Senario politik yang berlaku pada ketika ini lebih menjurus kepada senario penggulingan kuasa sebagai titik noktahnya. Natijahnya, keadaan negara telah digambarkan mengalami krisis politik yang cukup merimaskan. Dalam menghidupkan gelanggang politik janganlah sampai terlajak kepada hanya memfokuskan kepada penggantian pemimpin sebagai tujuan utamanya. Tiada jaminan bila seorang pemimpin diganti akan merubah dan membaiki segala persoalan dan isu-isu yang dibangkitkan.
Penggantian pemimpin secara tiba-tiba, tidak berdasarkan konsensus hanya akan mencetuskan situasi huru-hara yang mendatangkan kemudaratan lebih besar kepada rakyat. Ia boleh menghancurkan negara dalam sekelip mata. Perhimpunan yang tidak ada hala dan tujuan sudah pasti boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara, Tiada jaminan bila seorang pemimpin diganti, akan merubah keadaan. Pergantian pemimpin secara tiba-tiba, hanya akan menciptakan situasi huru-hara yang hanya mendatangkan kemudaratan lebih besar dengan rakyat jelata lah yang paling besar terkena tempiasnya.
Bagi hujjatul Islam Imam Al Ghazali menukar pemimpin secara sewenang-wenang perlu dielakkan. Sebaliknya, al Ghazali menekankan prinsip nasihat dan rundingan sebagai kaedah terbaik. Ibn Taimiyah dalam kitabnya al-Siyasah al-Syar’iyyah menyatakan 60 tahun di bawah pemerintahan zalim lebih baik dari satu malam tanpa pemerintahan. Negara tanpa pemimpin dan kerajaan akan menyebabkan kekacauan. Ini bermakna, menciptakan keadaan sosio-politik yang stabil, damai, harmoni, meletakkan nilai maslahah ammah sebagai segala-galanya, lebih diutamakan berbanding merombak dan menukar kepimpinan yang ada. Perebutan dan pertelingkahan kuasa yang tidak diimbangi dengan kebijaksanaan dan meletakkan kepentingan maslahah umat sebagai asas, pada gilirannya hanya akan menyengsarakan rakyat jelata.
Menyingkap sejarah Islam, kejatuhan Khilafah Abbasiyah bermula apabila Khalifah Harun al-Rasyid meninggal dunia pada tahun 809 M. Anak kesayangannya al-Amin telah diberi takhta dengan pemahaman bahawa abang tirinya, al-Ma’mun, akan diberikan wilayahnya untuk diuruskan sendiri dibawah naungan Khalifah al-Amin. Perancangan Harun Al-Rasyid adalah bahawa perjanjian ini akan menghalang kedua beradik ini daripada berselisih tentang siapa yang menjadi khalifah. Namun rancangan itu tidak berjaya.
Dua tahun selepas Khalifah al-Rasyid meninggal dunia, tercetusnya perang saudara besar-besaran antara dua beradik itu. Dikenali sebagai Fitna Keempat atau Perang Saudara Besar Abbasiyah, ia berlangsung dari 811 hingga 819 Masihi. Ia adalah peperangan yang panjang dan berlarutan yang akhirnya menyaksikan al-Amin menyerah kepada tentera al-Ma’mun. Al-Ma’mun memerintah sehingga 833 Masihi. Dia cuba mengikuti jejak ayahnya tetapi kebanyakan masa pemerintahannya dihabiskan untuk memperbaiki kerosakan akibat perang saudara yang tercetus. Perang ini telah melemahkan Khilafah Abbasiyah, dan kesannya terbawa-bawa hinggalah kedatangan Mongol pada tahun 1258 Masihi.
Dalam hal ini, menarik sekiranya kita mengambil pandangan Imam al-Ghazali mengenai cara menangani kepimpinan bermasalah. Menurut beliau, pemimpin bermasalah bahkan pemimpin zalim pun tidak boleh ditukar secara sewenang-wenangnya tanpa mempertimbangkan kerosakan dan kekacauan yang bakal timbul. Pendekatan revolusi dan radikal bagi mengganti pemimpin perlu ditentang dan dielakkan. Sebaliknya, al-Ghazali menekankan prinsip nasihat dan rundingan sebagai kaedah untuk meluruskan pemimpin ke landasan yang benar dan diredai.
Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Dan janganlah engkau menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), – Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai);” – (Surah al-Qalam, ayat 10-11)
Hari ini, semakin ramai pembesar suara di media sosial yang menagih tontonan melalui penyebaran fitnah, tuduhan tanpa asas dan hinaan ke atas orang lain, terutama sekali terhadap golongan pemimpin. Sedangkan Allah SWT telah melarang umat Islam untuk mempercayai atau mengikuti orang-orang seperti ini, yang hanya bersuara atas nafsu ingin berkuasa, bukan atas niat untuk kemaslahatan rakyat. Budaya hina-menghina di atas talian hanya akan membawa kepada perpecahan yang lebih ketara dalam masyarakat.
Inilah masanya pihak berkuasa perlu mempertahankan undang-undang keselamatan dengan tegas. Undang-undang pencegahan awal dipandang sebagai sesuatu yang amat diperlukan. Jika tidak ada langkah pencegahan awal, ia akan membawa mudharat yang lebih besar dan merebak menjadi tragedi menyayat hati. Kita mahukan istiqamah dalam agama sebagai jalan penyelesaian kepada ashabiyah negatif atau sikap melampau yang semakin berleluasa. Bersegeralah kembali ke jalan anbiya. Di sana pasti kita akan menemui kebahagiaan dan keamanan.
Dengan politik dan kuasa yang ada di genggamannya, seorang pemimpin tidak hanya melaksanakan perintah agamanya akan tetapi dengan politik dapat memakmurkan negara, mensejahterakan rakyat, membanteras kemungkaran, memerangi rasuah, menghukum pengkhianat kerajaan dan menyekat sebarang bentuk penyelewengan.
Hakikatnya, politik perebutan kuasa amat mudah menjerumus umat Islam ke dalam konflik yang memecah-belahkan persatuan dan kesatuan umat. Situasi inilah yang menjadi keprihatinan ikon dakwah terkemuka Hasan al Banna dalam karyanya Majmuah Rasail yang menyatakan bahawa perpecahan umat merupakan bentuk kekalahan ukhuwah imaniah yang disebabkan oleh kerakusan mengejar jawatan dan material dunia yang fana.
Sumber: alfalahmadani.my
Recent Comments