Bila berada di pentas politik, banyak lawak yang kita dengar. Kadangkala lawak itu menjadi, namun tidak kurang pula lawak itu membawa kepada suasana yang menggambarkan kebodohan sendiri, dan juga persoalan yang cukup menjengkelkan.
Kalau Sanusi Mohd Nor membuat lawak, ramai yang sudah boleh menerka apa maksudnya dengan jelas. Kadangkala lawaknya benar-benar melawak, sebab Sanusi akan ketawa terlebih dahulu sebelum lawak itu dimulakan.
Ia berbeza apabila Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man melawak. Jarang kita lihat wajahnya yang selamba, hampir sepanjang masa raut wajahnya cukup serius dan kadangkala nampak tegang.
Secara semiotik atau komunikasi tanpa lisan, wajah yang serius menunjukkan apa yang dicakapkan itu benar-benar serius dan cukup membawa makna wajib diberikan perhatian tanpa kompromi.
Kali ini, Tuan Ibrahim buat lawak yang pada khalayaknya agar memilih calon PAS dalam PRK Ayer Kuning pada 26 April nanti. Secara teorinya, PAS tidak pernah menang di situ sejak konstituensi itu dipertandingkan pertama kali pada tahun 1986. Apa sebab PAS sangat perlu menang di dalam PRK kali ini?.
PAS yang menang bergaya dalam PRK DUN Sg Bakap cuba menggerakkan strategi kempen yang sama untuk PRK DUN Ayer Kuning. Pada satu aspek, strategi PAS itu dilihat kurang sesuai, Sg Bakap dan Ayer Kuning berada dalam ekosistem politik yang berbeza. Sg Bakap pernah dikuasai oleh PAS. Ayer Kuning, PAS tidak pernah menang sejak tahun 1986.
Kata Tuan Ibrahim, “Sekarang pengundi Ayer Kuning diberi peluang memperbetulkan kesilapan mengundi dahulu. Peringkat Parlimen dah pilih BN, peringkat negeri kena pilih PN.
Sebab apa? Kata Tuan Ibrahim “Anda semua tak pernah rasa macam mana berwakil rakyatkan calon PAS sebagaimana negeri lain rasa. Dahulu Pahang pun sama macam anda juga, PAS nak menang di Pahang cukup payah tetapi apabila mula menang , ternyata wakil rakyat PAS individu yang bersama rakyat.”
Awalnya boleh kita percaya, wakil rakyat dekat dengan rakyat. Itu berlaku bila wakil rakyat itu hanya sekadar berjawatan wakil rakyat. Jika mempunyai kedudukan sama ada sebagai EXCO atau jawatan tertinggi dalam parti, rakyat hanya sesekali sahaja diberikan perhatian.
Masanya cukup sibuk, termasuk sibuk mencari proksi dan melobi projek. Jadi wakil rakyat yang tidak ada duit cukup susah, ada banyak jenduri, kena ziarah orang meninggal, kena beri derma anak-anak orang kampung nak masuk universiti, sebab itu keriau sana keriau sini, agar kerajaan persekutuan berikan peruntukan.
Wakil Rakyat PN dari Ketereh pernah bertempik marah sebab tidak disalurkan peruntukan. Salah seorang ADUN di Terengganu meminta pengundi luar bersabar, dua sudah buat permohonan daripada kerajaan pusat untuk bayar saguhati kepada pengundi luar yang pulang mengundi. Sanusi Mohd Noor pernah jerkah, melawak dengan sungguh-sungguh bila pengundi luar minta saguhati. Kata Sanusi, pengundi luar yang balik mengundi DAP, mereka balik secara sukarela, tetapi pengundi Melayu tagih saguhati walaupun kita tidak tahu mereka undi siapa, mengundi atau tidak. Setengahnya ambil kesempatan.
PAS sangat mengharapkan sokongan pengundi Melayu dan kerana itulah setiap ceramahnya cuba memecahkan kerjasama antara UMNO dan DAP. Isu yang cukup kuat dikumandangkan oleh aktivis PAS ialah mengenai ladang ternakan babi yang dikatakan berada dalam kawasan penempatan orang Melayu.
