Seseorang yang dianggap sesat, dilihat menyeleweng wajib bertaubat; dengan taubat itu akan menjadikan dia kembali kepada keimanan dan ketaqwaan sejujurnya. (Al-Ghazali, Taubat dan Liku-Likunya, terjemahan Syed Ahmad Semait, edisi semakan lengkap, Singapura: Pustaka Nasional, 1995)
Maksud saya, dalam sosialisasi masyarakat, kita ada pelbagai ramuan yang menyatukan setiap rakyat untuk hidup di ‘rumah kita’, dengan syarat, bersihkan daripada nista ungkapan, perilaku ‘gila-gila’ dan sikap ‘diri sahaja yang betul’ selain saling hormat, faham dan hayati perbezaan. Inilah yang disyorkan oleh al-Ghazali sebagai kawalan lisan, atau percakapan.
Sebagai ramuan terbaik untuk mengurus dan melengkapkan makna perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk, biarpun tidak tidur sebantal dan mimpi berlainan, kalau ‘nyamuk’ adalah penyebabnya, carilah kaedah bagaimana ‘menghalau” atau “membunuhnya”, bukan kerana nyamuk, kelambu dibakar.
Kalau sebelumnya disalahkan pendidikan sejarah (tanyalah Tan Sri Muhyiddin ketika beliau membuat keputusan agar lulus mata pelajaran sejarah sebagai salah satu syarat mendapat sijil SPM mulai 2013), apakah sejarah sekali lagi dijadikan kambing hitam bila berlaku konflik kaum di Malaysia?.
Sejarah mengajar kita bahawa adalah kebodohan yang sama berulang kerana kesan pendidikan sejarah tidak cukup menjadikan setiap daripada produk keluaran sistem pendidikan arus perdana cukup disosialisasikan dengan ‘kontrak sosial”. “Rukunegara”, dan menguruskan konflik (3R). Sebahagian orang berfikir, sebagai satu natijah dan proses perubahan nilai dan kelompongan budaya dalam makna kesepaduan sosial dan integrasi psikologi.
Ia seperti memuntahkan semula perdebatan bangsa Malaysia itu apa dan bagaimana bentuknya? Adakah hanya akan terlahir Bangsa Malaysia bila muncul generasi baharu melalui ‘kahwin campur’ atau hanya sebagai sebatang jalan ‘penyatuan politik’ palsu? Hiperrealiti?
Tentunya, ketika kita membaca kisah ‘hilang kuasa politik’, ‘hakisan kuasa politik’, pergelutan kuasa dan perseteruan politik sehingga menjadikan masyarakat semakin bersegmentasi, kita akan bersedih, saling menyalahkan diri dan akhirnya, tanpa kita sedar, ‘negeri kita, tanah kita, sudah semakin sempit dan sebahagian sudah menjadi orang lain.
Dalam dilemma itulah kita perlu cukup kuat untuk bangkit semula, kerana jiwa dan semangat kita sudah berjaya dilemahkan oleh suatu arah yang asalnya datang dari luar. Kita tidak perlu bermain dengan retorik, seumpama ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan. Tunjukkan langkah ‘berani’ dan mekanisme yang realistik, kerana merekalah yang memimpin ke arah itu. Bukan sekadar bernyanyi, berpuisi duka dan lirik melankolik.
Itu adalah rumusan kecil saya setelah melihat kembali tulisan-tulisan akademik. Misalnya, Muhammed Mustafa Ishak, The Politics of Bangsa Malaysia: Nation-building in a Multiethnic Society, (Sintok: UUM Press, 2014) ; Cheah Boon Kheng, Malaysia: The Making of a Nation, (Singapore: ISEAS, 2002); AB Sulaiman, Ketuanan Melayu: A Story of the Thinking Norm of the Malay Political Elite, (Selangor Abu Bakar Haji Sulaiman, 2018); Firdaus Zainal, Megalothymia Politik Ketuanan Melayu: Perjuangan Orang Melayu Mencari Ketuanan di Bumi Melayu, (Nilai: Ilham Books, 2003); Firdauz Zainal, Isothymia Politik Cina: Perjuangan Orang Cina Menuntut Kesaksamaan, (Nilai: Ilham Books, 2023); dan, Firdaus Zainal, Kejatuhan Kuasa Politik Melayu: Bagaimana Orang Melayu Hilang Kuasa, (Nilai: Ilham Books, 2024).
