Pemilihan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal 2025-2028 sudah selesai. Menariknya dalam pemilihan kali ini, seorang pakar strategi yang seringkali melaksanakan aktiviti menghasut sejak mula terbabit dalam politik tewas di tangan seorang “Puteri Reformasi”.
Kekalahan itu adalah senario paling epik kerana hanya meraih satu pertiga daripada undi yang diperoleh pencabarnya. Ia lebih emosi berbanding ketika Rafizi menang dalam cabarannya tiga tahun lalu, iaitu menewaskan Saifudin Nasution Ismail yang mendapat jawatan tersebut selepas Azmin Ali keluar daripada PKR dan menyertai Bersatu.
Apa tidaknya, setelah enggan merasmikan sayap wanita dan AMK, Rafizi membawa hati yang lara meninggalkan hari terakhir Kongres PKR, yang berlangsung di Johor Baharu. Beliau pulang awal ke Kuala Lumpur, mungkin tidak mahu kesedihannya dilihat dan dirasai bersama oleh penyokong-penyokongnya.
Nurul Izzah peroleh 9,803 undi manakala Rafizi Ramli sekadar mampu tengok dengan 3,866 undi. Majoriti undi hampir 6,000. Ia jelas membuktikan masa gagah Rafizi sudah berlalu, dan beliau pernah memikirkan untuk berundur..harap kali ini, jika beliau berundur tidak lagi macam biskut “oreo”. Kekal dengan usahanya yang lain, termasuk menjadi peramal politik berdasarkan kepintaran data raya, dan seterusnya kepintaran buatan (AI).
Sejarah menunjukkan, Raja Formula dan Puteri Reformasi adalah orang yang banyak mewarnai perjalanan dan budaya politik PKR sejak kemunculan kedua-duanya. Rafizi Ramli menjadi ikon kempen yang cukup retorik dan kadangkala subversif dengan kebolehannya menyelongkar dan “ambush” maklumat sulit sehingga suasana politik menjadi sangat “kelam kabut” akibat penerobosan persepsi awam. Ingatan kita kembali kepada perihal “aliran tunai TH”, skandal Feedlot, formula debat minyak (2007), cincin berlian dan sebagainya.
Nurul Izzah, puteri sulong PMX adalah calon yang cukup ikonik di Parlimen Lembah Pantai setelah beliau dilihat cukup cepat meraih sokongan ketika mengalihkan sesuatu program atau hal yang berlaku di Lembah Pantai. Fenomena kebangkitan Puteri Reformasi berlaku dengan cukup kuat menjelang PRU ke-12 (2008).
Bagi setengah orang, Nurul Izzah juga dikenali sebagai “Puteri Tenggek” apabila ligat ber-tweet (kini X) dengan bertenggek apa aktiviti yang sudah dilakukan oleh calon BN. Beliau berjaya mengalahkan calon pilihan BN, seorang teknokrat yang dibawa masuk ke dalam politik, Raja Nong Chik. Raja Nong Chik sebelumnya dilantik sebagai seorang menteri kabinet.
Rafizi bermula sebagai calon Parlimen Pandan, yang cukup lama dikuasai oleh UMN0/BN. Beliau berjaya menewaskan calon BN pada PRU ke-12 (2008). PRU ke-12 menjadi titik permulaan kejatuhan BN dalam bakul kuasa politik sebagai pemerintah sejak PRU awal sebelum merdeka (1955) dan PRU pertama selepas merdeka (1959). Sebelum 2004, Parlimen Pandan berada dalam Parlimen Ampang. Ia dipertandingkan sebagai dua, Pandan dan Ampang Jaya pada PRU ke-11 (2004).
Pandan juga menjadi kawasan panas selepas berlakunya perpecahan politik yang membabitkan UMNO (1987). Tahun 1989 (28 Januari 1989), UMNO diharamkan dan akhirnya ditubuhkan UMNO (Baru). Penyokong-penyokong Team B tidak dibenarkan menyertai UMNO (Baru).
Dalam PRK tahun 1989 (Ampang Jaya), muncul pertandingan melawan calon BN daripada Bebas, yang selepasnya menjadi Parti Melayu semangat ’46 (diluluskan penubuhan pada Jun 1989). Bagaimanapun, BN (diwakili oleh Ong Tee Kiat, MCA) mengekalkan legasinya.
Waktu itu, saya ingat pada kata-kata Datuk Harun Idris, calon Bebas dan bekas Ketua Pemuda UMNO serta MB Selangor), kehebatan kempen BN memang tidak mampu ditandingi oleh Bebas, termasuk malam-malam dipenuhi persembahan pentas oleh agensi kerajaan yang membantu kempen BN, sebagai tindakan menghalang aktiviti kempen Bebas di kawasan berkenaan.
Persembahan pentas berjaya menarik minat khalayak sehingga aktiviti kempen bebas kekurangan khalayak walhal ketika itu masih hebat kemarahan sebahagian orang Melayu terhadap kepimpinan baharu UMNO (Team A).
Ketika Rafizi muncul sebagai “antagonis politik”, beliau cukup bertenaga dan berstrategi untuk menggelarkan dirinya sebagai “penghasut” dan akhirnya pada PRU ke-12 memenangi. Rafizi pernah bertanggungjawab sebagai penasihat ekonomi Selangor. Beliau meletakkan jawatan kemudiannya apabila muncul konflik dengan MB Selangor ketika itu, Azmin Ali. Khabarnya, atas alasan MB Selangor tidak menyediakan bajet pilihan raya yang mencukupi untuk dana kempen PKR.
Azmin dan Rafizi merupakan dua pahlawan PKR ketika merencanakan PRK DUN Kajang sebagai memenuhi misi Anwar untuk menguasai politik Selangor, walaupun PKR sudah berkuasa. Ilham itu datangnya daripada perkembangan yang berlaku di Indonesia (kemenangan Jokowi), Turki (kini Turkiye, kisah kemenangan Tayyib Erdogan) dan kemenangan Au Sang Suu Ki (pejuang demokrasi) Myanmar.
Khabarnya, Anwar berhasrat mengambil alih pimpinan pusat dengan bergerak melalui Negeri Selangor dan dimulakan dengan Langkah Kajang. Langkah Kajang hadir selepas Road to Putrajaya (2008) gagal.
Sebelum PRU ke-15, Nurul dan Rafizi cukup dihormati pandangannya apabila menyatakan bahawa PKR memerlukan dua penggal sebelum boleh berkuasa. Namun, kisahnya cukup berbeza apabila selepas PRU tersebut, tertubuhnya kerajaan melalui kesepakatan (kerjasama) politik yang membabitkan lawan.
Episod “No Anwar No DAP” dikecualikan apabila BN dipelawa untuk membentuk kerajaan menerusi kerajaan perpaduan biarpun ada luka sejarah yang sangat mendalam. Tapi, ia dianggap sebagai bola tanggung. PN giat melakukannya, namun tidak berjaya.
Akibatnya, berlaku konflik dari dalam BN, khususnya UMNO sehingga sekarang. BN hanya mempunyai 30 kerusi, di mana UMNO menguasai 26, suatu kedudukan yang terburuk dalam sejarahnya sejak muncul pada tahun 1946 (11 Februari 1946). Tahun 2018 menjadi petanda terburuk selepas 2008. Dalam usia 77 tahun UMNO mula menunjukkan keusangan kuasa dan proses peremajaan parti tidak menjadi.
Tahun 2008, walaupun tewas di empat buah negeri, BN masih berkuasa di peringkat pusat. Tahun 2018, BN hilang kuasa dan hanya kembali berkuasa sebahagiannya setelah Langkah Sheraton (22 Februari 2020). Sejak itu, BN atau UMNO dianggap sebagai penumpang kapal kuasa, dan menunggu masa untuk ditalkinkan sepenuhnya. UMNO diibarat sebagai parti yang dipunyai oleh mereka yang alami masalah strok
Namun gambaran itu sedikit berubah, sebaliknya PKR mula dilanda konflik dalaman apabila Nurul Izzah mendapat 200 daripada 222 pencalonan (cabang atau bahagian) di seluruh negara. Apatah lagi petunjuk yang sangat jelas ialah apabila sebelumnya “geng Rafizi” dilaporkan tewas diperingkat pemilihan bahagian. Misalnya, Nik Azmi di Setiawangsa.
Nik Azmi adalah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan Naib Presiden PKR. Nik Nazmi Nik Ahmad juga tewas mempertahankan jawatan Naib Presiden. Calon terbaharu yang menang ialah MP Sungai Buloh (bekas pemimpin MIC), Ramanan Ramakrishnan (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi), yang menjadi salah seorang sasaran kritikan Rafizi.
Kekalahan itu menunjukkan sedikit geruh awal kepada Rafizi, yang sebelumnya dikatakan bercuti lama dan tersebar dakwaan akan mengundi kan diri daripada kabinet. Nurul Izzah mengatakan sebab “kekosongan” itulah beliau menawarkan diri bertanding, walaupun akan terus dihumban dengan isu nepotisme.
Nepotisme turut menjadi salah isu kempen HIRUK (Himpunan Idealisme Reformasi untuk Ujian Kuasa). Nepotisme didakwa kerana Puteri Reformasi itu adalah anak kepada Presiden PKR yang menang tanpa saingan.
Persoalan Nepotisme pernah menjadi isu yang besar dalam UMNO dan juga DAP pada suatu ketika. Walaupun ada perkiraan yang sama berlaku dalam PAS, ianya tidak serius dilihat oleh banyak orang.
Isu nepotisme dalam PKR bukan perkara baharu. Isu ini sudah lama dimainkan kerana ada tiga watak utama yang mengawal parti (bapa, isteri dan anak). Apabila Rafizi tidak bertanding pada PRU ke-14 (2018), tempatnya digantikan oleh Wan Azizah, isteri Presiden PKR yang pernah tidak dipersetujui sebagai MB Selangor dalam saga politik Langkah Kajang.
Pada PRU ke-15, Rafizi kembali semula dengan azam untuk membantu kemunculan semula politik Anwar Ibrahim setelah gagal dilantik sebagai PM akibat permainan politik Tu Dr Mahathir selama 22 bulan dan kemudian muncul isu “No Anwar No DAP” selepas UMNO menerajui politik kerjasama (2021) akibat tekanan ke atas Muhyiddin. Muhyiddin menggunakan pemasyhuran darurat sebagai “penyambung nyawa” setelah muncul gerakan menolaknya, atau mempersoalkan sokongan majoriti yang diraihnya. Beliau enggan membuka Sidang Dewan Rakyat setelah sedar kedudukannya sebagai PM ke-8 tergugat.
Sepanjang kempen HIRUK banyak isu tengah didedahkan oleh “penghasut dari dalam” itu sehingga menjadikan kempen pemilihan seumpama kempen lawan parti yang saling bermusuhan. Hal ini sepatutnya tidak berlaku, kerana apa yang dilihat oleh orang awam ia sekadar “kocak dalam cawan”. Ia seolah-olah tidak pernah lenyap daripada sejarah, baik sejarah perebutan jawatan dalam UMNO, MCA, mahupun PKR.
Suatu ketika, Anwar menggunakan “tekanan” dalam pemilihan kepimpinan parti sehingga Azmin Ali kecil hati, yakni mencabar kedudukan Wan Azizah sebagai Presiden PKR. Sebelumnya, Anwar pernah memberikan senarai calon yang wajib dipertimbangkan sebagai pilihan sehingga Mustapha Kamil Ayub rasa terkucil. Azmin akhirnya akur, dan hanya kekal sebagai Timbalan Presiden untuk beberapa ketika.
Azmin melihat suatu lagi masalah, apabila Dr Mahathir melaksanakan peralihan kuasa, kedudukan politiknya akan terkembiri. Asasnya, beliau menjadi calon pilihan Sultan Selangor dan juga dipersetujui oleh PAS. Ia muncul setelah Wan Azizah tidak mendapat perkenan Sultan Selangor.
Kedua, Azmin bukan calon pilihan kepimpinan PKR untuk jawatan menteri. Namun, Tun Dr Mahathir menggunakan prerogatifnya melantik Azmin sebagai Menteri Ekonomi, walhal ketika Azmin adalah MB Selangor. Kedudukannya dalam kabinet dilihat cukup kuat, dan mampu mendesak agar tidak segera melakukan peralihan kuasa.
Peralihan kuasa hendaklah dibuat selepas PRU ke-15, bukan sebelumnya. Sekiranya PH menang PRU ke-15, pada saat itulah peralihan kuasa yang dituntut oleh Otai Reformasi dimuktamadkan.
Ia tidak cukup kuat, desakan lebih cepat bermunculan sehinggalah Azmin merancang pemuafakatan politik yang lain melalui Langkah Sheraton.
Azmi sedar, jika sebelum tamat penggal peralihan kuasa berlaku, kedudukannya sudah tentu seumpama “kucing kurap” dalam PKR. Sebab itulah Azmin sanggup menjadi “pengkhianat” dan menggelonsorkan peluang Anwar. Selepas itu, Rafizi kembali muncul untuk membantu Anwar dan memperkuatkan PKR yang berpecah. Rafizi dianggap sebagai salah satu faktor yang boleh memperkuatkan kembali stamina parti, seolah-olah menawarkan tonik ajaib buat PH.
Semuanya dilihat secara sinis dan kadangkala lucu oleh masyarakat awam setelah lebih dua tahun di berikan jawatan dalam kabinet, belum muncul formula magis daripada Pakar Formula yang cukup terkenal dalam perkiraan “hari ini kita menang, esok harga minyak turun”. Kemuncaknya ialah debat yang disiarkan secara langsung oleh RTM antara Anwar Ibrahim dan Ahmad Sabery Chik.
Khabarnya, formula magik itu dibentuk berdasarkan pengalamannya sebagai akauntan di Petronas, dengan mengambil sedikit keuntungan tersebut, dimasukkan sebagai “subsidi” maka minyak akan kekal murah. Setelah dilantik sebagai Menteri Ekonomi, Rafizi hanya mampu berkata, formula lama itu berdasarkan faktor atau persekitaran yang lama, tidak lagi relevan dengan harga minyak dunia masa kini.