Ladang ternakan babi itu sudah di situ sejak sekalian lama dan semasa kerajaan Perak berada dalam kerjasama Perikatan Nasional, salah seorang pemimpinnya berada dalam jawatan EXCO. Juga ketika kerajaan Pakatan Rakyat MB Perak adalah daripada PAS, tidak timbul isu ladang ternakan babi.
Itu nampaknya kerana terdesak ingin menang, isu ladang ternakan babi dipermainkan dengan harapan dapat menarik sokongan pengundi Melayu yang tidak cenderung memilih calon PAS. Calon PAS tersandung dengan isu tidak mengisytiharkan penyertaan dalam parti politik ketika memohon tauliah mengajar dan menjadi guru taqmir.
Aktivis PAS cuba menjelaskan, oleh kerana tidak diambil tindakan oleh Majlis Agama Islam Perak, maka isu itu tidak relevan, walaupun ramai mendakwa hingga kini masih menerima gaji dan elaun daripada Jabatan Agama Islam Perak.
Secara moralnya, ia tetap merupakan satu kesalahan di atas permohonan tauliah dengan cara menyembunyikan pembabitan dalam politik. Juga tidak jelas sama ada calon PAS itu sudah memohon pembatalan tauliah atau “meletakkan jawatan” sebagaimana calon BN yang sudah melakukannya sebelum diumumkan sebagai calon.
Semasa memperkenalkan calon PAS di Sg Bakap, Tuan Ibrahim melengkapkan pernyataan dengan menyebut calon pilihan parti ada sijil ISO. Pernyataan itu kemudian ditempelak orang ramai kerana Sijil ISO 140001 bukanlah petunjuk kelulusan akademik, ia adalah pengiktirafan kualiti. Kualiti diiktiraf bukan atas kemahiran peribadi, ia menggambarkan proses menghasilkan sesuatu produk atau perkhidmatan berasaskan standard yang ditetapkan.
Maknanya, kualiti proses bidang yang diceburi atau digeluti (kerjaya) oleh calon PAS bukan menunjukkan kelulusan akademiknya yang tertinggi. Sijil itu membabitkan pengurusan atau kawalan kualiti kilang. Kalau begitu, Sijil Halal itu boleh juga dianggap setaraf dengan kelulusan akademik?
Ketika kerajaan melepaskan subsidi diesel (subsidi bersasar), Tuan Ibrahim Tuan Man membuat lawak dengan cerita isi minyak motosikal sebanyak RM 5 tidak lagi boleh sampai ke rumah ketimbang sebelumnya. Ramai yang ketawa, budak sekolah menengah pun ketawa, motosikal tidak guna minyak diesel. Motosikal guna petrol, yang subsidinya belum dilepaskan, kekal pada harga RM 2.05 seliter bagi RON 95.
Orang bunian yang dengar pun boleh ketawa. Masakan tidak, setahu semua orang, dengan RM 5 sudah mampu mengisi petrol lebih dua liter, melepasi perjalanan motosikal dalam jarak lebih 50 kilometer. Tuan Ibrahim tidak beritahu, berapa jauhkah rumah pak cik yang dikatakan tidak cukup petrol untuk sampai balik ke rumah.
Kalau dari Kuala Lipis ke Kuantan memanglah tak cukup. Kalau dari Kota Bahru ke Kubang Kerian, lebih daripada cukup kecuali, motosikalnya dari jenama BMW atau Ducati yang dikategorikan “harga kayangan” bagi orang biasa.
Pada kali ini, Tuan Ibrahim tidak menjanjikan perkara yang besar, yang tidak mampu wakil rakyatnya lakukan jika menang. Cuma dijanjikan “bukan dan bintang”, yang pada pemetaan minda orang yang berilmu, adalah suatu hal yang sangat mengkhayalkan. Mana mungkin manusia menggapai bulan dan bintang, walaupun pernah muncul kehebatan Apollo 11, manusia berjaya sampai ke bulan.
Elon Musk yang membangunkan Space X sudah banyak kali gagal sebaik sahaja roket Space X dilancarkan. Sudah berapa bilion rugi dan hasrat Elon Musk untuk ke Marikh mungkin tidak menjadi kenyataan sepanjang hayatnya. Musk mungkin akan menjadi manusia yang paling kecewa di akhir hayatnya walaupun kini menjadi orang yang terkaya di dunia.
