Selepas Perang Dunia II, Amerika Syarikat muncul sebagai adikuasa hanya kerana berjaya memadamkan kemaraan Jepun untuk menakluki rantau Asia Pasifik. Mereka berjaya menjatuhkan dua biji bom atom ke atas Nagasaki dan Hiroshima. Jepun bersekutu dengan Jerman dan Itali, namun dua kuasa Eropah itu berjaya dihentam oleh negara-negara yang bekerjasama dengan England dan Perancis.
Setelah berjaya menempatkan diri sebagai kuasa besar, Amerika Syarikat bertindak dengan lagak seumpama polis dunia dan mula mencaturkan geopolitik dunia. Melalui slogan Wilsonisme, mengeksport demokrasi ke seluruh dunia, Amerika Syarikat semakin gila perang dan berusaha campur tangan dalam semua negara sebagai langkah imperialisme.
Kini, Amerika Syarikat sedang menggugat dunia setelah merasakan pengaruhnya semakin kerdil ekoran kebangkitan negara-negara yang dahulunya “terkebelakang” telah berjaya melepaskan suasana mundur. Setelah mengamalkan dasar perindustrian yang lebih cekap, dengan keupayaan sumber manusia yang berketerampilan, negara-negara yang dahulunya dianggap miskin dan terkebelakang sedang muncul sebagai pencabar terbesar.
Antaranya, China, Rusia, India, Brazil, Afrika Selatan dan sebagainya. Lima buah negara, Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan berjaya menubuhkan kesepakatan ekonomi yang dikenali sebagai BRICS. Kini, Donald Trump sedang berusaha untuk memecahkan BRICS kerana ada usaha untuk menyingkirkan penggunaan dolar dalam urusan bayaran perdagangan antara negara.
Dolar yang dianggap sebagai “greenback” itu dijangka akan hilang dominasinya apabila BRICS berjaya mengukuhkan kedudukan dan memperkenalkan matawangnya. Namun BRICS cukup berhati-hati kerana memahami liku-liku yang dilalui oleh kesatuan Eropah dan matawang Euro setelah Britain menarik diri. Peranan Amerika Syarikat ada sedikit sebanyak dalam membantu Brexit – Britain Exit.
Sebahagian daripada pendapatan negara Amerika Syarikat digunakan untuk menaja perang dan membabitkan diri dengan banyak negara walaupun perang yang berlaku itu adalah perang antara puak yang berusaha menempatkan diri sebagai pemerintah. Manakala negara-negara lain berusaha memperbanyakkan produk untuk dieksport sebagai sumber pendapatan dan dalam masa yang sama membangunkan infrastruktur lojistiknya sendiri dengan menggunakan kepakaran sendiri.
Pada mulanya, peperangan berlaku kerana Amerika Syarikat berusaha menyekat kemaraan komunisme dengan alasan, ideologi itu bertentangan dengan demokrasi. Asas itulah yang menerbitkan Teori Domino, dan Amerika Syarikat menyekat kemaraan komunisme terutama di Eropah Timur dan Asia. Vietnam menjadi sasaran.
Daripada Teori Domino ia berkembang kepada dipanggil Perang Dingin (Perang Ideologi), perang untuk menyekat kemaraan komunisme. Selain itu, Amerika Syarikat campur tangan di Korea dengan harapan dapat menghalang kemaraan ideologi komunis dari China agar tidak meluas ke Jepun dan sebagainya.
Hasilnya, Semenanjung Korea berpecah kepada dua, Korea Utara dengan komunisme dan Korea Selatan dengan sistem ekonomi kapitalis dan politiknya, demokrasi. Korea Selatan dilindungi oleh Amerika Syarikat bersama Jepun. Dasar perlindungan ketenteraan itu telah membolehkan Jepun dan Korea Selatan tidak perlu menghabiskan wang untuk sistem pertahanannya.
Sebaliknya menguruskan pembangunan ekonominya. Amerika Syarikat mula merasai beban kewangan dan bercadang agar Jepun dan Korea Selatan membiayai sebahagian kos pengurusan sistem pertahanan yang dibekalkan.
