Destini politik Malaysia adalah betul. Konsep Raja Perlembagaan membawa maksud, Yang di Pertuan Agong (YDPA) ada kuasa penentu atau dikenali sebagai “budi bicara” melantik seseorang pemimpin untuk menguruskan pentadbiran negara. Ia bermakna, YDPA di peringkat persekutuan boleh untuk setuju atau tidak setuju dengan keputusan yang dicadangkan oleh sesebuah parti yang melepasi majoriti mudah dalam sistem demokrasi.

Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin dilihat sedang memasuki simpang yang salah apabila berkata Raja atau Sultan boleh menyatukan parti-parti Melayu. Sebelumnya, tidak melihat institusi itu sebagai lambang penyatuan, kerana berkhayal “cukup majoriti”. Atau apakah itu realiti politik yang sedang dihadapi oleh Bersatu, “berpatah balik” selepas tersesat semasa sedang berkubu?

Semua orang tahu, Raja atau Sultan adalah penjaga keistiadatan Melayu dan agama Islam, juga payung negara. Walaupun sesebuah parti itu menang secara sah, ia belum boleh membentuk kerajaan tanpa perkenanan Yang di Pertuan Agung di peringkat pusat dan Raja atau Sultan (atau TYT)di peringkat negeri. Contohnya, selepas PRU ke-12 (2008), DAP yang menang besar di Perak tidak diperkenankan membentuk kerajaan sehingga digantikan oleh calon PAS yang mendapat kerusi lebih kecil.

Ada syarat tertentu dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. DAP membawa kes itu ke Mahkamah, namun kalah. Sultan Perak ada budi bicaranya, dan kuasa budi bicara itu tidak dapat dipersoalkan. Walaupun wakil rakyat PAS menjadi MB Perak sekitar 11 bulan (sehingga Februari 2009), DAP perlu mencari calon Melayu-Islam di negeri-negeri yang ada Raja atau Sultan, jika ia mahu membentuk kerajaan di negeri-negeri beraja. Pulau Pinang boleh menerima calon MB yang bukan Melayu-Islam. Begitu juga di Sabah.

Keputusan PRU ke-15 tidak ada mana-mana gabungan atau parti yang mencapai keputusan majoriti mudah. Dewan Rakyat berada dalam situasi tergantung dan kerajaan tidak dapat ditubuhkan. Yang di Pertuan Agong mencadangkan agar semua parti-parti bersatu bagi membentuk sebuah kerajaan yang kuat (tanpa pembangkang), menyelesaikan situasi tersebut. Ia juga membawa titah sebagai sebuah kerajaan kuat dan stabil. Perikatan Nasional (PN) tidak bersetuju. Ada dua sebab kenapa PN tidak bersetuju.

Pertama, sebab penyatuan parti-parti itu tidak meletakkan Muhyidin sebagai ketua perbincangan. Bagi PN, mereka mungkin bersetuju sekiranya Muhyiddin menjadi tokoh utama dan dengan itu, jika berjaya, Muhyiddin adalah PM ke-10.

Selain itu, PN akan mendominasi pembentukan kabinet sebagaimana Muhyiddin lakukan ketika dilantik sebagai PM ke-8 selepas Langkah Sheraton. Waktu itu, secara jelasnya Bersatu tidak ada kerusi yang besar jika tidak diambil kira “katak politik”. PRU ke-14, Bersatu hanya menang 13 kerusi tetapi diberikan jawatan PM setelah berjaya membentuk kompromi politik dengan gabungan PKR-DAP dan Amanah menubuhkan Pakatan Harapan (PH). Presiden Putera, Datuk Ibrahim mengatakan, Bersatu adalah parti yang dipenuhi oleh “katak”.

Langkah Sheraton menyebabkan PKR dan Bersatu berpecah. Sebelumnya, UMNO/BN yang menerima pasah selepas tidak lagi berada dalam kerajaan. Untuk membolehkan dibentuk kerajaan menggantikan PH yang berkuasa selama 22 bulan, pecahan Bersatu dan PKR bekerjasama dengan UMNO dan PAS, yang ketika itu menjadi pembangkang di Dewan Rakyat.

