Daripada ‘persendaan’ itu persoalan keadilan terhadap seorang anggota bomba yang berakhir dengan kematian (ketika memadamkan rusuhan di sebuah kuil Sri Maha Mariaman di USJ 25, Subang Jaya pada 26 hingga 27 November 2018 diungkitkan semula.

Konflik asalnya berlaku antara pihak pengurusan kuil dan syarikat pemaju hartanah, yang menjadi pemilik tanah di mana kuil itu didirikan. Kuil itu didirikan ‘secara haram’ dan apabila tanah berpindah milik, pemiliknya mahukan kuil tersebut berpindah bagi memberikan laluan pembangunan.

Pemilih tanah telah beberapa kali berunding. Keputusan telah dicapai, pengurusan kuil bersetuju dengan tawaran pemilik tanah, berpindah. Namun, wujud dua kumpulan dalam proses itu, sekumpulan yang lain tidak besetuju dengan alasan, kuil itu sudah di situ hampir seratus tahun tanpa masalah.

Kuil itu wajib dikekalkan di tapak asal, pihak pemaju tidak bersedia untuk berkompromi sekali lagi. Akhirnya, sekumpulan yang ‘enggan berpindah’ berkumpul dan akhirnya berlaku ketegangan antara dua pihak.

Ketegangan itu sampai ke kemuncaknya pada malam 26 November 2018, sebahagian kuil terbakar, dan anggota bomba tiba untuk melaksanakan tanggungjawabnya, memadam kebakaran.

Kehadiran anggota bomba itu dilihat sebagai halangan dan muncul andaian, segelintir perusuh mula menganggu kerja-kerja tersebut dengan menyasarkan anggota bomba. Menurut cerita, salah seorang anggota bomba dibelasah teruk, tetapi cuba diselindungkan keadaan cedera parah Adib akibat kemalangan.

Akhirnya, Mohamad Adib bin Mohamad Kassim dikejarkan ke hospital untuk rawatan, kemudian dipindahkan ke Institut Jantung Negara, meninggal dunia setelah 21 hari dirawat. (“Kerajaan jamin keadilan buat keluarga Muhammad Adib – Takiyuddin”, Berita Harian, 20 Disember 2020).

Setelah berakhirnya kedudukan Takiyudin sebagai Menteri Undang-Undang dalam kabinet pasca Langkah Sheraton, belum muncul tindakan yang bebar-benar membawa ‘keadilan buat Adib’. Semua orang tahu, Adib meninggal kerana cedera parah. Ada bahagian organ dalam badannya tidak dapat diselamatkan akibat dibelasah.

Ramai orang tidak percaya, kecederaan Adib akibat kemalangan yang membabitkan kenderaan, tetapi ramai yang membuat spekulasi, Adib dilanggar oleh perusuh yang sengaja tidak mahu bertanggungjawab. Sehingga kini, spekulasi itu yang bertiup bila muncul gesaan “Keadilan untuk Adib” di media sosial.

Persepsi awam seolah-olah mengakui bahawa ‘keadilan untuk Adib’ tidak mencukupi, setelah laporan inkues mahupuan siasatan tidak menemukan bukti dia dibelasah kejam.

Walaupun dijanjikan untuk tujuan itu, persepsi awam terus bermunculan sebagai tindakan yang tidak memadai oleh pihak berkuasa, apatah lagi bila pembelaan keadilan untuk Teoh Beng Hock dibangkitkan semula, sasaran untuk menyalahkan seseorang atau pihak tertentu belum tercapai. Inilah juga yang sedang dihidupkan semula :keadilan untuk Adib”.

Dua tragedi ini akan terus dirujuk sebagai perbandingan mencari keadilan dalam kitaran politik (political circulation), spiral of propaganda dan mindframing di Malaysia, yang walaupun berinisiatifkan ‘perpaduan masyarakat’ secara politiknya, masih tersandar pada pelantar perkauman.