Dua negara itu kemudian muncul sebagai negara industri yang termaju di Asia. Jepun menjadi negara perdagangan kedua terbesar manakala Korea Selatan berada di tangga kelima dunia untuk tempoh beberapa dekad. Menjelang dekad pertama Abad ke-21 (2008), China mula merampas kedudukan Jepun sebagai ekonomi kedua terbesar dunia.
Dalam tempoh kurang tiga dekad lagi, China dijangka mampu mengatasi kedudukan Amerika Syarikat sebagai kuasa ekonomi terbesar dunia. Ada ramalan mengatakan ia akan berlaku selewat-lewatnya pada tahun 2070 atau seawal-awalnya pada tahun 2050.
Menurut Jeffrey Sachs, pakar ekonomi yang pernah bertugas di PBB, Amerika Syarikat hanya mempunyai 4 peratus populasi dunia (335 juta) semakin mengecil peranannya disebabkan oleh dasarnya yang tidak menghormati mana-mana negara dan sentiasa berusaha untuk mendominasi dunia. (Rujuk: https://www.facebook.com/share/v/1D3eD6Ktdo/)
Namun, Amerika Syarikat sekarang sedar ia perlu melakukan sesuatu yang keras demi kelangsungan supremasi dan dominasi. Ia bukan mudah dalam keadaan negara-negara yang dahulunya miskin dan mempunyai jumlah penduduk yang ramai berjaya memanfaatkan sumber manusianya dengan berkesan.
Amerika Syarikat semakin kekurangan tenaga kerja, dan mengharapkan kemasukan tenaga kerja asing manakala firma-firmanya pula berhadapan dengan peningkatan kos pengeluaran. Hal ini menyebabkan firma-firma Amerika Syarikat mula mencari ruang untuk mengurangkan kos pengeluaran dan cuba mencari negara-negara yang lebih fleksibel dalam ketetapan undang-undang sebagai langkah meningkatkan pelaburan asing.
Pekerja imigran pula sedang ditekan oleh dasar pentadbiran Donald Trump. Bahkan Trump bercadang untuk menghantar balik mana-mana imigran menerusi ICE, Perintah Eksekutif mengenai kuatkuasa peraturan Imigresyen dan Perdagangan yang ditandatangani lebih sebulan lalu (Jun 2025). Peraturan tersebut turut menekan Trump untuk “menghalau isteri dan anaknya, Melania dan Barron Trump”.
Trump berkahwin dengan Melania (2005) ketika model yang berasal daripada Slovenia itu belum mendapat taraf warganagera. Melania mendapat sijil warganegara diambang Trump dilantik sebagai Presiden ke-45 Amerika Syarikat (2016). Ia digelar “Einstein Formula” kerana Melania akan dinobatkan sebagai First Lady.
Dalam peruntukan ICE, Trump menegaskan seseorang anak yang lahir daripada pasangan imigran atau salah seorangnya adalah imigran tidak layak mendapat taraf warganegara, walaupun lahir di Amerika Syarikat. Syarat itulah yang sedang dipersoalkan mengenai anaknya, Barron Trump yang lahir pada 2006, jauh sebelum ibunya Melania mendapat taraf sebagai warganegara.
Ertinya, jika ICE benar-benar dikuatkuasakan, jutaan rakyat Amerika Syarikat akan dilucutkan taraf kewarganegaraan dan terpaksa keluar daripada Amerika Syarikat bersama keluarga, yang salah seorang atau kedua-duanya adalah imigran.
Hal ini menyebabkan kemakmuran ekonomi California, sebuah negari yang tertinggi Keluaran Dalam Negara Kasar akan terjejas. Sebab itulah ura-ura akan keluar dalam gabungan Amerika Syarikat kembali diperkatakan. Kali pertama ialah ketika kempen 2016.
Bagaimanapun, setelah Donald Trump menang, California menangguhkan cadangan. Ekoran kebakaran besar yang berlaku pada awal 2025 yang tidak mendapat perhatian yang berkesan oleh Rumah Putih dan dasar menyekat pekerja imigran, California kembali memikirkan cadangan yang tertangguh itu.