Kita juga mungkin bertanya, sejauhmanakah mata pelajaran “Hubungan Etnik” yang diperkenalkan di UA (Universiti Awam) cukupkah membantu dalam regenerasi setiap daripada produk keluarannya sejak ianya diperkenalkan? Apakah literasi politik sudah mencapai objektif menerusi pembelajaran mata pelajaran tersebut (tanpa peperiksaan)?
Walaupun kajian terus dilakukan berkaitan hubungan etnik di Malaysia, suasana diplomasi politik dan kecenderungan manifestasi politik perkauman terus kekal menjadi ‘juadah kempen’. (Johan Saravamuttu Abdullah, Power Sharing in a Divided Nation: Mediated Communalism and New Politics in Six Decades of Malaysian Elections, Singapore: ISEAS- Yusof Ishak Asian Studies, 2008).
Walaupun tidak disebut secara terang-terangan, penekanan dan orientasi yang ditunjukkan jelas menampakkan hubungan sesama etnik masih menjadi pautan dan kerangka berpolitik. Contohnya, bila ada yang mencadangkan agar bukan Melayu peroleh peruntukan sebanyak 10 peratus daripada apa yang diperoleh oleh Bumiputera daripada kerajaan. Ia dicadangkan kerana melihat tidak ada pembelaan yang cukup terhadap bukan Bumiputera.
Dahulunya, perihal peruntukan kepada sekolah vernakular swasta, dengan alasan, bukan Melayu adalah pembayar cukai yang tinggi dan kerana itu, sekolah-sekolah pensendirian vernakular patut diberikan peruntukan oleh kerajaan. Ia membentuk pangkal politik kebersamaan, dan menjadi slogan dalam kitaran meraih sokongan pengundi hingga kini.
Debat terus berlaku, kerana sekolah-sekolah persendirian itu tidak mengikuti kurikulum kebangsaan, tidak menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dan menjalani sistem penilaiannya sendiri (UEC). Kita juga mungkin turut tersangkut, bila PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris) dihentikan, muncul pula apa yang dinamakan DLP (Dual Language Programme), di sekolah-sekolah tertentu.
Sebaliknya, kecenderungan menentang DLP dalam bahasa kebangsaan di Pulau Pinang membuktikan ‘sharing common values’ sebagai usaha penyatuan dalam pendidikan sedikit terencat. Bahkan ketika hendak diperkenalkan semula tulisan jawi dalam kurikulum bahasa Malaysia di sekolah jenis kebangsaan, isunya meledak seolah-olah tulisan jawi menjadi strategi Islamisasi.
Sudah lama bias itu dilihat. Ia bermula daripada kesangsian terhadap sekolah kebangsaan. Ketika munculnya ‘kebangkitan semula Islam’ pada tahun 1980-an, sekolah kebangsaan dilihat sebagai Islamisasi pendidikan. Ia bertambah riuh apabila sekolah-sekolah mendirikan musolla atau surau untuk amali pendidikan Islam, terutama berkaitan dengan sembahyang.
Akhirnya, bukan Melayu tidak berminat menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan. Bahkan, ada ibu bapa etnik Melayu sanggup menyekolahkan anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan. Sekolah vernakular pula menolak guru-guru yang mendapat latihan dalam kemahiran mendidik ditempatkan di sekolah tersebut, alasannya, kita fasih berbahasa Mandarin.
Itu alasan yang boleh diterima pada suatu ketika. Tetapi, setelah berubah pucuk pimpinan politik, desakan-desakan semakin menghimpit, dan diperkenalkan peruntukan ‘one off’ sejak itu. Sekurang-kurangnya, isu ini terus diperkatakan.
Begitu juga perihal pengiktirafan UEC – Unified Examination Certificate, yang mendapat momentum bila KM Sarawak, bersedia memberikan tempat kepada lulusan tersebut memasuki UA di Sarawak, sebagai penjawat awam dan keputusan yang tidak menerima mereka dengan UEC sebagai keputusan “Bodoh”.
Apakah mekanisme itu ‘tidak menjadi’ dan jika ‘tidak menjadi’ apa solusinya?. Tetapi awas, jangan ikut rentak marah dan benci seperti pernah dicadangkan oleh seorang menteri: kurikulum sejarah perlu diubah, perlu dimasukkan secara khusus mengenai 1MDB. Ia hadir setelah PH menang (PRU ke-14, 2018), setelah exhausted mengeksploitasi isu 1MDB (semasa berkempen), sedangkan sebahagian daripada dakwaan itu ‘tidak benar’ dan sejujurnya hadir sebagai bentuk falasi.
