Selepas dibina lebih 100 tahun lalu, lubang suluk Tok Selehor masih utuh dan dipelihara dengan baik oleh keturunan beliau sehingga kini. Suluk ini telah digazet sebagai tempat pelancongan negeri kelantan.
Menurut cicit Tok Selehor, Mohd. Shauki Abd Majid, Tok Selehor selalunya menghabiskan masa sehingga 3 hari berturut-turut di dalam kubur buatannya itu tanpa menyalin pakaian atau bertemu sesiapa dengan menghabiskan masa bertafakur.
Ia adalah landasan untuknya mendekatkan diri kepada Pencipta (Allah), sekali gus menghilangkan sifat-sifat mazmumah dalam dirinya.
Inilah bisikkan (rasa glamor) yang dihapuskan melalui suluk, bermujahadah dengan kaedah takhali, tahali dan tajali (singkir/buang mazmumah, isi mahmudah dan rasakan keagungan Allah), yang merupakan kaedah mujahadatunnafs oleh Imam Al-Ghazali.
Kubur tersebut yang pada asalnya hanya berdindingkan tanah dan dibiar terbuka, kini telah diubahsuai dengan dibina sebuah bilik kecil pada tapak kubur suluk Tok Selehor. Terdapat satu Liang lahad didalamnya.
“Tujuannya untuk mengekalkan tapak bersuluk peninggalan Tok Selehor daripada hilang tertimbus dan sebagainya. Kubur suluk ini juga dibuka kepada orang ramai yang ingin memuhasabah diri dengan merasai gambaran mati di dalam kubur.”
Bagaimanapun ia terpaksa dipantau dan dikunci bagi mengelakkan perbuatan khurafat dan syirik berlaku. Idea membina tempat suluk ini bermula semasa Tok Selehor menuntut di Mekah. Seorang daripada gurunya pernah bertanya mengenai cita-citanya.
Antara jawapan Tok Selehor adalah beliau ingin menjadi penghulu bagi semua orang mati. Selepas tamat pengajian dan pulang ke tanah air, Tok Selehor menggali sebuah kubur berhampiran rumahnya untuk dijadikan tempat beliau bersolat dan mendekati Allah SWT.
Tujuan lain Tok Selehor menggali lubang itu supaya hati menjadi kecut (gerun dengan Allah) dan sentiasa mengingati mati (sebagai perantaraan untuk bertemu Allah yang dicintai dan dirindui).”
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments