Memerhatikan pola perdebatan dan kontroversi yang muncul dalam masyarakat, sama ada bersifat homo-politiko (manusia politik) ataupun homo-religio (manusia agama) dan homo-etniko (manusia etnik), mengingatkan kita kepada dilemma yang muncul, sama ada “kelambu” atau “nyamuk” perlu dibakar.
Pada ketiga-tiga kategori homo itu, muncul secara lantang dan mengalir terus ialah ujaran kebencian, herdikan tanpa melihat isu secara tuntas dan lebih mendesak ialah kelebihan mencari populariti dan memunculkan diri meraih ‘like’, ‘comment’, follower, dan sebagainya kalau di media sosial.
Jika pada sisi politik, kontroversi akan menunjukkan sesebuah pertubuhan atau organisasi ‘masih hidup dan bernyawa’ walaupun dalam keadaan tertentu hampir berada pada tahap ‘sakit yang belum pulih.” Bila kontroversi yang sedikit menyinggung, diterkam ‘ganas’ seumpama ‘harimau lapar’, mungkin sedikit sebanyak ‘kelaparan sokongan’ akan menaikkan ‘meter sokongan’.
Bagi sesebuah pertubuhan yang belum pun cukup kuat ‘taring kuasa’, kontroversi sedemikian wajib dieksploitasi menurut bingkai ideologi politik, walaupun isu muncul itu asalnya bukanlah isu politik, ia sekadar muncul dalam bentuk parodi, metafora, satira, humor mahupun jenaka sembang. Eksploitasi boleh membawa kepada ‘keserlahan sikap dan pendirian’, walaupun logiknya dilihat bertaburan dan hanya muncul dalam lingkaran falasi (fallacy curve).
Inilah yang berlaku semasa isu tiga orang petugas atau DJ Era FM dibabatkan dengan persoalan ‘telah menghina agama Hindu’ hanya kerana menyebut ‘vel, vel, vel’. Rentak tarian yang mereka jadikan semacam berputar-putar dalam video itu bukan tarian keagamaan, tetapi meniru ‘tarian pembukaan oleh seorang peninju muda, Miki Ghazali (Paquetta dance)”, ulas Ashraf Hadi, Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama, Angkatan Muda PKR (AMK). (Ashraf Hadi, “Bila perkauman jadi senjata, kita semua mangsa”, Malaysiakini, 7 Mac 2025).
Sebelum itu (sekitar sejam awal, masa siaran kedua-dua rencana tersebut), seorang anak muda keturunan India, Sivaraj Chandran, yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mengulas dengan baik perihal kontroversi tersebut, dengan memberikan harapan, kita hidup dalam rumah yang sama, maka kita wajar memahami toleransi dan bagaimana mengelakkan sebarang perbezaan pandangan tidak berakhir dengan ‘rumah runtuh’ kerana ‘kita memilih kestabilan, bukan huru-hara’. (Sivaraj Chandran, “M’sia rumah kita, jangan runtuhkan”, Malaysiakini, 7 Mac 2025).
Kisahnya ‘cukup mudah difahami’, tidak berbelit-belit dengan emosi. Tiga orang pengacara Era FM (salah satu stesen radio di bawah rangkaian penyiaran Astro, dan perniagaan subsidiari Maxis, dimiliki oleh hartawan keturunan India, mendiang Ananda Krishnan) memuatnaik video ‘suka-suka’ mereka ke laman sosial, lantas, klip video sepanjang beberapa saat itu meletus seumpama ‘volkano politik’ bermula. Mereka memuat naik di akaun media sosial era.je pada Selasa (4 Mac 2025).
Ketiga-tiga penyampai popular Era FM itu – Nabil Ahmad, Radin Amir Affendy dan Azad Jasmin – memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak, sehingga membawa mereka ke Kuil Sri Subramanian Swamy di Batu Caves untuk memohon maaf secara hadir sendiri dan “menyerah diri”.
Ketiga mereka bertemu dengan AJK kuil Sri Subramaniar Swamy, Sivakumar Nadarajah dan pertemuan itu turut dimuatnaik oleh Sivakumar di akaun Instagramnya (4 Mac 2025). Ketiga mereka dikatakan “mempersendakan ritual kavadi semasa perayaan Thaipusam”.
