Oleh Mohammad Zaki Yahpar
Dalam keghairahan masyarakat mencari jawapan kepada masalah rumah tangga dan keretakan hubungan suami isteri, lahir pelbagai bentuk seminar motivasi menjanjikan kebahagiaan dan ketenangan jiwa.
Malangnya, tidak semua yang dilabel ‘motivasi Islamik’ itu benar-benar berpaksikan ajaran Islam sahih. Sebaliknya, sebahagian besar daripadanya menyelitkan unsur penyelewengan agama yang halus dan sangat berbahaya.
Fenomena seminar motivasi atau program ‘rawatan diri’ dan ‘kelahiran semula’ ini hadir dalam bentuk sangat memikat. Ia menggunakan pendekatan psikologi dan emosi, diadun dengan sedikit istilah keagamaan dipetik di luar konteks.
Nama programnya kedengaran lembut dan meyakinkan, malah penganjurnya menyampaikan mesej dengan gaya menyentuh perasaan, kononnya dapat memulihkan hubungan rumah tangga, merawat jiwa dan menyucikan diri.
Namun, hakikatnya di sebalik keindahan kata-kata dan istilah keagamaan diguna pakai, tersembunyi unsur mistik, pemikiran sesat dan falsafah kufur menyimpang jauh daripada ajaran Islam sebenar.
Emosi menjadi umpan
Inilah wajah penunggang agama gaya baharu. Mereka menjadikan agama sebagai produk untuk dipasarkan. Perasaan cinta, rindu, kecewa, marah dan gelisah dijadikan modal untuk menjual konsep mistik dan pemujaan diri yang langsung tidak berpaksikan al-Quran mahupun sunnah.
Lebih menyedihkan, ada yang sanggup membayar puluhan ribu ringgit untuk menyertai program yang akhirnya lebih menjauhkan mereka daripada agama berbanding mendekatkan.
Program sebegini menggunakan istilah Barat seperti ‘reset minda’, ‘healing spiritual’, ‘reinkarnasi batin’ dan lain-lain yang tidak pernah dikenal dalam tradisi Islam.
Bahkan ada penceramah yang bercakap mengenai kebahagiaan rumah tangga, tetapi melakukannya dengan nada gurauan menjurus lucah, berselindung atas nama ‘terapi perkahwinan’.
Akhlak dan adab agama serta nilai murni diketepikan, aurat diabaikan, malah batas pergaulan dilanggar atas alasan kononnya untuk ‘menyucikan emosi’.
Fahami firman Allah SWT dengan jelas memberi peringatan dalam Surah al-Baqarah ayat 42 bermaksud: “Dan jangan kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya”.
Maka, jelaslah mencampur-adukkan ajaran Islam dengan unsur kebatilan walaupun atas nama ‘terapi’ atau ‘motivasi’ adalah suatu bentuk penipuan terhadap agama.
Allah SWT menegaskan dalam Surah al-An’am ayat 153 bermaksud: “Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; jangan kamu menurut jalan (lain daripada Islam), kerana jalan (lain itu) mencerai-beraikan kamu daripada jalan Allah, Dengan demikian itulah Allah perintah kamu, supaya bertakwa”.
Jalan hidup yang benar sudah tersedia dalam Islam. Rasulullah SAW meninggalkan kepada kita panduan lengkap dalam menghadapi apa-apa sahaja cabaran kehidupan, termasuk dalam hal ehwal rumah tangga.
Maka, mengapa perlu mencari jalan alternatif yang tidak pasti asal-usulnya, kononnya menjanjikan kebahagiaan tetapi hakikatnya hanya memusnahkan akidah.
Dalam menangani isu rumah tangga, tidak ada contoh lebih baik daripada Rasulullah SAW sendiri. Baginda memiliki sifat haya’ (malu) sangat tinggi, melebihi seorang gadis pingitan.
Dalam soal hubungan suami isteri, Baginda sangat menjaga batas adab dan kesopanan. Baginda tidak pernah berbicara secara lucah atau menjadikan soal ranjang sebagai bahan lawak.
Sebaliknya, Rasulullah SAW memberi panduan rumah tangga dengan berlapik, tetapi mudah difahami, penuh hikmah, serta penuh kelembutan dan kehormatan.
Baginda menjelaskan hubungan halal antara suami isteri adalah satu bentuk ibadah, seperti sabda Baginda dalam hadis sahih riwayat Muslim bermaksud: “Tahukah kamu, sekiranya seseorang menyalurkan syahwatnya pada jalan haram, pasti dia mendapat dosa? Begitu juga, apabila dia melakukannya pada jalan halal, nescaya dia mendapat pahala”.
Jalan sesat dihiasi cahaya palsu
Seminar motivasi palsu sebegini antara virus akidah perlu sentiasa diperhatikan. Ia menyelinap masuk melalui pintu emosi iaitu pintu paling mudah digoda syaitan.
Ia memanipulasi keinginan manusia untuk mencintai dan dicintai, untuk memulihkan perasaan dan untuk mencari ketenangan. Tetapi jalan ditawarkan bukan jalan ditunjukkan Rasulullah SAW. Ia adalah jalan sesat yang dihiasi dengan cahaya palsu.
Inilah tipu daya iblis yang berjaya memerangkap banyak umat manusia dengan menghias perbuatan dosa tampak indah dan baik. Tujuannya untuk menyesatkan manusia. Allah SWT berfirman melalui Surah al-Hijr ayat 39 bermaksud: “Iblis berkata: Wahai Tuhanku. Kerana Engkau menjadikan aku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya”.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah Tabaraka wa Taala berfirman: Wahai anak Adam. Selagi engkau berdoa kepada-Ku dan mengharap kepada-Ku, Aku akan mengampunimu atas apa juga dosa engkau lakukan dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam. Jika dosamu setinggi langit, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampunimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam. Jika engkau datang kepada-Ku dengan membawa dosa sepenuh bumi, kemudian engkau menemui-Ku dalam keadaan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu pun, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan keampunan sepenuh itu juga”. (HR Tirmizi)
Justeru, selagi masih bernyawa dan kita sedari setiap kesalahan dilakukan, maka bertaubatlah kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh.
Firman Allah SWT dalam Surah az-Zumar ayat 53 menjadi peringatan dan harapan kepada mereka yang mungkin pernah tersasar:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
Maka, umat Islam yang terjebak dan pernah terjerumus, usah tunggu sehingga terlambat. Bertaubatlah jika pernah terjebak. Kembalilah kepada ajaran Islam yang benar.
Jangan biarkan seminar songsang memusnahkan iman, walau dengan alasan mahu menyelamatkan rumah tangga.
Sebagai rumusannya, renungilah tiga perkara penting yang wajar menjadi panduan dalam menghadapi isu ini:
* Berhati-hatilah dengan penyelewengan agama berselindung di sebalik seminar motivasi atau program ‘Islamik’. Ia mungkin kelihatan baik di permukaan, tetapi hakikatnya merosakkan dari dalam.
* Islam sudah menyediakan semua panduan kehidupan, termasuk dalam membina rumah tangga. Ikutilah al-Quran dan sunah, serta contohi akhlak Rasulullah SAW yang mulia.
* Jika pernah tersalah langkah, kembalilah kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. Jangan terus leka atau terpedaya dengan topeng agama yang palsu.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Sumber: bharian.com.my
Recent Comments