Kenapa dijanjikan bukan bintang? Bulan bintang menjadi simbol agama Islam dan diterima secara universal sebagai petunjuk paling tampak mengenai kebesaran Allah SWT. PAS adalah parti yang berideologikan Islam, maka jika tidak menggunakan salah satu simbol itu atau kedua-duanya, ia tidak dapat disinonimkan secara benar budaya dengannya. Itulah ada yang menilai PAS bukan parti Islam, bukan parti Allah kerana Allah tidak pernah menyebut tentang parti politik dalam al-Qur’an.
PAS adalah parti politik yang diwujudkan oleh manusia. Ia dibentuk sebagai wadah perjuangan dengan menetapkan ideologi. Ideologi politik PAS itu termasuk dalam kategori Islamisme, bukan Ad-din. Islam adalah Ad-din, Islamisme adalah mengagamatasikan Islam untuk kepentingan politik.
Sebab itulah ada negara kekal tidak ada parti politik, tetapi masih tetap dipanggil negara Islam seperti Arab Saudi, Qatar, UAE, Bahrain, Kuwait dah Brunei Darussalam. Beranikah PAS menafikan negara-negara itu adalah negara Islam dan setiap orang tidak ada peluang ke syurga sebab tidak wujud PAS? Apakah ulama-ulama yang muncul di sana semuanya “masuk neraka” kerana tidak berpolitik dan tidak berpeluang menyertai PAS?
PAS gunakan simbol bulan, tetapi bukan penuh purnama kekal sepanjang masa, siang dan malam, minggu dan tahun sedangkan bukan purnama itu hanya muncul sekali dalam setiap bulan. Itu adalah tata susunan yang Allah SWT tetapkan, yang sentiasa dilanggari oleh PAS.
Buktinya jelas. Atas mengideologikan Islam, PAS bercakap penuh falasi dan bohong. Atas nama parti Islam, PAS memisahkan manusia kepada dua golongan, secara politik, bukan ahli dan penyokong PAS adalah “kafir” manakala semua ahli PAS serta penyokong adalah Islam. Setahu kita, mereka yang beragama Islam dan mengamalkan seluruh perintah-Nya dipanggil mukminin. Kadangkala dipanggil muslim bagi lelaki dan muslimah bagi wanita.
Oleh kerana tersangkut dengan istilah itu, ahli dan penyokong PAS tidak dipanggil PAS-lim, tetapi elit politiknya terus berdendang bahawa syurga itu adalah milik penyokongnya, juga mereka yang mengundinya. Secara jelas, syurga itu adalah prerogatif Allah SWT, bukan produk politik yang dihasilkan oleh PAS.
Presiden PAS pernah membangkitkan, mengundi adalah lebih penting daripada menunaikan Haji dan Umrah. Dijelaskan bahawa berdosa jika seseorang itu tidak mengundi, dengan alasan untuk menegakkan Islam. Oleh itu, mengundi yang dianggap wajib adalah memilih PAS dan jika memilih parti lain, secara jelasnya berdosa. Itu hukum politik PAS, hukum yang bertujuan menyekat mana-mana pengundi untuk mengerjakan haji atau umrah pada musim pilihan raya. Itu terselit pada makna “kemenangan politik lebih penting daripada ibadat haji dan umrah”.
Tidak ada fatwa yang sahih daripada para ulamak, mengundi PAS diampunkan dosa dan mendapat ganjaran berlaku ganda dalam bentuk pahala. Sedangkan haji dan umrah cukup digalakkan, dan wajib sekali setiap orang jika mampu. Mengundi boleh berlaku berkali-kali selagi hayat ada. Dalam keadaan uzur pun boleh mengundi dengan bantuan, tetapi keuzuran menyebabkan cadangan mengerjakan haji tidak kesampaian, sebabnya ia memerlukan kekuatan fizikal dan mental.
Sebagaimana kita tahu, untuk mengerjakan haji terpaksa menunggu giliran yang prosesnya melibatkan masa yang panjang. Ini kerana sistem haji bergantung kepada kouta yang ditetapkan. Pada PRK kali ini, nampaknya tidak ramai yang terbabit. Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan setiap orang yang melakukan umrah diwajibkan pulang pada atau sebelum 29 April 2025 kerana musim haji akan berlangsung ‘asap’ bulan Mei dan wukuf dijangka pada sebelum akhir minggu pertama Jun.