PAS ada 18 manakala BN sebanyak 42 kerusi. Bersatu meraih kedudukan yang baik setelah menerima katak politik yang melompat daripada PKR dan BN. PN membentuk kerajaan dengan sokongan 115 wakil rakyat (PN 51, BN 42, GPS 18, PBS 1 dan Bebas 3). Ertinya, kerajaan PN mudah goyah. Sekiranya PAS atau BN mengubah keputusan, kerajaan PN akan tumbang dan inilah yang berlaku apabila BN menarik sokongan selepas 17 bulan berkuasa. Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan dan jawatan PM ke-9 disandang oleh Ismail Sabry Yaacob.

Kedua, dari segi kedudukan kerusi gandingan PN menguasai 82 kerusi manakala keperluan majoriti mudah ialah 112. Muhyiddin menggunakan Akaun Bersumpah (SD) untuk membuktikan dirinya ada sokongan majoriti. Namun, Muhyiddin agak terlupa dan kembali dibuai oleh “kenangan lama”, ia sudah cukup untuk membolehkan PN membentuk kerajaan.

Muhyiddin terlupa ada undang-undang yang mengikat, undang-undang itu diluluskan sebelum PRU ke-15, Akta Anti-Lompat Parti (2022). Dengan jelas menyatakan sokongan individu terhadap sesebuah gabungan tidak sah, sebaliknya sokongan daripada pucuk pimpinan parti akan diterima. Angan-angannya musnah, pelamin di kayangan terjatuh oleh tarikan graviti.

Akibat tersepit itulah Muhyiddin mengambil keputusan menolak dan berikrar kekal sebagai pembangkang. Ini jelas membuktikan bahawa PN sebenarnya menolak kerjasama dan penyatuan, maka adalah cukup ironi apabila mengharapkan Raja atau Sultan menyatukan parti-parti politik Melayu, ketika ini.

Mengapa Hamzah Zainudin, Timbalan Presiden Bersatu berkata demikian? Antaranya kerana idea asalnya telah disanggah oleh Presiden Bersatu. Awalnya Hamzah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO sebagai usaha menyatukan politik Melayu.

Muhyiddin menolak dengan berkata, tidak ada sebab perlu bubarkan Bersatu dan kembali kepada UMNO. Bersatu adalah parti yang sah dan bukan serpihan UMNO. Setelah tertubuhnya Bersatu, parti itu masih belum mampu menggantikan UMNO sebagaimana diidam-idamkan. Sebab itu, warna korporat parti dan perlembagaan parti asalnya diceduk daripada UMNO. PN turut mencedok idea BN. Ertinya, tidak ada originaliti parti Bersatu.

Hamzah sedar, cadangan tersebut akan ada reaksi pro dan kontra. Bagi sesetengah pemerhati politik, cadangan itu membawa makna PN dalam keadaan “tidak mesra” dan berada dalam kebimbangan besar pada PRU ke-16, setelah mendapat petunjuk kecil daripada beberapa kekalahan PRK. Sedang merasakan ketidakselesaan dan terhimpit dengan budaya politik PAS yang terkenal tidak ada setiakawan.

Hanya berkawan ketika perlu, selepas merasakan tidak ada “untung” akan diambil dengan pelbagai alasan. Sejarahnya, ketika perlu dan berkawan, sanggup “cium mulut” tapi selepas ketika, dikatakan parti atau orang yang diciumi itu berbau busuk.

Calon Bersatu tewas di DUN Kuala Kubu Baharu dan Pulai. PAS hanya menang di Kemaman, Kuala Terengganu dan DUN Sungai Bakap tetapi kandas di DUN Pelangai (Pahang), Nenggiri (Kelantan), Simpang Jeram (Johor) dan Ayer Kuning (Perak). Bersatu gagal dalam percubaan untuk memerintah Selangor (PRN). Sehingga kini, Bersatu tidak ada negeri yang dikuasainya, bahkan pengundi Johor mula menunjukkan sokongan terhadap Bersatu semakin menipis.

