Ketua Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris nampaknya cuba mengaitkan jargon ekonomi manusiawi sebagai punca munculnya idea penganjuran Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai 2025 di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.
Sebab itu sebenarnya bukan sebab utama, ia hanyalah satu rekaan daripada sebuah agenda lebih besar “memuaskan kehendak politik” parti-parti pembangkang yang sudah lebih dua tahun berjuang untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan setelah mereka gagal membentuk kesepakatan bagi meraih “cukup jumlah’.
Jargon itu memang sedap dikunyah, tetapi bagaimana ia nak dihadamkan menjadi suatu persoalan yang cukup susah, kerana ekonomi itu sendiri konsepnya berkisar mengenai ragam manusia menggunakan sumber yang ada padanya untuk memenuhi kehendak yang tidak terbatas. Ertinya, ekonomi itu berkait rapat dengan gelagat manusia untuk memenuhi kehendak yang tidak terbatas menggunakan sumber yang terbatas.
Saya tidak tahu apa definisi yang dipakai oleh Razali Idris yang suatu ketika cukup kuat bergaya dengan baju korporat berlainan linen semasa beliau adalah aktivis Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, semasa negeri itu marak meniupkan semangat Di sini Tamadun Baru Bermula.
Mungkin ketika itu Terengganu cukup mewah projek dan mewah dengan keraian majlis-majlis rasmi, Monsun Cup, Bandar Pesisir Air, Islam Hadhari dan sebagainya.
Namun yang cukup jelas Razali mengaitkan ekonomi manusiawi dengan rendahnya kos sara hidup, harga barangan yang rendah dan sebagainya. Sebenarnya, saya yang pernah hidup dan bermastautin di Terengganu selama lebih tiga tahun (2004-2007) tidak banyak menemukan harga barangan keperluan harian lebih murah daripada barangan yang sama di Kelantan.
Disebabkan ada perbezaan ketara itulah ramai juga orang Terengganu bila hujung minggu gemar ke Kelantan atau sempadan Terengganu Kelantan untuk berbelanja, termasuk membeli ikan dan sebagainya. Ada yang gemar makan beras Siam, mereka membelinya di Kota Bharu sambil jalan-jalan cari makan di hari minggu.
Waktu itu, saya yang “hidup bujang” cukup sukar untuk membeli makanan bila hujung minggu, kalau malamnya hanya bergantung kepada restoran masakan panas yang dikendalikan oleh warga Thailand. Sewa rumah juga cukup mahal di Kuala Terengganu, tetapi tidaklah semahal di Kemaman atau Kuala Lumpur.
Apakah ketika itu tidak muncul pula keluhan ekonomi manusiawi? Saya tidak mendengar ianya diucapkan, termasuk oleh Razali Idris sendiri yang sekarang merupakan salah seorang “penggoda” agar orang ramai turun mendesak Anwar Ibrahim meletakkan jawatan kerana gagal “menokhtahkan'” ekonomi manusiawi.
Pada Pilihan raya Umum ke-14 (2008), Razali bertanding di DUN Ru Rendang beliau kalah dengan calon heavyweight daripada PAS, iaitu Presiden PAS, Tan Sri Haji Hadi Awang. Pada PRN lalu (2023) beliau bertanding di DUN Kijal dan berjaya mengalahkan bekas MB Terengganu, Datuk Ahmad Said yang menguasai DUN tersebut sejak PRK DUN Kijal pada tahun 1990. Razali kini sedang berhadapan dengan proses mahkamah berhubung dakwaan menghasut. Kes tersebut akan diadakan pada bulan September nanti.
Saya hentikan dakwaan “menghasut” yang dilakukan ketika kempen PRK Kemaman dua tahun lalu. Saya hanya ingin mencari kefahaman makna “ekonomi manusiawi” atau dalam bahasa Inggerisnya dinamakan “human economy”, sebuah konsep yang cukup besar tetapi tidak pernah kelihatan model dan kejayaannya dengan jelas. Tetapi, ia ada kaitannya dengan “ekonomi kebajikan” di mana kerajaan akan kekal menjadi pengawal dan penentu sesebuah ekonomi dengan berfikiran kebajikan rakyat.
