Trump telah memutuskan kadar tarif timbal balas untuk produk Malaysia yang akan memasuki pasaran Amerika Syarikat ialah 25 peratus. Kadar itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Ogos 2025. Bagaimanapun menurut kenyataan pegawai Rumah Putih, Malaysia ada peluang untuk berbincang bagi menurunkan kadar itu sebelum ia dikuatkuasakan.

Sebelum ini, kadar tarif timbal balas yang akan dikenakan ialah 24 peratus. Dari satu sisi, Trump telah menaikkan sebanyak 1 peratus daripada cadangan asal. Ia memberikan gambaran, rundingan yang dikatakan sudah dibuat tidak menghasilkan keputusan yang memberangsangkan.

Namun, ada tiga perkara yang Malaysia perlu pertimbangkan untuk rundingan selanjutnya. Tiga perkara telah disebut dalam surat yang dihantar oleh Rumah Putih mulai Isnin lalu.

Pertama, tidak mengenakan tarif yang tinggi terhadap produk Amerika Syarikat. Jika boleh, tidak dikenakan langsung tarif.

Kedua, syarikat-syarikat Malaysia yang ada impiannya mengeksport produk ke Amerika Syarikat membuka kilang, yakni melabur di sana. Tentunya, Amerika Syarikat tidak menyediakan insentif pelaburan sebagaimana negara-negara sedang membangun laksanakan.

Ini bermakna, kos operasi kilang dan pengeluaran adalah lebih tinggi berbanding melabur di Malaysia. Ia akan menjadikan produk tersebut lebih mahal beberapa kali ganda daripada kos seunit produk yang sama yang dihasilkan di Malaysia atau di Vietnam.

Ketiga, Malaysia wajib mengurangkan beberapa perkara yang disenaraikan sebagai “halangan bukan tarif”, atau NTB. Dalam konteks Malaysia, antara isunya ialah persijilan halal, yang dianggap oleh masyarakat barat sebagai halangan terbesar untuk produk mereka dijual secara meluas.

Pada mereka, konsep halal dilihat sebagai satu bentuk sentimen, bukan sebagai satu perihal kesucian dan kebersihan produk. Bagi mereka, kebersihan dan kesucian produk ialah menepati tatacara pengilangan yang baik, bukan berasaskan bahan yang digunakan. Semua bahan boleh dimakan atau diguna asalkan tidak mengandungi partikel merbahaya seperti bahan kimia yang berlebihan dan memudaratkan kesihatan.

Antara partikel yang sering dipersoalkan oleh umat Islam ialah bahan-bahan yang digunakan tidak dibenarkan oleh syarak, apa sahaja yang mengandungi daging, lemak dan kaitannya dengan babi. Ia juga berkaitan bagaimana bahan-bahan itu diproses, misalnya kaedah lembu disembelih. Adakah ia menepati syarak atau tidak. Sembelihan yang tidak menurut syarak, walaupun asasnya halal, ia tetap menjadi haram.

Babi merupakan haiwan yang banyak digunakan dalam bidang perubatan (farmaseutikal), menambah perisa makanan, bahan pengawetan, dan produk kosmetik. Juga, sebahagian produk seni seperti berus cat dan wax yang diperbuat daripada bulu dan produk kosmetik yang ada enzim babi. Begitu juga dengan pakaian, misalnya kasut, beg sandang, beg tangan, tali pinggang, yang dihasilkan daripada kulit babi, yang berharga mahal dan kelihatan sangat elegan.

Bagi masyarakat Islam, semua yang ada hubungan dengan babi semuanya haram, biarpun ia adalah dalam kedudukan 0.0001 peratus daripada keseluruhan bahan untuk menghasilkan sesuatu produk.

Selain babi, alkohol juga banyak digunakan dalam pelbagai produk makanan, pakaian, minuman, minyak wangi, ubat-ubatan dan sebagainya. Bagaimanapun, alkohol dalam jumlah yang sangat kecil boleh dimaafkan sekiranya umat Islam tidak ada pilihan. Begitu juga produk yang ada kaitan dengan babi, dibolehkan dalam keadaan darurat, yakni tiada pilihan dan cukup terdesak.

Malaysia terkenal sebagai pelopor dalam penghasilan produk halal dan juga paiwaian pensijilan halal. Kejayaan itu bukan sesuatu yang dicapai dalam masa yang singkat, tetapi atas kesungguhan dan desakan umat Islam untuk membebaskan diri daripada produk tidak diketahui status halalnya.

Penjualan di pasar raya diwajibkan melabelkan produk tidak halal, dan larangan cukup jelas tidak dibenarkan bercampur atau dipamerkan pada satu rak yang sama. Keslahan itu boleh didakwa menurut Akta Perihal Dagangan.

Ertinya, pemisahan rak juga akan menjadi isu yang berkaitan dengan NTB. Pada mereka, ia tidak patut. Apa yang baik atau tidak baik ditentukan oleh pengguna, bukan susun atur dalam pasar raya. Tentunya juga, NTB akan menjadi perjuangan untuk memperkecilkan keperluan Sijil Halal, kembali ke zaman sebelum perkara itu dikuatkuasakan. Mungkin tahun 1960-an dan 1970-an.