Dalam percaturan politik, imej Bersatu dalam PN semakin pudar berdasarkan beberapa tingkah laku politik PAS, mengungkapkan kata-kata sinis dan rasa sombong serta protes kecil. Ia menjadi cukup signifikan apabila MB Terengganu, yang ditonjolkan oleh PAS sebagai “calon PM” tidak direstui oleh Bersatu. Akhirnya Dr Samsuri meletakkan jawatan dalam gabungan tersebut.

Muhyiddin masih bermimpi untuk kembali ke jawatan PM. Lantaran itu, setelah memenangi kerusi Kemaman, MB Terengganu mula merasakan ada penghalangnya, hanya kekal sebagai Bendahari PN. Ada yang mengatakan, sepatutnya MB Terengganu dilantik sebagai Timbalan Presiden PN. Malangnya, ini tidak berlaku. Ia melebarkan sayap spekulasi, calon PAS tidak layak dicalonkan sebagai calon PM oleh PN. Untuk tidak dilihat kritikal, PAS membuat kenyataan siapa calon PM tidak menjadi keutamaan, keutamaan PN ialah dapat majoriti.

Bersatu pula berhadapan krisis dalaman. Berlaku sorong tarik, akhirnya Hamzah dilantik sebagai Timbalan Presiden dan Faizal Azumu (Peja) tidak mempertahankan kerusi itu. Cukup sekadar berada di posisi Naib Presiden. Faizal juga turut dipertikaikan kepimpinannya di Negeri Sembilan. Di Ayer Kuning, Peja dilihat terpejam. Sebelumnya sedikit terpejam dengan kelulusan daripada Edith Cowan University, akhirnya mengaku “tidak tamat belajar”.

Asasnya cukup kuat. Faizal bukan lagi wakil rakyat. Beliau tewas apabila Anwar berhasrat menghukum “pengkhianat”. Faizal melompat daripada PKR ke Bersatu untuk membolehkannya dilantik sebagai MB Perak, semasa kerajaan Perikatan Nasional. Faizal juga tidak ada hubungan akar umbi politik dengan Negeri Sembilan. Dari segi kekuatan politik, beliau tidaklah seberapa. Dengan memainkan isu ladang ternakan babi, Faizal atau Peja akhirnya ikut direjam oleh pengundi DUN Ayer Kuning bersama-sama parti PAS.

Sebab itulah semasa kempen di DUN Ayer Kuning, Faisal tidak terserlah dan mampu mempengaruhi pengundi. Bersatu dilihat lemah, aktiviti kempen hanya sekadar “fill in the blank”. Cukup minimum. Sebabnya, calon yang bertanding adalah calon PAS. Mungkin juga kerana terkesan dengan apa yang berlaku di PRK Nenggiri.

Bersatu terpaksa akur dengan kehendak PAS. Calon yang dikemukakan tidak memenuhi syarat. Ini bermakna PAS jadikan Bersatu seumpama boneka. PAS cadangkan calonnya, tetapi kerana terperangkap dengan janji, maka seorang aktivis PAS Gua Musang dikorbankan.

Diminta keluar PAS dan keesokannya diterima sebagai ahli Bersatu. Kelulusan dalam tempoh kurang sehari semalam (24 jam). Ia adalah sesuatu yang dilihat oleh orang awam, Bersatu tidak ada “kuasa pemutus”. Bersatu akur dengan kehendak PAS.

Di sisi lain, PAS meletakkan Anwar Musa sebagai Pengarah PRK Nenggiri. Khabarnya Anwar Musa akan menaja sebahagian perbelanjaan kempen PRK DUN Nenggiri. Pemilihannya sebagai percubaan mengimbangi kebolehan Tengku Razaleigh, seolah-olah melawan sifu. Rakyat Gua Musang tidaklah boleh diperbodohkan sebagaimana beliau berjaya memperbodohkan segelintir pemimpin PAS.

