Sejak kembali berkuasa, Donald Trump terus menggunakan strategi buli untuk Make America Great Again (MAGA).

Maksudnya, Trump ingin melihat banyak pemimpin negara melutut kepada hasrat dan imaginasi MAGA.

Usaha pertama dilakukan ialah menaikkan tarif barangan yang dibawa masuk ke Amerika Syarikat dengan alasan untuk membaiki imbangan perdagangan yang tidak menguntungkannya.

Akibat harga barangan import menjadi lebih murah daripada barangan keluaran domestik, ia menjadikan ekonomi domestik tidak tumbuh dengan rancaknya. Ekonominya bergelut dengan pelbagai masalah dan juga krisis. Termasuk sektor teknologi dan kewangan.

Pelabur Amerika Syarikat mula membangunkan kilang-kilang baharu di luar negara dengan mengambil kira faktor kos buruh, kecekapan pekerja dan dasar mesra pelabur. Ini menyebabkan produk Amerika Syarikat semakin banyak dikontrakkan di luar negara (terutama China).

Dalam masa yang sama, China mencari peluang untuk menyainginya. Akhirnya, muncul produk setara keluaran China oleh firma China yang mencabar kedudukan produk Amerika, termasuk produk yang asalnya dihasilkan di China secara kontrak.

Awalnya, bagi menggambarkan situasi itu, didedahkan kepada masyarakat antarabangsa bagaimana firma-firma China melakukan peniruan produk, tetapi kualitinya sangat rendah. Usahawan-usahawan China tidak hilang arah, mereka seterusnya membangunkan produknya dengan penekanan kualiti setanding tetapi masih berharga murah.

Akhirnya strategi dan kecekapan usahawan China berjaya menghapuskan stigma produk China berkualiti rendah. Sebaliknya, semakin banyak produk bukan China sangat bergantung kepada komponen yang dihasilkan di China. Sangat menekankan ialah komponen bateri yang kini dikuasai oleh China. Juga produk yang terhasil daripada nadir bumi (rare earth).

Misalnya bateri kereta elektrik. Tesla tetap memerlukan bateri EV daripada China dan semakin menjadi ruang sempit untuk berunding apabila berlakunya Perang Dagang, yang tidak membenarkan kenderaan elektrik dan beberapa produk telekomunikasi China memasuki pasaran Amerika.

China tidak buntu merangka peluang, firma-firma China agresif menjalin kerjasama dengan firma-firma Eropah dan lain-lain negara. Akhirnya, hampir keseluruhan produk China menguasai perdagangan antarabangsa dan produk Amerika sedang dipertimbang sebagai pilihan terakhir.

Trump sedar dengan situasi itu, maka ia perlu menterjemahkan MAGA sebagai tindakan menyekat produk asing dan memaksa negara-negara pengeksport tunduk kepadanya. Inilah yang dimulakan oleh Trump dengan menaikkan kadar tarif walaupun bertentangan dengan resolusi WTO – Organisasi Perdagangan Antarabangsa’.

Ia dimulai dengan Kanada dan Mexico, kemudian ditangguhkan. Kemudian, membuli pula lebih banyak negara dengan menggunakan imbangan perdagangan dalam penentuan kadar tarif timbalik.

Dalam keghairahan tersebut, Trump akhirnya terpaksa melihat semula penetapan dasar tersebut setelah China enggan tunduk. China menawarkan kadar tarif yang hampir sama Amerika kebaikan ke atas produknya. Honda turut mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pengeluaran kereta elektrik bagi pasaran Amerika Utara. (https://www.coachesdatabase.com/us-declares-trade-war-on…/).

Kilangnya yang dibangunkan pada tahun 2024 di Ontario Kanada akan dihentikan projek kereta elektrik. Menurut perancangan awal, kenderaan elektrik untuk pasaran Amerika Utara akan mula dilakukan pada tahun 2028. Sebab utamanya stigma yang muncul terhadap tarif timbalik yang turut dikenakan ke atas produk Jepun.

Kalau tahun 1980-an Jepun menjadikan sebahagian kuasa penyelamat ekonomi Amerika syarikat yang dilanda krisis yang teruk, nampaknya kali ini, Trump dilihat tidak lagi “mesra perdagangan” dengan Jepun. Sebabnya, Jepun turut menyokong BRICS dan tindakan beberapa negara menggunakan matawang masing-masing dalam pembayaran perdagangan, bukan mengekalkan penggunaan dolar.

Selepas itu, Trump umumkan kenaikan tarif sebanyak 50 peratus untuk produk Kesatuan Eropah (EU) bermula 1 Jun 2025. Setelah berkomunikasi dengan Trump, akhirnya beliau menangguhkannya selama 30 hari, iaitu ke 9 Julai 2025

Itulah yang diperkatakan ketika ini setelah Trump menangguhkan beberapa keputusan kenaikan tarif timbalik ke atas Kanada, Mexico, China dan lain-lain negara. ASEAN turut membuat keputusan untuk berunding dengan pentadbiran Trump mengenai tarif timbal balas yang dikenakan.

Ertinya, secara umumnya MAGA sudah berjaya memaksa hampir kesemua negara “tunduk” kepada strategi buli Trump. Secara moralnya Trump sudah berjaya, banyak negara “melutut” kerana pasaran produk di Amerika adalah besar, termasuk produk elektronik dan elektrik yang dihasilkan di Malaysia.

Trump tahu, selain China hampir kebanyakan negara di dunia cukup merasa kesukarannya apabila produk mereka dikenakan tarif yang tinggi untuk memasuki pasaran Amerika. Ia akan memberikan kesan yang cukup besar kepada ekonomi negara masing-masing.

Trump terpaksa melakukannya kerana Trump bimbang, dalam tempoh kurang dua puluh tahun lagi, China akan menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia. Dengan kedudukan ekonomi yang terbesar, China juga akan muncul sebagai kuasa politik yang dapat menyingkirkan hagemoni Amerika Syarikat, yang dilihat sebagai “polis dunia” setelah berakhirnya Perang Dingin.

Apa yang Trump tidak jangkakan ialah kesepakatan negara-negara selain Amerika Syarikat akan menjadi lebih cepat terbentuk. Ia sebagai reaksi balas tanpa disangka oleh Trump dan kerjasama ekonomi menjadi semakin menuju ke arah dedolarization. ASEAN dalam sidang kemuncaknya di Kuala Lumpur sedang memperkemaskan laluannya untuk muncul sebagai kuasa ekonomi Asia yang penting.

Atas sifat dan keperluan tersebutlah Amerika Syarikat akan terus membuli, mendesak dan memutuskan dasar sebagai terjemahan kepada MAGA walaupun tindakannya bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Apa yang Trump utamakan (mahukan) Amerika terus kekal berkuasa dan berperanan besar menentukan geopolitik dunia.

KAMARUN KH

Translate »