Apa pun yang akan berlaku ekoran kemenangannya mengalahkan Rafizi Ramli, Nurul Izzah akan kekal dilihat berada dalam kemelut politik, yang jika tidak dapat ditangani dengan berkesan, imej parti akan terus dibingkaikan sebagai parti keluarga.
Apa tidaknya, bapa adalah Presiden yang menang tanpa saingan, manakala ibu adalah penasihat parti yang dilantik oleh sekumpulan orang dalam lingkaran presiden.
Kini, si anak pula yang akan menjadi sebahagian daripada penggerak dan pemutus dasar parti sebagai timbalan presiden.
Nurul Izzah sudah pun menyatakan bahawa tugasnya adalah cukup besar dalam keadaan ayahnya, Presiden parti adalah ketua kerajaan.
Ayahnya akan lebih banyak menghabiskan masa untuk kerja-kerja pengurusan dan pentadbiran negara, manakala pelaksanaan program parti akan ditugaskan kepadanya dengan bantuan kesemua naib presiden, sayap wanita, angkatan muda dan peneraju kepimpinan negeri.
Dalam situasi ini, Nurul Izzah dilihat tidak cukup berpengalaman untuk menggerakkan parti dalam situasi sekarang, yang cukup berbeza ketika PKR adalah pembangkang.
Ketika ini, beliau mempunyai naib-naib presiden yang lebih berpengalaman dalam perihal pengurusan dan pentadbiran negara, dua menteri besar, seorang menteri dan seorang timbalan menteri.
Dua menteri besar yang dimaksudkan ialah Amirudin Shaari (Selangor), Aminudin Harun (Negeri Sembilan). Menteri yang kekal dalam kedudukan tersebut ialah Chang Lih Kang manakala muka baru ialah Ramanan Ramakrishnan, timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi.
Dalam pentadbiran parti, Nurul Izzah pernah berada di posisi Naib Presiden, namun kekuatannya ialah kerana ada hubungannya dengan presiden dan penasihat.
Tentunya, jika Nurul Izzah bersendirian memposisikan diri dalam lautan politik, sudah lama kedudukannya tidak dapat dipertahankan, apatah lagi setelah tewas di kawasan “milik tradisi keluarga”, yakni Permatang Pauh.
Dari satu aspek, Nurul Izzah gagal mengawal kemaraan gelombang hijau di Permatang Pauh, sebuah konstituensi yang belum pernah dimenangi oleh orang lain kecuali anak beranak Anwar sendiri sejak tahun 1982.
Permatang Pauh muncul sebagai model politik “balas budi” yang cukup besar dalam sejarah politik tanah air. Anwar berikan kerusi itu kepada Wan Azizah (PRU 10, 1999), kemudian Wan Azizah korbankan (dikembalikan) pula untuk suaminya (PRK Permatang Pauh 26 Ogos 2008).
Anwar kemudian serahkan kerusi itu kepada puterinya (PRU 14, 2018), Nurul Izzah yang mendapat jolokan sebagai Puteri Reformasi. Sejarah paling epik ialah PRK Permatang Pauh pada bulan Ogos 2008.
Ada beberapa perkara yang menarik mengenai PRK itu. Pertama, ia merupakan PRK termahal pernah berlangsung kerana kempen PKR cukup laju, gah dan meriah.
Kedua, isu pembabitan seorang pembantu iman, yang digunakan oleh jentera parti bagi membuktikan Sumpah Saiful Bakhari Azlan itu tidak menepati asasnya.
Ketiga, kempen tersebut turut menyebabkan TPM ketika itu, Najib Tun Razak membuat pengakuan tidak terbabit dengan kes pembunuhan seorang model Mongolia. Najib bersumpah di sebuah rumah ibadat umat Islam dalam konstituensi terbabit.
Ia merupakan sumpah kali kedua Najib. Sumpah pertama ialah ketika PRK DUN Ijok (2007). Beberapa tahun kemudian, Najib bersumpah untuk kali ketiga di Masjid Jamek, Kg Bharu, Kuala Lumpur (20 Disember 2019).
