ALLAH SWT berjanji akan meningkatkan gandaan pahala kepada setiap orang Islam yang bersungguh-sungguh dalam mengerjakan ibadat sepanjang kehidupan. Setiap hari adalah hari beribadat malah bekerja juga termasuk dalam kategori ibadat. Dengan bekerja, seseorang itu dapat memperoleh rezeki yang halal bagi menyara kehidupan dan tanggungannya.

Dalam memenuhi tanggungjawab tersebut, Allah SWT memberikan peringatan bahawa bulan Ramadan adalah bulan yang paling banyak gandaan pahalanya. Antara celahan bulan Ramadan, terdapat satu malam yang amat besar ertinya kepada orang Islam kerana pada malam tersebut dijadikan penuh keberkatan dan kebaikan. Malam tersebut dikenali sebagai lailatulqadar.

Lailatulqadar adalah malam yang amat agung kerana dipilih Allah sebagai malam permulaan Nuzul Quran atau permulaan melimpahkan cahaya agama Allah ke seluruh alam, di samping melimpahkan kesejahteraan dan kedamaian yang memancar dari hidayat Allah (al-Quran) ke atas hati dan kehidupan manusia.Gambaran keberkatan pada malam itu ialah dalam nilaian lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan, ertinya ialah selama 83 tahun dan 4 bulan.

Maknanya, sesiapa yang dapat menikmati malam tersebut akan memperolehi ganjaran pahala dalam gandaan seribu bulan. Bermakna, beruntunglah bagi mereka yang dapat mengerjakan ibadat sepanjang malam tersebut. Kelebihan dan kemuliaan malam tersebut disebut oleh Allah SWT dalam satu surah khusus, iaitu surah al-Qadr.
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadr. Adakah kamu tahu (wahai Muhammad) apakah malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr adalah lebih baik daripada seribu bulan. al-Qadr:1-3.

Bilakah malam lailatulqadr itu? Rasullullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, dalamnya ada satu malam. Amal ibadah yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia hilang semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah SWT. (Riwayat Ibu Majah).

Mengenai tarikh sebenar malam tersebut, pada ulama tidak mempunyai kesepakatan. Walau bagaimanapun kesemua ulama bersetuju bahawa lailatulqadr hanya berlaku pada bulan Ramadan, terutamanya pada sepuluh malam terakhir.

Manusia perlu mencari hikmah di sebalik misteri tarikh tepat malam tersebut. Allah SWT sengaja menyembunyikan rahsia pada malam tersebut adalah dengan harapan manusia tidak akan menyempadankan diri hanya untuk beribadat secara terhad pada malam itu sahaja. Allah SWT sengaja melakukannya kerana mengharapkan setiap umat Islam dapat melakukan persediaan yang lebih baik, sehinggalah boleh menikmatinya dengan kesungguhan dan penuh keimanan.

Dalam satu hadis, Aisyah r.a. berkata Rasulllah SAW bersabda: Ya Rasullullah, bagaimana kalau saya bertemu lailatulqadr? Apa yang harus saya ucapkan pada malam itu? Jawab Nabi Muhammad SAW: Ucapkanlah, Ya Allah kami bermohon kepada-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampuni (hamba-hamba-Mu), maka ampunilah (dosa-dosa) kami. (Riwayat Tarmizi, Nasai, Ibu Majah dan Ahmad).

Kenapa lailatulqadr itu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW? Menurut Imam Malik,  Rasullullah SAW tersintak apabila memikirkan umur ummatnya tidaklah sepanjang umat-umat sebelumnya. Menyedari mengenai keadaan tersebut, Nabi Muhammad SAW memohon pertolongan daripada Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW memohon agar diberikan peluang beribadat sepanjang yang mungkin sebagaimana peluang itu telah diberikan kepada umat-umat sebelumnya.  Nabi Muhammad SAW merayu agar Allah SWT melapangkan masa agar umat Islam dapat beramal dengan nilainya adalah sama dengan umat-umat sebelumnya. Akhirnya, Allah SWT mengabulkan permintaan tersebut dengan menurunkan lailatulqadr.

