Jumlah penduduk Malaysia seramai 34.2 juta orang.

Jumlah pengundi seramai setakat Jun 2025, sekitar 21.9 juta orang.

Jumlah yang hadir ke Dataran Merdeka, dianggarkan tidak pun sampai 100,000 orang tapi Ketua Penerangan PAS mendakwa sedang mencecah 500,000 orang. Lidah rasmi PAS, Harakah menganggarkan 300,000 orang telah hadir manakala Malaysia Kini yang berada di lapangan menganggarkan sekitar 15,000 orang, kemudian dipinda kepada 25,000 orang.

Berdasarkan video yang tersebar, saya anggarkan kehadiran adalah jauh meleset daripada jangkaan, kurang daripada 50,000 orang. Pihak polis menganggarkan kehadiran sekitar 18,000 orang.

Walaupun tidak siapa dapat pastikan jumlah tepat kehadiran, ia adalah dalam situasi ramai tetapi Kuala Lumpur belum kelihatan begitu sendat sebagaimana kita bayangkan jika 500,000 orang hadir. Di tengah medan Dataran Mereka kosong, kerana mungkin dihalang takut rumput yang ditanam rosak. Ertinya, jangkaan ketua penganjur jauh meleset manakala Timbalan Presiden Bersatu teramat jauh daripada sasaran sejuta orang.

Propaganda sedang dicipta, persepsi awam sedang dibentuk, seolah-olah ia adalah gambaran sebenar “kebangkitan rakyat” sudah berlaku. Itulah kekuatan “pembohongan” dan “pembodohan” politikus dalam usahanya membentuk persepsi. Sebab itulah politik dikenali juga sebagai kaedah mengurus persepsi.

Kata Azmin Ali, 27 tahun lalu (1998) di sinilah mereka menggaungkan harapan untuk Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan Dr Mahathir dengan teriakan reformasi. Hari ini (26 Julai 2025), kita gabungkan tenaga semula untuk menurunkan Anwar yang tidak melaksanakan reformasi, mengecewakan harapan dan semangatnya reformasi.

Reformasi bertukar menjadi Re For Masi, kerana pemimpin yang pernah didesak turun sebelumnya ikut bersama menyatakan pendirian mendesak Turun Anwar. Anwar tidak gentar dengan apa yang Azmin Ali ucapkan. Aura politik Azmin sudah tercalit kotor.

Anwar tidak berjaya diturunkan dengan laungan seperti itu. Sejarah telah membuktikan, Dr Mahathir gagal diturunkan dengan Himpunan Reformasi (1998), Muhyiddin juga gagal diturunkan dalam efifani Kerajaan Gagal (2022), Najib juga tidak berjaya diturunkan walaupun di Dataran Merdeka juga potretnya dipijak, dibakar dan tidak kurang yang meludahnya. Itu sejarah, dan itu juga realiti politik.

Walaupun ramai yang berguling-guling marahkan apa sahaja yang dikatakan tidak sesuai atau tidak patut dilaksanakan, Tun Abdullah tetap kekal sebagai PM. Tun Abdullah tidak ada sifat dendam, setelah bersara beliau tidak menukang siang dan malam seperti mana Dr Mahathir lakukan. Kita titipkan doa semoga roh Allahayarham tenang di sana dan Allah SWT ampunkan kesalahannya.

Tun Abdullah turun setelah menyedari kepimpinannya dipersoalkan apabila prestasi BN merosot daripada 198 kerusi (2005) hanya tinggal 140 kerusi. Beliau turun kerana obligasi moral selepas BN hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat’ dan hilang empat buah negeri (Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang).

Najib juga tidak turun kerana demonstrasi. Najib diturunkan kepada BN kalah pilihan raya umum (2018). Dr Mahathir buat kali kedua (24 Februari 2020) turun kerana hilang sokongan majoriti. Muhyiddin letak jawatan kerana “tidak cukup jumlah” apabila UMNO/BN tarik sokongan.

Sebenarnya itulah hakikat yang wajib kita fahami dalam sistem politik demokrasi. Ini bermakna, berapa ramai pun yang hadir kerana terbakar semangat untuk turunkan Anwar, Dataran Merdeka tetap menjadi saksi Anwar tidak berjaya diturunkan dengan cara itu.

Sebaliknya, apa yang tersembunyi di sebalik Himpunan Turun Anwar ialah rasa malu dan iri hari kerana Anwar berada di landasan yang betul dalam memulihkan ekonomi, yang kita tahu cukup sukar pada era Muhyiddin Yassin dan sedikit meningkat semasa Ismail Sabri Yaacob.

