Ibarat seorang wanita cantik, apabila kebebasan diberikan, ia gunakan kebebasan itu sehingga hakikat diri semakin bercelaru. Akulah yang tercantik dan akulah yang terbaik menjadi medan persaingan yang cukup galak walhal persaingan itu disalahgunakan untuk menghina wanita lain yang kurang cantik setelah dimamah usia.

Saya melihat politik dalam bingkai “seorang wanita cantik” pada ukuran fizikal dan pandangan mata: penuh kelembutan, wajahnya yang ayu tetapi di sisi lain ia cukup berbeza. Pengalaman itu cukup mengajarkan saya, memang benar khabar itu lebih indah daripada apa yang kita dapat setelah bersamanya. Kita tidak bahagia dengan wanita cantik, yang cukup mempesonakan mata yang memandangnya, kerana kita tidak hidup dengan imaginasi, kita hidup dalam realiti.

Imaginasi itu penting, tetapi ada had dan batasannya. Imaginasi itu baik untuk memandu arah kita pada peringkat awal, tetapi Imaginasi yang melampau itu membawa kita kepada kehancuran yang sangat gatal sekiranya kita terus larut dan tenggelam di dalamnya.

Begitulah bila setiap kita berada dalam politik, kerana politik itu sudah diterjemahkan sebagai kuasa, bukan lagi sebagai kaedah dan cara menguruskan masyarakat dan negara dalam konteks makna asalnya. Kita berpolitik kerana kita ingin mendapat kuasa. Kuasa itu pula, bila dah dapat akan sedaya upaya cuba dikekalkan selama mungkin hatta hingga ke akhir hayat.

Dari situlah terciptanya pelbagai bentuk sistem politik, sebagai raja yang berkuasa mutlak, raja sebagai payung negara, manusia biasa berlagak seperti raja dan seorang hamba yang bercita-cita besar mahu menjadi raja di mana setiap orang dijadikan sebagai “tawanan kuasa” tanpa peduli “hukum dan adat”.

Setelah berpeluang, dia yang menganggap dirinya sebagai raja, atau orang yang berkuasa, tidak pula melihat dirinya semula ketika dia adalah seorang rakyat biasa yang sentiasa bergelumang dengan kepayahan dan kehidupan yang berkumuh atau terpaksa membanting tulang empat kerat demi sesuap nasi. Dia lupa diri, sebab di sekelilingnya cukup ramai pembodek yang mendokong, sekelompok manusia yang menadah keistimewaan dan mendambakan harapan lebih besar atau menjadi lebih kaya.

Tidak sedia membantah, malah lupa bahawa setiap daripadanya yang menjadi tulang belakang pemerintahan adalah penasihat, pelaksana tanggungjawab, pemerkasa amanah dan pembangun kaedah memenuhi harapan rakyat, tetapi lebih bersedia menjadi orang kepercayaan dalam tarian bodek dan langkah penuh sopan di hadapan penguasa, sejatinya, perangai dan tingkahlaku adalah keras dan penuh helah di hadapan rakyat. Sopan di mata, biadab di jalan kuasa.

Pemimpin tertinggi pula cuba memperlakukan budaya sopan. Berlagak semuanya betul di hadapan orang yang dipimpinnya, kerana dia tahu, tanpa rakyat posisinya adalah cukup hina. Harga diri tidak semahal harga di mata rakyat yang ramai dan setia, tidak ubah seumpama musafir yang hanya mampu bersandar di sebatang pokok kelapa di pinggir desa yang jauh daripada kemewahan dan kemegahan. Sunyi, sepi, dan hening dalam diri; lebih menakutkan setelah hilang kuasa dan masih mahu kembali berkuasa.

Putaran kemahuan itu menjadi cukup “gila” bukan sahaja “gila kehendak”, juga “gila kata-kata” sehingga boleh lupa, masa berkuasa banyak kelemahan dan ketidakupayaan bertindak sehingga ramai rakyat merasa benci, bahkan jijik menyebut namanya. Ya, apa yang saya cuba gambarkan itu bukan fantasi, ia adalah realiti. Realiti yang kita sudah pun saksikan.

Kita dengar kata-katanya, bukan membicarakan bagaimana untuk mensejahterakan rakyat tetapi mereka hadir untuk mengutuk orang yang sedang melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin. Orang itu, walaupun secara jelasnya tidak menggambarkan pilihan majoriti rakyat (pengundi) tetapi dia adalah orang yang dipilih berdasarkan harapan dan persetujuan antara wakil rakyat. Itu adalah realiti, bukan agitasi.

