Ramai orang boleh setuju bahawa kemenangan UMNO/BN di Ayer Kuning kerana kekuatan pengaruhnya di situ. Tetapi ini tidak bermakna PAS tidak cemburu kerana kekalahan yang dialaminya jelas menunjukkan ideologi dan budaya politiknya ditolak oleh pengundi.
PAS kekal jumlah undi tetapi gagal menang walaupun “all-out” berkempen dengan menggunakan isu yang boleh menaikkan adrenalin orang Melayu-Islam. Pengundi Melayu dan bukan Melayu yang adrenalinnya baik masih boleh berfikir, matang membuat tindakan kerana tidak mahu tertipu dengan tawaran “merasai perubahan berwakil rakyat PAS,”.
Nasib malang buat PAS, orang Melayu lebih tahu sekilas ikan di air, ikannya adalah jenis buntal yang kembangkan perutnya bila disentuh. Nak di makan kena hati-hati, racun di dalam organnya cukup mematikan.
Kempennya berjaya dibaculkan dengan data, yang menyokong ladang babi ialah Pesuruhjaya PAS Perak sendiri. Ketika itu, adalah exco yang bertanggungjawab dalam kerajaan Perikatan Nasional di Perak, YB Razman Zakaria. Akhirnya, Faisal Azumu atau dipanggil Peja benar-benar terpejam, tidak lagi boleh menafikan. Ketika itu beliau adalah MB Perak, orang yang berkuasa meluluskan rencana tersebut.
Sayangnya, Takiyudin buat-buat lupa kemenangan BN di Nenggiri adalah kesilapan terbesar PAS yang berkepalakan bekas menteri UMNO yang sudah diputihkan. Beliau adalah Tan Sri Anuar Musa yang memang diketahui ramai cukup oportunis, banyak peroleh kekayaan semasa bersama UMNO. Setelah dipecat, menyertai PAS dan cuba bergaya seumpama seorang tokoh agama, walhal sebelumnya cukup bencikan PAS.
Nenggiri sebelumnya milik PN dan apabila wakil rakyatnya menyokong PMX, PN buat keputusan memecatnya. DUN Kelantan akhirnya cuba mengosongkan kerusi tersebut, maka PRK diadakan. PAS main silap mata, menolak semua senarai calon Bersatu atas alasan tidak cukup kriteria. Bersatu akur dengan syarat PAS.
Dicadangkan calon Bersatu yang dipaksa keluar PAS jadi calon. Pengundi Nenggiri menghukum tindakan itu, sehingga hampir keseluruhan Daerah Mengundi yang dimenangi PN dalam PRN lalu diraih semula oleh BN. PN cukup menyesal, strategi tidak menjadi dan berkhayallah seperti seorang perempuan kehilangan anak selepas bersalin.
Tidak siapa menafikan, jumlah kerusi PAS adalah yang terbanyak ketika ini, tetapi kita boleh pulangkan kata-kata sinis Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang menempelak DAP.
Apabila PH yang diketuai oleh Dr Mahathir “jatuh longkang”, Tuan Ibrahim perli DAP, yang ketika itu memiliki kerusi terbanyak tetapi tidak berada dalam kerajaan. Bagi beliau, PAS yang memiliki 18 kerusi “ada keajaiban”, berada dalam kerajaan. Boleh jawatan Menteri dan Timbalan Menteri.
Lagak sombongnya menyebabkan pemuafakatan yang dimeterai pada 14 September 2009 tercicir, sebabnya, seronok dapat jawatan dan terkesima dengan ajakan Muhyiddin, meletakkan Perikatan Nasional (PN).
Sekarang, kata-kata itu terkena ke muka PAS sendiri. Ada majal yang muncul, ada kerusi terbanyak tetapi tidak ada dalam kerajaan. Maknanya, kalau sebelum itu DAP dianggap “tidak berguna” sebab tidak ada dalam kerajaan. Kali ini, PAS lebih “tidak berguna” akibat menyingkirkan diri sendiri dengan bersetuju si kemaruk kuasa, Muhyiddin.
Pelawaan kerjasama ditolak, dan bertekad kekal sebagai pembangkang. Itulah keadaannya yang menyebabkan PN rebah terkangkang. Dipahatnya siang dan malam, rumah tidak juga runtuh. Nak ditebuk atap, tidak ada siapa yang sanggup memanjat bumbung, sebab bumbung dibina dengan kekuatan tetulang konkrit.
Jelaslah apa yang dikatakan oleh Takiyudin itu menggambarkan “pengubat luka sementara”, sekadar menutup resah dan lemas, PN semakin berhadapan dengan defisit keyakinan. PAS juga hilang masa depannya selagi mendokong dan bekerjasama Bersatu dan kekal dalam PN.
Bersatu sedang mereput dari dalam manakala Gerakan hilang rentak sebagai parti multi-etnik yang berpengaruh. Bersatu ketika ini berhadapan dengan rantai kemudi berkarat dan haluannya tidak kuat menghadapi ombak. Setiap kali cuba membelok, keriut bunyi rantai berkarat sangat kuat. Terpaksa berhati-hati agar tidak putus.
Akibat kedudukan itu, Bersatu timbulkan hasrat untuk bekerjasama dengan UMNO yang sebelum ini PAS berkeadaan seumpama benci tapi rindu. Bagaimanapun, PAS yang “malu-malu” buat kenyataan, ahli UMNO yang kental semangat Melayu-Islam boleh sertai PAS.
Soalnya, kenapa sertai PAS dan tidak pula mana-mana pejuang Melayu-Islam kembali ke pangkal jalan, sertai UMNO. UMNO lebih asal daripada PAS mahupun Bersatu. PAS dan Bersatu adalah serpihan UMNO.
Sejak bilakah PAS merasai perjuangan untuk Melayu, sedangkan sebelumnya mereka menolak UMNO kerana memperjuangkan semangat Melayu. Melayu tidak penting bagi PAS, sebabnya apa yang diperjuangkan oleh UMNO adalah asabiyah. Bahkan, ada pemimpinya tidak bangga jadi orang Melayu dan tidak pernah minta jadi Melayu, atau dilahirkan sebagai orang Melayu. Apa yang dibanggakan ialah Islam. Islam yang mana? Adakah Islam yang difahami oleh PAS? Bukankah Islam itu cara hidup yang ditetapkan?
Islam itu mengatasnamakan agama untuk tujuan politik. Golongan yang mengatasnamakan agama untuk tujuan politik, dalam sejarah Islam dipanggil Khawarij. Khawarij akan melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat politik, hatta membunuh sekalipun. Khawarij memang mahir mencipta fitnah dan menyebarkannya, tanpa rasa kesal akan dosa dan laknat Allah SWT. Tidak terkecuali dengan retorik, menolak PAS bererti menolak Islam.
Sebenarnya, Islam itu bukan PAS. Islam itu milik semua orang yang bersyahadah dengan dua kalimah syahadat dan yakin tiada tuhan selain Allah SWT, Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh-nya. Setiap orang Islam mengamalkan apa yang diperintah, tidak cenderung melakukan apa yang dilarang oleh-Nya, beribadat untuk meraih reda-Nya, al-Qur’an dan sunnah sebagai ikutan dan pedoman, bukan dalik dan fatwa politik, hari ini boleh, esoknya tidak boleh.
Alasannya, dulu DAP terima Islam tetapi hari ini, DAP tolak Islam. Kelmarin boleh makan setalam, tetapi hari ini, wajib dijauhkan. Kelmarin boleh bersama meraikan majlis keagamaan bukan Islam, hari ini tidak boleh kerana boleh menyesatkan. Ada banyak hiburan yang tidak sesuai disajikan, juga ada unsur pemujaan agama.
PAS muncul kerana terpengaruh dengan idealisme politik yang berlaku di Mesir. Manakala Bersatu muncul setelah Muhyiddin yang dipecat daripada UMNO bersekongkol dengan Tun Dr Mahathir. Tun Dr Mahathir pula angkuh apabila penggantinya berprestasi lebih baik dan tidak ikut kemahuannya.
Ada rasa cemburu dan tidak mahu orang lain lebih berjaya (berpengaruh) daripadanya. Setakat ini, Dr Mahathir merupakan pembuli tegar. Dia buli Tunku Abdul Rahman, dibulinya Tun Abdullah, Tun Hussein, Najib dan kini, sedang membuli Anwar Ibrahim.
Beliau kecewa bila Jambatan Bengkok tidak diteruskan oleh Tun Abdullah manakala Najib diserang kerana tidak menyediakan laluan untuk Mukhriz sebagai salah seorang Naib Presiden UMNO. Sekarang Anwar dibuli kerana Anwar adalah PM, yang sengaja direncatkan peluangnya pada tahun 1998.
Selepas PH menang, Mahathir mungkir janji, tidak mahu menyerahkan jawatan itu kepada Anwar yang sudah mendapat pengampunan penuh dan sah bergelar wakil rakyat. Akibatnya, Otai Reformasi memberikan tempoh akhirnya, cukup dua tahun.
Namun, kemelut muncul sebelumnya. Berlaku Langkah Sheraton dah akhirnya terbentuklah kata Haji Hadi, kerajaan tebuk atap. PAS kembali mendapat jawatan di peringkat pusat, setelah lebih 40 tahun terlepas (1977).
Kalau Takiyudin tidak bersetuju bila Khalid Nordin mengatakan PAS tidak boleh “move on” setelah bercerai dengan DAP, maka PAS mungkin akan terjerat dengan perilaku angkuh dan sombong, mendabik dada ada kerusi terbanyak. Seolah-olah kerusi itu jejak milik selama-lamanya. Seperti kisah kelasi kapal yang menganggap Titanic tidak akan tenggelam, kapal itu boleh membadai ombak dan glasier. Akhirnya, akibat sombong dan angkuh, Titanic tenggelam pada hari pertama pelayarannya yang mewah, tidak mampu menempuh bongkah ais yang pada pandangan kasat mata, bongkah itu tidaklah besar.
Apa yang tidak diketahuinya, tunjang bongkah ais itu yang tenggelam adalah lebih kuat dah besar daripada Titanic. Blind Spot, atau titik buta menjadi penyebab keruntuhan sebuah kebanggaan dan kesombongan. Apakah blind spot itu akan muncul pada penglihatan pemimpin PAS sehingga terus melihat pada PRU ke-16, prestasinya lebih baik daripada sekarang? Masa dan ketika akan menjadi bukti.
Namun, secara fitrahnya mereka yang sombong dan angkuh akan berhadapan dengan situasi menangis di siang hari: menyesal nasib sendiri yang tidak kesampaian kerana langkah yang diambil cukup sumbang.
Dalam sejarah, sifat sombong dan angkuh itulah menjadikan UMNO mengecil peranan dan kuasanya. Penyakit itu sedang melanda PAS, yang pada suatu ketika juga akan menerima karmanya, kesan daripada kesombongan dan besar kepala. Hidung PAS belum lagi mancung walaupun sudah beberapa kali melakukan “pembedahan plastik”.
KAMARUN KH
Recent Comments