Menurut Syeikh Muhammad Abduh, sebab kenapa malam tersebut diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW ialah kerana ia adalah ketentuan Allah SWT. Pada malam tersebut, Allah SWT mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintah nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang benar. Agama yang dapat melepaskan manusia daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Imam Nawawi pula berhujah, sebahagian ulama memberikan pandangan bahawa malam itu datangnya secara bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya, jika pada tahun ini berlaku pada 29 Ramadan, maka pada tahun akan datang ia akan datang pada malam yang berbeza. Pendapat tersebut turut diterima oleh Ibn Hazam dengan menjelaskan malam itu adakalanya berlaku pada malam 21,23,25,27 atau 29 Ramadan, ia berlaku dalam posisi kiraan ganjil.

Ada juga ulama membuat kesimpulan, setiap tahun lailatulqadr berlaku pada tarikh yang sama, iaitu pada tanggal 27 Ramadan. Pendapat tersebut bersandarkan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud: Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatulqadr itu pada malam 27. Dalam masyarakat Melayu, malam lailatulqadr turut dikenali sebagai malam tujuh likur.

Menurut Ibnu Abbas, kerana surah al-Qadr mengandungi 30 kalimah dan kata salamun hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah ke-27, maka malam tersebut adalah malam ke-27. Ulama yang lain berpendapat, kalimah lailatulqadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr, kalimat tersebut diulang-ulang sebanyak tiga, maka tentunya ia akan berlaku pada malam ke-27, iaitu sembilan didarabkan dengan tiga.

Ada ulama menetapkan malam tersebut akan berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Pendapat ini dikemukakan oleh Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berasaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. dan seterusnya diriwayatkan oleh Imam Bukhari: Carilah sedaya upaya kamu Lailatulqadr itu pada 10 malam ganjil pada akhir Ramadan.”

Pendapat para Ubbad menyatakan ianya mengikut hari permulaan Awal Ramadan, bila awal puasa pada hari Ahad atau Rabu maka, malam Lailatul Qadar ialah pada malam 29 Ramadan. Bila awal puasa pada hari Jumaat atau Selasa maka, malam Lailatul Qadar ialah pada malam 27 Ramadan. Bila awal puasa pada hari Khamis, malam Lailatul Qadar pada malam 25 Ramadan. Jika awal puasa pada hari Sabtu, malam Lailatul Qadar ialah malam 23 Ramadan dan jika puasa pada awal hari Isnin maka, malam Lailatul Qadar pada malam 21 Ramadan. Menurut Syeikh Abu Hassan beliau tidak pernah luput dari malam Lailatul Qadar mengikut kaedah ini.

Pendapat ulama mengenai malam Lailatul Qadar disebut antaranya Imam Syafie menyatakan ianya pada malam 21 atau 23. Manakala Syeikh Ibnu Arabi pada satu riwayat yang lain pula menyatakan ianya boleh berlaku di luar Ramdhan, dan beliau sendiri pernah mengalaminya. Majoriti para ulama menyatakan ianya pada malam-malam ganjil pada akhir 10 Ramadan bersesuaian dengan perintah Rasulullah yang mengarahkan umatnya mencari Lailatul Qadar pada malam-malam tersebut.

Pengalaman mendapatkan lailatulqadr adalah sebuah pengalaman spiritual yang paling puncak bagi orang yang bersungguh-sungguh berusaha menyempurnakan keimanannya. Maka, setiap orang Islam perlu melakukan ibadah dan ibadat dengan bersungguh-sungguh sepanjang kehidupannnya bagi mendapat keberkatan. Kemanisan keimanan akan menjadi berlipat ganda sekiranya manusia itu mampu meraih malam lailatulqadr.

Meskipun ada banyak cerita yang berkisar dalam masyarakat Melayu mengenai malam tersebut, sebahagian besarnya adalah cerita yang tidak bersandarkan petunjuk yang jelas. Malah pada malam tersebut turut diceritakan banyak keganjilan berlaku–air berhenti mengalir, pokok sujud menyembah bumi atau malaikat turun ke bumi dalam bentuk manusiakerana tidak semua manusia boleh menemuinya dalam bentuk nyata.

