Entah mengapa pagi minggu, beberapa jam selepas Himpunan Turun Anwar berjaya diadakan secara aman, fikiran saya tidak lekang daripada membicarakannya walaupun secara monolog.
Apa yang berlegar dalam monolog pagi saya ialah:
1) Sikap dan pendirian PMX.
Saya kagum dengan sikap dan pendirian PMX, objek dan subjek yang menjadi “amukan kata-kata” mereka yang berucap pada pesta itu.
PMX memberikan laluan tanpa sekatan bahkan mengarahkan pihak berkuasa membantu melancarkannya, dengan mengawal kelancaran dan perjalanan para petunjuk perasaan untuk menyelesaikan hasrat mereka.
Setelah perhimpunan selesai, tersiar pula satu rakaman terima kasih dan ucapan selamat kembali ke destinasi masing-masing tanpa secubit pun rasa marah dan menghina.
Bagi saya, inilah satu bentuk reformasi diri yang terbesar pernah saya saksikan berlaku dalam budaya politik Malaysia sejak tahun 1980-an. Petunjuk perasaan tidak ditangkap. Penganjur tidak didakwa tetapi diberikan ruang untuk berjaya apa sahaja, termasuk mencaci, memaki hamun dan mengecam PMX agar segera turun.
Ia berbeza dengan zaman PM4. Bila berlaku tunjuk perasaan, akan ada yang pedih mata terkena pancutan air yang mengandungi serbuk lada dan berbau busuk. FRU akan berada di setiap lorong, bersama kenderaan sehingga memunculkan pula perlawanan terhadap kekerasan yang dialami.
Tahun 1987, ada Operasi Lalang. Pemimpin politik yang bercakap mengecam dasar dan tindakan kerajaan ditahan tanpa bicara. Berapa lama ditahan ia tergantung kepada keputusan PM4 yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Tun Musa Hitam ketika itu sudah meletakkan jawatan. Apa sebabnya, ada hal yang tidak bersetuju dengan PM4.
Ada juga beberapa demonstrasi selepas itu menentang ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang dikatakan sebuah akta yang zalim (draconian). Sebahagian yang hadir ada pengalaman terkena semburan air yang memedihkan.
Himpunan Turun Anwar tidak ada pancutan air busuk dan memedihkan, tetapi Kuala Lumpur disimbahi hujan di tengah-tengah cuaca panas yang sehari dua ini cukup membahang. Tidak ada ketegangan dan tidak ada kenderaan polis dirosakkan seperti berlaku dalam salah satu siri Demonstrasi Bersih.
Umumnya, pengurusan dan perjalanan Himpun Turun Anwar mencapai kematangan, benar-benar boleh dianggap perhimpunan aman. Walaupun ada dakwaan pihak DBKL merobohkan pentas yang dibina untuk menjadi pentas utama.
Bagi saya, perobohan atau larangan itu wajar. Pihak penganjur tidak memohon untuk membina pentas, menurut DBKL, hanya menyatakan akan menggunakan dua buah Hilux (pacuan empat roda).
Dakwaan yang lain, DBKL tidak membenarkan kawasan berumput dipijak atau digunakan untuk diisi oleh peserta dan juga pengunjung pesta Turun Anwar. DBKL ada alasannya. Mereka sedang meningkatkan Dataran Merdeka sebagai pusat tarikan pelancongan, di sekilingnya juga ada bangunan bersejarah yang cukup mahal nilainya.
Rumput di Dataran Merdeka hijau, DBKL menanamnya semula dan menjaganya agar tidak kering ketika kemarau sedang kita alami. Ia perlu dijaga dan ditata rapi, kerana jika rumput-rumput itu lunyai dipijak, rakyat juga rugi. DBKL akan memohon peruntukan untuk menanam atau menyuburkannya semula. Peruntukan itu datangnya daripada wang pembayar cukai.
2) Ucapan-Ucapan Menghina dan Perlecehan Peribadi.
Sayangnya, yang berucap adalah semuanya mereka yang beragama Islam. Saya teringat kepada pesanan Almarhum Mursyidul Am PAS, nakhoda PAS yang tidak boleh dicabar kerana dia mengatakan dialah yang “menjaga, menyiram dan membajai parti”, mencari keburukan atau menyebarkan aib orang adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Ia bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12).