Pengundi melihat ia suatu bayang hitam yang akan terus berlarutan dalam PN. PAS akan terus mengenakan strategi untuk mendominasi. Setakat ini, PAS belum berjaya. Kegagalan itu akhirnya mencetuskan cadangan yang lain, termasuk cakap-cakap sedia bekerjasama semula dengan UMNO atas manhaj penyatuan kuasa politik Melayu-Islam. Seolah-olah berlaku kelembutan nada dalam situasi terdesak. Amplifying yang gagal dan sedang membingitkan ramai orang.

Sejak bilakah PAS mahu perjuangkan orang Melayu? Cukup ironi, kerana PAS pernah menyatakan secara terbuka, Melayu tidak penting dan tidak pernah berbangga dilahirkan sebagai orang Melayu. Bangga dilahirkan sebagai orang Islam. Mungkin ketika itu terlupa, orang Melayu secara perlembagaannya adalah beragama Islam. Kini, mula sedar walaupun bukan semua penganut Islam itu Melayu, tetapi semua Melayu adalah Islam. Untuk menarik sokongan bukan Melayu, PAS tidak pernah berjaya, walaupun dengan slogan PAS for All.

Pemimpin PAS terus bermain dengan syllogism dan falasi, memperjuangkan ideologi politik Islam. Setelah termakan sihir Tun Dr Mahathir, PAS akhirnya menerima perjuangan Melayu, yang suatu ketika dahulu dikecam sebagai assabiyyah.

Assabiyyah dilihat terlalu negatif, dengan harapan dapat menyaingi UMNO. Itulah juga menjadi natijah keluarnya pemimpin agama dalam UMNO untuk menubuhkan PAS sebelum merdeka. PAS lahir di Butterworth, Pulau Pinang, bukan lahir di Kelantan. Cawangan pertama di Kelantan ialah di Pasir Mas, yang diasaskan oleh Amaludin Darus, seorang penjawat awam yang dipindahkan daripada Kedah.

Tahun 1959, PAS menang PRU, lantas berjaya membentuk kerajaan di Kelantan. Akibat Tragedi 13 Mei 1969, Tun Razak mengambil inisiatif menyatukan seberapa banyak parti politik untuk menentang kemaraan pengaruh PAP dari Singapura yang melahirkan klonnya, DAP di Malaysia. DAP lahir selepas Singapura dikeluarkan daripada Malaysia.

Kini, DAP merupakan pemilik kerusi kedua terbanyak selepas PAS. Atas dasar itulah PAS terus memberikan tekanan dengan memburuk-burukkan DAP setelah menyedari semakin ramai anak muda Melayu menyertainya. Ia menjadi lebih merisaukan PAS apabila ada anak muda berpendidikan Islam ikut menyertai DAP. Langkah yang dilakukan ialah cuba kaitkan DAP dengan aktiviti Parti Komunis Malaya yang telah diharamkan. Ini menyebabkan salah seorang wakil rakyat terpaksa mencari derma untuk membayar saman fitnah yang dijatuhkan ke atasnya, RM 850,000.

Setelah “line of propaganda” itu tidak menjadi, PAS sedang meniupkan kebencian akibat cemburukan UMNO yang boleh bekerjasama dengan DAP. Mereka namakan kerjasama itu sebagai UMDAP. Secara rasminya, tidak ada UMDAP, yang ada hanyalah kerjasama dalam kesepakatan kerajaan Malaysia Madani. UMNO tidak pernah menyatakan kerjasama berkekalan dengan PH.

PN membawa naratif itu kerana stigma tidak bersetuju dengan DAP masih besar dalam kalangan orang Melayu, termasuk ahli UMNO sendiri. Dengan adu domba sebegitu, PAS harapkan lebih ramai orang Melayu akan menyokong PN, dan seterusnya menyertai mereka. Itulah agaknya yang difikirkan oleh Ketua Pemuda PAS, mengajak ahli UMNO yang mempertahankan perjuangan orang Melayu menyertai PAS.

