluk Bahang.

Kemuncak kemarahan sekarang ialah apabila Menteri Pendidikan dikatakan tidak sepatutnya beremosi apabila dikritik kerana gagal menangani masalah buli di sekolah ekoran kematian pelajar perempuan di SMKA Tun Datu Mustapha, Limauan, Sipitang, Sabah, Zara Qairina binti Mahathir.

Kematian pelajar tersebut turut menyebabkan berlakunya demonstrasi “Justice for Zara”, anak tunggal, yang menjadi harapan seorang ibu tunggal. Ekoran tragedi itu, beberapa khabar angin cepat bertiup yang seolah-olah cuba menafikan apa tindakan yang akan diambil bagi mendapatkan keadilan terhadap mangsa. Kini, beberapa perhimpunan turut diadakan di Semenanjung, dan ia sudah menjadi isu nasional. Ia ekoran siasatan PDRM Sabah tidak menemukan satu rumusan yang boleh diterima..Jabatan Peguam Negara memuangkan kertas siasatan dan meminta permohonan dibuat agar kubur pelajar berkenaan digali semula.

Zara dijumpai tidak sedarkan diri di longkang asrama pada 16 Julai sekitar jam 3 pagi. Beliau kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan. (rujuk: https://www.bharian.com.my/…/kronologi-kes-zara-qairina). Pada 18 Julai, mesin bantuan pernafasan telah dicabut setelah doktor mendapati fungsi otak Zara Qairina sudah tidak berfungsi. Beliau kemudiannya disahkan meninggal dunia dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Tanjung Ubi, Sipitang. Setelah itu, pihak polis memulakan siasatan dan kemudian kertas siasatan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Dalam masa yang sama, satu laporan polis telah dibuat bahawa badan mangsa didapati ada kesan lebam. Ianya dilihat semasa proses pengurusan jenazahnya untuk dikebumikan (memandikan jenazah). Hasilnya, kes tersebut kemudian diserahkan kepada Bukit Aman, dan mahkamah kemudiannya membenarkan pusara Zara digali semula untuk mengesahkan bukti kesan-kesan terbabit pada 8 Ogos 2025. Jenazahnya selamat dikebumikan semula pada 11 Ogos 2025.

Ada beberapa khabar angin yang cukup menyebabkan sebahagian emosi warganet jadi tidak dapat dikawal, walhal dakwaan bahawa Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh adalah tidak benar. Khabarnya, penyebar fitnah itu telah ditangkap. Begitu juga dengan dakwaan ada VVIP yang terbabit dalam kes kematian remaja perempuan yang pada hari kejadian, meminta ibunya menghantar pulang ke asrama menjelang petang, yang selalunya, pulang waktu pagi setiap kali dibenarkan pulang ke rumah.

Khabar angin yang tidak kurang hebatnya dan menjadi bualan warga net ialah ketidakupayaan KPM untuk bertindak. Sebaliknya ia menjadi bukti bagaimana “lemahnya” Menteri pendidikan menangani masalah buli, gangsterisme dan kenakalan remaja di sekolah, termasuk juga di asrama. Akibat “kegagalan” itu ada yang menjerit marah dengan cara pengurusan kes yang kadangkala dianggap sebagai usaha untuk “menutup kes”. Sudah banyak kali kita dengar, pihak sekolah ataupun jabatan pendidikan daerah didakwa sengaja ingin menjaga “maruah”, dengan cara cuba menutup kes.

Turut dipersoalkan ialah bagaimana KPM yang sudah ada pelbagai instrumen untuk mengawal gejala buli di sekolah telah gagal sehingga menyebabkan remaja perempuan itu “dibuli”. Siasatan pihak polis masih belum berakhir, yakni dibuka semula tetapi netizen seolah-olah sudah mencapai satu rumusan yang menjurus kepada kelemahan dan kebingaian proses keadilan untuk Zara.