Setakat ini, jentera komunikasi kerajaan gagal dalam memecahkan pemerangkaan minda masyarakat awam, terutama berhubung kemandekan Beras Putih Tempatan (BPT) yang dijanjikan berada dalam pasaran pada 1 Mac 2025. Setelah lebih dua tahun disiasat, dikaji, dipantau, kehilangannya tidak dapat diatasi, walhal sudah lima kali musim tuaian berlalu sejak isu tersebut terjadi.

Atas nama apa pun, setiap parti politik di Malaysia ikut mencerminkan dominasi kaum, biarpun secara zahirnya tidak mengunakan istilah berbaur etnik, kaum dan agama (terbuka dan terselindung).

Terlalu terkait dengan dikotomi Melayu- Bukan Melayu; Bumiputera Islam-Bumiputera Bukan Islam dan Bumiputera – Bukan Bumiputera; dan, Semenanjung-Borneo. Tengok sahaja, ada slogan Sarawak for Sarawakian; Sabah for Sabahan; dan sebagainya.

Bingkai sebegini masih kuat dan terus memagari pesona politik. dan kerana ini, 3R akan terus dijual, dibeli dan dipromosikan. Biarpun dilarang, dihentak keras dengan peraturan, undang-undang, kecaman dan sebagainya, ia akan tetap menjadi ‘juadah’ yang menyelerakan bagi sesetengah politikus, aktivis politik dan organisasi, selagi perihal kemasyarakatan belum sebati terkamil.

Kemunculan politikus, sama ada sebagai pencetus isu, pengolah isu, pelebar ketegangan isu dan peluncuran kontroversi baharu boleh dianggap sebagai pilihan ahli politik itu sendiri, bagaimana menguruskan radioaktif daripada dalam usaha memanfaatkan kehebatan tenaga nuklear.

Penggunaan tenaga nuklear, menjadikan kos pengurusan jangka panjang lebih murah (berbading menggunakan tenaga daripada sumber fosil), tetapi juga perlu diawasi dengan teliti untuk mengelakkan kebocoran sebagaimana berlaku di Fukushima (Jepun) 2011 atau Chernobyl (Ukraine, ketika itu masih di bawah Rusia) 1986.

Andaian saya begitu kerana persoalan perkauman, agama dan pelecehan institusi akan menyebabkan meletusnya tragedi yang pernah berlaku pada tahun 1969 dan sebelumnya. Ramai di antara kita tidak mahu Tragedi Kg Medan (2001) berulang , mahupun kisah-kisah ektremisme agama kembali membarah: serangan ke atas kuil di Batu Pahat, Batang Kali dan sebagainya); meletakkan ‘kepala babi’ di rumah ibadat orang Islam; serangan bukan Islam ke atas para jemaah ketika sedang berjemaah; kecam mengecam terhadap agama seperti pernah dilakukan oleh bukan Islam terhadap Nabi Muhammad SAW dan keluarga.

Juga perihal aksi dan ucapan persendaan menerusi lawak jenaka (stand comedy), karikatur, satira dan sebagainya, yang bukan sahaja wajib dikawal, bahkan juga dibudayakan sebagai etika yang sepadan dengan nilai,  kehendak dan makna  perpaduan. Satira, walaupun dibenarkan dalam banyak perkara, satira juga menjadi hal sangat ‘meracun minda’ jika penyebarannya tidak disekat dan penularannya cukup mendunia.

Inilah sebenarnya kita belum berjaya mengsosialisasikan setiap daripada rakyat, baik dalam bentuk kognitif (pemikiran), affektif (tindakan) dan emosi (kejiwaan atau roh). Setiap kali isu sedemikian muncul, setiap kali kemunculannya mengembangkan pelbagai bentuk emosi, ruang debat yang kadangkala cukup naïf dan jengkel, kadangkala melangkaui teras isu sebenar, ia berkembang membentuk sphere of influence.

Itulah yang sebahagian daripada aktivis politik cuba rebut, dapatkan dan menguasainya, walaupun hanya untuk seketika. Sebab itulah poltik dilihat sebagai ‘serba-serbi mungkin’; yang diutamakan ialah kuasa, maka semuanya akan menjadi bahan politicking.

