Ilan Pappe, sejarawan Yahudi yang tidak sanggup melihat pembohongan Israel menjadi seorang pengkritis tajam terhadap dasar, kepimpinan dan tindakan elit politik yang berkuasa, dalam menanamkan etos dan moral warganegara negara haram itu. Ilan Pappe lahir dan bersekolah di Israel tetapi meninggalkan negara itu kerana melihat banyak kemungkaran yang berlaku.

Sebagai seorang sejarawan, Ilan Pappe yang mengajar di salah sebuah universiti di England membicarakan dengan tegas perihal “kejahatan dan pembinaan Israel sebagai sebuah negara moden”; negara haram yang dibina atas darah dan air matan rakyat Palestin. Beliau banyak menulis dan membongkar kezaliman pemerintah Israel. Antara bukunya yang terkenal ialah The Ethnic Cleansing of Palestine (2006) dan The Biggest Prison on Earth (2017).

Salah sebuah buku tulisannya, Ten Myths About Israel (London: Verso, 2017), merungkaikan mitos-mitos tentang pembinaan negara Israel. Mitos-mitos itu terus kekal digunakan sebagai asas membohongi semua orang. Sejarah diputarbelitkan, “History lies at the core of the every conflict”, sehingga berjaya membangun mitos bahawa:

(1) Palestin adalah sebuah “kawasan tanpa penghuni”; seolah-olah ingin membuktikan bahawa ia diterokai oleh orang Yahudi dan etnik Arab Palestin datang selepasnya.

(2) Orang Yahudi adalah kumpulan manusia tanpa negara; mitos yang dibina untuk meraih simpati masyarakat dunia, terutama elit politik Eropah. Ia sebenarnya sebuah reaksi terhadap nasionalisme Eropah ekoran nasionalisme menjadi asas untuk mengubah pembentukan semula negara-negara di Eropah. Di sinilah muncul konsep diaspora Yahudi.

Mereka mencipta konsep Negara Yahudi, walhal sebenarnya yang muncul di Eropah ialah negara bangsa. Negara yang dibentuk berasaskan etnik atau kumpulan sebangsa. Tidak ada negara yang dinamakan berdasarkan agama.

Agama mungkin menjadi teras pemerintahan, tetapi bukan syarat penubuhan sesebuah negara moden. Akhirnya, Negara Yahudi berubah menjadi Negara Israel.

(Pandangan ini berbau sedikit sekular, bila kita melihat kepada bagaimana empayar Islam dibina. Ia muncul dalam kerangka dan perspektif agama pada awalnya, tetapi akhirnya berubah menjadi bentuk monarki. Ia adalah salah sifat dan ciri nasionalisme yang muncul pada akhir Abad ke-18 di Eropah).

(3) Zionisme sama dengan Judaisme. Ia adalah pembohongan yang tidak dapat diterima. Judaisme adalah agama, manakala Zionisme adalah ideologi. Judaisme mempunyai ajaran-ajaran yang bertujuan menjadikan manusia baik, bertatasusila dan memahami fitrah kehidupan. Zionisme mengajar manusia menjadi tegar menipu, berbohong dan ganas.

Judaisme tidak mengajar bagaimana harus membunuh untuk merampas hak dan milik orang lain, tetapi Zionisme hadir tanpa ada belas kasihan, merombak nilai kemanusiaan dan sentiasa membunuh seseorang yang dianggap menghalang kemahuannya. Zionisme menganjurkan tragedi dan keganasan, walaupun orang yang dimangsakan itu mempertahan atau menuntut haknya yang dirampas; settler-colonialism.

(4) Zionisme bukan Penjajah. Hakikatnya, Zionisme memang memenuhi syarat dan ciri-ciri penjajahan. Merampas milik orang lain, membakar lahan pertanian, mengusir pemilik asal dan membunuh kerana ingin mendapatkan tanah-tanah yang bukan asalnya milik mereka.

Proses penjajahan ini terus berlaku, rakyat asal ditindas, dihalau dan dibunuh tanpa ada sebab yang membolehkan mereka dibunuh berdasarkan undang-undang.

Bersambung

KAMARUN KH

Translate »