Keempat ialah disenandungkan dengan gigih dan penuh rasional bahawa pentadbiran kerajaan pusat akan bertukar daripada BN kepada Pakatan Rakyat, yang mana adalah PM. Road to Putrajaya terus bergema dengan pelbagai program untuk menggambarkan kuasa kerajaan pusat goyah dan segera tumbang.
Ditetapkan pada 16 September 2008, Pakatan Rakyat akan mengangkat sumpah, namun takdir menentukan usaha memburu hampir 30 wakil rakyat BN di Taiwan tidak berjaya. Episod itulah yang membawa kepada istilah PM tepi.
Setelah Tian Chua dan Saifudin Nasution gagal menemui wakil rakyat BN di Taiwan, Anwar mengumumkan ia akan mengambil sedikit masa dan sejak itu, persoalan tumbangnya kerajaan BN yang dipimpin oleh Najib Tun Razak seumpama sebuah ilusi.
Nampaknya sejarah baharu akan muncul apabila Nurul Izzah memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR. Kemenangan itu membawa kepada peletakan jawatan Rafizi Ramli mulai 17 Jun 2025 dan disusuli oleh Nik Nazmi Nik Ahmad mulai 4 Julai 2025.
Ramai pula yang menegaskan sepatutnya dua tokoh itu tidak meletakkan jawatan kerana mereka memahami kehendak reformasi berbanding tokoh-tokoh yang menyertai PKR selepas PRU ke-12 (2008).
Atau jika benar-benar berprinsip, Rafizi dan Nik Nazmi wajar meletakkan jawatan sebaik sahaja keputusan pemilihan tidak menyebelahi mereka. Sayangnya, kedua-duanya bercuti terlebih dahulu, yakni menghabiskan baki cuti tahunan sebagaimana menjadi amalan penjawat awam.
Ahli politik tidak sepatutnya berbuat demikian, kerana menghabiskan cuti itu dilihat sebagai “cooling period”, yang mungkin akan berlaku “tawar menawar” atau “pujuk memujuk”. Ini mengingatkan kita bagaimana tegasnya Tengku Razaleigh Hamzah ketika terus menghantar surat peletakan jawatan dalam kabinet setelah keputusan pemilihan jelas tidak berpihak kepadanya (1987).
Tengku Razaleigh hanya tewas 43 undi. Rafizi tewas dengan perbezaan hampir 6,000 undi manakala Nil Nazmi sekadar meraih 5656 undi, terkeluar daripada senarai empat pilihan terbesar. MB Selangor, Amirudin Shaari, MB Negeri Sembilan, Amiruldin Harun, dan Menteri Sains, Teknologi, Chang Lih Kang kekal sebagai Naib Presiden untuk tempoh tiga tahun lagi (2025-2028). Ramanan Ramakrishnan menjadi muka baharu dalam pimpinan tertinggi PKR.
Beliau adalah bekas ahli MIC dan memenangi Parlimen Sungai Buloh pada PRU ke-15 mengalahkan calon BN, Khairy Jamaludin. Khairy bertanding di Sungai Buluh setelah BN tidak memberikan petunjuk jelas di manakah beliau akan bertanding, kerusi tradisinya (Rembau) diwakili oleh Mohamad Mohd Hasan, bekas MB Negeri Sembilan.
Ketika ini Mohamad Hasan adalah Timbalan Presiden UMNO dan Menteri Luar Negeri. Khairy adalah salah seorang daripada tiga calon yang bertanding untuk jawatan Presiden UMNO (2018). Ahmad Zahid Hamidi menang manakala Khairy dan Tengku Razaleigh tewas. Khairy terus kekal dalam UMNO sehinggalah beliau dipecat (27 Januari 2023), bersama Noah Omar. Tengku Razaleigh dilantik sebagai penasihat parti (16 Mei 2023)i
Presiden PKR sudah membuat kenyataan, permohonan tersebut telah diluluskan, dan sedang memikirkan akan melakukan rombakan kabinet akibat kekosongan yang berlaku. Bagaimanapun, rombakan kabinet mungkin akan berlaku selepas 4 Julai 2025, tarikh berkuatkuasa peletakan jawatan Nik Nazmi.