PRK yang ditetapkan pada 26 April 2025 bermakna tidak ada lagi mereka yang akan menunaikan ibadat umrah. Mungkin kerajaan Arab Saudi tidak lagi akan keluarkan visa umrah atau visa pelancong. Jadi, jika pengundi Ayer Kuning terpilih untuk mengerjakan haji, mereka akan berangkat pada minggu kedua Mei. Jadi, tidak adalah lawak daripada pemimpin PAS tentang fatwa mengundi berbanding kewajiban ibadat haji dan umrah.
Dalam pemikiran rasional, kerana agama sentiasa menjadi kecaman dan penghinaan, terkiaslah apa yang dinamakan menunggang agama. Salah seorang pemimpin PAS berkata, kalau tak boleh tunggang agama, apa lagi yang boleh PAS tunggang. Tungganglah apa sahaja yang boleh, kerana agama bukan untuk ditunggangi. Agama adalah untuk diamalkan bukan untuk dipolitikkan.
Agama adalah amalan yang diwajibkan, bukan hanya kata-kata dan ucapan yang muluk-muluk. Sandaran utama agama ialah kepercayaan batin, bukan kepercayaan ideologi.
Dalam manusia yang beragama, tidak ada umpatan, fitnah, sombong dan angkuh. Orang yang beragama, hidupnya penuh rendah diri (zuhud) bukan mendabik dada dengan kedudukannya sebagai ahli politik, hartawan mahupun berkata dirinya sahaja yang paling baik. Bahkan, al-Ghazali yang diiktiraf sebagai ulama besar tidak pernah menyatakan bahawa dirinya dijamin syurga. Sebaliknya sentiasa berharap akan diterima kehadirannya sebagai penghuni syurga, tanpa berkata bahawa “masuk syurga pasti ada nombor keahlian PAS”.
Walaupun al-Ghazali mampu memberikan orang kafir, beliau tidak pernah menuduh mereka yang sealiran dengan pendapat atau pendiriannya sebagai ahli neraka. Beliau dengan tekun, penuh karismatik dan sedar ilmu mengajak manusia untuk memperbaiki diri, semoga dengan langkah itu Allah SWT akan menerima sebagai penghuni syurga.
Bagi PAS, walau pun seseorang kekal beriktikad dan mengamalkan pengertian kalimah syahadah, membaca dan mengamalkan apa yang ditunjukkan dalam kitab yang sama (al-Qur’an), bersepakat ke atas Rasulullah SAW dan mengamalkan apa yang dituntut sebagai Amar Makruf, serta menolak Mungkar, ia tetap dianggap “tidak masuk syurga” kerana tidak menyertai PAS.
Doktrin itu seolah-olah menafikan keindahan Islam dan bagaimana cahaya purnama memberikan setiap kehidupan cahaya terang. Bukan purnama PAS tidak mencerahkan umat, sebaliknya mencederakan umat dengan rasa taksub, sekterian dan penilaian irasional, falasi dan mindframing.
Cuba kita lihat pada budaya politik PAS sebelum ini. Kata pemimpin PAS, wahyu adalah pegangan utama parti, hakikatnya, antara larangan terbesar dalam wahyu adalah tidak membuat dan menyebarkan fitnah, adu domba, berbohong dan mengecam sesiapa pun sama ada penganut Islam dan bukan penganut Islam.
Oleh kerana kemajuan (dinamika kehendak) politik terlalu tinggi, kadangkala pemimpin PAS menjadi terlalu “overthinking” sehingga memperlihatkan kesombongannya. Cuba kita renung, cuba kita selidik apa yang PAS berjaya lakukan setelah lebih 30 tahun memerintah Kelantan. Masalah bekalan air bersih belum selesai, katanya tidak ada orang mati yang tidak dapat disemadikan kerana tidak ada air. Paip biru, air hijau maka alirannya tidak menjadi akibat tiada keserasian.
Katanya, Kelantan membangun bersama Islam, yang bermaksud pembangunan rohani dan perwatakan. Malang sungguh, perangkaan keberkatan sosial, Kelantan mencatatkan rekod yang cukup membimbangkan, setiap tahun meningkat. Persoalan penagihan dadah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menduduki carta teratas.