Mungkin dua syarat yang ditetapkan boleh dipertimbangkan oleh Malaysia, tetapi syarat ketiga adalah yang paling sukar, walaupun tidak mustahil. Jika syarat Sijil Halal ke atas produk tidak lagi menjadi kemestian sebagai petunjuk umat Islam, ianya akan berkembang menjadi isu politik yang tidak mudah dipadamkan.

Malaysia harus berfikir banyak kali untuk meremehkan penggunaan tanda halal ke atas mana-mana produk yang akan dibeli oleh umat Islam. Ertinya, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang mengikut model ekonomi barat sampai ke tahap boleh berkompromi dengan syariat.

Walaupun Malaysia mungkin boleh memenuhi tuntutan mengurangkan NTB yang lain, persoalan Sijil Halal tetap menjadi hal yang tidak boleh dikompromikan. Ia juga tidak bermakna, Rumah Putih akan turunkan ke tahap kosong peratus tarif timbal balas.

Kita tahu, Amerika Syarikat akan cadangkan banyak lagi langkah, kerana Amerika Syarikat sedang membina semula kekuatan dan pengaruh produknya yang semakin tercicir dalam pasaran global.

Malaysia tidak ada kekuatan untuk melawan keputusan Rumah Putih walaupun Amerika Syarikat bukanlah pasaran utama produk Malaysia. Sebahagian produk yang dieksport ke Amerika Syarikat ialah produk yang dikeluarkan oleh firma Amerika Syarikat yang melabur di Malaysia.

Ertinya, Malaysia turut mempertahankan entiti Amerika Syarikat di Malaysia, kerana pelaburan itu telah berjaya memberikan pekerjaan kepada rakyat tempatan dan juga pendapatan negara hasil cukai. Ia turut mengembangkan ekonomi perkhidmatan seperti perkapalan, pengangkutan dan pembinaan infrastruktur.

China tidak takut dengan cadangan Amerika Syarikat malah ikut bermain strategi. China berjaya menghasilkan hampir semua produk, dan semakin meluas pasarannya. China boleh kenaikan kadar tarif setanding dengan apa yang dikenakan oleh Trump, kerana produknya bukan sahaja murah, bahkan ada yang melangkaui teknologi Amerika Syarikat.

Sebab itulah China menjadi sedikit resah apabila pemimpin China mengeluarkan kenyataan menyindir. Dunia boleh “hidup” tanpa Amerika Syarikat. Dunia tidak akan “kelaparan” tanpa produk Amerika Syarikat. China mampu berdikari dan dalam banyak perkara, China lebih terkehadapan daripada Amerika Syarikat. Misalnya dalam pengeluaran kereta elektrik, teknologi komunikasi, pembangunan infrastruktur, aeroangkasa, penyelidikan penyakit dan teknologi pertahanan.

China yang dianggap terkongkong dengan komunisme sekarang telah bangkit untuk bersaing dengan negara manapun yang pernah melihat dirinya umpama seekor panda sedang tidur., dan hanya tahu makan. Semakin hari semakin ramai rakyat China yang berjaya mengumpul kekayaan, dan mereka tidak pula menunjukkan cerita kebanggaan diri sebagaimana orang kaya dalam budaya Amerika Syarikat.

Malah, hampir tidak dapat diketahui siapakah mereka yang kaya di sebalik nama BYD, Huawei, CATL, Tik Tok, Temu dan Geely. Mereka bergerak atas kepentingan industri, jenama produk China bukan atas nama individu seperti Elon Musk, Bill Gates, mahupun Donald Trump sendiri.

Kita mungkin melihat kisah Jack Ma. Kerana ingin sangat menonjol diri seperti budaya hartawan Amerika Syarikat, imejnya menjadi semakin kabur biarpun kekayaannya masih besar. Begitu juga dengan gaya Jepun, jarang orang boleh tahu pengasas Honda, Toyota mahupun pembangun jenama Mazda. Mereka ini cukup kaya, tidak menonjol diri sebagai individu yang kaya tetapi kental membangun produk sehingga mencapai tahap menguasai pasaran global, tanpa dikaitkan dengan pencetusnya.

Apa pun yang sedang kita perhatikan, Amerika Syarikat yang sedang “kehancuran” kuasaan, bangkit untuk mempertahan dan membina orde baharu dunia setelah terseliuh dengan kebangkitan China dan kekuatan yang bakal muncul daripada BRICS. Jadi, untuk mendera negara anggota BRICS. Amerika Syarikat sudah membuat keputusan, tarif timbal balas adalah tinggi mungkin melangkau 100 peratus jika menyokong dedolarization (nyah-dolar).

Trump sedar, kuasa dolar berada di persimpangan, dan hagemoni ekonomi sedang dicabar oleh China. China dijangka mampu memintas ekonomi Amerika Syarikat dalam tempoh kurang dua dekad, maka sesuatu yang menyekat perlu disegerakan.

Trump mulakan Perang Perdagangan (2017) dan kini diperluaskan dengan di kenakan tarif timbal balas ke atas semua negara yang mengeksport produk ke Amerika Syarikat. Ketika ini, Amerika Syarikat masih merupakan pasaran terbesar ekonomi dunia. Amerika Syarikat mengimport lebih banyak daripada mengeksport dan kerana itu, kata Trump perlu dikenakan tarif timbal balas. Ia bertujuan memperbaiki situasi buruk itu (imbangan atau defisit perdagangan) bagi mengelakkan Amerika Syarikat hilang “taring” dan lumpuh peranannya sebagai “polis dunia”.

KAMARUN KH

Translate »