Lihat, bagaimana bekas Menteri Undang-Undang boleh kata, “Ini adalah Black Friday, Jumaat hitam kepada undang-undang sariah Kelantan” apabila kerajaan Kelantan kalah dalam kes mempertikaikan kuasa DUN meluluskan Undang-Undang (Enakmen) dengan mencabar kedudukan 21 perkara dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Sebelumnya, peraturan tersebut digembar-gemburkan sebagai ‘hukum hudud’. Setelah menemui kegagalan dalam pelaksanaannya, di peringkat dasar mahupun penguatkuasaan, maka Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1 digubal dan diluluskan pada tahun 2019. Enakmen itu cuba dicabar oleh Nik Elin dan anak perempuannya pada tahun 2023.. Mereka mengemukakan petisyen pada 25 Mei 2022.

Nik Elin adalah seorang peguam perempuan, berasal dari Kelantan dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, Petisyen itu kemudiannya mula  didengar  [ada 17 Ogos 2023. Kes itu kemudiannya selesai pada 9 Februari 2024, dengan keputusan 16 daripada 21 yang disenaraikan dalam petisyen tersebut adalah ‘terbatal’.

Ini bermakna, peruntukan undang-undang ke atas 16 kesalahan tersebut tidak sah dalam berhubung 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 (9 Februari 2024).. Keputusan itu, sebaik sahaja dibuat dan selesai dibaca, Takiyudin terus membua Sidang Media dan menamakan keputusan pada hari itu, Black Friday, Jumaat Hitam. (Berita Harian, 9 Februari 2024; dan https:///astroawani.com/berita-malaysia/mahkamah-persekutuan-putusan-16-kesalahan-kanun-jenayah-syariah-kelantan-batal-tidak-sah-457527?amp=1)

Keputusan penghakiman 8-1 oleh Makhmah Persekutuan berpihak kepada Nik Elin dan anaknya. 16 kesalahan syariah yang dijadukan affidavit terbatal dan tidak sah. Seluruh ‘kelompok politik di Kelantan’ mula menebarkan pelbagai tafsiran, sehingga sedikit sebanyak ‘kegentaran awam’ atau kemungkinan reaksi hubungan tidak baik antara kerajaan Kelantan dan kerajaan Persekutuan mula mencuak.

Mujurlah semuanya dapat ditangani dengan baik, dan khabarnya, PAS kembali semula menggubal Enakmen yang lebih baik dan berhari-hati bagi mengelakkan berulang kisah ;niat yang baik tetapi salah langkah” itu (?)

Lebih mendukacitakan, ada yang mentafsirkan keputusan tersebut melampaui hujah pengisytiharan 16 daripada 21 peruntukan sebagai ‘tidak sah dan terbatal”. Bayangan undang-undang syariah ‘akan gelap’ boleh membawa kepada satu bentuk hasutan, dan ada yang memberikan tanggapan, dengan kemenangan Nik Elin dan anaknya, “Mahkamah Syariah akan menganggur”, atau jadi “gajah putih’.

Kalau ada pun kes yang dibicarakan ialah, kes-kes berkaitan dengan undang-undang keluarga Islam: perkahwinan (poligami, pengesahan perkahwinan (luar negara), penceraian, tuntutan harta (faraid) dan nafkah (anak-anak dan isteri ketika dalam edah).

Jika hasil pengumpulan maklumat ada asas yang kukuh, tunggulah masanya untuk dipertimbangkan oleh Jabatan Peguam Negara, sama ada kes tersebut dibawa ke mahkamah atau tidak. Beberapa kes, yang dilihat sebagai persepsi awam ‘menghasut’ telah tidak dibawa ke mahkamah kerana ia dicetuskan oleh ahli politik, berbeza dengan orang awam. Seolah-olah berlaku dwistandard.