Ia dilihat sebagai satu lagi dilema politik yang sedang berlaku. Bukan semua ahli UMNO yang kental semangat Melayu boleh bersimpati dengan PAS. Mereka juga tidak akan berempati dengan PAS kerana parti itu pernah menolak perjuangan Melayu dan nasib bukan ulama cukup tidak terjamin. Setiap kali bermasalah, PAS akan meniupkan semangat kepimpinan ulama. Itulah sebabnya kenapa golongan profesional tersingkir dan kemudiannya mengambil inisiatif menubuhkan Parti Amanah Nasional (Amanah).

Sebahagian profesional Melayu dan aktivis perjuangan Melayu tidak sanggup bersama PAS secara aktifnya, sesekali melahirkan rasa simpati. Itupun sekadar bermusim apabila BN dilihat tidak pedulikan kemaslahatan politik Melayu, sebaliknya lebih utamakan kroni. Itulah yang berlaku pada PRU ke-14 dan PRU ke-15. PRU ke-14, ia disimbah dengan pelbagai tema propaganda dan kebohongan yang dieksploitasikan oleh Tun Dr Mahathir dan konco-konconya. Isu 1MDB hingga kini belum selesai.

Untuk mendepani PRU ke-16 nampaknya Bersatu dan PAS cuba melakukan sihirnya agar UMNO berada dalam genggamannya. PAS dan Bersatu melihat sambil terkumat-kamit membaca mantera, kedudukan UMNO cukup lemah (dengan 26 kerusi parlimen). Walau bagaimanapun, mentera itu tidak menjadi, UMNO tidak berhasrat untuk memulangkan mantera itu kepada PAS.

UMNO membiarkan PAS, Bersatu dan Dr Mahathir membebel, apa yang pasti kerjasama dalam kerajaan Madani sudah terbukti mampu melonjakkan negara sekali lagi, bukan kembali kepada era PKP dan kemudian ditambah dengan darurat takut hilang sokongan. UMNO sedang membetulkan kesilapan, tetapi PAS terus membanggakan diri dengan sombong dan angkuh.

Di peringkat jentera parti, UMNO masih memilki aset yang besar dan tersusun. Bersatu belum berjaya menyainginya walaupun Muhyiddin berkata, jumlah kerusi Bersatu adalah lebih besar daripada UMNO sebelum wakil rakyatnya “menyokong PMX”. Secara jelasnya, jentera parti Bersatu belum kemas dan kadangkala hilang arah.

Sejak memilih jadi pembangkang, PN tidak pernah berhenti menyerang kerajaan Madani dengan pelbagai gelaran yang menjolok. Istilah Madani turut diberikan tafsiran negatif sebagai usaha propaganda, tetapi masih belum berjaya menumbangkan kerajaan pusat. Pada awalnya, ada yang membayangkan PMX akan tumbang sebelum mencapai tahap psikologi, 100 hari. Sebabnya, kerajaan perpaduan tidak menepati makna sebenar, dipenuhi muslihat dan perangkap.

Kemudian, dipanjangkan dalam tempoh setahun. Kini, sudah lebih dua tahun. Kerajaan Madani semakin diterima oleh rakyat Malaysia walaupun dunia sedang dilanda ketidaktentuan ekonomi, ekoran pembulian Donald Trump.

Pertumbuhan ekonomi negara berkembang sebanyak 5 peratus manakala nilai mata wang menunjukkan kadar tukaran yang lebih baik daripada paras terendahnya: satu dolar senilai RM 4.80. Biarpun ada peralihan operasi beberapa kilang (pelabur asing) dari Malaysia ke negara lain, ia tidak menjadi masalah besar kepada ekonomi. Jika berlaku pengangguran, ia dianggap dalam tempoh sementara. Masih banyak peluang kerja yang tersedia dan bakal diwujudkan. Sebahagian besar penganguran berlaku akibat terlalu memilih pekerjaan. Sebahagian besar pekerja datang daripada negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS.

