RAFIZI RAMLI alami kekalahan pertama dalam edisi memburu kuasa. Kekalahan kali ini bukan bukan sekadar kalah mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR, tetapi ia membawa tafsiran yang lebih besar daripada itu, termasuk gelaran ikoniknya sebagai Raja Formula yang kecundang dalam samudera politik dan reformasi.
Sejak memulakan edisi kempen mempertahankan jawatan yang disandangnya pada tahun 2022, 11 Mei lalu, kebetulan pada hari itu adalah Hari Ibu, ada kisah duka terjadi, maka ia sedikit sebanyak kata orang sudah ada tanda awal kekalahannya. Tandanya bukan kerana anak gajah mati dilanggar lori ayam di Lebuh Raya Gerik-Jeli, tetapi keputusan pemilihan di peringkat cabang PKR sudah ada tanda penolakan yang jelas.
Ya, daripada 222 hanya 22 cabang yang mencalonkannya untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden. Pencabarnya mendapat 90 peratus pencalonan. Ia sudah menampakkan gambaran awal bahawa Rafizi akan kalah. Hasilnya, pada pemilihan yang diadakan di Johor Bahru pada 23 Mei, Rafizi kalah dengan perbezaan undi hampir 6,000.
Dalam gempita berucap dan bercerita, Rafizi hadir dengan hati yang sedikit kecewa. Pada peringkat pemilihan cabang, orang-orang yang dianggap sebagai satu geng sudah kalah. Nik Nazmi kalah kepada pengarah-pelakon-pelawak, Datuk Afdlin Shauki. Nik Nazmi yang pada suatu ketika dianggap tokoh muda yang berwawasan, secara mudah berjaya digelecek lawak oleh Afdlin Shauki di Setiawangsa.
Indikasi lainnya ialah ucapan-ucapan lemau Rafizi sendiri ketika memulakan langkah setelah mendapat tahu, Saifudin Nasution Ismail tidak mahu ikut bertanding, atau “mencangkuk” semula peluang setelah tewas pada tahun 2022. Tetapi, pencabar Rafizi kali ini bukan calon “kaleng-kaleng”. Pencabarnya adalah Puteri Reformasi, yakni anak sulong Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Nurul Izzah. Nurul Izzah dikatakan bakal menyambung legasi politik Anwar dan kemenangan yang diraih kali ini sebagai satu bentuk pengesahan awal.
Dengan rasa “boleh kalah”, Rafizi mencuba strategi “menerobos” kepimpinan parti yang asas, ada amaran yang perlu diberikan perhatian setelah parti itu diuji oleh kuasa. Rafizi mendedahkan beberapa kelemahan parti, kalau dahulu beliau cukup cekap menerobos apa sahaja isu yang dilontarkan terhadap PKR. Kali ini Rafizi berusaha menerobosya partinya sendiri dari dalam, walaupun katanya bukan untuk meruntuhkan parti, ia adalah amaran demi keutuhan parti pada masa depan.
Kempen itu meniadi sejarah “politik jengkel” dan Rafizi telah melontarkan pandangan atau resahnya mengenai masa depan parti. Apa yang sangat mudah dijual ialah nepotisme dalam tubuh PKR. Mesej yang dijual itu masih diperkatakan dalam media sosial sehingga makna MADANI membawa maksud Ma (Wan Azizah), DA (daddy, Anwar Ibrahim) dan NI (Nurul Izzah). Pada sebahagian masyarakat, isu itu seolah-olah mengesahkan dakwaan yang sudah lama dikenakan ke atas parti, yakni lebih utamakan ahli keluarga sendiri manakala yang lainnya sekadar batu loncatan, atau alat yang boleh dipergunakan.
Ertinya, walaupun kemenangan Nurul Izzah merupakan pilihan perwakilan, sedikit sebanyak emosi (hubungan) anak Presiden ikut menjadi faktor memperoleh undi 9,803 undi. Ungkapan Rafizi ada kebenarannya, walaupun ia adalah angkubah berkait, kalau bukan puteri Anwar, tentu Nurul tidak boleh menang. Hubungan itu membawa makna, PKR akhirnya terus dikuasai oleh satu keluarga di peringkat tertinggi. Sebab itu, kata Rafizi beliau tidak mahu bermuka-muka, ia kekal dengan prinsipnya untuk menegur dan bersedia berkorban atas nama prinsip. Beliau tidak bersedia hanyut dalam sandiwara kuasa.
Itulah Rafizi. Itulah Pakar Formula yang sudah longlai di saat-saat pemilihan yang kebetulan berlaku di awal “musim candat sotong”. Sotong tercandat, dan akhirnya Rafizi hiburkan hati sendiri dengan berkata, “saya lega dengan kekalahan tersebut”, saya ada lebih banyak masa dan tidak lagi sibuk menguruskan parti. Presiden tidak boleh lagi mengarahkannya untuk berprestasi, memikirkan strategi, meneruskan kerjasama dengan mana-mana gabungan, dan menjalankan tugas yang diarahkan oleh presiden tatkala presiden sibuk dengan urusan pentadbiran negara. Kita tahu, kadangkala keputusan Presiden tidak disenangi, tetapi sebagai Timbalan Presiden haru mempertahankan keputusan itu menjadi “popular will”. Tugas mengamankan ahli parti dan harmonikan pandangan bukan perkara mudah. Tugas itu kini adalah tanggungjawab paling premier, yang wajib digalas oleh Puteri Reformasi.