Perbuatan begitu adalah dosa besar. Ia bukan sahaja boleh menyebabkan subjek ditimpa kehinaan, bahkan yang memaki hamun atau yang mendedahkan keburukan itu juga secara tidak langsung berperibadi buruk. Tetapi, itulah yang diulang-ulang oleh seorang yang pernah kenal dan berada dalam satu kem dengan Anwar Ibrahim pada zaman muda.
Saya juga teringat dengan ucapan dan pesanan salah seorang pemimpin PAS yang pernah berkata dan menyeru agar tidak mencari keburukan kerajaan. Mereka yang mencari keburukan kerajaan diibaratkan sebagai tupai dan kera. Ucapan itu belum lagi boleh dianggap kebijaksanaan klasik, ia cukup baharu. Kalau seorang bayi yang lahir ketika ucapan itu dibuat, dia belum lagi mencapai tahap baligh ketika ini. Mungkin bayi itu masih berada di nurseri atau baru masuk kelas tadika.
Namun, sedih sekali. Himpunan Turun Anwar cukup jelas membawa makna kebencian peribadi, kutukan tanpa rasa manusiawi, walaupun ada yang berkata ia sebagai “wake-up call”. Kalau ia merupakan “wake-up call”, kita tidak akan mengejutkan orang yang sedang tidur dengan cara mencaci maki dihadapan orang ramai. Kita sedar, kita juga tidak sempurna, bukan malaikat. Kitab tegur bila ada yang salah, kita ajar dia bagaimana untuk membetulkan kesilapan.
Anwar menyediakan saluran terbaik untuk setiap daripada ahli Dewan Rakyat menegurnya. Mereka boleh bersemuka dalam apa yang dipanggil PMQT. Sayangnya, ketika sesi itu, ramai juga pemimpin besar parti pembangkang tidak hadir, tidak kemukakan soalan. Di situlah sebenarnya ada kebijaksanaan dan juga ketakutan.
3) Memangsakan Rakyat.
Mengimbas kembali apa yang diperkatakan perucap bersiri dalam pesta Turun Anwar, jelas berupa aktiviti membuli, menghasut dan mengeksploitasi rakyat untuk menolak apa sahaja yang Anwar telah laksanakan sejak mengangkat sumpah sebagai PMX.
Setakat ini, kita belum mendengar sedikit pun pujian dan terima kasih pemimpin pembangkang kepada PMX. PMX tidak pernah menyuarakan kekecewaannya, bahkan terus melaksanakan apa yang difikirkan wajar untuk kesejahteraan rakyat. Negeri-negeri pimpinan pembangkang terus dibantu tatkala kesusahan. Peruntukan menebat banjir, bantuan mangsa bangkit, dan kos pembaikan akibat cerun bukit yang runtuh diluluskan segera. Sebelumnya, diberikan peruntukan untuk menaiktaraf pasar Siti Khadijah. Kini sudah ceria dan berwajah baharu.
Terbaharu, PMX berikan RM100 bagi setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas, tanpa mengira kelas. Di sinilah sebenarnya yang akan menguji kejujuran setiap rakyat Malaysia, keikhlasan hati sama ada merasakan bantuan itu perlu atau tidak. Jika merasakan tidak perlu, ia lebih diperlukan oleh orang lain, buatlah pilihan: mengambil atau di sebaliknya.
Muhyiddin menyangkal pemberian tersebut kerana tidak dianggap bersasar membantu rakyat yang dikatakannya semakin terhimpit dengan kos sara hidup. Muhyiddin “‘yang kaya” tidak patut mengambilnya. Biarkan dana itu dikembalikan semula kepada kerajaan. Itu lebih mulia daripada mengecamnya. Itu lebih jujur daripada tidak memberikan apa-apa kepada rakyat dan minta rakyat “ikat perut”. Asalnya adalah wang rakyat, yang dipungut daripada pelbagai cukai yang dikenakan. Dikembalikan kepada rakyat tanpa ada had kategori.