Hasilnya, firma-firma kepunyaan rakyat Amerika Syarikat melabur di luar negara dan sebahagian besarnya ialah di negara-negata Asia. Kalaupun tidak secara langsung melabur, firma-firma Amerika Syarikat mula memberikan kontrak kepada kilang-kilang di Asia bagi mendapatkan kos yang lebih murah.
Perkembangan terbaharu disebabkan ancaman Trump ke atas Kanada dengan kadar tarif yang tinggi, beberapa firma gergasi Amerika Syarikat mula beralih ke beberapa buah kawasan di Kanada, misalnya, Ontario, Quebec dan British Columbia yang mempunyai tarif elektrik yang murah dan dasar imigresyen yang mesra pekerja imigran.
Kanada mengeksport tenaga elektrik ke Amerika Syarikat dan dengan ancaman tarif timbal balas yang tinggi, Kanada memikirkan semula hubungan perdagangannya dengan pentadbiran Donald Trump. Kanada turut dipertimbangkan kuatkuasa kadar tarif yang lebih tinggi atas sebab pendirian untuk mengiktiraf Palestin merdeka dan berdaulat pada bulan September nanti.
Antara negara yang paling banyak diberikan kontrak oleh firma Amerika Syarikat ialah China, yakni setelah China mengubah polisi ekonomi tertutup kepada ekonomi yang lebih terbuka walaupun Parti Komunis kekal berkuasa. Sebab itulah produk Amerika Syarikat mampu bersaing dengan produk yang sama dikeluarkan daripada negara asing, terutama dari segi harga.
Bayangkan jika sebuah iPhone dianggarkan tidak mampu dijual 2,000 dolar jika dikeluarkan di Amerika Syarikat. Kos pengeluaran dianggarkan 1,500 dolar. Dengan memberikan kontrak kepada China ia dapat dihasilkan dengan kos kurang 1,000 dolar seunit. Ertinya, jika sebuah iPhone dijual dengan harga 3,000 dolar seunit, ia tidak akan dapat dipasarkan di kebanyakan negara, kecuali dibeli oleh orang kaya. Ia akan kalah dengan telefon bimbit keluaran China dan kini jenama buatan China sepenuhnya sedang menguasai pasaran telefon global.
China mampu mengeluarkan produk berdasarkan spesifikasi yang diperlukan, dan dalam masa yang sama, China berusaha untuk membangunkan produknya sendiri. Apabila Trump menekan China dengan larangan mengeksport komponen teknologi, China sudah bersedia melawan. China sudah pun mempunyai komponennya sendiri, malah software yang dicipta oleh rakyatnya kian berpengaruh. (Baca: Ya-Wen Leu, The Gilded Cage: Technology, Development and State Capitalism in China, Princeton University Press, 2024)
Akibatnya, Trump membuat helah bahawa dia gergasi telefon pintar China, Huawei dan Z’tronic wajib disekat atas alasan, digunakan untuk tujuan mengumpul maklumat strategik di mana data komunikasi pelanggan dihantar ke pusat data milik kerajaan China. Huawei tidak berhadapan masalah besar, sebabnya Huawei sudah bersedia untuk itu, walaupun pada peringkat awal sedikit terjejas.
Beberapa syarikat telekomunikasi China kini sedang beralih kepada software mereka sendiri dan berusaha menyisihkan perisian terkemuka milik firma teknologi Amerika Syarikat misalnya, Google, GPS (dikawal oleh US Army), Meta dan sebagainya. China sudah ada Harmony OS (pesaing Google), Color Os (pesaing Microsoft), Baido (pesaing GPS) dan sebagainya.
Generasi baharu telefon pintar buatan China dilengkapi dengan teknologi 5G dan “operating system (OS)” mereka, dan boleh berinteraksi dengan sistem-sistem yang lain, malah dilengkapi ciri-ciri asas kecerdasan buatan (AI) yang masih belum tanggal landas bagi firma teknologi Amerika Syarikat.
(Bersambung)
KAMARUN KH
Recent Comments