Tanggungjawab itu akan dibebankan kepada Nurul Izzah, dengan harapan idealisme dan program parti tidak hilang arah. Nurul Izzah perlu melaksanakan tanggungjawab itu sesegera mungkin, kerana ikut apa yang Rafizi perlihatkan, ia sudah melepaskannya. Khabarnya, Nurul ikut mengajak Rafizi untuk membantu. Setakat ini, Rafizi agak cuak atau enggan kerana masih merajuk di atas kekalahannya dalam situasi padang yang tidak sama rata.
Masyarakat sedang menunggu apa langkah Rafizi selanjutnya. Namun, sebagai Timbalan Presiden baharu, Nurul Izzah perlu memberikan penerangan dan pemahaman yang jelas, kemenangannya bukan atas nepotisme. Jika kepimpinan parti gagal menanganinya, ia akan menjadi lebih kuat dengungnya menjelang PRU ke-16. Masanya tidaklah sangat panjang, hanya berbaki dua tahun setengah sahaja lagi.
Dalam masa yang sama, biarpun seruan sudah dimulakan agar seluruh ahli parti kembali bersatu, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk Nurul Izzah rencanakan. Ia tidak semudah mengatur kenduri kesyukuran atau meraikan kemenangan. Sebabnya, dalam keraian begitu, mereka yang hadir tentulah penyokong sendiri, yang kadangkala cukup “bermuka-muka”. Penyokong “di pihak lawan” akan menjarakkan diri sementara waktu, kerana rasa sedih di atas kekalahan dan penjanaan isu sepanjang kempen sekitar dua minggu itu masih belum dapat dipendamkan begitu mudah.
Ada kecenderungan lain yang mungkin berlaku, Rafizi akan mengambil keputusan untuk tidak campur tangan dalam urusan parti selepas kekalahannya. Tindakan awal Rafizi ialah meninggalkan hari terakhir Kongres, tanpa bersama perwakilan dalam acara penamat sehingga ada visual ketika bersalaman dengan Presiden pun ada tanda “tidak mesra”. Bahasa badan tidak dapat berbohong, walaupun mulut berkata lain.
Jika “masam muka” terus terjadi, ia akan memberi kesan kepada parti.
Ini akan dapat dilihat peranan antara kedua-dua tokoh yang lahir melalui agenda reformasi itu pada perencanaan Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN 17) yang akan berlangsung pada tahun ini. Jika kedua-duanya masih boleh saling membantu, ia tidak akan menjadi masalah buat PKR. Buat masa ini, kerana kedudukan parti itu di Sabah kurang menyerlah.
Dalam menghadapi PRU 16, PKR sangat perlu penyatuan dalaman parti dan Nurul Izzah diharap dapat menggalas tanggungjawab tersebut. Ini penting, jika pertautan kembali tidak dapat dibentuk, ia akan menyebabkan parti semakin berpecah biarpun kemungkinan ahli isytihar keluar parti tidak berlaku.
Pengalaman Langkah Sheraton patut dijadikan asas kepada penyatuan semula parti. Langkah Sheraton telah membawa kesan besar perpecahan, lebih 10 orang wakil rakyat PKR melompat sehingga Anwar menggelarkan mereka sebagai “pengkhianat”. Setakat ini, Zuraida Kamarudin yang disaman, tetapi belum bersedia membayar denda yang dikenakan akibat keluar parti (RM 10 juta). Biarpun keputusan awal sudah ada, keputusan rayuannya masih belum selesai.
Kalau dilihat daripada sejarah, akibat perebutan jawatan dalam parti telah menyebabkan berlakunya perpecahan. PAS yang bertekad untuk kembali kepada kepimpinan ulama, menyebabkan bukan ulama tidak mendapat tempat dan akhirnya menubuhkan Parti Amanah Nasional. Begitu juga dengan UMNO, menyebabkan tertubuhnya Semangat ’46. Lazimnya, perpecahan parti disebabkan oleh perebutan kuasa selain didakwa telah terpesong daripada perjuangan parti.
Jika kelompok penyokong Rafizi boleh menerima kekalahan tersebut secara berhemah, mereka akan kembali bergiat semula dalam parti. Bagi Rafizi, setakat ini belum ada tanda bahawa beliau akan meninggalkan parti, sebaliknya ingin terus menyumbang dan bergiat sebagai “orang bawah” yang cekal bercekak.
Akhirnya, apakah kemenangan besar Nurul Izzah ini dapat melemahkan tiupan gelombang nepotisme dalam parti yang mungkin akan menjadi peluru yang boleh dijual menjelang PRU 16. Kalau sekarang istilah madani telah dijual dan dibuat tafsiran yang berbeza, maka nepotisme juga boleh mewarnakan proses politik dalam PKR. Parti-parti lawan akan terus berhujah dan sebelum hujah itu berkembang, kepimpinan PKR perlu membuktikan pemilihan Nurul Izzah adalah tepat, bukan kerana hubungannya dengan presiden parti.
Ramai yang tahu, Nurul Izzah adalah tokoh muda yang kental dalam perjuangannya. Namun, Nurul Izzah juga ada kelemahannya, maka ia perlu ditimbus melalui keberhasilannya sebagai Timbalan Presiden yang baharu dipilih. Nurul wajar menunjukkan langkah yang profesional dalam membantu ayahnya memperkuatkan prestasi parti.
Dinamisme politiknya perlu dibuktikan dengan jelas sebelum dilihat sumbang dan kabur, yakni tatkala godaan perpecahan parti mula berjejak. Paling segera diperlukan ialah menimbuskan jurang strategik yang ditinggalkan oleh Rafizi manakala Nurul Izzah perlu menjadi seorang yang kuat dalam usaha merapatkan jurang yang sudah berjarak.
KAMARUN KH
Recent Comments