Daripada perspektif ekonomi, kawalan kerajaan terhadap aktiviti dalam menentukan kewajaran berlaku dalam sistem sosialis dan komunis, yang menjadi lawan kepada sistem kapitalis yang berpaksikan kepada kuasa pasaran.
Malaysia mengadaptasikan sistem kapitalis dan dalam masa yang sama turut mengambil inisiatif mengawal harga melalui mekanisme penetapan harga, anti pencatutan dan menyuntik subsidi terhadap sebahagian besar barang keperluan asas.
Jadi, ia cukup berfokuskan kepada kesejahteraan masyarakat, tetapi tidak semuanya dapat dialukan kerana sumber yang ada cukup terhad, yang juga terpaksa berkongsi dalam beberapa perkara seperti kemudahan awam, pendidikan, kesihatan dan pengupayaan modal insan.
Tentunya, apabila kerajaan madani memperkenalkan konsep ekonomi yang lebih adil, yakni membantu golongan yang berpendapatan rendah, mengutamakan rakyat tempatan dan harga yang berbeza untuk bukan warganegara, ia dilihat sebagai sesuatu yang tidak baik kepada ekonomi manusiawi.
Kalau itulah yang dikatakan ekonomi manusiawi, kesamarataan peluang untuk setiap orang tanpa mengira status kewarganegaraan, taraf sosioekonomi ia juga tidak dapat diistilahkan sebagai ekonomi manusiawi. Ekonomi manusiawi ialah tidak meminggirkan golongan yang susah atau berpendapatan rendah. Setakat ini, belum ada tekanan yang menjadikan golongan berpendapatan rendah tersisih daripada arus kehidupan.
Namun, soalnya, apa dan bagaimana untuk membantu mereka. Kaedahnya tidak dijelaskan dengan menarik dan jelas oleh Razali yang mendakwa ekonomi pada zaman pentadbiran Anwar Ibrahim tidak manusiawi.
Ekonomi bukan hanya tumbuh berdasarkan ekosistem dalam negeri, ia juga bergantung kepada persekitaran global, kerana Malaysia bukanlah pengamal sistem ekonomi tertutup sebagaimana yang kita fahami daripada kisah kegagalan ekonomi yang berasaskan teori Karl Marx, ekonomi rakyat dan rakyat tanpa kelas. China yang suatu ketika membina negaranya berdasarkan fahaman tersebut tetapi kini tidak lagi.
Ekonominya semakin terbuka dan keterbukaan itulah menjadikan China semakin dibimbangi oleh Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Jepun dan Korea Selatan yang sejak berdekad-dekad mendabik dada sebagai ekonomi terbesar dunia.
Secara lojiknya, sesebuah negara yang berjaya dalam ekonominya, tidak mampu mempertahankan harga barangan dan perkhidmatan pada tahap yang dianggap murah. Bahkan, jika kita bandingkan kos sara hidup antara Malaysia dan Indonesia sendiri cukup ketara perbezaannya.
Harga barangan keperluan harian di Indonesia hampir dua kaki ganda daripada harga barangan yang sama di Malaysia. Kalau tidak percaya, berkunjunglah ke Indonesia. Berapa harga sepinggan nasi yang kita makan setiap hari, dengan menu yang sama di Malaysia di kedai makan sederhana. Jangan bandingkan harga makanan di restoran mewah atau hotel lima bintang.
Berapa harga sekilogram beras tempatan (Indonesia sudah berjaya menghasilkan beras yang mencukupi bagi kegunaan rakyatnya, tanpa perlu import). Berapa harga seting gas memasak? Bahkan kita pernah mendengar atau menonton video bahawa untuk mendapatkan gas memasak bersubsidi terpaksa menunggu berhari-hari beratur panjang sejak awal pagi.
Di Malaysia insiden seperti itu tidak berlaku. Kita kadangkala marahkan kepada penghantar gas ke rumah kerana tempahan lambat tiba. Kalau mahu cepat, pergi beli dan angkut sendiri di kedai runcit yang menjual gas memasak.