Imam Thabari menjelaskan untuk menemui malam itu, tidak disyaratkan dengan melihat sesuatu atau mendengarnya. Maka amalan sesetengah orang Melayu menunggu air paip menjadi beku pada malam tersebut perlu digantikan dengan memperbanyakkan amal ibadat yang lebih berfaedah.

Jika kita ingin mendapatkan lailatulqadar, kita seharusnya dapat melakukan qiam Ramadan. Sepanjang bulan tersebut kita hidupkan suasana ingin belajar (taklim) sepanjang masa, siang dan malam dengan beribadah, zikir, solat sunat, dan qiraah (tadarus dan telaah) al-Quran. Seluruh indera kita dipusatkan kepada pintu keampunan bagi melenyapakan diri kita daripada dosa dan dinyahkan syak wasangka.

Fikiran akan bebas sepenuhnya daripada hal-hal yang negatif, dan hati kekal bersih. Dan, sepanjang bulan Ramadan sebenarnya bulan kita bermuhasabah dan membersihkan diri dari segala kekotoran malah ada yang mentafsirkan bulan kesembilan itu sebagai bulan penuh kebajikan, kita menggantungkan semua keinginan untuk melakukan kemungkaran.

Pada kemuncaknya, kita mengharapkan akan bertemu dengan lailatulqadr. Lailatulqadr memberikan kita pengajaran rahsia kenapa tersembunyinya beberapa urusan agama dan hakikat kepentinganya, termasuk usia sebenar yang boleh digapai oleh setiap orang, saat doa dimakbulkan, amalan maksiat yang terkutuk, waktu kedatangan kiamat dan ajal diri kita kita sendiri.

Lailatulqadr yang kita impikan itu adalah sebuah titik yang perlu kita cari, kerana pencarian itu membawa kita kepada kemuncak kehidupan, agar amal dan ibadah kita akan diterima oleh Allah SWT, kita akan dimasukkan sebagai senarai orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Antara ciri-ciri orang yang mendapat lailatulqadar mengikut al-Quran:

  • Iaitu mereka yang beriman kepada ghaib, mendirikan solat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka; dan mereka yang beriman kepada apa-apa yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) dan apa-apa yang Kami turunkan sebelum kamu, serta mereka yakin kepada (adanya) kehidupan akhirat. (al-Baqarah [2]: 2-4)
  • Iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, dan memberi harta yang diicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, anak jalanan (termasuk musafir yang memerlukan pertolongan), orang-orang yang meminta-minta, (menghilangkan) perbudakkan, mendirikan solat, menunaikan zakat, menepati janjinya apabila berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan, dan saat ditimpa musibah (al-Baqarah [2]: 177)
  • Iaitu orang-orang yang menginfakkan (hartanya di jalan Allah), baik di waktu lapang maupun sempit; orang-orang yang dapat menahan amarahnya; dan memaafkan (kesalahan) manusia… (Ali ‘Imran [3]: 134)
  • Maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang (ciri-cirinya) dia mencintai mereka dan mereka mencintai-Nya; bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mukmin; berwibawa terhadap orang-orang kafir, berjihad di jalan Allah; dan tidak takut terhadap celaan orang-orang yang mencela… (al-Maaidah [5]: 54).
  • Iaitu mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya; apabila dibacakan kepada mereka ayat- ayat- Nya bertambah imannya dan (hanya) kepada Tuhannya mereka menyerahkan diri. Juga mereka yang mendirikan solat, dan menginfakkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya. (al- Anfaal [8]: 2-3).
  • Iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya; dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang sia-sia; dan orang-orang yang menunaikan zakat; dan orang-orang menjaga kemaluannya; dan orang-orang yang memelihara amanah dan janjinya; dan orang-orang yang memelihara solatnya (al-Maaarij [70]: 22-34)

Petikan dari alfalahmadani.my

Translate »