Blackrock yang ada kaitannya dengan saham MAHB dilaporkan sedang giat digunakan oleh Amerika Syarikat untuk menguasai aktiviti perkapalan di Terusan Panama. Terusan Panama, yang pada harapan Donald Trump akan dikenali sebagai Terusan Amerika sebagaimana keinginannya untuk menguasai Teluk Amerika, yang mula dipanggil untuk menggantikan nama Teluk Mexico. China sudah lama bergiat di situ, dan hampir sebahagian besarnya dikawal oleh firma mereka (termasuk Hong Kong, entiti yang dikembalikan semula kepada China oleh Inggeris pada 1 Julai 1997).
Aktiviti di Terusan Panama dikuasai sebahagian besarnya oleh syarikat-syarikat perkapalan China. Ia berpunca daripada sikap Amerika Syarikat sendiri yang kurang memberikan perhatian ke atasnya, kerana Amerika Syarikat lebih gemar berperang dan campur tangan ke atas negara-negara yang dianggap berpotensi untuk dikuasai sumber alamnya, terutama negara-negara Arab. Negara-negara mempunyai simpanan minyak yang banyak, selain kedudukannya sangat strategik.
Amerika Syarikat membina lebih 80 pengkalan tenteranya di seluruh dunia hanya kerana ingin menjadikannya sebagai kuasa tunggal dunia. Hari ini, Trump terpaksa meningkatkan jumlah hutang negara untuk membolehkan Amerika Syarikat terus boleh berfungsi sebagai “penguasa dunia”, dan berperanan sebagai “polis dunia”.
Rancangan perbelanjaan Donald Trump yang sudah diluluskan dilaporkan Amerika Syarikat perlu menambahkan hutangnya sebanyak USD 5 trilion dolar. Sebelumnya ini, jumlah hutangnya hampir USD 32 trilion dolar. Sebahagian besar hutang yang bertambah itu adalah untuk “membantu Israel” melakukan keganasan dan pembunuhan besar-besaran ke atas penduduk Palestin dalam rangka The Greater Israel.
Israel sedang dilanda masalah ekonomi dan hakisan moral penduduknya sendiri. Perdana Mentari Israel, Benjamin Netanyahu yang semakin meniru kezaliman Adolf Hitler terus mengasak pemikiran rakyatnya agar menyokong apa sahaja dasar yang diputuskan menggunakan mitos “menjamin keselamatan” dan “mempertahankan diri”.
Mitos itu semakin lama semakin hilang sentuhan magisnya, ia bertukar menjadi mimpi ngeri. Kehidupan rakyat biasa Israel menjadi tidak tenteram walaupun tidaklah setakut penduduk Gaza yang tidak mampu untuk berfikir apa yang akan berlaku keesokan hari. Penduduk Gaza sudah lali dengan ketakutan itu.
Ketakutan itu semakin sehari bertukar menjadi kekuatan matlamat “mengusir Israel daripada bumi Palestin”. Ia bukan mitos, ia adalah perjuangan yang tidak pernah terpadam dalam setiap hati, perasaan dan minda rakyat Palestin di Gaza. Itu semakin nyata apabila semakin banyak negara mula bersimpati dengan Palestin dan berempati untuk menolak pelanggaran hak asasi dan undang-undang antarabangsa oleh Israel.
Bahkan, jumlah kakitangan akademik, institusi akademik dan masyarakat akademik di Amerika Syarikat mula mencabar dasar Rumah Putih terhadap sokongannya ie atas Israel. Seluruh dunia mengecam tindakan Israel dan pembabitan Amerika Syarikat dalam genosid negara haram Yahudi itu. Semakin banyak tulisan-tulisan dilakukan dan semakin celik ahli sejarah untuk menilai semula harapan kepada Israel. Mereka semakin bersatu melaungkan Free Palestin, tamatkan apartheid.
Ben Ehrenheich, seorang wartawan Amerika Syarikat yang hampir tiga tahun berulang-alik ke Palestin merakamkan semangat dan kekentalan perjuangan rakyat Palestin walaupun mereka hanya mampu melawan dengan melontar batu.