Dwistandard ketika ini sedang tersarung dalam mental rakyat apabila Harith Iskandar dan Dr Cecelia Yap didenda RM 10,000 seorang, tanpa perlu dibawa ke mahkamah. Itu yang sedang dimainkan, walhal dalam undang-undang ada tawaran kompaun ke atas sesuatu kesalahan yang berlaku. Jika seseorang itu bersetuju dengan kompaun tersebut, ia tidak akan dibawa ke mahkamah.

Saya melihat ini seperti kes seseorang yang disaman atas kesalahan trafik. Pihak penguatkuasa akan memberikan notis kesalahan dan menyatakan tawaran kompaun. Pesalah trafik boleh membayarnya, jika bersetuju. Boleh juga tidak membayarnya, dengan alasan tertentu tetapi jika tidak diterima oleh pihak yang menguatkuasakan (menyaman), maka ia akan berlanjutan kepada mahkamah, yakni mahkamah trafik.

Sebagai sekatan sementara, mungkin kenderaan dan pemilik lesen akan dihalang daripada memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan. Jadi, penahanan ‘pembaharuan’ itu akan diputuskan oleh mahkamah.

Itulah yang berlaku dalam prosedur sebahagian undang-undang. Jika yang membuat aduan, atau laporan menarik balik laporannya, proses mahkamah mungkin selesai. Yakni selesai di luar mahkamah, dalam kes saman antara individu. Ia berbeza dengan saman yang membabitkan kes-kes jenayah, rasuah, menghasut dan 3R.

Proses undang-undang akan terus berjalan sekiranya cukup bukti dan dikelasifikasikan benar-benar ada unsur kegentaran awam, bukan kegelintaran budaya politik; siang cakap “kita lawan”, malam pula cakap “kita kawan”. Itulah sebabnya, imej politikus kadangkala sangat tidak dipercayai.

Jadi, sebelum kita memberikan reaksi menentang, menyokong atau empati-simpati-anarki, berfikirlah dengan tenang, dengan pengetahuan yang cukup, bukan dengan emosi. Apa sebenarnya yang patut kita ‘bunuh’ atau ‘bakar”: nyamuk atau kelambu?  Kalau ‘nyamuk’ adalah puncanya, salah sungguh bila membakar ‘kelambu’. Bunuhlah nyamuk: carilah tempat di mana nyamuk itu membiak (muncul).

Bunuhlah jentik-jentik, hindarilah air bertakung dan bersihkan kawasan. Tidak perlu pun gunakan aerosol mahupun abate. Cukup dengan bersihkan mentaliti, dan gerakkan tindakan menggelidah sarang nyamuk, curahkan air yang bertakung dan bukan pecahkan tempayan, yang kita beli dengan harga mahal (lagi mahal bila dah jadi antik).

Ertnya, jika rumah bersih, perskitaran bersih, tiada takungan air dibiarkan lebih seminggu, kehadiran nyamuk ke dalam rumah sukar berlaku.  Kecuali seekor dua yang dibawa oleh angin. Dan, bagi mengelakkannya, tingkap dan pintu wajib ditutup. Kalau perlu, pasangkan jejaring kecil di bingkai tingkap.

Begitu juga bila kita mempunyai kejernihan berfikir, kita akan kekal dengan norma yang baik. Jika harmonisasi kehidupan dalam persekitaran bercampur, setiap daripada kita menghormati nilai budaya dan agama masing-masing.

Tidak boleh mengecam apabila melihat ada yang bersembahyang berbeza dengan cara kita bersembahyang, Walaupun kadangkala nampak lucu dan sedikit lawak, hormatilah sebab apa yang dibuat itu adalah menurut tafsiran agama atau kepercayaan masing-masing, walaupun tidak seragam dengan apa yang Islam zahirkan.

Mereka dengan agama mereka, kita dengan agama kita (Islam). Ia tidak bermakna, kerana toleransi, boleh sahaja kita meniru peakuan agama mereka, dan mencampurkan dengan sebahagian ritual agama kita (Islam). Itu sudah melampau dan boleh membawa kepada kemungkaran dan situasi menyeleweng.

(BERSAMBUNG)

MAHANOR SALEHA

Translate »