Itu adalah harapan dan seruan penulis Alfu Sanatin (AS) dalam ayat akhir pada Alfu Sanatin II (ASII) yang membawa “timeline” krisis seribu tahun umat Islam, sehingga Islam itu sendiri hilang asas akhlaknya, sebagai penyatuan cara hidup, ad-diin. Masyarakat Islam bergolak sesama sendiri, dan saling menjatuhkan hanya kerana tata kelola yang berbeza serta lamunan fikiran yang berfirqah.
Kalau Alfu Sanalin mengisahkan seribu tahun perjalanan sejarah Islam, iaitu sejak Khalifah Uthman bin Affan hinggalah kepada kejatuhan Empayar Uthmaniah, Alfu Sanalin pula melihat secara analitikal mengenai harapan masa depan Islam dalam membangunkan semula generasi celik sejarah dan cerdas-pintar menerobos “lorong gelap” yang ditinggalkan oleh umat Islam sendiri ketika Empayar Uthmaniah menuju kematiannya pada akhir Perang Dunia II.
Kehancuran Empayar Uthmaniyah sebenarnya “duri dalam daging” yang ikut mengalir darah sekularisme pada tubuh elit yang berkuasa. Biarpun pada akhirnya muncul seorang watak pemimpin yang zuhud, tegar semangat jihad, ia sudah terlewat kerana barah kehancuran sudah menjalar dan merebak, mengalir dalam pembuluh darah pemimpin yang diharapkan “memugar”, hakikatnya mereka inilah menyuburkan benih sekularisme dalam nadi umat Islam.
Pengaruh dan kesan terus melata sehingga kita seolah-olah tidak lagi mampu menangkisnya. Kita gagal menangkisnya kerana kita menjadi sebahagian umat Islam yang mencetuskan krisis, bukan umat Islam yang berfikir kritis dalam menemukan dirinya dan hakikat Islam itu sendiri.
Kita baca sejarah, kita belajar sejarah dan kita sentiasa diingatkan dengan pelbagai peristiwa sejarah, tetapi kita hanya mengunyah tanpa benar-benar selesa untuk ditelan bagi membantu proses pencernaan, sebaliknya kalau tidak dimuntahkan, ditelannya sekadar “pengetahuan” bukan seharusnya sebagai “ikhtibar atau teladan”.
Itulah kesan yang saya dapat rasakan selepas dua buku bersambung ini, Alfu Sanatin dan Alfi Sanatin II tamat pembacaan. Saya tidak membacanya terus menerus, terhenti di sana-sini, dan kadangkala ditinggalkan berjarak “lama” antara kedua-duanya.
Namun, dua buah buku ini tidak bertele-tele untuk bercerita sebagainya buku-buku ilmiah yang saya pernah baca perihal kejatuhan dan proses pembaratan yang mula merasuk kerajaan Uthmaniyah. Saya kadangkala asyik, kerana pengarang seolah-olah bercerita, dan kadangkala cuba menguji daya ingatan atau kefahaman pembaca dengan soalan.
Ada ketikanya, pengarang cuba “mengusik rasa bosan” pembaca, sebab ada hal yang pada persepsi dilihat tidak bersambung atau sudah berakhir, walhal ia adalah sebuah perancangan yang jitu dan cukup menjadi. Gagal pelan A, laksanakan pelan B, dan kalau kedua-duanya gagal, kembali semula kepada matlamat asal. Itulah yang saya dapat kesan perihal gigihnya musuh-musuh Islam “membangun muslihat” untuk meruntuhkan jatidiri umat Islam sebagai umat yang bersatu.
Hal ini terus berlaku sehingga sekarang dan belum ada petunjuk umat Islam bersatu selepas Islam berjaya meruntuhkan kabilah dalam period jahiliah. Ia semacam menuju ke period jahiliah semula, perpecahan berlaku kerana ambisi, persepsi dan kerangka pemikiran “kamilah yang benar dan paling Islamik.”
Bersambung
KAMARUN KH
Recent Comments