Tentera Israel yang lengkap bersenjata menjadi begitu traumatik dengan hanya batu-batu kecil yang dilontarkan ke arah mereka sehingga bertindak balas dengan menembak penunjuk perasaan. (Ben Ehrenheich, Selagi Bernyawa: Kisah Kehidupan dan Kematian di Palestin, edisi terjemahan bahasa Melayu, Shah Alam: Kelab Buku Sdn. Bhd., 2024).
Batu-batu kecil yang menjadi ketakutan Israel akan terus kekal sebagai simbol perlawanan terhadap “settler-colonialism” dan Amerika Syarikat sedang menggunakan tarif timbal balas sebagai “batu-batu kecil” untuk mengancam negara-negara yang mendorong BRICS dan beralih kepada penggunaan dolar.
Juga, sebagai sebuah ekstasi slogan Make America Great Again atau America First kepada masyarakat dunia. BRICS lahir kerana “keangkuhan dan kesombongan” Amerika Syarikat dalam mencaturkan kuasa hagemoninya, sehingga mengancam nilai-nilai dan budaya lokal. China cukup pantang dan bersemangat untuk bergerak “melawan” hagemoni Amerika Syarikat.
Amerika Syarikat “takut” dan Trump mula bertindak sebaik sahaja berkuasa pada tahun 2017, dengan melancarkan Perang Perdagangan. Oleh kerana tindakan awal itu adalah terhad, maka pada penggal kedua, yakni setelah kembali berkuasa, Trump memperluaskan tindakannya atas nama “tarif timbal balas”.
Walaupun terpaksa ditangguhkan daripada tarikh asal, Trump telah bertekad, ianya akan dilaksanakan mulai 9 Ogos 2025, dengan menekan mana-mana negara yang cuba melakukan “dedolarization” sebagaimana telah dimulakan oleh BRICS.
Trump turut menakan semua negara yang eksportnya ke Amerika Syarikat dengan tarif yang pelbagai, dan hanya boleh direndahkan kadarnya sekiranya produk Amerika Syarikat bebas memasuki pasaran negara tertentu, seboleh-bolehnya bebas tarif.
Inilah yang kita ketahui daripada penurunan kadar tarif timbal balas ke atas Vietnam dan India. Setakat ini, kita belum melihat ada pengurangan yang jelas terhadap produk Kesatuan Eropah, tetapi, yang dipastikan Trump tidak lagi mahu melihat produk Kesatuan Eropah dan Asia membanjiri pasaran negaranya.
Trump mahukan semua produk yang diperlukan oleh rakyatnya dikeluarkan di Amerika Syarikat, dan salam masa yang sama, negara luar mengimportnya dalam skala yang yang lebih besar. Namun, pertimbangan terbesar ialah soal harga dan rantaian perniagaan yang terbabit.
China sedang mencari jalan, untuk menyiasat firma-firma Amerika Syarikat, sebagaimana Trump lakukan ke atas Huawei, Z’tronic dan memaksa Tik Tok yang beroperasi di Amerika Syarikat menjadi milik Amerika Syarikat.
Malaysia akan turut terasa tempiasnya kerana menyokong BRICS dan PMX ikut mempromosikannya sebagai rakan dagang yang penting bagi ASEAN. Kadar tarif timbal balas yang ditetapkan ialah 25 peratus mulai 1 Ogos 2025.
Ertinya, produk keluaran Malaysia, walaupun dikeluarkan oleh firma Amerika Syarikat akan menjadi lebih mahal di pasaran 50 buah negara dalam Amerika Syarikat.
Jelas Trump, jika Malaysia ingin kurangkan lagi tarif, perlu melaksanakan tiga langkah: (1) kurangkan tarif produk Amerika; (2) melabur di Amerika Syarikat; dan (3) hapuskan halangan bukan tarif (Non Barrier Tariff, NBD). Paling sukar untuk dilaksanakan ialah NBD, seperti Sijil Halal.
