Pada bulan Ramadan ada satu malam yang kedatangannya sangat dinantikan oleh umat Islam. Malam itu disebut dengan lailatulqadar, suatu malam yang dinilai oleh al-Quran malam yang penuh barakah dan malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Lailatulqadar sangat dimuliakan oleh umat Islam kerana pada malam tersebut turun rahmat dan kebaikan dari Allah s.w.t kepada umat-Nya. Pengalaman mendapatkan lailatulqadar merupakan pengalaman spiritual dan individual. Tidak semua orang mampu mendapatkan malam seribu malam ini. Ia tidak boleh dicapai begitu sahaja dengan hanya kehadiran kita pada malam-malam ganjil di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, kerana perjumpaan dengan lailatulqadar merupakan puncak prestasi kerohanian setelah melakukan banyak kegiatan rohani pada bulan Ramadan.
Apa dan bagaimanakah malam lailatulqadar itu? Apakah ia terjadi sekali sahaja yakni malam ketika turunnya al-Quran lima belas abad yang lalu, atau terjadi setiap bulan Ramadan sepanjang masa. Ada pendapat setengah ulama bahawa malam lailatulqadar tidak hanya ada pada bulan Ramadan tetapi juga pada bulan Sya’aban.
Menurut mereka lailatulqadar turun pada malam nisfu Sya’aban (pertengahan bulan Sya’aban), malam yang juga biasa dirayakan oleh kebanyakan kaum Muslimin di seluruh dunia. Walau bagaimanapun yang pasti ia harus diimani oleh setiap Muslim berdasarkan firman Allah di dalam al-Quran surah al-Dukhan ayat 3 hingga 5 yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada suatu malam dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan semua urusan yang penuh hikmah, iaitu urusan yang besar di sisi Kami.
Dari al-Quran kita menemukan penjelasan bahawa wahyu-wahyu Allah itu diturunkan pada malam lailatulqadar. Akan tetapi kerana umat Islam mempercayai bahawa al-Quran telah sempurna dan tidak ada lagi wahyu setelah wafatnya Nabi Muhammad s.a.w, maka atas dasar logik, ada yang berpendapat bahawa malam mulia itu tidak akan hadir lagi. Kemuliaan yang diperoleh pada malam tersebut adalah kerana ia terpilih menjadi waktu turunnya al-Quran.
Pakar hadis, Ibnu Hajar menyebutkan satu riwayat dari penganut fahaman di atas ia menyatakan bahawa nabi s.a.w pernah bersabda bahawa malam lailatulqadar tidak akan datang lagi.
Pendapat tersebut ditolak oleh majoriti ulama kerana mereka berpegang pada teks ayat al-Quran serta sekian banyak teks hadis yang menunjukkan bahawa lailatulqadar terjadi pada setiap bulan Ramadan. Bahkan Rasulullah s.a.w menganjurkan umatnya untuk mempersiapkan jiwa menyambut malam mulia itu, secara khusus pada malam-malam ganjil setelah berlalu dua puluh Ramadan.
Sebenarnya Rasulullah s.a.w sendiri tidak pernah menjelaskan apa yang dimaksudkan lailatulqadar dan bila ia berlaku. Suatu ketika rasulullah s.a.w bersabda kepada orang ramai yang tengah berkumpul di masjid menunggu lailatulqadar, katanya: apa yang kamu tunggu-tunggu malam ini akan datang kerana aku telah melihat dalam visi (ruk’yah) bahawa akan berlaku hujan lebat kemudian aku berlumuran dan basah kuyup oleh air. Pada malam itu memang terjadi hujan lebat.
Justeru bangunan masjid di zaman nabi s.a.w diperbuat dari daun kurma maka air hujan mudah menitis masuk ke dalam lantai masjid yang bertanah. Umat Islam yang ada pada saat kejadian tersebut melihat apa yang dikatakan nabi s.a.w. Nabi s.a.w dengan mukanya yang basah kuyup dan badannya yang berlumuran tanah liat lalu mengatakan itulah yang kau tunggu-tunggu. Justeru lailatulqadar adalah persoalan rohani, maka tidak ada kata-kata yang mapan untuk menjelaskan. Ia hanya boleh diungkapkan melalui simbol-simbol atau metafoar-metafora.
Di sinilah timbul masalah tafsir dan takwil di mana nabi s.a.w dengan lumpur dan basah dengan air sebenarnya adalah suatu peringatan kepada kita bahawa tingkat paling tinggi dari pengalaman rohani itu ialah kalau kita sudah kembali ke asal kita. Dari mana kita berasal kalau tidak dari tanah dan air. Jadi yang diambil nabi s.a.w satu perlambangan bahawa kita pun akan kembali ke tanah dan menjadi air.
Kita harus menyedari siapakah kita di sisi Allah dan harus menjadi manusia yang berhati rendah dan janganlah menjadi manusia yang takbur yang membuat pintu syurga tertutup rapat dan tidak dapat masuk ke dalamnya.
Tidak ada kebahagiaan yang ingin dicapai melainkan kebahagiaan hakiki di sisi Allah s.w.t. Inilah yang kita cari dalam tahap rohani puasa ini yang kita alami melalui satu simbolisasi dari lailatulqadar. Tetapi semuanya memang harus dimulai dengan tanah dan air dengan kata lain, kesedaran tentang diri kita yang sesungguhnya
Dipetik dari alfalahmadani.my
Recent Comments