Video itu memuatkan permohonan maaf Nabil Ahmad: “Dari pihak kami, Datuk, kami benar-benar…kami minta maaf”, “Saya harap video ini boleh buat semua orang lebih tenang”.
Apa yang menjadi persoalan ialah sikap dan pendirian Sivakumar, Bendahari Agung MIC, dan Presiden Majlis Kuil Hindu dan Persatuan Hindu Malaysia, juga anak kepada Pengerusi Kuil Hindi Batu Caves, R Nadarajah – adalah “sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan tindakan perlu diambil terhadap mereka.” dan dalam nafas yang lain, beliau berkata “On human ethics (atas dasar kemanusiaan) kita boleh maafkan tapi mesti ada satu tindakan yang akan bagi satu mesej yang clear (jelas).”
Era FM telah mengambil tindakan, ketiga-tiga DJ itu digantung tugas. Pihak polis membuka kertas siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Kesiksaan (mengeluarkan kata-kata atau melakukan perbuatan dengan niat untuk melukakan perasaan keagamaan) dan Seksyen 233 (penyalahgunaan kemudahan rangkaian_ Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. (“DJ Era FM mohon maaf di Batu Caves”, Malaysiakini, 5 Mac 2025).
Menariknya lagi, ekoran video yang dikatakan “menghina upacara Thaipusam” , berlaku cabar mencabar yang semakin hangat diperkatakan, iaitu antara TImbalan Presiden MIC, M Saravanan dan pendakwah bebas, Zamri Vinoth, atas dakwaan “pembawa kavadi” ketika sambutan Thaipusan menyerupai “individu yang dirasuk atau mabuk”. M Saravanan menetapkan tarikh dialog terbuka atau sesetengahnya memanggil ‘debat’ pada 23 Mac nanti.
Zamri Vinoth sedia berdebat, dan sangat berharap “tiada pullback atau lari daripada dialog.”. Namun, sebagai mewakili parti yang ‘belum pulih’ daripada ‘sakit yang panjang, sejak 2008’, M Saravanan tidak boleh bertindak sendirian, perlu mendapat kebenaran atau keputusan parti, kerana ia bakal membabitkan gambaran imej parti selanjutnya, hatta M Saravanan mampu menangkis dakwaan Zamri Vinoth yang dilihat sebagai ‘menghina’ itu. (“Saya harap tiada yang lari’- Zamri sahut cabaran Saravanan”, Malaysiakini, 7 Mac 2025).
Pada hari yang sama (semalam, 7 Mac 2025) tersiar beberapa komen daripada menteri yang menjadi jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadil (tahniah dianugerahkan darjah kebesaran Wilayah Persekutuan yang membawa gelaran Datuk, pada 7 Mac 2025), “semua badan penguatkuasaan dan agensi keselamatan diarahkan mengambil tindakan cepatm berkesan dan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut menggunakan isu perkauman atau agama.
Kata Datuk Fahmi lagi, “tindakan tegas itu diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seti Anwar Ibrahim jetika mempengerusikan nesyuarat Jemaah Menteri hari ini (7 Mac 2025). PErdana Menteri ‘turut dilaporkan memberi amaran kepada pemimpin dan ahli politik agar tidak mempergunakan isu agama sebagai senjata politik demi kepentingan peribadi.” (“Fahmi beri amaran keras pada penghasut jaum, agama”, Malaysiakini, 7 Mac 2025).
Dalam rentetan peristiwa ‘pelecehan atau penghinaan agama’ yang dikategorikan salah satu aspek dilarang dengan kodifikasi 3R – Race, Religious and Royalty – ia sedikit pun tidak menakutkan segelintir orang, sebabnya, mereka sudah ada impuls yang dilihat sebagai ‘tanggungjawab’, yakni kewajiban ‘membela agama’. Ketika isu pelecehan agama berlalu, misalnya perihal Islam ‘dikecam’, ‘dipersenda’ atau ‘dikritik’, seringkali muncul petikan kata-kata keramat daripada seorang ulama terkenal Nusantara, Buya Hamka (Allahyarham Haji Abdul Malik Karim Amrullah, 17 Februari 1908- 24 Julai 1981): “Jika kamu diam saat agama kamu dihina, gantilah baju kamu dengan kain kafan.”