Kita tahu, Trump cukup bencikan syarat ada Sijil Halal, sebabnya, banyak produk Amerika Syarikat seperti makanan, kosmetik, pakaian dan sebagainya tidak mematuhi piawaian halal.
Ada bahan haram seperti alkohol, gelatin daripada binatang dan bahan daripada babi. Kesemuanya ini membawa natijah, produk makanan, kosmetik dan ubat-ubatan sangat minimum dipiawaikan menurut proses halal. Jika ini dilaksanakan, maka Malaysia akan menjadi semakin dibanjiri produk tidak halal.
Jika ini berlaku ke atas TikTok, ia juga akan berlaku kepada syarikat-syarikat perkapalan China dan Hong Kong di Terusan Panama. Jika ia berlaku ke atas syarikat-syarikat perkapalan China dan Hong Kong, ia juga akan Trump lakukan ke atas sektor automotif China.
Sekarang ini, automatif China tidak dibenarkan dijual di Amerika Syarikat, dasar perlindungan terburuk yang sedang diamalkan dalam sebuah negara yang dianggap raja amalan perdagangan bebas.
Akibat Trump yang kembali ke Rumah Putih pada 20 Januari lalu, senario politik dunia menjadi kelam-kabut dan juga hampir kacau. Trump sengaja melakukan strategi itu kerana beliau yakin, tanpa mencetuskan kekacauan, peranan Amerika Syarikat akan dilupakan perlahan-lahan.
Trump cukup takut dengan kekuatan yang dimiliki oleh China, kerana China sudah bangkit untuk menyaingi hagemoni Amerika Syarikat sendiri. Ia cukup cepat berlaku, kerana China tidak memerlukan dua ratus tahun sebagaimana Amerika Syarikat perlukan bagi membina “nilai-nilai Amerika Syarikat” yang penuh manipulasi, eksploitasi, agitasi dan anarki.
China tidak bergelut dengan politik identiti dalam negaranya, kerana China mempunyai kekukuhan budaya dan falsafah politik. Amerika Syarikat yang lahir daripada asas kolonialisme terpaksa mengukuhkan dirinya sebagai “settler”, yakni mempertuankan tanah yang asalnya kepunyaan pelbagai etnik asal seperti Sioux, dan kelompok-kelompok yang kemudiannya digelar Red Indian.
Amerika Syarikat mengambil masa yang lama untuk membangunkan “white supremacy” dan seterusnya mengganas atas makna penentuan makna hagemoni. Hagemoni Amerika Syarikat mula menjadi selepas berjaya menjatuhkan dua buah bom atom di dua buah bandar di Jepun, Hiroshima dan Nagasaki.
China pula hanya dengan mengubahkan orientasi ekonomi begitu cepat muncul sebagai pesaing yang semakin digeruni oleh Amerika Syarikat. Ia hanya berlaku selepas kematian Mao Tze Tong (1976). Bermula pada pertengahan 1980-an, China menukarkan dasar tutup pintu kepada galakan pelaburan asing.
Namun dalam beberapa bidang strategik China kekal tidak membenarkan pembabitan firma asing, misalnya dalam rangkaian komunikasi, pendidikan dan ketenteraan.
Hasilnya, dalam tempoh kurang 30 tahun, ekonomi China menjadi cukup besar dan mulai tahun 2000, berjaya mengatasi junlah eksport Jepun ke seluruh dunia. Sejak itu, China dinobatkan sebagai ekonomi kedua terbesar dunia.
Ketika Amerika Syarikat bergelut dengan kemelesetan, akibat krisis Suprima tahun 2007, China mengambil ruang meningkatkan pelaburan langsungnya ke kebanyakan negara, yang sedikit sukar dilakukan oleh firma Amerika Syarikat akibat perbezaan ideologi politik.