Ya! Islam telah hadir dengan cukup sempurna dalam kaedah memasyarakatkan manusia. Walaupun berbeza agama, suku kaum, bangsa dan budaya. Islam cukup bertoleransi, selagi bukan Islam menghormati dan tidak mengkhianati Islam. Itulah yang kita belajar daripada pengurusan pentadbiran dan ‘bernegara’ sepanjang 10 tahun dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW di Madinah.
Kita tahu, pendekatan Nabi Muhammad SAW cukup bijaksana, biarpun ada yang menghina dan mengancam membunuh baginda. Diterima dengan penuh kesabaran dan bukan dengan emosi, didekatinya pengancam dengan langkah dan tindakan begitu psikologik. Akhirnya kebaikan Muhammad SAW menjadi faktor kepercayaan dan keyakinan, menukar persepsi buruk dan menerima Islam sebagai cara hidup terbaik. (Dr Yasir Qadhi. Muhammad SAW Teladan Sempurna Umat Manusia: Dari Pembentuk Keyakinan ke Pembangun Peradaban, edisi terjemahan oleh Muhammad Irsyad Rafsadie. Bandung: PT Mizan Pustaka, 2024).
Di sinilah letaknya kebijaksanaan dalam mencerap, mencerakin dan menanggapi sesuatu isu, untuk tidak mencetuskan kontroversi keterlaluan. Ia dilaksanakan dengan fikiran yang matang, jika menentang, ia dilaksanakan dengan berhemah. Jika menyokong, tidak berlebih-lebihan dan dalam ketaksuban. Akibat melampau, sehingga dilihat ‘menjilat’ itu membawa kepada bias keterlaluan, tidak lagi nampak apa-apa kebaikan pada orang lain.
Bila orang lain melaksanakan kebaikan, sedang diri sendiri tidak sedar dan mampu, maka gema suara mula kedengaran: menentang, menilai ‘tidak cukup masak’ dan kurang kebijaksanaan. Demagog, mat jargon, retorik berpelakuran, untuk menghasilkan wacana yang dilihat lebih baik daripada kerangka yang dibentuk oleh orang lain.
Misalnya, dicadangkan agar PMX mengambil tindakan terhadap menteri yang mengeksploitasikan agama. Sayangnya, tidak pula tokoh berkenaan memberikan komitmen untuk mengambil tindakan ke atas ahli partinya yang menunggang agama untuk mendapatkan ‘political mileage’. (“PAS: Kerajaan perlu bertindak pada pemimpin sendiri yang cetus ketegangan”, Malaysiakini, 8 Mac 2025).
Semasa berkuasa, kerangka itu tidak pernah difikirkan, bahkan, idealisme politik sebelumnya dikuburkan perlahan-lahan atas alasan, ‘belum memerintah sepenuhnya, hanya sebahagian sahaja”. Namun, dalam masa yang sama, hentaman terus dilakukan bila ‘parti yang dianggap musuhnya’ berada dalam kerajaan, dan. Diletupkan kata-kata, semut menguasai gula, dan semut menjadi raja kerana balang tidak ditutup kuat, sengaja mengundang semut untuk masuk dan memakan gula.
Tidak semua semut mati kerana gula, tetapi ramai orang mati kerana terlebih gula (komplikasi kencing manis). Itulah arus politik yang membawa maksud, sejak tidak terpilih membentuk kerajaan (tak cukup nombor nak angkat sumpah seperti diraih daripada Langkah Sheraton), maka kegagalan itu cuba ditimbuskan dengan harapan menggunung, robek atap sekali lagi. Sudah lebih dua tahun, demagog gagal.
Sekarang demagog bersihir. Kononnya, tindakan kerajaan lambat dan kadangkala tidak sungguh-sungguh menyekat penghinaan agama, berbanding bila 3 DJ Era FM “Vel Vel Vel” lebih cepat setelah mendapat pressure daripada MIC, komponen BN dan BN berada dalam Kerajaan Madani. PM dah kata, tiada kompromi, tetapi tindakan yang diambil perlu berdasarkan undang-undang dan proses yang lengkap.
