Kota Bharu: Hasil yang diperoleh daripada sumber haram termasuk dadah adalah haram walaupun cuba berselindung di sebalik perniagaan lain.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, sumber haram jika diberi sedekah sekali pun tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Menurutnya, sekiranya hasil yang diperoleh daripada sumber halal, maka hasil yang diperolehi juga halal.

“Sedekah daripada sumber yang halal akan diterima oleh Allah SWT. Justeru, sebagai peniaga perlu elak daripada menjalankan perniagaan daripada sumber haram.

“Begitu juga sebagai pengguna, dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan satu-satu iklan atau promosi termasuk kononnya (produk) menggunakan kaedah Islam.

“Sebagai pengguna kita kena tabayyun atau selidik dengan cermat. Ia perlu penyelidikan dan penyiasatan terlebih dahulu sebelum kita membeli sesuatu produk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, terdapat tiga perkara yang perlu dinilai mengikut Islam sebelum pengguna membeli sesuatu produk iaitu yang benar, baik dan indah.

“Kita jangan terpengaruh dengan indah sahaja kerana benda itu tidak benar dan tidak baik.

“Sebagai masyarakat, kita jangan mudah terpengaruh dengan tayangan yang cuba memperlihatkan atau berselindung dengan kebaikan, tetapi sebenarnya ada keburukan,” katanya.

Katanya, masyarakat juga perlu ambil perhatian supaya tidak terperangkap dengan kegiatan tidak bermoral.

Terdahulu, Polis Kelantan mendedahkan ramai pengasas produk dan pempengaruh di Kelantan terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dipetik berkata, ia berdasarkan beberapa tangkapan dan kebanyakan mereka menggunakan modus operandi sama iaitu menggunakan perniagaan untuk menyembunyikan kegiatan jenayah.

Hidayatidayu Razali

Sumber: hmetro.com.my

Translate »