Pada mulanya, Anwar tidak menyatakan rombakan kabinet akan berlaku selepas pemilihan, tapi dengan perkembangan tersebut, ia akan berlaku. Kini, kata Anwar kekosongan tidak dapat digantikan kerana “mereka masih bercuti”.
Dalam pasukan kabinet itu nanti, sekiranya Nurul Izzah dilantik, masyarakat akan terus mengaitkan PKR dengan isu nepotisme. Kalau dengan kemenangan Nurul Izzah sedikit sebanyak boleh meredakan persepsi umum bahawa kemenangan tersebut bukan atas sebab nepotisme, ia adalah pilihan para perwakilan.
Sayangnya, perwakilan secara langsung tidak boleh menentukan kedudukan Nurul Izzah dalam kabinet. Ia adalah prerogatif PM, yakni PM ketika ini adalah ayahnya. Jika ini berlaku, maka parti-parti pembangkang akan mendapat peluru baharu untuk menyerang PMX.
Ayahnya pula sedang dipersoalkan dengan permohonan kekebalan (imuniti) terhadap satu dakwaan liwat kali ketiga. Bagaimanapun, menurut salah seorang pegawainya, permohonan tersebut tidak bersifat mutlak. Namun pelbagai reaksi muncul dengan kata lain, ia belum pernah berlaku dalam sistem politik Malaysia. Apa yang ada ialah kekebalan bagi Sultan, Raja dan Yang di Pertuan Agong, bukan dalam kalangan eksekutif atau elit politik yang berkuasa.
Ia hanya berlaku di Amerika Syarikat, di mana seorang presiden yang sedang berkuasa tidak boleh dibawa ke mahkamah dalam tempoh kuasa. Ia boleh dilakukan selepas tempoh kuasa tamat. Contohnya, Donald Trump. Biarpun sudah didapati bersalah, hukumannya telah ditangguhkan sehingga tempoh kuasanya tamat atau setelah dipecat atau meletakkan jawatan.
Liwat pertama menjadi saga politik yang cukup panjang, Anwar meraih kemenangan dengan keputusan juri. Bagaimanapun, Anwar tetap dipenjarakan atas kesalahan lain, salah guna kuasa.
Liwat kedua, Anwar didapati bersalah dan dihantar ke Penjara Sungai Buloh. Proses pendakwaannya cukup panjang dan menjadi kisah yang terus diingati seluruh rakyat Malaysia. Bahkan, ia menjadi suatu kisah yang membangkitkan perjuangan reformasi. Budaya protes jalanan.
Di akhir tempoh penahanannya, Anwar mendapat pengampunan di raja sebagai janji yang dibuat ketika mengizinkan Dr Mahathir memimpin Pakatan Harapan menjelang PRU ke-14 (2018).
Jika permohonan imuniti ini diluluskan, ia bakal menjadi pendulu yang berbahaya dalam sistem keadilan. Gempita mengkritik permohonan tersebut sedang berlegar dalam masyarakat, termasuk media sosial dan politikus di luar PKR.
PRU ke-14, PH menang. Sebagai memenuhi janji, Dr Mahathir memohon pengampunan di raja, dan kemudiannya diraih tanpa syarat, yakni pengampunan penuh.
Namun, muncul pula saga “peralihan kuasa”, Langkah Sheraton menjadi sejarah janji penyerahan kuasa kepada Anwar tidak menjadi kenyataan. Anwar digelar sebagai PM tepi (istilah yang digunakan oleh Muhyiddin Yassin) yang cukup lama, paling tidak sejak pemecatannya tahun 1998.