Bukan sekadar menggesa, melontar kemarahan dan membangkitkan ujaran kebencian. Semua itu wajib difahami dengan jelas, bukan hanya sekadar memulas minda awam dengan cebisan kisah yang tidak sahih. Seumpama menyebarkan kisah teladan Nabi Muhammad SAW dengan seorang Yahudi miskin dan buta di pasar Madinah. Menurut penelitian sejarah, Pejabat Mufti WP Kuala Lumpur, cerita itu tidak ada asas yang kuat, maksudnya sumber yang jelas.
Tulis Mohamad Jebara, “…saat ini bayangan kegelapan tengah menyelimuti banyak komuniti Muslim, yang telah mengalami kemandekan [terhenti, stagnancy] semacam neo-Jahiliyyah selama beabad-abad. Banyak orang bisa melihat sisa-sisa peradaban yang pernah membuka jalan bagi mordernitas [kemodenan]. Mereka mendengar gema kejayaan Zaman Keemasan, tetapi terputus dari pola fikir yang menjadi sumber inspirasinya.
“Ini bagaikan pengulangan dari masa Jahiliyah di Mekah, ketika penduduk di sana masih mengingat Ibrahim [Nabi Ibrahim AS] dan menjaga Ka’abah peninggalannya tetapi kehilangan sentuhan dengan nilai-nilai utama monoteisme [agama wahyu] yang diperkenalkannya kepada dunia.
“Rakyat Mekah pada zaman Jahiliyyah menyadari [sedar] bahawa mereka telah menyia-nyiakan warisan mereka, tetapi mereka justeru mencari kambing hitam dan menyalahkan faktor-faktor dari luar atas ketertinggalan mereka.
“Selama pola fikir [asas berfikir, kerangka minda] Ibrahim dan Muhammad [Nabi Muhammad SAW] tidak difahami dengan baik, sulit untuk mengembalikan kejayaan Zaman Keemasan. Mencoba kembali ke kenangan indah masa lalu bukanlah solusi [jawapan], seperti halnya saya yang pada masa remaja meniru pahlawan saya, Muhammad.
“Jahiliyah sesungguhnya bukan masa melainkan pola fikir – dan kemandekan yang disengaja boleh terjadi kepada sesiapa pun. Setelah mengalami kemandekan selama berabad-abad pada Zaman Kegelapan, bangsa Eropah akhirnya menyadari bahawa umat Muslim – yang telah lama mereka anggap kafir – ternyata telah melestarikan kebijaksanaan klasik Eropa.
Bangsa Eropa membuka fikiran mereka untuk mengklaim [menuntut] kembali warisan mereka, mereka memasuki Zaman Renainsance [Zaman Kebangkitan Semula] Umat Muslim bisa mendapatkan keuntungan dari perspektif serupa. Ilmu pengetahuan barat tidak sesat, tetapi justeru dibangun berlandaskan inti ajaran Muhammad.”
Jika Madinah menjadi acuan keberhasilan sebuah model kemasyarakatan, maka itulah sebenarnya yang ingin dibawa, kutip Mohamad Jebara daripada pandangan al-Farabu (ahli falsafah Zaman Keemasan Islam) bahawa: “Madinah bukanlah tempat, melainkan perilaku masyarakat yang menjunjung persatuan [perpaduan atau keharmonian sosial].
“Manusia dari kebudayaan atau ras apa pun dapat menyediakan ‘tempat untuk aliran perubahan’. Seperti dinyatakan oleh Muhammad pada hari-hari terakhir kehidupannya: Penerusku adalah siapa pun yang tetap menjalankan ajaranku.: (Mohamad Jebara, Muhammad: The World Changer, edisi terjemahan bahasa Indonesia oleh Berliani N Nugrahani, Jogjakarta: PT Bentang Pustaka, 2022, hal. 363-364)
Jadi, di sinilah letaknya kebijaksanan Islam dalam memandu kehidupan bermasyarakat, maka kebijaksanaan seperti itulah sepatutnya patut lahir dalam diri setiap orang Islam kerana setiap masa setiap daripada kita melihat Nabi Muhammad SAW sebagai suri teladan terbaik, manusia paling sempurna.
Sayangnya kita hanya melihat atau mendengarnya, tetapi tidak kental melaksanakan apa yang ditunjuk dan dipedomankan. Kita hanya mampu berseru, tetapi tidak tegar melaksanakannya.