Kelantan terkenal sebagai feeder, akibat PAS gagal menggerakkan ekonomi bertaraf industri. Puluhan ribu setahun anak-anak Kelantan menjadi perantau dan bekerja di Pulau Pinang, Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, selain Pahang dan Perak. Sebab itulah menjelang pilihan raya, PAS sibuk menyantuni perantau agar mereka pulang mengundi.

Tempoh PRU ke-15 sedang memasuki separuh penggal manakala PRN Sabah sedang hangat diperkatakan. Sebab itulah PN nampaknya sedang memikat BN bagi membolehkan mereka boleh bersaing di Sabah. PAS sudah lama mengimpikan “anak sulong” di Sabah manakala Bersatu sedang penasaran setelah wakil rakyatnya keluar parti dan menyertai Gagasan Rakyat Sabah (GRS).

Secara langsungnya, Bersatu sudah kehilangan pengaruh walaupun PRN Sabah yang lalu (2020) adalah kejayaan percaturan politik yang dilakukan oleh Bersatu. Hamzah Zainudin sudah menjadi lagenda PRN Sabah sebelumnya, tetapi status itu sudah dikuburkan apabila Bersatu semakin sukar bernafas di negeri bawah bayu itu. Sumandak pun dah bosan bila disebut nama Bersatu.

Bagi setengah pemerhati, nasib Bersatu sekarang sedang kelemasan oleh tindakan ahli-ahlinya sendiri selain direncanakan secara halus oleh PAS. Kerjasama PN mungkin tidak akan menjadi sesuatu yang benar-benar mencabar dalam PRU ke-16. Sebabnya, PAS terus mengingatkan Bersatu bahawa kedudukannya lebih kuat.

Atas sebab itu, Bersatu harus akur keputusan PAS jika Bersatu ingin kekal menumpang pengaruh PAS. Duku, PAS sertai Bersatu kerana diberikan ganjaran dan dalam PRU ke-15, Bersatu berbelanja besar. PAS ikut merasai kemewahan itu. Kini Bersatu mengikat perut, akaun masih dibekukan manakala Muhyidin sedang diadili pembabitannya dalam skandal Jana Wibawa.

Agaknya itulah simbolik yang dikatakan oleh Setiausaha Agong PAS secara tidak langsung untuk gambarkan berkenaan Bersatu. PAS ada kerusi lebih banyak. Walaupun secara zahirnya menjawab kenyataan Naib Presiden UMNO bahawa PAS sukar “move on” selepas berpisah dengan DAP. Masing-masing mahu “move in” dengan UMNO: PN sudah muktamad tidak akan bekerjasama dengan PH selagi ada DAP (kehendak Bersatu dan PAS; dan selagi ada Amanah (serpihan PAS).

Buy-out sudah tidak sesuai, kerana buy-in ternyata lebih besar untung jangka panjang. Itulah yang diraih oleh DAP, sedikit sebanyak “tuning” kebencian orang Melayu sudah berubah, boleh menerima DAP termasuk dalam kalangan anak muda berpendidikan agama.

Mengharapkan kerjasama dengan Pejuang, tidak akan memberikan kemenangan besar kerana Pejuang berada dalam keadaan nazak. Mengharapkan kerjasama dengan Putera, ia tidak dapat membantu kerana Putera pun tak mampu berlari, bertatih pun cukup sukar.

Namun, kata Muhyiddin, banyak lagi parti yang sedang bekerjasama dengan PN, tetapi kenyataan tersebut hanya sekadar “mengubat luka” sendiri; parti-parti baharu setakat ini belum muncul sebagai ‘kucah’ (rifles) yang boleh menghasilkan gelombang. Ia hanya sekadar gambaran suatu khayalan setelah bangunan akibat terjatuh katil beberapa kali. Jatuh katil kerana asyik bermimpi dan cemburu apa yang dimiliki oleh orang lain. Walaupun hati berkata “tidak cemburu”, hakikatnya cemburu buta sentiasa mekar dalam ucapan dan perilaku yang ditonjolkan setiap hari.

KAMARUN KH

Translate »