Oleh: Effendy Zulkifly
Pemikiran Donald J. Trump bukan untuk mereka yang malas membaca sejarah, gagal meneliti realpolitik, atau masih berfikir dunia ni ikut logik textbook demokrasi. Ini bukan soal suka atau tak suka perang. Ini soal strategi ‘controlled chaos’ yang dimainkan oleh seorang populis dengan naluri kapitalis, ego nasionalis dan gaya pemikiran transactionalism yang ekstremis yang kadang-kadang nampak macam narcicist.
Trump bukan diplomat, dia bukan negarawan klasik. Tapi dia adalah deal maker yang melihat hubungan antarabangsa seperti meja rundingan korporat, bukan perjanjian antarabangsa.
Hari ni dia kata tak nak masuk perang. Esok dia suruh Iran “jangan main api”. Lusa dia cakap “Israel has the right to defend itself”. Seminggu kemudian dia boleh peluk Kim Jong Un sambil berkata “he’s a smart guy”.
Sebenarnya Trump sedang main game “strategic unpredictability”, satu taktik klasik yang pernah diangkat oleh Nixon melalui apa yang dikenali sebagai Madman Theory. Idea utamanya, buat musuh rasa keliru dan takut dengan keputusan luar jangka, sampai akhirnya mereka akan tunduk sebab tak tahu apa langkah seterusnya.
Tapi Trump bawa ke tahap baharu. Dia bukan saja buat musuh keliru, bahkan kawan pun takut. NATO dituduh menumpang. WHO dikata boneka China. Sekutu Asia seperti Korea Selatan dan Jepun dipaksa bayar lebih untuk perlindungan tentera Amerika. Dunia keliru, tapi pasaran saham Wall Street tetap naik. Kenapa?
Sebab dalam dunia kapitalis, konflik kecil boleh jadi peluang keuntungan besar. Industri senjata melonjak. Harga minyak naik turun ikut tweet dia. Dia tahu bila perlu provokasi dan bila perlu tarik handbrake.
Trump bukan gila, dia licik.
Dia pandai baca emosi rakyatnya. Dia tahu rata-rata pengundi akar umbi di Midwest dan Selatan Amerika tak suka perang luar negara yang bazirkan duit. Tapi dalam masa sama, dia perlu tunjuk “kuasa” Amerika di mata dunia. Jadi apa strategi dia?
Campur tangan tanpa komitmen penuh. Serang guna dron. Bantu Israel dari jauh. Ugut Iran tapi tak masuk perang secara langsung.
Pendekatan ini lebih murah, lebih “marketable” untuk pengundi dalam negara, tapi cukup untuk kekalkan pengaruh global. Itu sebablah masa dia jadi Presiden sebelum ni, tiada perang besar dimulakan. Tapi tegangnya dunia seperti duduk atas bom masa.
Apa yang kita nampak sekarang dalam isu Iran vs Israel, ialah kesinambungan logik Trump. Beri ruang pada Israel, tekan Iran secara ekonomi, pastikan Saudi kekal dalam orbit Amerika, dan hentikan pengaruh China atau Russia di rantau Teluk. Ringkasnya: containment ala abad ke-21, tapi berselindung di balik retorik populis.
Trump bukan baca geopolitik macam pemikiran Chomsky. Tapi dia manfaatkan kekeliruan itu untuk cipta posisi tawar-menawar. Dia jadikan hubungan antarabangsa macam lelongan. Siapa tawar menawar paling untung, dia akan pilih. Termasuklah dalam isu senjata, minyak, atau teknologi 5G.
Malaysia dan ASEAN kena buka mata.
Kita tidak boleh jadi penonton pasif. Pemikiran Trump akan terus bentuk dasar luar Amerika, sama ada kita suka atau tidak. Cuba perhati betul-betul, bila dia kembali sahaja ke White House secara rasmi, dasar unilateral Trump dominan semula. Perjanjian pelbagai hala telah ditendang keluar. Pelbagai Tarif naik. ASEAN yang lambat bertindak jadi collateral damage.
Kita perlu ada Trump Contingency Strategy. Jangan terlalu bergantung pada naratif liberal Amerika. Mulakan diplomasi baru yang lebih multi-polar, lebih berdikari. Inilah masa kita bentuk pakatan serantau, bina sistem pertahanan siber dan teknologi AI kita sendiri, dan berhenti berharap pada polisi luar yang boleh berubah ikut Twitter Presiden Trump.
Kita perlukan dasar luar yang lebih dinamik dan tidak terlalu bergantung pada paksi lama. Perkukuhkan hubungan dengan negara-negara bukan sejagat. Bina kuasa serantau sendiri. AI, pertahanan siber, dan ekonomi blockchain mesti jadi senjata diplomasi baharu.
Malaysia juga perlukan ‘Majlis Tindakan Geopolitik Digital’, bukan sekadar Kementerian Luar Negeri yang hanya baca teks protokol. Kita kena ada pasukan khas yang faham algoritma perang Trump, bukan sekadar RSVP persidangan (maybe Ayman Rashdan Wong ada kot info ni).
Trump datang bukan bawa perang, tapi bawa ketidaktentuan, chaos. Dan dalam ketidaktentuan itu, hanya negara yang ada clarity of mission akan bertahan. Malaysia tak boleh lagi jadi neutral tak bertaring. Kita mesti jadi neutral yang bijak, macam Switzerland atau Turkiye.
Kita bukan kuasa besar, tapi kita negara strategik. Lalu lintas dagangan dunia, dekat dengan Selat Melaka, ada suara dalam dunia Islam dan hubungan baik dengan China, Amerika, dan Timur Tengah.
Kalau kita pandai, kita boleh jadi broker damai. Tapi kalau kita leka, kita boleh jadi mangsa rundingan meja belakang.
Soalnya, siapa dalam kerajaan kita yang tengah study pemikiran Trump sekarang? Siapa yang duduk dalam bilik dan fikir apa akan jadi kalau esok harga minyak melonjak, dolar naik, atau laluan perdagangan kita terganggu?
Trump bukan gila. Dia cuma tak main strategi ikut buku, dia ni jenis ‘Street Smart’. Tapi dia tahu apa dia nak. Masalahnya, kita tahu ke apa kita nak?
Malaysia sangat perlu untuk tubuhkan pasukan khas dengan gabungkan pakar geopolitik, AI, data, risikan dan rundingan (mungkin dah ada kot kita je rakyat marhaen yang tak tau) bukan setakat jemputan persidangan dan tayang batik cantik. Dunia sedang terbakar dengan chaos propaganda Trump ini. Yang survive bukan negara kuat. Tapi negara yang cepat membaca dan bertindak sebelum dipaksa ikut.
Seperti kata The Art of War, “Kejayaan strategi bukan pada apa yang nampak, tapi apa yang tak dijangka.” Dan Trump ialah jeneral paling tak dijangka dalam dunia moden hari ini.
Juga seperti kata dalam Romance of the Three Kingdoms, “Bila dunia kacau bilau, jeneral yang bijak akan bangkit.”
Soalannya, adakah kita bersedia jadi jeneral itu?
#CatatanEffendyZulkifly #Geopolitik #StrategicUnpredictability #trumpmindset
Effendy Zulkifly ialah pengasas dan pemikir utama di sebalik Centre for AI, Blockchain & Advanced Research (CABAR), sebuah gerakan yang memperjuangkan kecerdasan buatan (AI) beretika, inovasi blockchain berimpak tinggi, dan kedaulatan digital demi masa depan Malaysia dan Asia Tenggara.
Recent Comments