Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan julung kalinya secara besar-besaran oleh Tok Selehor sebenarnya telah dilakukan oleh para ulama terdahulu sama ada di dunia Arab mahupun dunia Melayu sejak zaman berzaman.

Berdasarkan sejarah itu, maka sambutan Maulidur Rasul yang dilaksanakan pada hari ini seharusnya bukan semata-mata untuk meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Itu bukanlah matlamat asal sambutan, tetapi lebih kepada usaha mengingatkan kembali umat Islam kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya.

Upacara maulid Nabi SAW yang disertai dengan perarakan baru sahaja dilakukan di negara kita setelah merdeka pada tahun 1957, sedangkan cara itu telah dilakukan oleh Tok Selehor semasa beliau masih hidup sekitar 1920an lagi.

Inilah suatu tranformasi berani dilakukan oleh Tok Selehor sebagai menduplikasi sejarah sambutan para kaum ansar dan muhajirin di Madinah. Ketika mereka berarak menyambut kedatangan Rasulullah SAW pada hari pertama sampainya baginda menjejakkan kaki di tanah Madinah.

Walaupun hari itu bukan hari kelahiran baginda, tetapi atas dasar terlalu gembira dengan kedatangan Rasulullah SAW, mereka keluar daripada rumah dan berkumpul beramai-ramai menyambut baginda SAW.

Namun tranformasi Maulid yang dilakukan Tok Selehor sedikit berbeza daripada guru dan sahabatnya. Di mana beliau membawa pendekatan dengan memberi cara kefahaman kepada masyarakat tentang keharusan sambutan Maulidur Rasul dengan cara serentak mengadakan perarakan dan bacaan Barzanji.

Pendekatan berbeza yang dibawa oleh Tok Selehor tersebut telah menjadikan beliau ulama Kelantan yang pertama mengadakan sambutan majlis Maulidur Rasul secara besar-besaran dengan upacara tersendiri.

Dalam majlis tersebut, Tok Selehor Barzanji dengan penuh perasaan (dengan alunan suaranya yang merdu) dan mengadakan perarakan secara besar-besaran bagi menanam rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam kalangan masyarakat.

Cara sambutan Maulidur Rasul sedemikian pada mulanya telah mendapat kritikan daripada akhbar-akhbar tempatan. Namun, Tok Selehor tetap meneruskan perarakan dan Barzanji, kerana mengikut pertimbangan dengan ilmu, beliau yakin ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Hasilnya ribuan manusia menyertai majlis tersebut yang bukan sahaja datang dari sekitar Kelantan, malah ada yang datang dari luar Kelantan.

Walaupun beliau difitnah dan dituduh pembawa bid’ah kerana mengadakan upacara sambutan Maulidur Rasul disertakan dengan perarakan beramai-ramai dengan murid-muridnya dan disertai bersama penduduk kampung serta para pengunjung daripada luar daerah sehingga majlis tersebut ibarat suatu pesta.

Namun kerana cinta beliau kepada Nabi Muhammad SAW dan untuk menerapkan pengajaran kisah Rasulullah SAW yang dibaca dalam kitab Berzanji dan nazam, Tok Selehor ketepikan segala komen-komen negatif sesetengah golongan sehingga diviral dalam media ketika itu.

Beliau teruskan juga kerana apa yang dilakukannya ada sandaran dalam syariat yang dipelajari daripada ulama-ulama besar di Patani dan di Makkah.

Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tetapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan daripada membiarkan hari-hari berlalu dengan kelekaan duniawi.

Catatan: Ibnu Majid

Translate »