Masih ingatkah rusuhan di Dataran Tahrir yang berlaku di Mesir dahulu yang menghimpunkan lebih setengah juta orang dan mengakibatkan beberapa orang terkorban serta cedera adalah satu petunjuk bahawa bukanlah mudah untuk memelihara kestabilan dan keamanan.
Perspektif sejarah Islam, selepas terbunuhnya Uthman Affan r.a., Saiyidina Ali bin Abi Talib diangkat menjadi khalifah. Faktor yang menjurus kepada pembunuhan khalifah Uthman dikatakan sebagai suatu bentuk fitnah yang telah menimbulkan huru-hara besar, atau al-ghaugha. Ia merupakan satu bentuk gerakan massa yang melampau dan tidak diketahui siapa pemimpinnya dengan jelas.
Mereka hanya berkumpul kerana disatukan oleh rasa kemarahan yang sama. Biasanya sasaran kemarahan itu ialah `kuasa yang diwujudkan. Namun setelah ia berhasil melaksanakan apa yang diinginkan, ia kemudiannya perlahan-lahan menghilang dan kembali ke tempat masing-masing secara normal. Mereka merupakan manusia yang yang normal, tetapi apabila emosinya sentiasa diasak dengan kebencian dan hasutan, akhirnya bertukar menjadi ganas atau agresif.
Mengenai golongan ini, Saidina Ali dengan puitisnya menjelaskan: Mereka adalah kelompok orang yang apabila berkumpul sangat membahayakan, dan apabila berpisah mereka sangat menguntungkan. Kemudiannya, ada orang bertanya: “Kami mengerti akan bahaya kumpulan mereka, tetapi apa manfaat perpisahan mereka. Ali menjelaskan, Orang yang bekerja kembali kepada pekerjaan asalnya sehingga memberikan manfaat kepada masyarakat, iaitu tukang bangunan ke tempat bangunan, tukang tenun ke pertenunan dan tukang roti ke dapur membuat roti.
Mereka sebenarnya telah kehilangan arah, tunduk kepada kemahuan massa dan seakan-akan mereka dirasuk. Sikap seumpama ini menjatuhkan martabat mereka sebagai manusia dan secara tidak langsung telah menuruni beberapa anak tangga peradaban.
Khalifah Al-Mamun pula menjelaskan: “Setiap kejahatan dan kezaliman di dunia ini berasal dari al-ghaugha. Merekalah pembunuh para Nabi bahkan sesiapa sahaja yang dianggap musuh. Mereka memecahbelahkan para ulama dan merosakkan orang-orang yang saling bercinta. Di kalangan mereka ada pencuri, perompak, dan orang sombong yang membawa fitnah kepada pemerintah. Khalifah Al-Mamun mungkin agak keterlaluan dalam mendefinisikan al-ghaugha, tetapi ia adalah suatu takrifan yang boleh dianggap tepat berasaskan situasi pemerintahannya, yang sentiasa berhadapan dengan tentangan kelompok politikus melampau dan sentiasa bertindak agresif.
Al-ghaugha bermula dengan keinginan untuk mempamerkan tindakan tidak berpuas hati. Mereka bertindak atas tujuan dan niat yang sama, tetapi akhirnya menimbulkan satu keadaan yang membawa kepada pertelingkahan dan perpecahan, termasuk mengancam kekuasaan pemerintahan. Boleh jadi juga, al-ghaugha ini termasuk juga golongan atasan yang mempunyai kepentingan politik, tetapi disebabkan cemburu yang melampau dan hilang kesabaran, orang itu mencipta agenda dengan menabur fitnah dengan harapan rakyat bangun menentang ketua pemerintah.
Dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 25:
Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.
Fitnah-fitnah yang boleh dianggap sebagai al-ghaugha, misalnya yang dicetuskan oleh Abdullah bin Saba telah menyebabkan berlakunya peperangan antara Aisyah r.a. dengan Ali dan seterusnya peperangan antara Ali dan Muawiyah di dalam Perang Siffin. Ketika pertentangan berlaku, lahirlah suatu kelompok yang dikenali sebagai khawarij yang menamatkan pemerintahan Khalifah ar-Rasyidin.
Muawiyah juga kemudiannya ditumbangkan oleh Bani Abasiyah. Hal ini sebenarnya silih berganti dan ketika itu menyemarak pula pembantaian kelompok syiah ke atas kelompok sunni. Hal ini berlaku kerana manusia lupa kepada peringatan Allah SWT sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran: Dan (ingatkah bahawa angkara) fitnah iaitu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan. (Surah al-Baqarah: ayat 191).
Iktibar penting daripada peristiwa terkini dalam percaturan politik di Mesir dahulu adalah bahawa keamanan, kestabilan, keharmonian dan perdamaian nasional merupakan sesuatu yang sangat mahal harganya. Di negara kita, elemen-elemen ini lah yang menjadi tunjang kepada kerajaan hari ini yang tidak akan digadaikan semata-mata menuruti kehendak sesetengah pihak yang mahukan perubahan lanskap politik negara. Perubahan yang tidak disertai dengan kesedaran dan kesepakatan secara menyeluruh oleh semua komponen masyarakat akan hanya dapat menghasilkan suasana huru-hara dan kekalutan politik.
Adakalanya sesuatu yang ideal dan menjadi impian ramai orang bagi menciptakan kerajaan yang hebat berasaskan ideologi dan manifesto yang dibuatnya terhambat oleh realiti-realiti yang tidak dijangka sebelumnya sehingga menyebabkannya tunduk kepada kepentingan pragmatik dan simplistik. Hakikatnya apa yang lebih utama adalah merangka dan menyusun agenda perpaduan dan kesatuan semua elemen masyarakat bagi mewujudkan pemerintahan yang mantap dan stabil. Perkara ini amat ditekankan dalam Islam sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu (Al Anfal: 46).
Selagi manusia tidak menyelami dengan mendalam tujuan sebenar ianya diciptakan dan dijadikan berpuak-puak, maka selagi itulah masalah dendam, pembakaran emosi dan pemberontakan terus berlaku walaupun pemimpin yang dipilih itu memperoleh mandat yang sah dari rakyat. Manusia sebenarnya bukan sahaja mengingkari norma kehidupan yang dipercayai dan dibentuknya sendiri, bahkan dalam banyak hal tanpa mengendahkan amaran Allah SWT.
Mohd Shauki Abd Majid
Sumber: alfalahmadani.my
Recent Comments