Benar RM 100 tidak memadai, tetapi ia cukup bermakna bagi sesetengah orang yang berhadapan dengan kesulitan. Ibarat setitik air ketika haus. Kita tahu, banyak kisah-kisah kecil dalam hidup manusia yang membawa kesan besar lagi menyegarkan. Banyak juga cerita-cerita besar yang menjengkelkan, program besar yang gagal dan mengecewakan. Jana Wibawa tersendu dalam kesedihan melampau. Kisah bail-out, crony-capitalism, Maminco, Fleet Holding, Mariwasa, Sogososha dan IPP sangat meghina aspirasi rakyat.
Kita sokong siapa sahaja yang melaksanakan program mensejahterakan rakyat. Dalam masa yang sama kita menentang siapa pun pemimpin yang tidak berintegriti dan pengamal crony-capitalism. Kita sokong setiap kebaikan dan kita tidak sokong siapa pun yang mencetuskan ketidakharmonian masyarakat,.juga yang cuba meruntuhkan sistem yang dibina dan dipertahankan menerusi tindakan mengeksploitasi rakyat.
(4) PM X turun, harga barang turun: Mitos atau Realiti?
Anak cucu alam perahu
Berkelah sakan di hujung minggu
Siapa pun turun rakyat menggaru
Harga barang terus melaju
Dakwaan Muhyiddin cukup tidak boleh diterima oleh akal yang sihat, kepimpinan Anwar telah menyebabkan kos sara hidup meningkat. Tidak pula Muhyiddin cakap apakah benar zaman pentadbirannya selama 17 bulan tiada harga barang meningkat.
Kita juga ingat, semasa kempen PRU ke-14, riuh rendah menyatakan kerana GST menjadikan kos sara hidup meningkat. Setelah menang, dihapuskan GST digantikan dengan SST. Barangan dan perkhidmatan juga tidak turun, rakyat pula disuruh “ikat perut” kerana kerajaan lama meninggalkan hutang yang besar (RM 686 bilion). Ada bekas menteri kewangan beritahu, Malaysia akan bankrap. Sehingga dia meninggal, Malaysia belum lagi bankrap dan tak mampu bayar servis hutang.
Ramai rakyat cukup risau. Ramai rakyat percaya, Dr Mahathir dan suku sakatnya benar-benar mahu berjimat untuk langsaikan hutang. Rupa-rupanya, jumlah hutang RM 1.2 trilion itu adalah hasil “creative accounting” yang kita dengar, pertama kali dalam sejarah hidup rakyat biasa, yang tidak ada kelayakan profesional perakaunan. Tetapi, makin ramai rakyat Malaysia boleh membaca imbangan kira-kira, bukan “silap baca laporan” dan “silap koma”‘, walhal itu adalah cara nak korner.
Sebenarnya, ia adalah anggaran jumlah hutang yang akan ditinggalkan pada akhir pentadbirannya. Jumlah hutang bertambah sekali ganda daripada apa yang Najib tinggalkan di akhir pentadbirannya (RM 686 bilion). Nasib baik pemerintahannya tidak lama, tetapi sudah berselirat cerita perusahaan kereta nasional ketiga, kereta terbang, dan entah apa lagi. Oh! Bandar Malaysia?
Kos sara hidup tidak juga turun, harga barangan tidak juga murah. Tidak semurah tahun 1960-an dan 1970-an. Apa “malu bossku”, harga belacan lebih mahal daripada harga kelapa sawit. Mak Cik Felda kata, mereka hidup “macam bercinta”, penuh angan-angan kerana nak beli barang dapur pun terpaksa fikir beberapa kali. (Kempen PRK Cameron Highlands 2019).
5) Sandiwara Perhimpunan Turun Anwar.
Setelah “jatuh tangga”, Dr Mahathir ke sana ke sini marahkan Muhyiddin yang merancang Langkah Sheraton. Setelah angkat sumpah (1 Mac 2020), Muhyiddin pemasaran dengan wabak COVID-19, lalu diisytiharkan PKP untuk tempoh selama hampir 10 bulan (18 Mac hingga 31 Disember 2020). 25 Oktober 2020, Muhyiddin minta diisytiharkan darurat, kerana wabak COVID 19 semakin menggila, setelah berjaya mencaturkan politik bagi menguasai DUN Sabah. Yang di Pertuan Agong (SPBYDA) tolak permintaan untuk dilaksanakan darurat kesihatan.