Hadir pemimpin yang pernah berkuasa membicarakan apa yang dia ingin katakan agar semua yang mengerumuninya percaya, merasa benar dan apa yang berlaku adalah satu kesalahan yang bukan hanya perlu diperbetulkan, tetapi yang memimpin itu wajib diturunkan. Kata mereka selagi pemimpin itu tidak diturunkan maka semakin besarlah masalah yang akan dihadapi oleh rakyat.

Mereka sedang memperbodohkan rakyat. Mereka sedang memercikkan api kebencian. Mereka harap ada angin yang akan membawanya menjadi sebuah kebakaran besar. Mereka sangat berharap, percikan kebencian itu akan membakar semangat dan akhirnya pemimpin yang dimaksudkan jatuh. Jatuh seumpama sebatang kayu balak terhumban ke tanah setelah ditebang dari bawah.

Mereka mulakan dengan doa dan harapan. Mereka yang memenuhi ruang Dataran Merdeka mengaminkan doa itu, doa yang tidak sepatutnya dibaca dan didoakan. Mereka  mengaminkan doa, memohon agar Allah SWT membinasakan. Walhal doa itu wajar dibaca tatkala orang Islam di bantai, dizalimi oleh pemerintah yang kafir, seperti doa untuk melindungi penduduk Gaza. Doa melaknat kekejaman zionis dan pemerintah kafir ke atas umat Islam. Tetapi, doa itu telah disalahgunakan, untuk melaknat dan memusnahkan pemimpin Islam sendiri.

Semakin rosak perintah dan ajarannya. Di manakah letaknya Islam sebagai agama sejahtera tatkala umat Islam sendiri mendoakan malapetaka untuk sesama Islam? Ia jelas menunjukkan bahawa umat Islam yang disatukan dalam tauhid dan syahadah yang sama, kitab suci dan kiblat yang sama seolah-olah sedang kembali semula ke zaman pra-Islam, hidup dalam dakapan kabilah. Hanya berbeza ialah kerana ketaksuban dan keinginan puak telah menyebabkan silaturahim sesama Islam berpecah-belah.

Muncul pelbagai ‘ancaman’ dan ‘dakyah’ hanyalah kelompok mereka sahaja yang paling Islam, manakala kelompok lain yang juga mendirikan solat, mengarahkan kiblat dan membaca kitab suci yang sama “tidak Islam” atau termasuk dalam kalangan orang kafir.

Qunut Nazilah menjadi bukti bagaimana ia disalahgunakan. Sudah banyak kali disalahgunakan. Daripada majlis sembahyang hajat berjemaah, di dalam Dewan Rakyat hingga ke Dataran Merdeka. Sayangnya, tidak ada yang menegur si pendosa yang salah membaca doa, doa yang tidak sesuai. Berdoa ada adabnya dan tujuannya, bukan mendoakan orang lain dilaknat atau dihancurkan oleh Allah SWT terutama dalam kalangan sesama muslim. Antaranya, disunnahkan berdoa untuk kebaikan orang lain, atau jika orang itu “zalim” dimohon agar Allah SWT melembutkan hatinya.

Doa sebegitu bukanlah sesuatu yang baharu. Kita pernah mendengarnya tatkala kita tahu ada dakwaan dianiayai. Mereka doakan agar pemimpin yang tidak disukai itu “dibutakan mata” dan “dipecahkan perut”, kerana mereka percaya Allah SWT akan kabulkan permintaan, dari orang-orang yang dizalimi. Seolah-olah yang berkuasa di atas takhta yang berkuasa ketika itu adalah fir’aun. Berhati jalang dan bermata setan.

Dalam masa yang sama mereka lupa, doa yang sangat digalakkan ialah doa membuka hati, agar yang dianggap zalim berubah menjadi lembut hati, lebih cakna dan kembali kepada fitrah makna kepimpinan, juga makna kemanusiaan. Saya cukup ingat apabila Maya Karin menadah tangan berdoa agar dibukakan hati suaminya, Aaron Aziz, yang digambarkan sebagai anak orang kaya, “playboy”, berfikiran bebas dan hedonis. Akhirnya, doa itu dimakbulkan. Di akhir cerita, Ombak Rindu, mereka hidup bahagia dan saling boleh menerima, tutup buku lama.

Apa yang berlaku dalam budaya politik Malaysia cukup berbeza, seolah-olah orang yang dianggap “salah” tidak mempunyai jalan keluar untuk menjadi “baik”. Dalam masa yang sama, orang yang menganggap dirinya “baik” sentiasa “baik dan betul” walhal “kebaikan dan kebenaran” yang cuba ditampilkan itu tidak menepati indahnya Islam, agama perdamaian, penyatuan dan membina kesejahteraan sesama insan.

KAMARUN KH

Translate »