Sejak itu, imej Rafizi cukup tersandung dengan formula magik yang tidak pernah mampu dibentuknya sebagai program realistik. Awalnya, Rafizi turut diserang dengan kisah “prinsip keanjalan”; harga ayam mahal jangan makan ayam. Ia sama “bodoh”nya dengan cadangan yang pernah dibangkitkan oleh salah seorang anggota kabinet BN sebelumnya.
Rafizi juga terbengkalai dengan projek PADU, yang akhirnya membawa suatu kitaran lain imejnya sebagai seorang Pakar Formula yang gagal. Rafizi bukan sahaja bingung dengan retorik ciptaannya sendiri. Kebingungan itu cukup terserlah dengan tindakannya selepas mendapat indikasi “boleh dikalahkan” pada pemilihan kali ini, apatah lagi yang mencabarnya adalah Puteri Reformasi.
Ketika ini, Puteri Reformasi tidak bergelar wakil rakyat. Puteri Reformasi tewas mempertahankan kerusi legasi keluarga sejak 1972, Permatang Pauh. Anwar pertama kali bertanding di Permatang Pauh 1982, kemudian selepas disabitkan dengan salah guna kuasa dalam saga Liwat I, kerusi tersebut diserahkan kepada Wan Azizah, isterinya.
Selepas selesai tempoh larangan (Perhimpunan Raksaksa Rakyat di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baharu, Kuala Lumpur, 14 April 2008), kerusi tersebut dikosongkan untuk membolehkan Anwar kembali semula berpolitik. Diadakan PRK para bulan Ogos 2008, yang terkenal dengan impian Road to Putrajaya dan “tukar kerajaan” pada 16 September 2008.
Ironinya, sepanjang HIRUK yang dianjurkan oleh Raja Formula kita tidak ketemukan apa-apa lagi formula magis yang dicanangkan. Mungkin Rafizi mula sedar diri, setiap percakapan dan pandangannya tidak lagi mampu “menyihirkan” khalayaknya, dan ada ketikanya disambut dengan boo.
Dalam kalangan ahli PKR, ada di antaranya mula melihat Rafizi sebagai “bagasi” yang sangat berat. Oleh kerana itu, ketika inilah masa terbaik bagi menghilangkan sedikit sebanyak beban tersebut kerana sepanjang lebih dua tahun sebagai Menteri Ekonomi, tiada formula “angsa emas” yang berjaya diprogramkan. Pada hari akhir Kongres PKR, Rafizi tidak muncul dan ketika dicadang merasmikan dua sayap parti -wanita dan angkatan muda- Rafizi dengan tegas menolaknya.
Apa yang hadir hanya sekadar bermain dengan “keajaiban angka”, yang mengingatkan sebahagian daripada kita dengan sebuah idea “use and abuse of statistic”. Rafizi pernah berjaya menimbulkan persepsi melalui INVOKE, sebagai manipulasi data raya terhadap sokongan para pengundi pada suatu ketika.
Kini, semuanya tidak lagi dipercayai, kecenderungan netizen mula beralih akibat kecewa formula subsidi bersasar dan kenaikan hutang langsung negara. Tetapi apakah maksud Rafizi ketika mengulas kekalahannya sebagai “rasa lega daripada sandiwara kuasa dan politik di peringkat tinggi” kerana “saya tidak pandai bermuka-muka?”. Apakah dalam PKR semakin membiak budaya bodek? Akibat bodek itulah munculnya budaya “bermuka-muka”.
Ramai yang beranggapan, kekalahan Rafizi kali ini akan memberikan suatu indikasi yang cukup penting, bahawa politik tidak memerlukan seseorang yang dianggap pakar dalam permainan retorik, tetapi lebih tertumpu kepada siapa sebenarnya lebih dinamik pemikiran dan tindakannya.
Setakat ini, Puteri Reformasi dilihat cukup terserlah berbanding Raja Formula. Apakah dengan kemenangan ini akan ada perubahan atau reformasi ke atas jawatan Timbalan Presiden?
Rakyat menunggu apa seterusnya akan berlaku. Apakah Rafizi akan meletakkan jawatan dalam Kabinet akibat kekalahan tersebut? Atau, PMX akan merombak kabinet bagi memenuhi asas kedudukan dalam parti sebagai menyertai kabinet? Apakah nanti Rafizi akan terus menjadi penjaga paling baik untuk kucing-kucingnya?
Inilah perhitungan sebahagian orang awam di atas tewasnya Raja Formula.
KAMARUN KH
Recent Comments