Muhyiddin pemasaran kerana ada dua kebimbangan, pengaruhnya akan menipis, kerana ada permohonan untuk diadakan undi percaya terhadapnya. Muhyiddin juga takut, Bajet 2021 yang sepatutnya dibentangkan (kelaziman setiap tahun) tidak diluluskan di tengah-tengah suara rakyat mahukan beliau meletakkan jawatan.
Isu kedua muncul apabila ada kenyataan bahawa SPBYDA bertemu muka dengan seorang tokoh politik veteran, Tengku Razaleigh Hamzah. SPBYDA juga berkenan untuk Anwar masuk mengadap. Di akhir semuanya itu, ada kenyataan bahawa “Muhyiddin sudah tumbang”, kerajaan akan beralih kepimpinan. Tengku Razaleigh hanya berkata, ia adalah perjumpaan biasa, SPBYDA memanggil bagi mendapat pandangan tentang situasi politik semasa berdasarkan pengalaman seorang ahli politik veteran.
Kenyataan Tengku Razaleigh tidak menaikkan suhu cemas Muhyiddin walaupun sebelumnya menghantar surat kepada YDP Dewan Rakyat untuk membuka Sidang bagi membahaskan undi percaya terhadap PM. Namun kenyataan “Muhyiddin tumbang” oleh Anwar Ibrahim cukup menyebabkan PM 8 tidak boleh tidur malam. Rakyat semakin marah kerana pergerakan mereka terkepung dan beberapa sektor ekonomi belum sepenuhnya boleh beroperasi. Rakyat lama tidak bekerja, dan hilang punca pendapatan. Mak Cik Kiah pun susah nak jual nasi lemak. Pak Mail tidak boleh bawa teksi seperti biasa, tidak ada orang yang keluar rumah seperti sebelumnya. Ada adapun, hanya harapkan tempahan melalui e-hailing untuk ke klinik atau tempat yang boleh penumpang pergi.
Muhyiddin tidak putus asa. Dilakukan sekali lagi pada bulan Februari 2021. Kali ini dia berjaya, dan nyawa politiknya “diperpanjangkan” untuk seketika. Darurat diisytiharkan sehingga 1 Ogos 2021. Keadaan menjadi lebih parah, rakyat semakin tidak mampu membeli keperluan harian. Rakyat semakin gelisah sehingga ada yang mengambil keputusan membunuh diri. Rakyat tidak dapat bayar hutang, dan beli lampin pakaian buang untuk bayi. Polis cukup bimbang, fenomena terjun bangunan tinggi, menggantung diri, terjun ke sungai, melompat ke lebuh raya dan sebagainya menjadi-jadi.
Muhyiddin perkenalkan “bakul makanan”, tetapi tidak cukup untuk keperluan keluarga untuk seminggu. Apabila semua ahli keluarga “terkurung” keperluan makanan semakin bertambah hingga kisah roti Gardenia menjadi rebutan dan barang langka. Ada van yang membawa roti dibawa lari dan diketemui di Kemaman.
Akibatnya, muncul inisiatif NGO untuk mencari mereka yang benar-benar perlukan bantuan, dengan menggalakkan kibar bendera putih. Beberapa orang ahli politik mengecam tindakan itu. Ada yang berkata “Islam tidak menggalakkan umatnya meminta-minta”. Ia suatu tindakan yang cukup memalukan. Walhal, ia adalah ikhtiar hidup dalam keadaan cukup getir. Mengibar bendera putih dianggap sebagai satu penghinaan. Bakul makanan tidak secukupnya terisi, tidak setimpal dengan peruntukan yang diberi.
Kemudian ia merebak kepada situasi yang lebih besar, menggalakkan orang ramai mengibar Bendera Hitam. Kali ini Muhyiddin benar-benar hilang pautan, Muhyiddin terperangkap dalam tindakan dengan keputusan UMNO. UMNO menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional. Muhyiddin tumbang. Muhyiddin tumbang dalam situasi rakyat benar-benar sukar menguruskan hidup, tanpa pekerjaan dan tiada pendapatan.
Walaupun dakwanya harga barangan lebih murah berbanding zaman sekarang, tidak ada maknanya. Duit tidak ada untuk membeli. Begitulah juga kisah harga petrol yang turun kepada RM 1.25 seliter. Rakyat tidak boleh keluar rumah dan berjalan-jalan cari makan. Isi minyak penuh tangki, tiga bulan pun tidak habis. Memang jimat, terlalu jimat sebab rakyat duduk di rumah.
Sampai sekarang kesan psikologi akibat “terkurung lama” masih terasa, masih dikenang sebagai “deraan” yang Muhyiddin tinggalkan. Sebab itulah bila ditanya, siapakah yang akan ganti Anwar jika Anwar “turun”?. Tidak ada pihak yang dapat menjawab dengan pasti. Ada yang menjawab, Himpunan Turun Anwar bukan nak tentukan siapa pengganti, boleh saja siapa “Asal Bukan Anwar”.
Realitinya, Anwar tidak turun pada pagi 27 Julai 2025, kecuali hanya turun dari katil atau tangga. Kalaulah malam tadi dia tidur di atas katil. Kalau dia tidur di kerusi malas, hanya sekadar lunjurkan kaki, lepas itu teruskan tugasnya sebagai PMX.
Ada yang kata Dr Ahmad Samsuri, MB Terengganu yang akan jadi PM 11. Ada yang kata, itu adalah mimpi yang cukup besar kerana gabungan PH-BN-GPS-GRS masih “cukup jumlah”, tidak akan pilih MP Kemaman setakat ini. PN tidak boleh berlagak sombong kerana belum “cukup jumlah”. Presiden PAS akan ditolak lebih kuat kerana wakil rakyat DAP tidak boleh terima sebagaimana PAS tidak boleh terima DAP. Itu prinsip yang cukup mudah. Kita hormat orang, orang akan hormat kita.
Muncul pula jenaka, PM 11 mungkin Mohamad bin Sabu (Mat Sabu). PH ada kerusi yang besar akan sokong. UMNO/BN walaupun ada 30 kerusi, juga akan sokong asalkan bukan Muhyidin dan Haji Hadi. Mereka tidak boleh terima Haji Hadi kerana suka bermandi-mandian di “dua kolam”. Muhyiddin tidak diterima kerana Bersatu cukup kuat iltizamnya untuk menghancurkan UMNO.
Muhyiddin meninggalkan banyak liabiliti, termasuk liabiliti psikologi. Sebab itu Bersatu semakin tidak popular walaupun Muhyiddin dan Hamzah menafikannya. Apatah lagi Bersatu penuh dengan katak. Sebahagian besarnya adalah katak UMNO. Selebihnya, katak PKR. Kata Ibrahim Ali, parti yang penuh katak ialah Bersatu.
Ada tinjauan rawak (opinion polls) merumuskan, populariti Muhyiddin adalah lebih besar ketimbang Hamzah. Maknanya, Hamzah tidak mampu mengambil alih kepimpinan Bersatu berdasarkan populariti. Tetapi, masih boleh seandainya Muhyiddin sedia turun.
Mahathir memang tidak boleh, sebab sudah hilang tangga. Beliau sepatutnya tidak “buat kacau”, biarlah Anwar melaksanakan apa yang difikirkan baik untuk rakyat Malaysia. Dr Mahathir sudah tidak relevan lagi. Rakyat menolaknya bukan kerana usia, tetapi kerana “agenda besar” yang “banyak belum selesai”. Beliau cuba untuk membersihkan imej setelah kroninya sedang dipersoalkan dan ada tindakan untuk melucutkan hak pemilikan aset yang cukup besar.
(6) Etika berhimpun.
Tidak kita nafikan, Himpunan Turun Anwar berlangsung dalam situasi aman, tidak kedengaran provokasi melampau (sikit-sikit tu adalah juga, ikut laporan yang keluar), tersusun dan berakhir dengan doa. Sejahteralah rakyat, dan boleh pulang dalam tenang. Kalau ada sampah yang ditinggalkan, berapa banyak pun itu adalah lumrah bila ada perhimpunan besar. Tetapi, yang puji tidak ada kerosakan kemudahan awam.
Apa kita kurang faham ialah kehadiran aktivis yang menyokong Himpunan Turun Anwar dalam kalangan bukan Islam. Sepatutnya mereka boleh memahami bahawa perhimpunan sebegitu, yang dipelopori oleh sebuah parti Islam tidak sepatutnya berpakaian “kurang sopan”. Boleh pakai seluar bagi wanita, tetapi tidaklah “legging” dan ketat seumpama pembalut cempedak matang.
Bagi yang bersemangat nak turunkan Anwar, tidak sepatutnya bawa anak-anak remaja bersama. Ada yang berkata, tujuannya adalah untuk anak-anak remaja mencari pengalaman. Itu bukan pengalaman yang sepatutnya kita berikan buat mereka, sebab mereka sebenarnya tidak boleh mengubah apa-apa. Belum cukup umur untuk mengundi. Itu buka caranya untuk melaksanakan pendidikan politik. Jika berlaku sebarang insiden kerana “malang tidak berbau”, akibatnya cukup besar dan boleh jadi trauma, biarpun tidak fatal.
Sesekali saya ketawa, bila ada jawapan daripada sebuah pertanyaan yang mudah, kenapa datang berhimpun? Ada jawapan, sebab tempat duduk dalam bas yang disewa itu “kosong”, saya pun ikut. Ada yang jawab: nak tengok orang ramai berteriak “Turun. Turun Anwar”. Lainnya menjawab: boleh jumpa saudara mara dan kawan-kawan yang ikut berdemo.
Tidak semua yang ikut serta faham apa sebenarnya mereka buat dan ikut serta. Itulah sebabnya ada yang kata sebahagian pendemo tidak tahu apa, mereka cuma sekadar ikut kata orang politik. Mereka tidak sedar, demo dibuat kerana ada “geram” yang belum terluah, tetapi tidak pula menunjukkan rasional “geram” itu muncul.
Geram. Geram “kerana marah”. Geram kerana kecewa, galah politik semakin pendek dan galah di sebelah sana semakin panjang dan kukuh. Jika tidak ditunjukkan “geram”, galah yang semakin pendek itu akan menjadi cukup pendek. PRU ke-16 ada yang kehilangan kerusi.
Ada tinjauan pendapat mengatakan 55 peratus menyokong cara Anwar mentadbir. Ia sudah meningkat naik, dan dalam tempoh selanjutnya kalau tidak dikacau ia boleh naik lagi. Itulah yang melemaskan parti-parti pembangkang. Pendedahan Rafizi sedikit sebanyak membantu parti pembangkang membina ilusi.
Sekarang adalah masanya. Jika bukan sekarang, bila nak lakukan. Tunggu lama-lama “nanti diambil orang”. Lagilah geram. Lagilah kecundang.
Ramai yang boleh terima, atas alasan kesihatan Presiden PAS tidak bersama Himpunan Turun Anwar. Jadi tidak ada umpatan “mengarutlah Haji Hadi,” lengkap dengan dalil dan bahasa majaz (kiasan) yang keluar. Cukuplah dengan Tun Dr Mahathir, Muhyiddin dan Ibrahim Ali. Dua orang dah jatuh tangga. Mereka juga lebih malang lagi sebab tangga pun ikut hilang.
Seorang yang hilang tangga itu pula cabar PMX, dia tidak perlukan imuniti untuk didakwa. Tapi, ramai yang terfikir, apabila disoal di mahkamah, sudah tersedia skrip jawapan yang cukup ikonik: saya tak ingat, saya tidak tahu. Samalah jawapan: saya tak kaya, saya tidak ada duit, mana ada duit. Tetapi, ramai yang ketawa, rumah cucunya di Bukit Ledang dipecah masuk. Akibatnya, banyak betul kerugian yang terjadi, RM 1.8 juta. Itu baharu cucu, kalau Atuknya, entahlah.
Haji Hadi diharapkan bila ada wartawan tanya kenapa tidak hadir, janganlah jawab: itu soalan setan.
Berapa jumlah yang hadir, biarlah di antara kita berteka-teki. Sebabnya, berapa pun yang dianggarkan, ia tetap menjadi anggaran. Tidak ada yang benar-benar membuat kiraan kerana pintu masuknya cukup banyak dan tidak ada yang melakukan kiraan. Masing-masing ada andaian sendiri, 100, 500, 18,000, 25,000 ataupun setengah juta. Semuanya anggaran yang berdasarkan persepsi visual yang mata mampu bayangkan. Ramai memang ramai. Tapi masih terlalu jauh daripada satu perdua puluh (5 peratus) jumlah penduduk Kuala Lumpur. (2.075 juta tahun 2024).
MONOSIN SOBRI
Recent Comments