Apa pun yang hendak dinafikan, ia hanyalah sebuah khayalan yang tidak bertepi oleh mereka yang terdesak untuk berkuasa. Mereka sedar, untuk menurunkan kerajaan perpaduan telah gagal, maka dimulakan pula dengan mendesak Anwar turun. Setelah lebih dua tahun memainkan sentimen “kerajaan luar tabie”, kerjasama antara parti sebagai “penuh perangkap dan muslihat”, maka tidak ada jalan lain untuk membina semula semangat yang hilang, dengan mencaturkan propaganda terhadap Anwar. Percaturan yang cukup bersifat peribadi, bukan sesuatu yang boleh dianggap memadai untuk memburuk-burukkannya.

Perangkaan dapat kita semak dan analisis. Zaman manakah rakyat lebih merasa lega dan lapang dada meneruskan hidup ketimbang zaman kita tidak dibenarkan keluar rumah. Emosi kita terus terbelenggu, psikologi diri penuh angan-angan, dan terburuk ialah bagaimana nak pulihkan semula ekonomi diri, keluarga dan negara setelah hampir dua tahun “ditambat” resah dan hilang pekerjaan.

Ada yang berjaya bangkit dalam tempuh selepas berakhirnya PKP. Tidak semua yang mampu, bahkan ada yang terpaksa melakukan apa sahaja pekerjaan demi sesuap nasi, berbeza dengan kerjaya sebelumnya. Itu patut kita renung dan ambil pengajaran, bukan ikut “cetusan marah” mereka yang hilang kuasa.

Tentunya, setiap proses pemulihan memerlukan masa, Dr Mahathir sendiri pernah mengakui bahawa tidak cukup untuk menyelesaikan agenda “membina semula Malaysia” dalam tempuh enam bulan. Kemudian, setelah setahun berlalu, masih belum cukup. Akhirnya, dia dicukupkan dengan Langkah Sheraton.

Kaki ini, nak cuba ulangi Langkah Sheraton dengan menggunakan rakyat. Ia tidak akan berjaya, kecualilah pilihan raya umum diadakan. Tempoh matang PRU ie-15 masih berbaki hampir tiga tahun lagi. Tentunya, dalam tempuh itu akan berdentumlah pelbagai kejutan. Jadi untuk menyekat kejutan seterusnya, maka Himpunan Turun Anwar terpaksa dirancang.

Semua orang tahu, Muhyiddin ada kes mahkamah. Dr Mahathir, walaupun tidak didakwa kerana kehilangan Pulau Batu Putih juga cukup takut apabila Tun Daim Zainudin dan Tan Sri Abu Shahid Mohamad sedang dalam proses dan tindakan undang-undang. Aset Daim dan isterinya sedang dalam proses untuk dilucut hak. Tan Sri Abu sedang disiasat kenapa Maju Express Highway hanya disiapkan sekerat jalan sedangkan sukuk telah dilanggani sekalian lama.

Dr Mahathir tiba sekitar jam 4 petang. Beliau melantunkan cabaran agar kes Batu Putih yag dikaitkan dengannya dibawa mahkamah. Beliau sedia untuk didakwa dan membuktikan dirinya tidak bersalah. Modal politik Dr Mahathir cukup konsisten, mahukan Anwar turun kerana “khianat negara”.

Muhyiddin pula mempersoalkan pemberian wang secara one-off kepada semua warganegara berusia 18 tahun adalah satu tindakan yang sikap. Katanya, sepatutnya bukan semua orang yang dapat, terutama mereka yang berada dalam kategori kaya. Apa pun, jika orang yang merasakan dirinya tidak sepatutnya ambil, jangan ambil. Memang RM 100 tidak besar, tetapi bagai mereka yang berpendapatan rendah, ia sangat membantu.

Muhyiddin tak perlu wang itu. Saptutnya Muhyiddin dermakan wang yang beliau ada “saya kaya” kepada orang miskin jika benar-benar mendakwa cukup prihatin dengan kenaikan kos sara hidup. Zaman beliau harga barang cukup mahal, termasuk minyak masak sehingga mencanak lebih RM 40 ringgit sebotol 5 kg. Harga semasa, sekitar RM 30. Telur juga telah turun, lebih murah daripada zaman PN. Ekonomi negara telah mula menunjukkan prestasi baik, tumbuh sekitar 5 peratus manakala pengangguran pada tahap 3.0 peratus (April 2025).

Tentunya kaedah pentadbiran Anwar masih belum sempurna, kesempurnaan akan meningkat sekiranya beliau tidak diturunkan atas dasar emosi dan balas dendam. Anwar berpeluang tunjukkan kebolehannya, biarpun ada yang kata potensi pelaburan ratusan bilion ringgit belum nampak. Anwar tidak berbohong, kerana proses masuk, membuka kilang memerlukan proses dan masa. Mereka yang tidak nampak itu, kata Menteri Perdagangan dan Pelaburan “matanya tidak nampak, buta.”

KAMARUN KH

Translate »