Harga gula, tepung gandum, buah-buah tempatan di Indonesia tidaklah semurah yang kita bayangkan. Kalau tidak percaya, pergilah ke pasar-pasar basah atau toko yang menjual buah-buahan, lihatlah sendiri berapa harganya. Kata imigran atau TKI yang ada di Malaysia, harga bahan mentah cukup murah berbanding harga di negara Indonesia.
Dalam sebuah klip video, saya pernah mendengar keluhan seseorang tentang harga barangan dan perkhidmatan di Indonesia, termasuk harga minyak petrol (RON 95). Hampir sekali ganda untuk seliter. Katanya, sepatutnya harga petrol lebih murah di Indonesia kerana negara itu adalah pengeluar minyak yang jauh lebih besar daripada Malaysia.
Indonesia termasuk dalam kategori negara-negara pengeksport minyak (OPEC) sedangkan Malaysia tidak berada di dalamnya kerana kouta pengeluaran harian tidak memadai dengan syarat yang ditetapkan. Sejak Mei 2008, Indonesia terkeluar daripada negara anggota OPEC.
Walau bagaimanapun, pengeluaran minyak mentah Indonesia cukup besar berbanding Malaysia. Indonesia menyasarkan pengeluaran harian kepada 1 juta tong sehari menjelang tahun 2030.
Tahun 2023, Malaysia mengeluarkan sebanyak 600,000 tong minyak mentah sehari. Ini bermakna, walaupun eksport minyak masih merupakan antara pendapatan terbesar, Malaysia diramalkan bakal menjadi negara pengimport bersih minyak dan gas asli dalam tempoh kurang 30 tahun sekiranya tahap penggerudian tidak berubah.
Terdengar juga kenyataan bahawa harga minyak di Malaysia pernah berada pada tahap RM 1.25 seliter, yang dijadikan perbandingan antara zaman Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin.
Memang benar, tetapi perlu difahami bahawa ketika harga minyak serendah itu berlaku kerana permintaan minyak dunia menjunam turun. Ia turun kerana berhadapan dengan wabak COVID 19, yang menyebabkan kilang-kilang berhenti beroperasi, premis perniagaan ditutup, sektor pelancongan terhenti, dan pergerakan manusia terhenti.
Waktu itu, kalau diisi minyak penuh tangki, ia cukup lambat untuk habis, mungkin cukup untuk dua atau tiga bulan penggunaan. Kita hanya menggunakan kenderaan untuk or klinik (hospital), dan membeli barangan keperluan dalam situasi lokasi yang cukup terhad.
Sekarang tidak lagi, setiap orang boleh pergi ke mana sahaja yang dia mahu pergi, sehingga ramai juga rakyat Malaysia berkereta ke negara jiran setiap kali musim cuti. Kita tahu, kalau rakyat Malaysia benar-benar terhimpit dengan kos sara hidup, tentunya mereka tidak akan melancong ke negara jiran.
Puluhan ribu orang menyeberangi sempadan untuk “jalan-jalan cari makan” bahkan lebih raya ikut sesak. Memang tidak semua rakyat Malaysia melancong, tetapi dakwaan bahawa rakyat sedang dihimpit untuk memenuhi keperluan hidup adakah tidak benar sepenuhnya.
Kerajaan madani telah meningkatkan sumbangan bantuan untuk mereka yang dikatakan B40, tetapi yang bercakap rakyat susah bukanlah dalam kalangan B40, mereka itu sebahagian besarnya adalah dalam kalangan M40 yang merasakan kurang selesa bila tidak mendapat BRIM ataupun tersenarai dalam e-Kasih.
Mereka inilah yang paling ramai mengecam, sebabnya mereka adalah kumpulan yang tidak tahu bersyukur. Mereka diberikan api oleh politikus dan oportunis. Bersyukur itu bukan sekadar kata-kata, ia wajib diterjemahkan ke dalam budaya hidup, amalan setiap ketika.
Kita tidak nafikan, ada barangan yang naik harganya. Tetapi, kita juga perlu sedar, tidak semua harga barangan dikawal oleh kerajaan perpaduan, tetapi Anwar telah melakukan yang terbaik dan termampu setakat ini untuk mensejahterakan rakyat.