China tidak menggunakan pendekatan “diplomasi keras” sebagaimana Amerika Syarikat lakukan ke atas negara-negara Afrika, Timur Tengah, dan Amerika Selatan. China menggunakan “diplomasi lunak”, mengenalpasti keperluan sesebuah negara dan kemudian hadir dengan pakej pembangunannya, bersama modal yang diperlukan.
Setelah Amerika Syarikat merasa ketinggalan, peranan badan pembiayaan pelaburannya, Bank Dunia, IMF dan sebagainya kurang “bersengat”, maka dilancarkan propaganda untuk memburuk-burukkan badan pelaburan China yang digerakkan oleh kerajaan.
Diperbesarkan cerita kegagalan beberapa negara yang tidak mampu membayar hutang, maka terpaksa menyerahkan pelabuhan atau lapangan terbang kepada China. Di salah sebuah negara Afrika, dilaporkan mata wang tempatan tidak lagi menjadi ukuran atau ada kuasa beli yang baik, sebaliknya, mata wang China, yuan cukup berkuasa.
Walhal, sebelum itu negara-negara Barat yang terlalu bergantung kepada dolar tidak pun memperkatakan bagaimana Greek terpaksa hadapi masalah besar ekonominya, dengan hutang yang besar. Begitu juga dengan Portugal.
Tidak pula dilaporkan berapa banyak negara kecil yang berhadapan dengan risiko bankrap disebabkan kadar faedah hutang yang diberikan oleh IMF, Bank Dunia, Goldman and Sach, Bank Pembangunan Asia, terpaksa menyerahkan sebahagian besar aset strategiknya kepada firma asing.
Dalam mereka memberi nasihat dan rundingan pelaburan, mereka juga ikut melakukan “kick back”, hanya untuk menegatifkan ekonomi negara peminjam. Mereka menggunakan kaedah eksploitasi dan rasuah kepada elit politik yang berkuasa.
Mereka berselindung sebagai gerakan demokrasi, swadaya masyarakat dan pertubuhan-pertubuhan sivil. Agensi yang kita kenali ialah Open Society (kelolaan George Soros), USAIDS, dan sebagainya.
Sebenarnya, badan-badan itu turut menjadi “perancang” untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan yang tidak sehaluan dengan Amerika Syarikat.
Mereka belajar daripada kisah bagaimana Freemason menyelinap masuk ke jantung elit kuasa Empayar Uthmaniyyah secara halus sehingga menjadikan kekuatan empayar Islam terakhirnya runtuh, dan menjadi lahan subur yang dapat mempercepatkan penubuhan negara haram Israel, Negara Yahudi.
Ia bukan ada kaitannya dengan teori konspirasi, tetapi ia adalah kebenaran yang patut kita jadikan teladan sejarah kelam umat Islam. Sejak kejatuhan itu, umat Islam terus diperlekehkan oleh kuasa-kuasa barat, dan sejarah juga mengajar kita bagaimana Rusia berperanan sebagai lalang.
Tentunya, untuk memahami bagaimana Amerika Syarikat sedang mencaturkan semula geopolitik dunia, kita memerlukan sikap dan pengetahuan yang meluas. Dan, dalam masa yang sama, kita sewajarnya bijak membaca langkah dan tindakan Trump yang cukup keras, kadangkala lebih lajak daripada laju.
Bagi Trump, ia bukan masalah besar, hasratnya ialah untuk menjadikan semua negara di dunia “tunduk” dan “melutut” kepada Amerika Syarikat walaupun apa yang hendak dilakukan bertentangan dengan hukum antarabangsa.
Bagi Trump, jika hukum antarabangsa yang ada tidak diubah, Amerika Syarikat tidak akan bangkit semula. Untuk bangkit semula, Trump harus mencari jalan bagaimana untuk mengubahnya, dengan meletakkan kehendak dan doktrin America First di atas segala-galanya.
Undang-undang antarabangsa juga mesti menjadikan America First, dan jika kurang berjaya, Trump akan melakukan tindakan “embargo” terhadap China sebagaimana Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas Iran dan Rusia.
KAMARUN KH
Recent Comments