Mereka mula berkata, ia mungkin akan jadi seperti kisah Allahyarham Mohamad Adib, yang hingga kini belum terungkai “keadilan” untuk anggota bomba itu. Bagaimanapun, ia sangat berbeza dengan kisah kematian Teoh Beng Hock, yang tidak pernah berhenti dipersoalkan walaupun sudah dilakukan siasatan dan inkiuri mengenai kematiannya. Beberapa hari lalu, keluarga Beng Hock terus mendesak agar keadilan sebenar untuknya diteruskan sehingga pihak keluarga berpuas hati. Mereka dengan tegas mahu tahu siapakah “pembunuh”, dan tidak yakin mendiang terjun bangunan tanpa didorong. Mendiang hadir untuk dirakamkan kenyataan berhubung kes rasuah yang melibatkan seorang wakil rakyat daripada DAP dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Pihak keluarga dilaporkan sudah ditawarkan pampasan, namun mereka masih belum berpuas hati selagi tidak ada “kesalahan” dibebankan kepada pihak kerajaan atau agensi terbabit. Tentunya, sasaran mereka adalah kepada SPRM kerana Beng Hock ditemui mati di Kompleks Masalam, yang menempatkan Ibu Pejabat SPRM Selangor. Tentunya, sasaran kepada agensi kerajaan dengan tujuan tertentu, termasuk untuk tujuan politik.(https://www.hmetro.com.my/…/sprm-mohon-maaf-kepada…).

Itulah yang juga berlaku dengan #JusticeforZara” yang sedang digerakkan. Ia sudah pun menjadi isu politik sehingga ada desakan agar tiga menteri berkaitan meletakkan jawatan. Bagi mereka, selagi tiga menteri itu tidak digantikan, kerajaan madani akan terus dipersoalkan dengan kegagalan menguruskan pelbagai masalah, termasuk mencari keadilan terhadap sesiapa pun yang menjadi mangsa keganasan, ketidakadilan dan sebagainya. Kerajaan masih dikaitkan dengan janji lama yang tidak tertunai, harga petrol yang dijual Serendah RM 1.50 seliter, .pemansuhan caj tol lebuh raya, menghapus bayaran balik pinjaman PTPTN dan pendidikan percuma dari sekolah rendah hingga ke universiti.

Kini dengan ada cadangan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek digantikan dengan Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Asyraf dipilih kerana ketegasannya dalam mengambil tindakan terhadap kejadian buli di MRSM, yang mana pelajar terbabit terus dibuang sekolah dan diberikan amaran keras tanpa memilih bulu, anak siapakah yang terbabit. Mungkin itu adalah hal menampakkan ketelusan, kecekapan dan kompetensi Asyraf membuat keputusan dengan cepat, bukan “melenting” bila peranan dan tugasnya dipersoalkan. Asyraf juga tegas apabila membuat keputusan menamatkan kontrak bekalan makanan bermasak di sebuah sekolah kendalian MARA akibat tidak memenuhi spesifikasi.

Dalam kes #JusticeforZara” , Fadhlina didakwa “tidak layak” kerana mudah melenting sebagaimana pernah suatu ketika dia melenting mempersoalkan mereka yang bercakap mengenai perlembagaan berkaitan Melayu-Islam. Tentunya, sebagai seorang ibu, Fadhlina cukup sedih bila ada pelajar dibuli. Tetapi, Fadhlina sepatutnya tidak perlu melenting. Berikanlah harapan untuk bertindak berdasarkan ketetapan yang ada padanya, walaupun kes kematian Zara sedang ditangani oleh pihak polis. Bercakaplah dalam nada yang tegas, bukan seumpama seorang ibu sedang memarahi anak yang didakwa berbuat salah.

Tidak membiarkan emosi masyarakat terbuai-buai dengan pelbagai spekulasi akibat “kekosongan ” kenyataan setelah kes itu sudah tular. Ini zaman semua orang mahu cipta “breaking news” dan semua orang adalah “citizen journalist” yang boleh memberikan apa saja emoji, emosi dan pandangan tanpa perlu merujuk kepada maklumat yang lengkap dan benar. Ini dunia hiperealiti, dunia yang terjangkit dengan wabak “viral” dan virus “likes, share and followers”.