Tentunya, kerajaan tetap akan dipersalahkan jika harga santan meningkat, walhal tanaman kelapa dalam negeri tidak cukup untuk menampung keperluan domestik. Sebahagiannya terpaksa diimport. Setiap yang diimport, harganya pula bergantung pada pengeluaran, pengeluaran yang sedikit akan menyebabkan harga meningkat sekiranya permintaan tinggi. Itu hukum asas ekonomi yang perlu kita fahami.
Katakanlah apa pun, sejak tidak berada dalam koridor kuasa, PN sebenarnya “tidak ada modal” untuk memberitahu rakyat bahawa mereka mempunyai kaedah mengurangkan kos sara hidup yang lebih rendah, ataupun mungkin boleh kembali kepada tahap harga barangan pada tahun 1960-an atau 1970-an, sebiji telur ayam berharga 10 sen, sebungkus nasi lemak di kantin sekolah 20 sen, dan sekati gula 45 sen. Ketika purata gaji pekerja sekitar RM 300 atau RM 400, tetapi kini, gaji minimun ditetapkan pada RM 1,700.
Tentunya, ada yang akan berkata, tidak ada gunanya gaji naik sebabnya harga barang juga naik. Kalau tidak ada guna, janganlah berteriak sana berteriak sini, dah bertahun gaji tak naik.
Tentunya, dalam hukum ekonomi ada ironi dan paradoks, ada istilah kos melepas. Ia perlu difahami dan dihadam dengan betul, bukan sekadar menyebutnya sebagai sesuatu yang indah, tetapi tidak menepati realiti.
Ekonomi manusiawi bukan bermakna semua barangan dan perkhidmatan menjunam murah. Ekonomi manusiawi ialah bagaimana manusia menjadi bijaksana dalam membuat pilihan untuk menentukan harga yang dibayar berbaloi dan menepati pilihan dengan bijak membelanjakan pendapatan yang ada.
Apa yang berlaku ialah kita jarang memikirkan bagaimana hidup sederhana, tidak membazir, mengikut keperluan bukan nak tunjuk gaya, elegan dan hebat. Setiap hari kita sebenarnya terperangkap dengan “overthinking” dan enggan keluar daripada zon selesa.
Bolehkah kita hidup seperti zaman kita tidak mempunyai handphone, Netflix; tidak meneguk capucino, makan steak, teppanyaki, atau cheese burrito; dan tidak bermimpi berkereta BMW. Kita boleh bermimpi, tetapi kita perlu mengukur baju di badan sendiri.
Apakah jika berjaya Turunkan Anwar, ekonomi Malaysia akan benar-benar menjadi ekonomi manusiawi? Maknanya, tiada kenaikan harga dan hidup rakyat semakin baik? Apakah itu tidak bermakna “menjual harapan palsu”? Sifat manusia tidak pernah puas dan sempurna, maka apa yang diracuni dalam pemikiran masyarakat itulah sebenarnya yang perlu dilupuskan terlebih dahulu.
Manusia hidup sentiasa ada cabarannya. Harga barangan tidak akan pernah murah selama-lamanya.
Ingatlah, Allah SWT berpesan kepada kita untuk terus bersyukur walaupun kita sedang diuji, berada dalam kesusahan kerana itu adalah aras yang akan menentukan siapakah sebenarnya diri kita di sisi-Nya, bukan hanya untuk dilihat kuat, gagah dan perkasa di sisi manusia.
“Maka berkenaan manusia, apabila Tuhan mengujinya lalu memuliakannya dia berkata:” Tuhanku telah memuliakanku”. Namun, apabila Tuhan mengujinya lalu membataskan rezeki kepadanya, maka dia berkata: Tuhanku telah menghinakanku’. (Surah al-Fajr, ayat 15,16).
“Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dah undang-undang) supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kufur (akan nikmat-Ku).” (Surah al-Baqarah, 162).
(Foto: Muhyiddin didesak letak jawatan; Mahathir didesak letak jawatan; kini, Mahathir dan Muhyiddin bercantum untuk desak Anwar letak jawatan. Inilah yang dinamakan politik sailang, sepatutnya budaya politik berkembang menjadi lebih matang, bukan semakin beremosi).
KAMARUN KH
Recent Comments