Kali ini, kata-kata itu tidak kedengaran, kerana ia tidak membabitkan ‘penghinaan atau kritikan terhadap agama Islam atau perihal Muslim”, ia berkait dengan ‘sendaloka’ yang bersifat ‘penghinaan’ secara humor terhadap salah satu upacara dalam ritual agama Hindu, yakni gerak laku pembawa kavadi dalam ritual Thaipusam.
Perayaan Tahipusam diraikan ketika bulan penuh dalam kalendar Hindu, iaitu pada bulan Thai. Menjelang Thaipusam, penganut Hindu Tamil akan menunaikan nazar dan membersihkan jiwa daripada dosa dengan berpuasa selama 48 hari.
Pada hari-hari itu, sebahagian penganut Hindu Tamil akan berarak menuju ke kuil dengan berjalan kaki (tanpa sepatu), sebahagiannya membawa susu, mencukur rambut dan yang menjadi identiti puncak ialah individu yang membawa kavadi, mencucuk anggota badan dengan besi dan cangkuk berbeban.
Secara ritualnya, Thaipusam bermula setelah berlakunya satu pertembungan antara satu “Asura” yakni makhluk jahat, iaitu Surapadma dengan para dewa. Para dewa merayu kepada Dewa Shiva agar dapat mengurniakan mereka kekuatan untuk mengalahkan Surapadma.
Kekuatan itu dipanggil Achintya Shakti, kuasa yang mampu melawan dan kekuatan yang mampu membinasakan kejahatan. Kuasa Sakti itu telah memunculkan dalam diri Dewa Peperangan yang bernama Murugan. Selain itu, Dewa Peperangan turut dikenali dengan nama Subramanian, Skanda, Kumara dan Kartikeya.
Isteri Dewa Shiva bernama Parvati mengurniakan kepada anaknya, Murugan senjata suci berupa lembing yang dipanggil “Vel”. Dengan senjata itu, Murugan berjaya mengalahkan Suprapadma, pengikut-pengikutnya dan menyatukan kembali penganut Hindu. Jadi, apabila tiga pengacara Era FM terkinja-kinja sambil menyebut “Vel Vel Vel”, ia dianggap sebagai ‘penghinaan’ yang tidak boleh dimaafkan.
Sebutan itu membawa maksud, menghina atau memperlekehkan kuasa sakti, Achintya Shakti, kuasa yang diturunkan oleh Dewa Shiva kepada Dewa Peperangan, Murugan dalam bentuk lembing, sebagai senjata paling mampu membunuh ‘kejahatan’ yang direpresantasikan menerusi Suprapadma, dalam makna dan penyucian jiwa penganut Hindu.
Vel Vel akan terus dilaungkan sepanjang sambutan Thaipusam mengikut rentak paluan gendang. Selain ‘vel vel” perkataan “verti vel” yang bermaksud “lembing kemenangan: turut mengiringi sambutan Thaipusam. (https://siakapkeli.my/2023/02/06/bukan-saja-saja-sebut-ini-kisah-maksud-laungan-vel-vel-ketika-perayaan-thaipusam/)
Kembali kepada konroversi tindakan cepat ke atas tiga DJ Era oleh pihak berkuasa yang dilihat oleh sekumpulan homo-politico lebih baik daripada penghinaan yang dilakukan ke atas Islam, ia memberikan gambaran, biarpun Islam sebagai agama persekutuan, penganut majoriti di Malaysia, ia belum cukup kuat dan memadai untuk mengekangi penghinaan terhadap Islam.
Dilenturkan setiap tindakan pelecehan terhadap Islam sebagai ‘sangat lambat’ dan tidak menakutkan bukan Islam untuk mengulanginya pada masa yang lain, kerana pemimpin politik Islam cukup bertoleransi dan pemerintah, seumpama telah hilang ‘isyarat navigasi’ akibat desakan politik.
Paling menyedihkan apabila kemunculan isu ini turut mengheret persepsi sangat berbeza tindakan antara pelecehan terhadap Islam dan pelecehan terhadap agama lain; juga antara Melayu dan bukan Melayu. Melayu mudah berkompromi, cukup dengan permohonan maaf sedangkan bukan Melayu, tidak melihat penghinaan yang dilakukan oleh orang Melayu atau penganut Islam ‘tidak boleh dimaafkan; sebaliknya, mereka perlu dihukum dengan jelas, cepat dan tepat.
(BERSAMBUNG)
MAHANOR SALEHA
Recent Comments