TRUMP TAMPILKAN DIRI SEBAGAI “RAJA PEMBULI” (I)
Setelah tidak meraikan hari ulang tahun penubuhan angkatan tentera darat Amerika Syarikat lebih tiga dekad (1991), tahun ini Donald Trump meraikannya secara besar-besaran pada 14 Jun 2025. Perayaan itu diadakan di Washington DC.
Sambutan kali ini merupakan yang ke 250. Pada tahun 1991, sambutan diadakan oleh Presiden George Bush (Bush Sr) sebagai meraikan kepulangan veteran perang dari Operasi Ribut Padang Pasir (Desert Storm Operations).
Dalam operasi tersebut, ketumbukan tentera telah berjaya menghasilkan kemenangan besar buat Amerika Syarikat. Amerika Syarikat memimpin 42 buah negara menentang Irak atas alasan “mencuri minyak Kuwait”.
Kemudian, Bush Sr tewas dalam pemilihan penggal kedua setelah terbongkarnya skandal tebusan Kedutaan Amerika Syarikat di Teheran yang membabitkan rundingan dan bekalan senjata kepada Iran dalam apa yang dipanggil Iran Contra Gate.
Ketika menjadi Naib Presiden dibawah pentadbiran Ronald Reagan, Bush Sr memainkan peranan besar dalam menentukan dasar luar negara, termasuklah rundingan untuk membebaskan tebusan (tawanan Tentera Revolusi Iran) yang gagal dilakukan oleh Jimmy Carter.
Sebelum pilihan raya 1992, Buah Sr membuat keputusan untuk menghantar pasukan keselamatan ke Los Angeles. Tindakan itu menimbulkan reaksi negatif daripada seluruh negeri California, yang kemudiannya menghukum Buah Sr. Beliau kalah di tangan Bill Clinton.
Kekalahan itu menjadi sesuatu yang mengejutkan, yang kemudian dijadikan suatu bentuk tindakan oleh anaknya, George Walker Bush (Bush Jr) dalam kempen 2000. Bush Jr menang dan belum cukup setahun menduduki Rumah Putih, berlakulah Tragedi World Trade Center.
Melalui eksploitasi “memerangi keganasan”, Bush Jr menang untuk penggal kedua. Kemenangan tersebut telah menghapus badi ayahnya. Hala tuju itu telah melebarkan Islamofobia dan satu persepsi umum semakin tajam dengan meletakkan penganut Islam sebagai pengganas.
Setelah perayaan terakhir tahun 1991, Trump cuba menghidupkan kembali sambutannya dengan harapan dapat menyuntik moral tentera setelah dilihat kurang bersemangat. Tentera berundur dari Afghanistan dan ia dianggap sebagai kekalahan kedua yang sangat memalukan Amerika Syarikat selepas Vietnam.
Para veteran tentera turut kemelut psikologi ketika terpaksa berperang bukan atas alasan mempertahankan tanahair sendiri seperti serangan ke atas Irak akibat dasar memerangi keganasan Bush Jr.
Mungkin juga trauma kekalahan tentera itulah yang menjadi sebahagian fokus Make America Great Again (MAGA) yang dicanangkan oleh Trump sejak kempen pertamanya tahun 2016/2017. Setelah gagal untuk meneruskan penguasaan Rumah Putih untuk penggal kedua di tangan Joe Biden, dan menang dalam Pilihanraya Presiden terakhir (2024) mengalahkan calon Demokrat, Trump menjadi semakin tidak terkendali tindakannya.
Trump seolah-olah sedang membina diri dah kepimpinannya sebagai seorang raja dan diktator. Ini kerana ada jaminan undang-undang terhadap presiden yang sedang berkuasa, tidak boleh dicabar walaupun melakukan kesalahan besar.
Sebelumnya Trump sudah didapati bersalah, antaranya menimbulkan kekacauan menjelang angkat sumpah Joe Biden sebagai presiden, dan beberapa cabaran undang-undang di atas kekalahannya.
Bagaimanapun, oleh kerana keputusan bersalah dibuat menjelang proses angkat sumpah dan mula berkuasa, hukuman ke atasnya ditangguhkan sehingga selesai tempoh pemerintahan. Ertinya, untuk tempoh empat tahun (sehingga 2028), Trump ada imuniti.
Obama pernah berjanji untuk menamatkan kawalan tentera ke atas Irak, namun ia tidak dilaksanakan sepenuhnya oleh Joe Biden. Trump masih kekal dengan warisan sejarah campur tangan tentera Amerika Syarikat di Irak, malah sedang berusaha untuk campur tangan pula di Iran.
Dalam kemelut itulah penduduk berarak untuk menyatakan bantahan mereka pada 14 Jun 2025. Sehari sebelumnya, Israel menyerang Iran dan beberapa jam kemudian, Iran membalas serangan tersebut.
Sebelumnya, sejak berlakunya serangan balas Israel ke atas Hamas (7 Oktober 2023), Amerika Syarikat bukan sahaja menjadi pelindung sikap ganas Tel Aviv, bahkan menyokongnya dengan membekalkan keperluan senjata dan peralatan perang.
Bagaimanapun, dalam keputusan akhir Biden sedikit menunjukkan tanda menentang tindakan Netanyahu dengan menangguhkan bekalan senjata Israel. Trump pada akhir penggal pertama telah melakukan pelbagai tindakan untuk memperkuatkan kedudukan Israel, termasuk menormalisasikannya dengan negara-negara Arab dalam Abraham Accord.
Sebelumnya, mengisytiharkan Jerusalem sebagai ibu negara baharu Israel, dan memindahkan kedutaannya ke Jerusalem daripada Tel Aviv.
(Bersambung)
KAMARUN KH
Recent Comments