Lebih mengejutkan, pola seks bebas dalam kalangan remaja di Kelantan. Rekod polis membuktikan lebih ramai perempuan mencari lelaki untuk keseronokan. Remaja seusia 11 tahun bersenggama dengan sepupu berusia 15 tahun sehingga hamil.
Memang dari segi indeks jenayah, kes yang berlaku di Kelantan adalah lebih rendah daripada Selangor. Perlu difahami, Kelantan tidak mendakwa negeri itu diurustadbir oleh para ulama dan berslogankan Membangun Bersama Islam (MBI).
MBI membawa maksud memperkuatkan syiar Islam. Syiar Islam diperkuat menerusi mencerdaskan ummah, membina kekuatan spiritual dan penghayatan nilai-nilai agama dalam setiap orang, pada setiap masa dan kesepaduan iktikad. Ini tidak berlaku, proses penerapan hanya muncul dalam kelompok sendiri dengan kemahuan politik. Aspirasi dasar yang setengah mayang, dan tingkah laku yang hilang arah.
Malangnya, setelah menjadi menteri yang menjaga dan menguruskan fast air negara, Tuan Ibrahim gagal melakukannya. Katanya, proses sepenuhnya akan dapat dilaksanakan dan mengambil masa selama 30 tahun. Ertinya, bekalan air bersih akan selesai tahun 2050, aduh penatnya mendengar dan pedihnya tidak terperi.
Bila ada kuasa, tidak berusaha untuk memenuhi tanggungjawab itu, termasuk memperkemaskan dasar jika ia dilihat ada diskriminasi berlaku. Kenapa tidak buat? Kenapa tidak buktikan, cakap serupa bikin.
Selepas hilang jawatan menteri, boleh pula berikan omongan. Pulau Pinang tak cukup air, Perak tak cukup air, maka pilihlah calon PAS, mungkin masalah air selesai. Jelas, sebuah khayalan yang bakal lahir kekecewaan yang nyata. Sebabnya, jika calon PAS menang di Ayer Kuning, ia tidak akan mengubah apa-apa, termasuk kerajaan negeri Perak.
Janganlah cuba nak “pelawak” lagi, sebagaimana jelas dalam PRN lalu, jika semua enam negeri boleh menang, ia akan menukarkan kerajaan. Kerajaan mana? Kerajaan pusat tidak mungkin, kerana PRN hanya untuk membentuk kerajaan negeri, bukan kerajaan pusat.
Apakah lawak Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi kaki ini di Ayer Kuning? Logiknya, tidak ada ruang kemenangan bagi PAS, sebabnya kekuatan politiknya tidak kenyal di Ayer Kuning. Sejarahnya PAS tidak pernah menang manakala jentera parti kurang kemas. Apatah lagi apabila muncul pelbagai imej kurang meyakinkan terhadap Razman Zakaria yang beberapa kalah dalam saman fitnah dan mula direhatkan oleh PAS sendiri.
Apa pun setelah hampir seminggu berkempen, peluang kemenangan lebih memihak kepada UMNO/BN. Selagi PAS terus menyerang dan mengecam DAP, peluangnya untuk mendapat sokongan pengundi bukan Melayu agak sukar, sebabnya, Gerakan tidak bermaya. Bersatu juga kelihatan semakin hilang arah, mesej kempennya terawang-awangan.
Jika nak mengkritik tentang ekonomi, PAS dan Bersatu tidak mampu buktikan kebijaksanaan program yang akan dilaksanakan. UMNO ada kekuatan, ada track-record yang baik dan gandingan PH-BN tidak mudah mereka keronyok sebagaimana lawak Tuan Ibrahim perihal masalah air di Sg Bakap. PAS hanya mampu berjanji, tetapi tidak mampu laksanakan.
Kalaupun Sanusi kata nak belatkan air Sungai Muda, Pulau Pinang tidak gentar sebabnya Perak sedia membantu. Kedah pun tidak pernah memuaskan rakyatnya, seringkali berlaku masalah air sehingga berhari-hari walaupun lebih baik daripada Kelantan, air keruh, keluar angin dan berkeladak.
Apa pun, tempuh berkempen masih berbaki kurang seminggu. Apa pun boleh berlaku, pecutan peringkat akhir banyak mempengaruhi kecenderungan mengundi. Jangan ada yang bermain kadar, kekasaran memang membawa risiko.
KAMARUN KH
Recent Comments