Semuanya akan dilakukan, janji yang dapat menaikkan imej dirinya sebagai “content creator” yang berpengaruh, walaupun bersadur “kebohongan” atau persepsi. Sebagai seorang ahli politik, menteri perlulah mahir dalam strategi pengurusan persepsi. Mereka boleh usahakan kemahiran komunikasi yang ada pada kakitangannya, kerana di setiap kementerian ada Unit Komunikasi Korporat. Di bawah unit itu ada Seksyen Komunikasi Korporat, yang tidak sepatutnya diisi oleh mereka yang tidak ada kemahiran memahami communicative action dan strategi media.

Mereka perlu diberikan “sedikit kebenaran” bukannya disekat sebagaimana dinyatakan dalam kanun penjawat awam, tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media (tanpa kebenaran), tetapi menteri sendiri “susah nak bercakap, “shy media” atau fobia media. Sekurang-kurangnya berilah harapan, tindakan tegas akan diambil, tidak akan melindungi sesiapa yang melakukan kesalahan termasuk pengetua yang cuba sembunyikan kes. Bukan terus berada dalam sindrom penafian atau “wait and see”; itu adalah kes terpencil dan kecil ketimbang jumlah keseluruhan pelajar, jutaan orang.

Ingat hanya kerana seekor nyamuk, boleh mematikan ramai orang. Denggi boleh berjangkit, walaupun nyamuk yang menggigit itu mati dan semua koloninya dihapuskan. Ia akan tersebar (berjangkit) antara manusia dengan manusia. Segerakanlah turun padang, temui pengetua sekolah terbabit, dan ambil keputusan awal sebelum laporan lengkap dan tindakan lanjutan diterima, yang mungkin akan mengubah keadaan dan membantu mencerahkan persepsi negatif. Tunjukkanlah simpati dan empati kepada keluarga mangsa. Berikanlah jaminan, siasatan rapi dan mendalam dari setiap aspek akan dilakukan segera.

Ingatlah, pendidikan itu bukan cara mengherdik, mengecam dan mudah melatah, beremosi. Pendidikan itu cukup kuat dengan simpati dan empati, dedikasi dan kolaborasi. Emosi yang cerdas itulah dapat mengatasi emosional dan kitaran berperasaan. Ini kerana kes buli, samseng dan gangsterisme di sekolah bukanlah perkara baharu, ia sudah berlaku sejak sekalian lama.

Sudah ada banyak model dan kajian dibuat. Bahkan pada suatu ketika, pernah berlaku hal-hal buli yang menyebabkan pelajar meninggal dunia seperti yang berlaku di Sekolah Menengah Teknik, Cheras pada bulan Mac 1998. Mangsa meninggal dunia akibat deraan ganas oleh beberapa orang pelajar yang pernah dikenakan tindakan disiplin oleh pihak sekolah.

Kes buli bukan sahaja berlaku di peringkat sekolah menengah atau asrama, bahkan bibit-bibitnya juga berlaku di peringkat tadika atau prasekolah. Tetapi, kejadiannya tidaklah sampai menyebabkan kematian, sekadar lebam-lebam dibadan atau tercalar di muka. Pokok pangkalnya adalah kerjasama antara ibu bapa dan guru, bukan hanya menyalahkan pengurusan sekolah sepenuhnya.

Seperti tulis Profesor Tajudin yang merasakan seolah-olah sekolah awam tidak lagi selamat, kita perlu mengambil inisiatif bagaimana untuk menjadikan persekitaran sekolah menjadi lebih selamat. Kita tidak perlu slogan dan laungan “anti buli” tetapi perlu mengesan impulsnya, memahami perilaku setiap orang murid. (keluhan seorang datuk, tidak mahu cucunya belajar di sekolah awam: https://www.freemalaysiatoday.com/…/jangan-hantar-cucu…).

Kadangkala, bila ibu bapa dihadapkan dengan persoalan begitu, anaknya yang dikatakan “pijak semut pun tak mati” tidak dapat menerima kenyataan bahawa ada kenakalan muncul ketika berada di luar rumah. Kita sepatutnya menerima, dan cuba memperbaikinya, bukan mempertahankan secara tidak boleh terima apa yang dibuktikan berlaku ke atas anak kesayangan.

