Pukulan berat yang telah menggelonsorkan imej Dr Mahathir terjadi apabila (1) dipecat keahliannya dalam Bersatu walaupun parti itu lahir atas keringat dan kerjasamanya; (2) setelah tidak ada wadah untuk berpolitik, Dr Mahathir akhirnya mengasaskan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), namun ia dilihat sebagai alat untuk melonjakkan kedudukan anaknya, Mukhriz Mahathir; dan (3) kekalahan yang dihadapi oleh calon Pejuang dalam PRU ke-15, semuanya ditolak oleh pengundi dan kesemua calonnya hilang wang pertaruhan (deposit).
Akibat kekalahan itu menjadikan Dr Mahathir kembali semula seolah-olah “menangis” tentang politik bangsanya, yang pernah melakar kejayaan besar selepas kembali diterima keahlian UMNO. Beliau akhirnya meraih kedudukan terbaik, walaupun melakukan “pengkhianatan” setelah berkuasa. Tahun 1988, dia ‘membunuh UMNO” dan setelah mengasaskan Bersatu (PBPM), sekali lagi cuba melakukan tindakan yang sama. Hingga kini, strategi politiknya untuk “membunuh” UMNO tidak berjaya, maka dihidupkan rasa takut orang Melayu akan kehilangan kuasa, sebagai kelubung politik.
Beliau secara sistematik mengusir pengaruh Tengku Razaleigh dan Tun Ghafar Baba. Namun, dalam masa yang sama, Dr Mahathir mula mengkhianati amanah 7 Wasiat Raja-Raja Melayu dengan cuba menghapus atau mengurangkan imuniti institusi yang menjadi dasar dan asas kepada pembentukan kerajaan Tanah Melayu.
Konsep kerajaan di Tanah Melayu tidak dapat berpisah dengan raja atau sultan. Sejarah kemunculan kaedah berpolitik orang Melayu sangat terikat dengan raja-raja, dan kerana itulah Anthony Miller menjelaskan, sukar untuk menolak bahawa konsep berkerajaan di Tanah Melayu dipisahkan dengan raja, dan istilah kerajaan adalah berasaskan “raja”. (Anthony Milner, Kerajaan: Budaya Politik Melayu Di ambang Pemerintahan Kolonial, SIRD 2016).
Sekurang-kurangnya tiga kali Dr Mahathir cuba menjadikan kuasa tertinggi dalam pemerintahan tidak lagi melalui perkenan Institusi Raja dan Kesultanan Melayu. Jika sesuatu rang undang-undang telah diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, tanpa perkenan Institusi Raja-Raja Melayu (di peringkat pusat diwakili oleh Yang di Pertuan Agong dan di peringkat negeri oleh Sultan atau Raja, manakala negeri-negeri tidak beraja oleh Tuan Yang di Pertua Negeri), ia akan tetap boleh dikuatkuasakan selepas edah yang dibenarkan.
Ia menjadi suatu makna kesuraman ke atas budi bicara Raja dan Sultan, maka Dr Mahathir dilihat semakin “tidak menghormatinya”. Beliau cuba menggunakan beberapa insiden yang membabitkan perilaku raja atau keluarga di raja bagi mempengaruhi orang Melayu mengkritik sistem beraja. Jadi, apabila melihat sejarah kemelut politik antara kerajaan dan istana, Dr Mahathir dianggap sebagai pemula yang cuba mencabar asas pembentukan kerajaan di Tanah Melayu sebelum penjajahan.
Akhirnya, hubungan kerajaan yang dibentuk menerusi kuasa undi (pilihan raya) dan kerajaan yang masih kekal dengan institusi Raja Melayu, menjadi tegang. Setelah krisis politik berlaku akibat peletakan jawatan Tun Musa Hitam pada tahun 1986, Tun Ghafar Baba yang “merajuk” dipujuk kembali agar dapat membantu meredakan kekalutan politik.
Tun Ghafar berjaya dipujuk dan akhirnya berjaya membina semula hubungan kerajaan dengan istana, walaupun parutnya tetap ada. Tahun 1987, muncul tindakan seorang anggota tentera mengamuk di Chow Kit Kuala Lumpur. Kerajaan mula menggunakan isu ini sebagai salah satu bukti ada krisis antara rakyat dan raja, atas tindakan dan perilaku raja atau keluarga di raja.
Media memainkan isu ini sebagai tempias slogan “Raja yang adil disembah, raja yang zalim disanggah”. Idealisme masyarakat “tanpa kelas” atau sosialisme mengambil tempat, yang dalam perkiraan politik moden, sosialisme menjadi tunjang kepada rasa marah ke atas feudalisme dan makna kerajaan dalam bentuk tradisional (bukan ditentukan oleh kuasa rakyat).
Selepas beberapa tahun politik Malaysia berjaya ditenangkan, Dr Mahathir mula mencari jalan untuk membentuk Malaysia sebagai sebuah negara maju, tidak lagi mahu terperangkap dalam dilema negara-negara sedang membangun. Sebagai sebuah negara sedang membangun, sesebuah negara tidak bebas menentukan kehendaknya sendiri, masih tertakluk kepada nilai-nilai penjajahan.
Akibatnya, Dr Mahathir menukarkan haluan pembangunan negara dengan mencontohi nilai-nilai timur, terutama daripada Jepun dan Korea Selatan. Perubahan itu dianggap oleh Tengku Razaleigh Hamzah sebagai “kemungkaran politik dan ekonomi”, maka ia wajib disekat kerana akhirnya akan merugikan orang Melayu, termasuk penduduk luar bandar. “Tengku Razaleigh Hamzah, Kemungkaran Politik dan Ekonomi, ucapan dasar “Team B” di Kuala Lumpur, 19 April 1987).
Perubahan penekanan itu bagaimanapun sedikit sebanyak berjaya mengubah budaya kerja masyarakat Malaysia, namun dalam perspektif hubungan kekeluargaan ia sedikit goyah. Cara Dr Mahathir menyemai budaya “datang kerja awal dan balik lewat” menjadikan seorang pekerja umpama robot, kerana prinsip asasnya ialah “do first argue later”.
Bagi Dr Mahathir’s akibat “banyak soal” itulah sesuatu pekerjaan atau tugas tidak dapat dilakukan, asyik bertangguh-tangguh. Inilah kritikan tajam Dr Mahathir yang pernah lakukan sehingga menjadi salah satu sebab utama Tunku Abdul Rahman terkilan, dan akhirnya menggugurkan keahlian dalam UMNO.
Kabinet Tunku dikatakan lebih banyak bercakap, hasilnya tidak ada atau hanya minimum. Tunku tidak serius, suka bersandiwara dan bermesyuarat panjang tanpa ada keputusan. (Dr Mahathir, Dilema Melayu, 1982. Versi asal berbahasa Inggeris, Malay Dilemma, 1970, juga terkandung dalam surat yang didedahkan kepada umum serta secara meluas setelah dirinya dipecat).
Sepuluh tahun pertama pentadbirannya, cukup banyak serangan psikologi yang dilakukan ke atas cara rakyat Malaysia berfikir, bertindak dan bersosialisasi, dengan mengangkat hakikat sebuah perubahan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bermaruah, duduk seiring dan berdiri sama dengan negara-negara maju, terutama dalam etos dan nilai penjajahan yang masih ada kesannya dalam diri masyarakat, terutama dalam kalangan elit politik, elit kuasa dan elit pentadbir.
(Bersambung)
KAMARUN KH
Recent Comments