Tahun 2008, Anwar gagal. Langkah Kajang (2014) juga gagal. Tahun 2018, harapan itu tidak menjadi kenyataan dan musnah terus pada bulan Februari 2020. Langkah Kajang telah menjadi acuan yang cukup berbahaya, bahkan hubungan antara dua perancang utama, Azmin Ali dan Rafizi Ramli mula berkrisis.
Rafizi letak jawatan sebagai penasihat ekonomi, Azmin mula merasakan ia perlu meningkat lebih baik dalam parti. Sayangnya, Azmin dihalang dan akhirnya ia menjadikan sebagai salah satu faktor penentang peralihan kuasa sebelum PRU ke-15. Muncul Langkah Sheraton, dan akhir Anwar kempunan sekali lagi.
Pada tahun 2021, UMNO sekali lagi mula berpecah, terdapat dua desakan terbesar yang memaksa Ahmad Zahid Hamidi membuat pengakuan. Desakan pertama ialah keputusan akar umbi, No Anwar No DAP.
Desakan kedua ialah apabila Naib Presiden dipilih sebagai PM ke-9. Ia membabitkan persoalan kuasa. Ismail Sabry seolah berada di persimpangan dalam parti, manakala Zahid Hamidi sebagai Presiden terkucil dalam pentadbiran negara. Kesannya, pada PRU ke-15, UMNO hanya mampu menang 26 kerusi dan semakin lemah.
Namun, takdir menentukan bahawa Anwar adalah PM X, setelah terbentuknya kerjasama politik antara beberapa parti yang bermusuh dan berjaya melepasi majoriti mudah. BN yang awalnya menegaskan No Anwar No DAP bersetuju dalam rencana tersebut, tetapi tidak cukup kuat untuk memimpin kerajaan.
Atas keputusan tersebut, Anwar mengangkat sumpah sebagai PM X pada 2 November 2022 dan seterusnya berjaya membentuk kerajaan perpaduan, yang kemudiannya dikenali sebagai Kerajaan Malaysia Madani.
Anwar sebaliknya lebih berani daripada Muhyiddin, membuka undian terhadap kekuatan sokongan terhadapnya. Ia menunjukkan sokongan kepada Anwar lebih majoriti dua pertiga.
Wakil rakyat yang tidak menyokongnya adalah dalam kelompok PN. Namun, ia kemudian kedudukan Bersatu semakin menyusut, setelah wakil rakyatnya mula secara terbuka menyokong PMX.
Usaha untuk menggugat kedudukan Kerajaan Madani hingga kini tidak berjaya, namun PN akan terus mencari “bola tanggung” yang secara sengaja atau tidak sengaja dihantar oleh kabinet. Nampaknya, permohonan imuniti dan beberapa isu yang dibangkitkan oleh Rafizi akan terus digunakan selain isu-isu nepotisme, subsidi bersasar dan pertumbuhan ekonomi.
Persoalannya, apakah Anwar perlu perlindungan (kekebalan)? Anwar menjadi PM pertama yang memohon perlindungan tersebut. Sedangkan Najib ketika dihadapkan dengan isu pembunuhan seorang warga Mongolia tidak pun pernah memohon kekebalan tersebut.
Najib yang yakin tidak bersalah, menyerahkan perjalanan proses undang-undang tanpa “kekebalan”. Tapi, nampaknya Anwar terasa takut dengan dakwaan bekas salah seorang pegawai penyelidiknya, maka dimohon kekebalan. Dakwaan itu difailkan sejak empat tahun lalu.
Secara jelasnya, perjalanan politik Malaysia selepas pemilihan PKR cukup mencabar bagi PMX, dan juga bagi puteri sulongnya yang baharu dinobatkan sebagai Timbalan Presiden. Langkah pertama ialah bagaimana untuk menutup atau melaksanakan strategi politik yang lebih baik daripada dua tokoh reformasi yang telah menyumbangkan banyak jasanya kepada parti.