Kata seorang budayawan Indonesia, Danarto: berapa peratuskah saham ibu bapa ke atas perilaku anak-anaknya. Kadangkala, sekolah cuba menerapkan disiplin semasa di sekolah, ada ibu bapa merungut, ia akan menjadikan anak-anak membesar seperti robot. Anak-anak perlu dididik secara demokratik, tetapi ramai ibu bapa lupa, demokratik juga menyumbang kepada “kegilaan melampau”, mengkritik tanpa ada rasa malu dan segan.

Kata-kata bukan sahaja boleh mencairkan “hati”, ia juga boleh “tajamkan” perilaku sehingga boleh mengakibatkan kecederaan yang fatal. Jika anak-anak bersalah, hadapilah kenyataan itu dengan $rasa bahagia” kerana masih belum terlewat untuk memperbaikinya, bukan seperti Anakku Sazali. Ertinya, Islam meletakkan asas yang kuat, pendidikan anak-anak itu hendaknya bermula di rumah, jika mental dan moralnya cukup kuat, kecenderungan melakukan perkara-perkara yang menyumbang kepada kebejatan sosial akan menipis.

Mungkin kita teringat bagaimana ayah ibu mendidik kita suatu waktu dahulu. Setiap pagi, sebelum keluar rumah ibu berpesan: belajarlah bersungguh-sungguh agar jadi anak yang baik (berguna). Jika pihak sekolah mendenda anak-anak kerana kesalahan kecil, ibu bapa tidak marah dan hadir ke sekolah menyerang guru. Ibu bapa berpesan: ajarlah anak-anak kami, pukullah mereka asal jangan sampai patah tulang atau mati kerananya.

Tetapi, guru-guru pula janganlah terlalu emosi bila mendisiplinkan para pelajar. Mereka itu adalah anak-anak yang sedang berkembang sahsiahnya, mereka perlu dibimbing dan dinasihati. Bukan terus melenting bila berlaku kenakalan, sebabnya remaja sedang membina jati dirinya, maka bentuklah mereka dengan jati diri yang betul, benar dan dengan cara yang berhemah. Tetapkanlah prinsip psikologi yang dipelajari, sama ada dalam bentuk pedagogi mahupun psikologi perkembangan (developmental psychology)

Orang politik juga perlu sahsiah yang baik, sahsiah yang boleh diterima oleh masyarakat, bukan sahsiah “akulah yang paling betul dan paling pandai”.

Menegur boleh, mengkritik pun boleh, tetapi bukan mendesak dan mengecam kerana suatu hari nanti kecaman itu akan kembali kepada diri sendiri. Hari ini kamu mengecam orang, esok atau lusa, kamu juga akan dikecam orang.

Pesan Ali bin Abi Talib RA: Ingatlah bahawa orang yang kamu perangi adalah saudara sendiri. Sabarlah. Hati-hatilah, jika terburu-buru berhadapan dengan segala hal tanpa pertimbangan, sebabnya, jika engkau menang hari ini, engkau juga akan kalah keesokannya “.

MONOSIN SOBRI

_____________________________________________________________________________________________________

Perhatian sebentar…

Kami berusaha gigih menyebarkan ilmu dan menyediakan bahan bacaan bermanfaat secara percuma untuk semua lapisan masyarakat. Usaha ini akan terus diteruskan selaras dengan misi kami memperkasa pengetahuan dan kefahaman ummah.

Namun, menyediakan bacaan dan program ilmu secara percuma memerlukan kos yang berterusan. Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan dan dikembangkan.

Tidak seperti organisasi besar yang dibiayai pihak berkepentingan, PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA (OMIW) berdiri secara bebas, demi memastikan setiap perkongsian ilmu kekal bersih daripada pengaruh politik atau agenda tertentu.

Kini, kami memerlukan sokongan anda. Walaupun kami memahami tidak semua berkemampuan, sumbangan sekecil RM1 pun amat bermakna. Dengan sokongan anda, lebih ramai akan mendapat manfaat daripada program dan bahan bacaan percuma yang kami sediakan.

Salurkan sumbangan anda ke:
PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA 
No. Akaun: 8602859886 (CIMB BANK)

Sokongan anda adalah pelaburan untuk manfaat ilmu yang berkekalan. Terima kasih kerana bersama kami dalam perjuangan ini.

Translate »