Bila bertelingkah, kita mula mengambil sebahagiannya sekadar untuk merasionalkan apa yang kita fikir, berbuat dan seterusnya sebagai satu bentuk idealisme, dan Almarhum Dr Mahmod Zuhdi Abdul Majid, manusia tidak dapat hidup hanya dengan idealisme, tetapi idealisme tetap perlu untuk memandu manusia dalam berbuat sesuatu dan mencapai hasrtanya,
Begitu juga organisasi, ideologi semata-mata tidak akan ke mana, kerana penterjamahannya kadangkala penuh dengan penyesuaian dan tertakluk pada pembinaan agenda (agenda setting).
Mungkin itulah, cepatnya kontroversi muncul, maraknya perspesi sehingga ‘kerbau di kubangan’ ketakutan seolah-olah ada harimau di belakang sedang menerkam dalam bayangan (imajinasi). Kerana ‘ketakutan’ itulah menjadikan lebih cepat dan mudah sesetengah daripada orang bertindak, marahkan nyamuk, kelambu pun dibakar.
Imaginasi ‘takutkan harimau’; kubangan dilonjak keluar, terjun ke air, sayangnya, di air mungkin ada buaya. Nasib…….. jika emosi terbakar, rusuhan melanda; juga diri boleh terseksa. Sudah ramai yang didenda kerana menghina agama, dan terbaharu, Harith Iskandar dan Cecelia Yap, yang memanjangkan maksud ham, ditawarkan kompaun RM 10,000 setiap seorang.
Tiga Abdul (pinjam istilah P Ramlee) belum disabitkan kesalahan, ditawarkan kompaun. Pihak polis sedang melengkapkan siasatan. Dan, tentunya, boleh jadi ada dua kemungkinan, ditawarkan kompaun jika benar bersalah di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.
Jika berkaitan dengan penghinaan agama, ia boleh dibawa ke mahkamah menggunakan Akta Hasutan. Akta Hasutan tidak ada kompaun, yang ada ialah denda atau hukuman setelah didapati bersalah atau mengaku salah. Mahkamah akan menetapkan bentuk hukuman ataupun denda.
Kisah Sanusi Mohd Nor. MB Kedah yang lepas daripada tuduhan menghasut kembali dilihat sebagai satu bentuk perbandingan, rujukan atau keputusan terdahulu. Kesemuanya akan mewarnai perjalanan kes Tiga Abdul itu, walaupun ia nampak cukup mudah: minta maaf, bertemu pentadbir kuil memohon maaf, bukti pertemuan dan permohonan maaf yang dimuatnaik oleh Bendahari MIC, rakaman percakapan oleh pihak polis, dan pengakuan mereka sendiri sebagai terkhilaf.
Itulah kecepatannya. Bukan seperti kes komedi berdiri yang berlaku di sebuah restoran di TTDI pertengahan tahun 2002. Seorang wanita mengakui hafaz 15 juzuk al-Qur’an, tetapi menanggalkan pakaian menutupi aurat ketika di atas pentas ‘berdiri berkomedi’ (6 petang, 4 Jun 2022). Akhirnya dikatakan tidak ada wang untuk membayar ikat jamin. Operasi kelab itu digantung sementara oleh DBKL (ditutup selamanya dan pemiliknya disenaraihitamkan seumur hidup, Berita Harian, 17 Ogos 2022).
Wanita itu, Siti Nuramira Abdullah didenda RM 8,000 (17 April 2023) manakala pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club Rizal Van Gazeyl. Rizal didenda RM 8,000 kerana kesalahan menghantar video jelik itu untuk tontonan umum pada hari yang sama.
Teman lelaki Siti Nuramira ikut terbabit kerana memuatnaik kandungan video jelik tetapi dia (Alexander Navin Viayachandran) didakwa secara mahkamah yang berasingan. Setelah menukar pengakuan bersalah, Alexander didenda RM 16,000 (dua tuduhan –membuat dan memulakan hantaran video jelik) setahun kemudian (6 Jun 2023).
Alexander (nama Islam Alexander Dzulkarnain Chandran, bersyahadah pada 21 Julai 2022) dan mengahwini Siti Nuramira pada 6 Disember 2022. (Astro Awani, 6 Jun 2023).. Kemelut itu selesai, tetapi pengajaranya cukup besar.
MAHANOR SALEHA
Recent Comments