Jasa Rafizi kepada rakyat tidak seberapa, tetapi jasanya kepada kejayaan Anwar sehingga berjaya diangkat sebagai PMX adalah cukup besar. Inilah yang dikenali sebagai Jurang Strategi yang terpaksa dikenalpasti oleh Nurul Izzah.
Nurul Izzah juga terpaksa meratakan impian besar Rafizi sekurang-kurangnya untuk meyakinkan para penyokongnya bahawa dirinya adalah pilihan terbaik. Setiausaha Agong PKR, yang pernah menjadi lawan Rafizi menyatakan inilah ruang atau masa terbaik untuk Nurul Izzah. Ia bermakna, Nurul Izzah perlu buktikan “kecekapan” setelah meraih sebanyak 9,803 undi, hampir 6,000 undi menjarakkan kedudukannya dengan penyandang yang mempertahankan jawatan.
Nurul Izzah akan dilihat lebih berjaya daripada Rafizi sekiranya langkah politik dalam tempoh 2025-2028 mampu menangkis dakwaan amalan nepotisme dan juga berjaya membina langkah lebih kemas merawat parti yang semakin dilihat sebagai model pengukuhan keluarga. Ertinya, prestasi Nurul Izzah pastinya perlu lebih cemerlang daripada apa yang pernah Rafizi laksanakan. Ujian pertama buat Nurul Izzah ialah bagaimana mencari peluang untuk PKR bertapak lebih kukuh di Sabah.
Ia bergantung kepada bagaimana Nurul Izzah mampu meyakinkan bahawa calon yang dipilih itu adalah calon yang menang dan yang lebih mustahak ialah kerjasama PH dan BN tidak terlerai. Ini kerana BN masih merupakan pencabar utama, dan tentunya, BN mahukan lebih banyak kerusi untuk ditandingi, walaupun secara pengaruhnya adalah lebih kecil daripada GRS.
Namun, PRN ini juga merupakan ujian pertama buat GRS, yang dibentuk selepas PN berjaya menguasai politik Sabah (Oktober 2020). ketika itu, GRS hanyalah sekadar pakatan parti-parti politik (12 September 2020). Namun, apabila PN tidak kekal lama memerintah di peringkat pusat, mereka yang dalam Bersatu bergerak menubuhkan GRS (26 Februari 2022 dan disahkan pendaftaran pada 11 Mac 2022), bagi menyekat Warisan dan juga BN.
Tentunya, dua ujian pertama yang perlu dihadapi oleh PKR cukup untuk mewarnai perjalanan parti seterusnya. Ujian pertama ialah apakah Nurul Izzah akan berada dalam barisan kabinet yang bakal dirombak bagi mengisi kekosongan yang berlaku dan ujian kedua ialah bagaimana Nurul Izzah akan memimpin parti bagi menghadapi PRN ke-17 yang akan berlangsung dalam masa terdekat.
Seandainya Nurul Izzah tidak disenaraikan sebagai barisan kabinet, sedikit sebanyak dakwaan nepotisme dapat diredakan walaupun tidak sepenuhnya. Ini kerana dakwaan dan celahan kenyataan Rafizi sedikit sebanyak telah menggambarkan hakikat itu, sebagai satu bentuk rencana untuk menghapuskan pengaruhnya dalam parti. Walaupun secara terbuka dilihat tidak berlaku, secara halusnya percubaan sedemikian memang ada sehingga Rafizi merasa lega bebas daripada “sandiwara kuasa di peringkat tinggi”.
Nurul Izzah terpaksa menyahut cabaran tersebut dengan yakin dan penuh semangat bukan hanya sekadar menyatakan kemampuan ketika berkempen menentang HIRUK. Sebabnya, semakin lama semakin banyak tokoh reformasi meninggalkan parti, dan pengunduran Rafizi dah Nik Nazmi akan menjadikan senarainya lebih panjang, jika selepas tempoh sebagai wakil rakyat (2027 atau PRU 16), mereka tidak lagi bersama PKR.
KAMARUN KH
Recent Comments