Akibat bosan dengan kehidupan yang dalam ketakutan, lebih setengah juta rakyat Israel telah keluar daripada negara haram itu.
Ia dikatakan sampai ke kemuncaknya apabila Iran tanpa rasa takut dan gentar melancarkan serangan balas ke atas Israel pada 13 Jun 2025, iaitu beberapa jam selepas Israel memulakannya.
Antara destinasi yang sedang menjadi tumpuan rakyat Israel ialah Cyprus, yang pernah suatu ketika diperintah oleh sebuah empayar Islam. Cyprus juga menjadi destinasi perkahwinan Richard the Lionheart dan puteri Berengaria dari Navara (Sepanyol) pada tahun 1191 dalam misi Perang Salib III.
Cyprus turut menjadi lokasi singgah Richard the Lionheart sekembalinya dari misi Perang Salib yang menyaksikan kemenangan Salehudin al-Ayubi, dan di situlah juga Raja England diculik, kemudian dijual kepada seseorang bangsawan sebelum direbus oleh ibunya, Eleanor de Aquitanne, juga pernah jadi permaisuri Perancis sebelum berkahwin dengan King Henry II, Raja England.
Seperti pernah berlaku pada peringkat awal kebanjiran Yahudi daripada Eropah di Palestin, mereka membeli sebanyak mungkin tanah milik penduduk tempatan. Di Cyprus mereka lakukan hal yang sama, cuma tidak ada kisah “membeli secara paksa” atau menghalau tuan tanah secara kejam dengan apa yang berlaku di Palestin sekitar tahun-tahun awal sebelum munculnya negara haram Israel.
Di Cyprus, khabarnya rakyat tempatan tertidur dengan kerakusan rakyat Israel membeli tanah untuk dijadikan kawasan penempatan baharu, yang semakin lengkap dengan keperluan mereka: sekolah, sinagog, kedai runcit dan sebagainya.
Hal ini disedari oleh pemimpin Cyprus, yang menganggap “ketika rakyatnya sedang tidur”, pendatang dari Israel semakin banyak menguasai tanah-tanah milik penduduk tempatan.
Mereka juga berhasrat menjadikan Cyprus sebagai penempatan kekal kerana hidup di bumi haram Israel semakin sukar, dan tidak ada ketenangan lagi.
Ada rakyat Israel meluahkan rasa marah kepada Benjamin Netanyahu kerana setiap hari “mencipta neraka” untuk rakyatnya: hidup dalam kebimbangan dan sedang bertaruh dengan maut.
Sebelumnya, mereka tidak begitu bimbang kerana terpercaya bahawa sistem pertahanan Israel (Iron Dome dan Arrow) cukup kuat dan kebal.
Setelah menerima pukulan daripada Houthi, dan serangan balas Iran, mereka tidak percaya lagi kekebalan sistem pertanyaan yang dibanggakan oleh Benjamin Netanyahu.
Jika peperangan berlaku dalam skala penuh, Israel boleh jadi ranap seluruhnya. Iran belum menggunakan seluruh kekuatannya, hanya sekadar serangan awal untuk memberikan amaran kepada Israel, jangan ganggu negara orang lain kalau tidak ingin diserang balas.
Tetapi setelah Iran bertekad untuk melakukan serangan balas yang lebih besar, “serangan balas dendam tanpa simpati”, Amerika Syarikat mula secara langsung cuba mengekangnya.
Dibomnya tiga loji nuklear Iran, tetapi kesemuanya tidak berjaya dimusnahkan. Israel garu kepala, dan Benjamin Netanyahu cemas. Dan, Benjamin Netanyahu membuat keputusan menghalang rakyatnya keluar kerana negara haram Israel mahukan sokongan moral.
Sebahagian rakyatnya tidak peduli dengan seruan Netanyahu, kerana keselesaan hidup, ketenangan dan jaminan keselamatan diri, keluarga adalah lebih besar daripada jaminan untuk Netanyahu terus berperang.
Walaupun Israel mengatakan, perangnya dengan Iran membawa “kemenangan bermakna” dan “bersejarah”, ia tetap menjadi luka sejarah yang terpaksa ditelan dalam keadaan halkum tersekat-sekat.
Sejumlah lebih 39,000 rakyat Israel sedang memfailkan tuntutan kerugian kepada pemerintah ekoran kerosakan rumah dan pangsapuri mereka dalam perang selama 12 hari ini. Kerugian yang terpaksa ditanggung oleh Israel dalam tempoh berperang dengan
lran dianggarkan (anggaran awal) mencecah antara USD 500- 600 bilion (RM 2.2- 2.6 trilion).
Benjamin Netanyahu akan terus ditekan oleh rakyatnya, kerana ekonomi meleset, inflasi meningkat dan imej negara terlalu negatif. Israel semakin dipulaukan dan yang menjadikan rakyatnya semakin sukar untuk bergerak, melancong dan berniaga. Banyak negara sudah memutuskan apa sahaja perkara yang ada kaitannya dengan Israel walaupun negara-negara Arab enggan melakukannya.
Oleh itu, mencari kehidupan baharu yang lebih aman adalah pilihan yang sedang ditentukan oleh rakyat Israel, mereka semakin tidak percayakan lagi kepada elit politik yang tamak, ego, dan gila berperang.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments